Cameron Highlands

ASALNYA STESEN TANAH TINGGI
17 Oktober 2015



DERETAN rumah kedai yang pertama dibina di Tanah Rata, Cameron Highlands ketika tanah tinggi itu mula-mula dibangunkan sekitar 1920-an.

CAMERON Highlands tidak perlu diperkenalkan lagi kerana ia sudah popular sebagai antara destinasi pelancongan dan percutian tumpuan di Malaysia. Ia sudah cukup terkenal dalam kalangan rakyat tempatan dan juga antarabangsa.

Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana keadaannya di Cameron Highlands ketika ia mula-mula diterokai oleh pihak British suatu masa dahulu?

Cameron Highlands meninggalkan banyak kesan sejarah apabila pihak British meneroka dan membangunkan kawasan tanah tinggi itu sebagai stesen tanah tinggi di Tanah Melayu sekitar 1900-an.

Percaya atau tidak, Cameron Highlands hanya dibangunkan secara pesat 40 tahun selepas laporan mengenai penemuan dataran tanah tinggi yang bersempadan dengan Pahang dan Perak dilakukan oleh seorang juru ukur British, William Cameron pada 1885.

Bermula 1920-an, selepas Sir George Maxwell melengkapkan laporan ekspedisinya bagi menjejaki laluan Cameron, barulah kawasan tanah tinggi itu dipertimbangkan untuk dibangunkan sebagai stesen tanah tinggi British selepas Fraser Hills.

Tidak berapa lama kemudian, Cameron Highlands bertukar menjadi pusat percutian dan rehat bagi pegawai serta petugas-petugas British yang berkhidmat di Tanah Melayu.

Maka tidak hairanlah banyak peninggalan sejarah di Cameron Highlands berkait rapat dengan budaya Inggeris yang dibawa oleh pentadbiran British di Tanah Melayu.

Daripada reka bentuk bangunan, rumah, makanan dan minuman sehinggalah hiasan dalamannya masih lagi mengekalkan cita rasa Inggeris sehingga ke hari ini.

Kini, Cameron Highlands terkenal dengan industri penanaman teh, strawberi dan pelbagai jenis bunga, buah-buahan serta sayur-sayuran yang segar dan berkualiti.

Di sebalik itu, Cameron Highlands juga menyimpan 1001 misteri mengenai kehilangan raja sutera Thai yang terkenal, Jim Thompson. Kehilangannya pada 1967 masih lagi menjadi tanda tanya dan perdebatan banyak pihak.

Jika nama William Cameron diabadikan kepada tanah tinggi itu, sejarah kehilangan Thompson juga sinonim dengan Cameron Highlands sehingga ke hari ini.

Ikuti perjalanan wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA yang berkunjung ke Cameron Highlands baru-baru ini untuk melihat sendiri peninggalan sejarah dan mencungkil semula kisah di sebalik kewujudan tanah tinggi itu.

utusan online 

 William Cameron pencetus kemasyhuran
17 Oktober 2015



SUASANA Pekan Brinchang ketika awal pembangunan Cameron Highlands.

HANYA selepas 40 tahun ditemui oleh juru ukur British, William Cameron, baharulah kawasan tanah tinggi yang kini dikenali sebagai Cameron Highlands dibangunkan bermula 1920-an.

Ketika itu, Sir George Maxwell melancarkan satu ekspedisi bagi mencari semula dataran tanah rata yang pernah dilihat oleh Cameron dalam ekspedisinya pada 1885. Dalam ekspedisi itu, Maxwell menjejaki semula laluan-laluan yang pernah digunakan Cameron sebelum itu.

Ini kerana wujud percanggahan mengenai kedudukan sebenar dataran tanah tinggi tersebut dalam laporan Cameron. Cameron tidak mencatatkan di dalam peta mengenai kedudukan sebenar dataran tinggi itu tetapi arah laluan ekspedisinya menghala ke hulu Sungai Raja yang terletak di Perak.

Ekspedisi Cameron bermula pada penjelajahan pertama pada Februari 1885. Menurut Dr. Robert C. M. Weebers (gambar) yang menjalankan kajian mengenai sejarah pembangunan Cameron Highlands di Universiti Malaya, Cameron menggunakan laluan dari Estet Waterloo yang terletak berdekatan Kuala Kangsar kemudian melalui Gunung Bubu dan ke Gunung Chabang yang terletak berhampiran Batu Gajah, Perak.

“Dari situ, Cameron turun ke Pahang dan merentasi sehingga ke Ulu Bertam atau Selangor. Ketika melalui Lembah Raja, Penoh dan Anak Kinta, Cameron membuat trek baharu dan kemudian melepasi Lembah Telom yang beraltitud 1,500 meter dari paras laut.

“Di situ, Cameron melaporkan telah menemui satu kawasan dataran yang begitu menarik dengan purata ketinggian sehingga 1,300 meter yang terletak di dalam sempadan Pahang,” katanya.

