hanya membantu


Pemandu teksi dibebaskan, tiga suspek culik didakwa hari ini
16 Oktober 2015

SHAH ALAM 15 Okt. – Tiga daripada empat suspek lelaki yang ditahan berhubung kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Sungai Chua, Kajang Jumaat lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek akan didakwa di Mahkamah Kajang di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Menurutnya, keputusan itu dibuat oleh pendakwa raya selepas menerima kertas siasatan hari ini.

“Pemandu teksi yang sebelum ini turut ditahan untuk membantu siasatan bagaimanapun dibebaskan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Adnan memberitahu, pemandu teksi itu dibebaskan selepas siasatan mendapati dia tidak terlibat dengan penculikan tersebut.

“Buat masa ini, kita tidak dapati dia (pemandu teksi) tiada sebarang kaitan dengan kes penculikan itu.

“Sehubungan itu, dia dibebaskan dengan bon di bawah Seksyen 49 Akta Prosedur Jenayah,” ujarnya.

Polis menahan empat lelaki termasuk seorang dalang setelah disyaki terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak itu yang dilarikan tiga lelaki menaiki sebuah Proton Saga ketika mangsa dihantar ibunya ke sebuah prasekolah di Sungai Chua, Kajang dalam kejadian kira-kira pukul 9.26 pagi, Jumaat lalu.

Kesemua suspek berumur lingkungan 28 hingga 45 tahun ditahan secara berasingan malam Jumaat lepas dan seorang daripada mereka adalah warga Indonesia.

Antara yang ditahan ialah pemandu teksi yang menghantar pulang kanak-kanak itu.

Kanak-kanak lelaki itu dibebaskan dan dihantar pulang oleh pemandu teksi berkenaan kepada keluarga mangsa di Taman Suria, Sungai Chua setelah wang tebusan sejumlah RM300,000 dibayar bapa mangsa kepada suspek.

utusanonline


Kes Culik Kajang: Saya Tidak Kesal Bantu - Pemandu Teksi
16 Oktober 2015 
NICHOLAS CHENG

KAJANG: Suasana pilu menyelubungi kamar mahkamah apabila dua keluarga yang menjadi mangsa keadaan dalam kes penculikan seorang kanak-kanak di sini bertemu buat kali pertama bagi melihat sendiri pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi dibebaskan dari reman.

Hanizan direman polis selepas dia tampil menghantar pulang kanak-kanak berusia lima tahun mangsa culik di Sungai Dua ke kediamannya di sini, minggu lalu.

Pemandu teksi itu mendakwa, dia menemui kanak-kanak itu yang bersendirian di tepi jalan dan menghantarnya pulang ke rumah keluarga kanak-kanak berkenaan selepas mengecam gambar yang menjadi viral menerusi media sosial.

Bagaimanapun, perkara tersebut menjadikan Hanizan sebagai suspek utama bagi polis yang kemudiannya mengesahkan dia tidak terlibat dengan sebarang jenayah, dan dilihat berulang kali memohon maaf kepada lelaki berusia 41 tahun itu di kompleks mahkamah Kajang.

"Saya lakukan semua ini kerana saya lakukannya untuk masyarakat. Tidak kisah pasal kaum. Saya tidak menyesal bantu kanak-kanak itu. Saya akan sentiasa membantu.

"Saya mahu berterima kasih kepada keluarga saya atas sokongan mereka sepanjang saya di lokap walaupun saya dilayan dengan baik oleh pihak polis.

"Saya akui saya membuat kesilapan kerana tidak membuat laporan polis. Saya harap ia tidak menjadi orang ramai takut untuk bekerjasama dengan polis," kata Hanizan.

Suasana agak beremosi semasa keluarga kanak-kanak mangsa culik dan keluarga Hanizan bertemu di sini.

Walaupun sebahagian keluarga Hanizan mahu menuntut ganti rugi di atas masalah yang menimpa mereka, namun bapa Hanizan berkata, adalah lebih baik untuk memohon maaf dan memaafkan.

"Saya bangga dengan anak lelaki saya. Saya gembira dia akhirnya dibebaskan. Saya kenal anak lelaki saya. Saya tidak percaya semasa berita mengenai dia tersiar. Dia bukan orang jahat," kata bapa Hanizan, Mohamed Radzi Itam Ibrahim, 75.

Mohamed Radzi berkata, dia dan keluarganya, terutama anak-anak Hanizan sudah cukup terganggu dengan komen-komen mengenai bapa mereka di media sosial sejak minggu lalu.

Hanizan ditahan bersama tiga lelaki lain dalam tempoh 24 jam susulan penculikan budak lelaki berkenaan di hadapan tadika di Sungai Chua yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Penculik berkenaan didakwa menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000.

Selepas lapan jam diculik, Hanizan dilihat membawa kanak-kanak itu ke kediamannya pada pukul 5.35 malam dan menyerahkannya kepada keluarganya.

Hampir seminggu ditahan dan polis dengan rasminya mengesahkan beliau tidak terlibat dalam kes penculikan itu, Hanizan dibebaskan mengikut Seksyen 49, Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, tiga lagi yang ditahan didakwa di mahkamah pagi Jumaat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961.

mstar 


Keluarga mangsa culik sambut pembebasan pemandu teksi
October 16, 2015

Hanizan mengaku bersalah kerana tidak membuat laporan polis sebaik menemui kanak-kanak itu di tepi jalan.


PETALING JAYA: Pembebasan pemandu teksi, Hanizan Mohamad Radzi daripada tahanan polis selepas didapati tidak terbabit dengan penculikan kanak-kanak di Kajang turut disambut gembira oleh keluarga mangsa.

Ahli keluarga kanak-kanak terbabit berkumpul di mahkamah di Kajang pada Jumaat untuk bertemu dengan Hanizan.

Ayah dan datuk kanak-kanak itu berpelukan dengan Hanizan sebaik sahaja bertemu sebagai tanda terima kasih kerana membawa pulang mangsa ke rumah dengan selamat.

Hanizan menjumpai kanak-kanak itu di tepi jalan dan mengecamnya selepas kes penculikan itu dilaporkan secara meluas di media sosial.

Dia bagaimanapun ditahan reman selama seminggu bersama tiga yang lain bagi membantu siasatan.

Hari ini (Jumaat), Hanizan dibebaskan dan pihak polis juga telah meminta maaf kepadanya.

Manakala tiga yang lain termasuk seorang warga Indonesia didakwa di mahkamah kerana kesalahan menculik dan meminta wang tebusan RM300,000.

Bercakap kepada media selepas itu, Hanizan berkata, dia tidak menyesal dengan apa yang berlaku kepadanya kerana dia hanya membantu masyarakat tanpa mengira bangsa.

“Saya mengaku salah kerana tidak membuat laporan polis. Saya harap kejadian ini tidak menakutkan orang awam untuk bekerja sama dengan polis,” katanya yang mengaku menerima layanan baik polis sepanjang ditahan.

fmt


Bebas
Bapa mangsa culik, Lee Kim Wen dan datuk mangsa, Lee Sui, 68 bersalaman dengan Hanizan Mohamad Radzi yang telah dibebaskan oleh Mahkamah Kajang hari ini apabila siasatan polis mendapati beliau tiada kaitan dengan kes culik kanak-kanak di Sungai Chua Kajang baru-baru ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM 

Comments