19 Oct 2015

dari bintang ke bintang

ANJAKAN MAKNA PUISI USMAN AWANG
RAHMAN SHAARI
11 Oktober 2015



SALAH satu babak teater Dari Bintang Ke Bintang yang dianjurkan oleh ITBM minggu lalu.

Persembahan teater Dari Bintang ke Bintang ialah persembahan puisi artistik. Itulah istilah saya dan pernah ditanya: Adakah yang artistik itu puisi atau persembahan? Jawapannya tentulah persembahan, kerana puisi yang dihasilkan oleh penyair seperti Usman Awang sudah sedia artistik. Dengan kata lain, persembahan puisi artistik ialah persembahan puisi yang sedia artistik di kertas, dan diharapkan akan artistik di atas pentas.

Tetapi ada juga persembahan yang gagal mencapai tahap artistik, biarpun puisi yang digunakan untuk persembahan itu cukup artistik. Sesekali boleh juga berlaku sebaliknya, iaitu persembahan menjadi cukup artistik biarpun puisi yang digunakan tidak artistik.

Format persembahan puisi artistik juga telah saya hantarkan ke Kementerian Pendidikan, dan contoh puisi yang digunakan adalah karya sejumlah penyair. Saya berkisah tentang hal ini kerana konsep yang saya kemukakan tidak asing malah sealiran dengan konsep Fauziah Nawi. Kedua-dua mengusahakan penjalinan puisi hingga terbina jalan cerita. Syarat utama persembahan puisi artistik mesti ada jalan cerita.

Teater Dari Bintang Ke Bintang dianjurkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Yayasan Usman Awang. Dipentaskan minggu lalu di Dewan ITBM, Seksyen 10 Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Apabila pementasan bermula dengan kebangkitan pelakon-pelakon, saya berfikir keras tentang “tempat” bermula. Tidak sukar untuk mengetahui itu kerana hal ehwal Puteri Gunung Ledang diungkapkan. Ungkapan tentang kehendak Puteri Gunung Ledang telah kita ketahui, termasuk hati kuman dan darah anak raja. Yang menyentak fikiran saya dan mungkin orang lain ialah persembahan sajak Kekasih.

Saya enggan mengatakan pengarah dan pelakon tidak sedar bahawa sajak Kekasih ialah sajak romantik yang terhebat di Nusantara. Saya perlu memikirkan tafsiran lain, terutama saya pendokong teori anjakan makna. Teori ini mengatakan bahawa sesuatu makna tidak tegak berdiri di satu-satu titik. Makna selalu berada di atas garis kontinum, dan beranjak. Rangkap pertama Akan kupintal buih-buih / menjadi tali mengikatmu tidak dianggap baris pernyataan cinta oleh pengarah Dari Bintang ke Bintang. Pengarah telah mengajarkan pelakon tentang hal lain, atau tentang kemungkinan lain.

Pada saya, oleh sebab pengarah tidak mahu tertakluk pada idealisme cinta, atau lebih tepat lagi ungkapan cinta yang berlebih-lebihan, maka dia meminta pelakon-pelakonnya mengucapkan Kekasih dengan nada dan gaya kasar. Dengan pengucapan demikian, terketepilah kesan yang diperoleh peminat lagu Kekasih nyanyian Ibrahim Bachik dan juga Kopratasa. Sajak Kekasih dalam teater ini bagaikan mengejek kekasih. Sesiapa yang membaca sajak Kekasih dengan cermat, atau memberikan perhatian terhadap nyanyian Ibrahim Bachik atau Kopratasa pasti akan mengakui keromantisan luar biasa karya ini. Kata-kata yang dipilih adalah hiperbolistik.

Perlu disebutkan juga bahawa keseluruhan persembahan Dari Bintang ke Bintang membawa tema kebangkitan dan permasalahan hidup rakyat di tanah air kita. Sajak Dari Bintang ke Bintang karya Usman Awang sebenarnya diketepikan oleh pengarah apabila ditinjau secara keseluruhan. Sajak ini membawa tema kegagalan dalam percintaan, dengan penekanan pada harapan agar kekasih protagonis (yang berkahwin dengan lelaki lain) berbahagia.

Sajak ini mengucapkan ‘dari bintang ke bintang begini’: Ketika malam kulihat matamu pada bintang / senyummu melambai di gemilang sinar bulan/ dari bintang ke bintang kunantikan lagumu / hanya kerdipan dalam bisu suara hatiku bimbang.

