tulip-tulip putih

tulip-tulip putih



aku meminjam tenteram
yang kauhimpunkan antara bukit-bukit 
dan padang-padang menghijau jauh
tulip-tulip putih yang bergoyang
menandakan bahawa angin itu tiba memberi khabar
dan mataharimu yang  pudar di celah kusam awan
adalah kejauhan dan penyisihan
cinta harus kurangkul kembali
kerana cinta adalah pemilikan
dan kita menjadi asing
oleh duga masa dan persekitaran
kita akan menjamah kasih sayang
lebih jujur dan berani
dan warna-warni hati
lebih indah dari hijau daun itu

hati akan bersapa
dengan bicara yang berbeza
dari segala tutur dan ungkap bibir
ia bukan kata-kata
tetapi kesungguhan dan keyakinan
membugar setia
segala warna yang pernah kautatap
akan berkitaran di perlembahan hati
ia bukan cabang-cabang bukit yang diam
tetapi alun awan yang berarak jauh
tak pernah ada persinggahan
tetapi ada kepercayaan dan keyakinan
bahawa cinta akan menemukan
cinta adalah apa yang kau selindungkan
di sebalik redup langit

 ini tanah rumi
tanah segar cinta dan harum kasih sayang
aku menjadi amat berharap bunga-bunga kecil itu
akan melontar sabda
membuka kelopak mesra dan  
kepercayaan baru
aku melihat matamu
\dan tuhan sedang memberi aku waktu
merebut mimpi yang terbiar
petang sedang turun
terasa bahawa waktu bagiku semakin mengecil
untuk merangkul cintamu yang begitu besar

tulip-tulip putih bergoyang
aku ingin kau ada
menyaksikan
semuanya kembali ke dalam cinta

konya, mei 2015




Comments