Dr. Robert C. M. Weebers

Weebers berkata, Cameron terus mendaki beberapa lagi gunung di sekitarnya dan membuat lakaran berserta butiran mengenai laluan di Perak, Pahang dan Kelantan. Sebelum ekspedisi itu tamat pada 1 September 1885, Cameron sempat melaporkan penjelajahannya itu kepada Residen British, Frank Swettenham.

Selepas itu, Cameron beberapa kali lagi melakukan penjelajahan di sekitar Perak dan Selangor.

Kira-kira 40 tahun kemudian, Maxwell cuba menjejaki semula laluan Cameron. Pada satu ketika, kumpulan ekspedisi Maxwell mendapati laluan yang digunakan itu tidak sesuai untuk dilalui gajah yang digunakan sebagai pengangkutan pada masa itu.

Berikutan itu, Maxwell menukarkan laluan perjalanan mereka ke Tapah. Laluan denai-denai kecil itu merupakan yang pertama menghubungkan Tapah ke Cameron Highlands.

Setelah Maxwell melaporkan hasil penemuannya kepada Kerajaan British, kawasan itu dilihat mempunyai potensi besar untuk diterokai dan sekumpulan pemaju telah dilantik bagi tujuan itu.

Tidak lama selepas itu, kawasan di dataran tanah rata dibahagikan mengikut zon dengan fungsi berlainan. Kawasan di Habu, Sungai Palas dan Kea Farm telah diwartakan untuk aktiviti pertanian, manakala Ringlet, Tanah Rata, Brinchang dan Tringkap pula diwartakan sebagai kawasan kediaman.

Namun sebelum perancangan itu dilaksanakan, pihak British telah membina sebuah stesen eksperimental dan penyelidikan pertanian di Cameron Highlands pada 1925, khusus bagi menjalankan kajian mengenai penanaman teh dan kopi di kawasan tanah tinggi itu.

Pada 1926, British memulakan usaha membina jalan raya yang lebih sempurna menghubungkan tanah tinggi itu dengan Tapah dan siap sepenuhnya pada 1931. Pada 1929, ladang teh pertama telah diwujudkan di tanah tinggi itu.

Bagi tujuan pembangunan, Kerajaan British telah membuka peluang kepada usahawan dari negara itu, selain membenarkan pakar pertanian dari China dan pelabur dari India Utara untuk membangunkan Cameron Highlands ketika itu.

Kebanyakan industri tertumpu kepada aktiviti pertanian dan perladangan teh yang diusahakan secara meluas pada waktu itu. Manakala aktiviti riadah dan istirehat turut menjadi popular dalam kalangan rakyat British yang berada di Tanah Melayu.

Cuaca sejuk menjadikan Cameron Highlands sebagai kawasan percutian popular bagi rakyat British yang rindukan kampung halaman. Justeru, banyak pusat peranginan muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan ketika itu, rata-rata mempunyai ciri-ciri dan budaya Inggeris.

Padang golf, sekolah berasrama bagi anak-anak pegawai British, hotel dan banglo rehat mula dibina bagi kemudahan di situ. Ketika itu, bermain golf di Cameron Highlands mempunyai risiko tersendiri kerana sering terdapat jejak binatang buas terutama harimau di padang golf.

Sehingga hari ini, Cameron Highlands masih menjadi pusat peranginan dan percutian popular di negara ini. Kebanyakan bangunan lama yang ada sudah dimiliki oleh pemilik yang baharu, namun masih mengekalkan ciri-ciri sejarah yang mula dibina lebih 80 tahun yang lalu.

utusan online


Apa terjadi kepada William Cameron?
17 Oktober 2015


SIR Frank Swettenham dalam buku tulisan terakhirnya Footprints in Malaya pada 1942 menyatakan bahawa ketika berkhidmat sebagai Residen British pada 1880-an, beliau sendiri telah mempertimbangkan permintaan William Cameron untuk menerokai kawasan hutan di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu untuk tujuan penyelidikan.

Katanya, Cameron datang ke Selangor selepas dilantik sebagai Residen British Selangor dan memohon untuk melakukan sesuatu yang berguna untuk pembangunan Tanah Melayu.

“Saya bertanya mengenai cadangannya dan dia menjelaskan bahawa dia mempunyai pengetahuan mengenai mineral dan geologi. Dia meminta kebenaran untuk menjelajah ke dalam hutan belantara, selain melaporkan sebarang penemuan di dalam ekspedisi itu,” ujarnya dalam buku tersebut.

Menurut Swettenham, dia bersetuju dengan cadangan Cameron. Justeru, Cameron melakukan segala persiapan bagi ekspedisi itu termasuk mencari pasukan peneroka dari kalangan Orang Asli.