Adalah satu masalah dalam hal memilih judul yang representatif. Sajak Dari Bintang ke Bintang tebal dengan kekecewaan lelaki kerana kekasihnya berjodoh dengan orang lain. Bunyi judul mungkin seakan-akan ada pelbagai pencapaian, iaitu berjaya melompat dari satu bintang ke bintang lain. Namun, makna sajak Dari Bintang ke Bintang itu sendiri ialah kekosongan kerana tiada bintang yang memberikan harapan.

Makna asal

Pernyataan ini penting untuk difikirkan. Judul Dari Bintang ke Bintang memang berupaya membawa makna perkembangan politik dan pencapaian orang Melayu dan rakyat Malaysia. Saya tidak keberatan menerima makna tersebut, tetapi makna asal tetap kekal.

Dalam negara kita, bila-bila masa saja boleh berlaku pertelingkahan, berselang seli dengan kedamaian. Saya syorkan di sini bintang ialah masa damai. Jadi, Dari Bintang ke Bintang ialah dari satu kedamaian kepada kedamaian seterusnya. Pertelingkahan Hang Tuah dan Hang Jebat ialah satu pertelingkahan bersiri. Ertinya, pertelingkahan seperti itu berulang dengan punca yang berlainan. Apabila timbalan presiden bangkit melawan presiden, tidak kira kisah dalam parti politik apa pun, dan kebetulan beberapa parti politik sama-sama maju dalam pertelingkahan, itu ialah perulangan pertelingkahan Tuah - Jebat.

Selain itu, persoalan watak contoh juga menarik. Apabila muncul manusia yang tidak boleh dicontohi, itu ialah keadaan tiada bintang. Sajak Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul? ialah salah satu daripada tanda-tanda manusia yang tidak boleh dicontohi. Elok dalam bicara ini saya nyatakan, bahawa Usman Awang tidak berhasrat menulis sajak berbentuk demikian. Karya itu dimaksudkan untuk kritikan sosial dalam bentuk prosa. Saya telah ditugaskan menyusun puisi Usman Awang untuk buku Salam Benua, dan karya tersebut saya masukkan. Usman bertanya: “Ini sajakkah?”

Bahagian yang menarik dalam sajak tersebut ialah ‘peraturan menyimpan rambut di kepala bagi kepala yang berambut”. Baris itu kedengaran biasa, tetapi lapisan dalamannya ialah jenaka wacana erotik, iaitu Usman mahu menyebutkan jenis-jenis kepala. Ada kepala yang berambut, dan ada kepala yang tiada rambut. Dalam persembahan, kata itu gagal dibawa bagi membangkitkan maknanya. Hal ini berlainan bagi sajak Melayu. Dalam persembahan sajak Melayu, kata tertentu sampai kepada pendengaran telinga erotik dengan mudah: … Mualaf bertakrif Melayu (setelah disunat anunya).

Sajak-sajak yang menyatakan kemanusiaan ada beberapa. Sajak Mata Ayah memuatkan rasa kasih dan simpati kepada seorang lelaki yang dipanggil ayah, kerana menanggung derita. Sajak Kemanusiaan menyarankan agar dalam memberikan simpati kepada mangsa, taraf atau darjat jangan diambil kira.

Persembahan Dari Bintang ke Bintang ialah persembahan yang amat terlatih. Ireene Greene ada mengatakan, jika tiada latihan maka tiada seni. Pasukan Fauziah Nawi amat sedar tentang hal itu. Gerakan di pentas membuktikan bahawa latihan dibuat secara bersungguh-sungguh.

Vince Lombardi mengatakan, latihan tidak menuju kepada kesempurnaan. Yang menjadikan sesuatu persembahan itu sempurna ialah latihan yang sempurna. Sedikit pun kita tidak risau dengan kerja pengarahan oleh Fauziah Nawi. Jika kita terdorong untuk menilai persembahan puisi hasil arahannya, kita hanya perlu melihat gerakan dan penyuaraan para watak. Gerakan seni mempertahankan diri misalnya cukup cergas dan memberangsangkan.

utusan online 




















  Teater Dari Bintang ke Bintang. Arahan bersama Fauziah Nawi dan Iryanda Mulia ini telah mengangkat himpunan puisi Sasterawan Negara Usman Awang ke pentas visual dengan unik sekali. 
foto : itbm

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena