HSKU 2014

HSKU tiga dekad penuh bara
RASDAN AHMAD
25 Oktober 2015
0 0 Google +0


Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas (enam kiri) dan Pengarah Kewangan Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Ernest Miller (lima kiri) bermesra dengan barisan pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2014 di Hotel Concorde

HADIAH Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil (HSKU) 2014 adalah yang ke-30 kali dianjurkan oleh Kumpulan Utusan. Hadiah ini mula diwujudkan pada 1985 untuk memberikan penghargaan kepada penulis yang karya kreatif mereka disiarkan dalam penerbitan Kumpulan Utusan terutama Mingguan Malaysia.

Selain memberikan hadiah kepada karya cemerlang yang disiarkan oleh Kumpulan Utusan, HSKU juga mewujudkan kategori novel remaja yang terbuka kepada penyertaan umum. Dalam jangka masa tiga dekad, HSKU telah menggilap puluhan penulis baharu yang kini menjadi penulis mapan dalam dunia kesusasteraan tempatan.

Penganjuran hadiah ini juga mendapat kerjasama erat daripada ExxonMobil yang menjadi penaja utama sejak 2003. HSKU 2014 yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, Selasa lalu memberi penghargaan kepada 27 pemenang menerusi enam kategori yang dipertandingkan iaitu novel remaja, cerpen, cerpen remaja, puisi dan rencana sastera. Bagaimanapun kategori kritikan sastera tidak ada pemenang.

Pemilihan dilakukan oleh sebuah pasukan panel yang dipengerusikan oleh Dr. Hashim Ismail dan dianggotai oleh ahli akademik dan sasterawan yang menjadikan HSKU mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam dunia kesusasteraan. Penjurian yang dilakukan adalah sangat ketat, misalnya untuk HSKU 2014, pemenang utama dan kedua kategori novel remaja tidak ada pemenang yang layak.

Oleh yang demikian tidak hairanlah kalau novel remaja yang memenangi HSKU terpilih sebagai teks wajib dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Komponen Sastera (Komsas) di sekolah. Dari segi sumbangan kepada penambahan jumlah bahan bacaan berkualiti, sepanjang tiga dekad, HSKU telah menerbitkan lebih 100 judul novel remaja dan lebih 100 judul antologi puisi serta cerpen karya pemenang utama dan penghargaan. Sehingga kini hasil daripada penganjuran HSKU, lebih setengah juta naskhah telah diterbitkan oleh Utusan Publications & Publications (UP&D), anak syarikat Kumpulan Utusan.

Antara novel remaja yang dipilih menjadi teks Komsas itu ialah Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir, Merenang Gelora (Ruslan Ngah), 6:20 (Siti Jasmina Ibrahim), Wira Pesona Avatari (Ahmad Zaki), Silir Daksina (Nizar Parman) dan Binasakti Menari (Siti Rahayu Mohd Yusop).

Penganjuran HSKU bukanlah saingan kepada anugerah sastera yang lain sebaliknya meraikan karya-karya hebat pernah disiarkan dalam penerbitan Kumpulan Utusan.

Bagaimanapun banyak juga karya yang terpilih diberi hadiah dalam HSKU memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) pada tahun yang sama dianjurkan Kementerian Pendidikan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lebih prestij dan bersifat kebangsaan.

Sebenarnya Kumpulan Utusan, sebuah organisasi media menganjurkan hadiah kesusasteraan bukanlah suatu yang asing kerana sejarah awal penubuhan Utusan Melayu 75 tahun lalu digerakkan oleh penggiat dalam kalangan wartawan dan sasterawan. Malah pada zaman menyalanya api semangat menuntut kemerdekaan, Utusan Melayu yang terletak di Cecil Street, Singapura adalah “markas” para sasterawan.

Sasterawan

Antara sasterawan besar yang senama dengan Utusan Melayu ialah Sasterawan Negara Usman Awang, Sasterawan Negara A. Samad Said, Sasterawan Negara Kamaluddin Mohamad (Keris Mas), Tokoh Wartawan Negara, A. Samad Ismail dan sasterawan Ishak Haji Muhamad (Pak Sako).

Suatu yang menarik dalam penganjuran HSKU ialah banyak disertai oleh penulis generasi baharu yang mendapat pendidikan formal dalam bidang bukan sastera seperti jurutera, peguam, doktor dan tidak kurang lepasan dalam bidang pengajian Islam di universiti tempatan dan luar negara.

Antara yang memenangi HSKU 2014 yang berada dalam profesion bukan sastera ialah Rebecca Ilham (jurutera petroleum), Fahd Razy (doktor) dan Fudzail yang mengetuai jabatan teknologi maklumat di Dubai.

Pengerusi panel juri, Dr. Hashim Ismail memberitahu, penyertaan kali ini dilihat bertambah jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Kemunculan penulis-penulis baharu juga sangat menggalakkan dan memberikan naratif yang pelbagai.

“Saya melihat kepada karya-karya pada kali ini kebanyakannya melahirkan pemikiran yang tinggi dan pelbagai. Penggunaan bahasa juga lancar dan kreativiti yang ditunjukkan juga cukup hebat. Kebanyakan isu yang diutarakan adalah bersifat sejagat seperti penghapusan etnik selain isu politik setempat simbol serta metafora yang bersesuaian.

Beliau menegaskan, keseluruhan karya kali ini menunjukkan kepelbagaian pemikiran penulis dalam pertembungan idea dari Barat dan Timur, isu politik, agama dengan pengolahan penulisan juga sangat kompleks.