“Dia menghilangkan diri selama berminggu-minggu, kemudian keluar dan menulis laporan mengenai ekspedisinya sehinggalah pada suatu ketika, saya mulai risau mengenai keselamatannya. Cameron jatuh sakit semasa dalam ekspedisinya sehingga terpaksa diusung keluar dari hutan.

“Dia sempat melaporkan mengenai penemuan tanah rata di kawasan pergunungan yang terletak di sempadan Pahang dan Perak, yang sekarang dikenali sebagai Cameron Highlands. Namun, pada akhir hayatnya, saya tidak tahu apa yang telah terjadi kepadanya ketika dia berada di dalam hutan. Dia mengalami delusi, berjalan sehingga pukul 3 pagi di dalam rumah sambil memikul besi yang berat,” katanya.

Kata Swettenham, pada suatu pagi, Cameron telah menembak seorang pembantu rumah dan disebabkan insiden itu, Swettenham sendiri terpaksa menghantar Cameron ke sebuah hospital di Singapura untuk penjagaan rapi dan akhirnya meninggal dunia di situ.

utusan online


Stesen di Gunung Tahan sebelum Cameron Highlands
17 Oktober 2015 


KAWASAN lembah pergunungan di Cameron Highlands yang mempunyai dataran tanah rata membolehkan pelbagai aktiviti terutama pertanian dijalankan.

TAHUKAH anda sebelum Cameron Highlands diterokai untuk dijadikan sebagai pusat peranginan dan istirehat pegawai-pegawai British, Gunung Tahan pernah dipertimbangkan untuk dijadikan stesen tanah tinggi British di Tanah Melayu.

Cadangan itu sebenarnya telah lama dipertimbangkan oleh Wakil Negeri-Negeri Bersekutu Melayu beberapa tahun sebelum pihak British bersetuju untuk meluluskan pembangunan di Cameron Highlands kerana mahu stesen yang bakal dibina dapat menandingi stesen tanah tinggi yang terdapat di India dan Sri Lanka.

Menurut Robert C. M. Weebers, kajian topografi yang dijalankan oleh jabatan kaji selidik bagi Persekutuan Negeri-Negeri Melayu antara 1914 sehingga 1918 mendedahkan kawasan tanah rata yang terdapat di Gunung Tahan adalah pada ketinggian 1,645.9 meter (5,400 kaki).

Katanya, seorang penyelidik, W. H. E. Neil melalui kaji selidik pada 1949 melaporkan, idea menubuhkan stesen tanah tinggi itu bagaimanapun terpaksa dilupakan begitu sahaja atas tiga faktor iaitu jenis tanah yang tidak sesuai, kawasan yang sukar untuk dilalui dan keadaan kabus terlalu tebal sepanjang tahun.

Di dalam laporan itu, Neil menyebut bahawa Gunung Tahan nampak begitu meyakinkan untuk dijadikan stesen tanah tinggi sehingga Gabenor Sir Arthur Young membuat keputusan menjejakkan kaki di kawasan itu untuk memeriksa sendiri keadaannya.

Bagaimanapun, setelah sekumpulan pemerhati yang menghabiskan masa selama setahun di kawasan Gunung Tahan antara 1921 dan 1922 melaporkan bahawa kawasan itu tidak sesuai untuk dijadikan stesen tanah tinggi kerana tiga faktor tersebut.

“Pada ketika itulah, dalam usaha pencarian kawasan tanah tinggi itu, seseorang telah teringat kepada laporan yang pernah ditulis oleh Cameron pada 1884 berkaitan ekspedisinya di sekitar Kinta dan hulu Sungai Pahang,” kata Weebers.

Weebers yang berasal dari Netherlands sedang menjalankan kajian mengenai sejarah Cameron Highlands bagi melengkapkan pengajian ijazah kedoktoran falsafah di Universiti Malaya itu berkata, sebenarnya kawasan Cameron Highlands yang membangun pesat pada hari ini bukanlah kawasan asal yang ditemui oleh Cameron.

“Laluan yang digunakan beliau tidak membawa ke kawasan yang kini dikenali sebagai Cameron Highlands. George Maxwell melaporkan Cameron mungkin melalui di atas Lembah Telom dan bukan Lembah Bertam yang menempatkan Tanah Rata pada hari ini.

“Juru ukur British ketika itu, V. A. Lowinger dan C. J. Perkins juga berpendapat yang sama ketika itu. Perkara itu turut dibuktikan melalui kajian terhadap material dan bukti yang ditinggalkan oleh Cameron selepas itu,” katanya.

Beliau berkata, pada 1931, laporan Lembaga Pembangunan Cameron Highlands menetapkan pengezonan semula di bahagian utara tanah tinggi itu yang menempatkan bandar, lengkap dengan pejabat pos, balai polis dan pejabat pentadbiran kerajaan tempatan.

Itu adalah detik-detik terawal bagaimana Cameron Highlands dibangunkan oleh pihak British.





utusan online


Comments