Husna Nazri, nama pena bagi Nazri Hus­sien dipilih sebagai pemenang ketiga kategori novel remaja menerusi karya bertajuk Kudup Hijau Tropika. Beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta hadiah iringan. Nazri turut mendapat hadiah utama kategori cerpen remaja bertajuk Pelita Jiwa Ayah menerima hadiah wang tunai RM2,500 serta hadiah iringan.

Menurutnya, sikap prihatin terhadap warisan dan keunggulan perubatan tradisional dalam menyembuhkan penyakit menjadi inspirasi utama dalam menghasilkan karya novel remaja bertajuk Kudup Hijau Tropika.

Nazri yang juga seorang guru berkata, novel yang memakan masa selama dua bulan untuk disiapkan itu bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat supaya tidak meminggirkan as­pek perubatan tradisional dalam merawat penyakit.

“Saya tekankan me­ngenai rawatan tra­disional dengan tumbuh-tumbuhan hutan seperti akar kayu, daun dan pokok yang merupakan elemen penting un­tuk diterokai serta dijadikan penawar dalam me­nyembuhkan penya­kit tanpa kita perlu me­nyangkal pe­rubatan moden,” jelasnya.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas, Pengarah Kewangan Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Ernest Miller, Sasterawan Negara Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan Pengarang Astro Awani, Nazri Kahar. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Hadiah utama RM7,000

(tiada pemenang)

Hadiah kedua RM4,500

(tiada pemenang)

Hadiah ketiga RM3, 000

Kudup Hijau Tropika

(Husna Nazri)

Hadiah Utama RM2, 500 setiap satu

Debu-debu Mimpi Chao Phraya - Mohd Hashim Osman (Mingguan Malaysia, 28 Sept. 2014)
Maraton Kampung 
- Rebecca Ilham (Mingguan Malaysia, 5 Oktober 2014)
Pelita Jiwa Ayah 
- Husna Nazri 
(Mingguan Malaysia, 25 Mei 2014)

Hadiah Penghargaan RM800 setiap satu

Antara Dua Rumah di Lereng Bukit 
- Mawar Safei (Harmoni, 15 Oktober 2014)
Di Bawah Pohon Kekabu pada Suatu Senja 
- Noraini Osman (Mingguan Malaysia, 12 Oktober. 2014)
Enta Liberal- A. Muziru Idham (Mingguan Malaysia, 
10 Ogos 2014)
Ibu Pertiwi - Azman Hussin (Mingguan Malaysia, 21 Dis. 2014)
Rumah Kecil Mama - Haswida Abu Bakar(Wanita, Disember 2014)
Suara- Tiras R (Mingguan Malaysia, 
6 Julai 2014).

Hadiah Utama RM3, 000 setiap satu

Bara Sang Suri - Zaniffa Azzura Abdullah (Mingguan Malaysia, 20 Julai 2014)
Hingyaku - Ratna Laila Shahidin (Mingguan Malaysia, 
31 Ogos 2014)
Psiko 
- Fudzail(Mingguan Malaysia, 
8 Jun 2014)

Hadiah Penghargaan RM800 setiap satu

Bari Orang Lepe Kabu 
- S.M Zakir (Mingguan Malaysia, 
16 Mac 2014)
Delusisma 2.0 (Denggi) 
- Fahd Razy 
(Mingguan Malaysia, 16 Februari 2014)
Pahlawankah Kucing Kami? ,- Saifullizan Yahaya (Mingguan Malaysia, 19 Jan. 2014)
Pesanku pada Hujan - Malim Ghozali PK (Mingguan Malaysia, 13 Julai 2014)
Sang Sutradara 
- Adam Mustakim 
(Mingguan Malaysia,30 Mac 2014)
Selimut 
- Maskiah Masrom (Mingguan Malaysia,12 Jan. 2014)

Hadiah Utama RM1,000 setiap satu

Bertengger di Pohon yang Sama - Saleeh Rahamad (Mingguan Malaysia, 13 Julai 2014)
Di Padang Sarjana - Tuah Sujana (Mingguan Malaysia, 5 Januari 2014)
Perempuan yang Mencintai Purnama - Raihani Mohamed Saaid (Mingguan Malaysia, 14 Disember 2014)


Hadiah Penghargaan RM500 setiap satu

Dari Mimbar Shinjuku - Syafiq Zulakifli (Mingguan Malaysia, 30 November 2014)
Gurindam Kebenaran - Nazim Subari (Mingguan Malaysia, 17 Ogos 2014)
Jaulah Sampai Syurga 
- Muzaf Ahmad 
(Mingguan Malaysia, 7 September 2014)
Memandang ke Seberang - Shapiai Muhammad Ramly (Mingguan Malaysia, 12 Okt. 2014)
Rawan Setiawan 
- Zulfazlan Jumrah 
(Mingguan Malaysia, 
7 September 2014)
Sepatu Hijrah 
- Ratna Laila Shahidin 
(Mingguan Malaysia, 2 November 2014)

Kajian Sastera RM2, 000

(tiada pemenang)

Rencana Sastera RM1, 000 
setiap seorang

Estetika Pantun Wan Khazim - Rahman Shaari (Mingguan Malaysia, 28 Dis. 2014)
Realisme Baru Zainal 
Rashid - S.M. Zakir 
(Mingguan Malaysia, 10 Ogos 2014).

utusan online

Comments