SM Noor : Tokoh Sastera

SM Noor Tokoh Sastera Terengganu
19 September 2015


SYED MOHAMMAD NOOR TUAN LONG (kiri) dan penerima anugerah Sasterawan Harapan Terengganu, Nazeri Hussein bersama plak yang diterima mereka dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman II di Kuala Terengganu, baru-baru ini. Utusan/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 18 Sept. – Penulis veteran, Syed Mohammad Noor Tuan Long (SM Noor), 68, yang masih gigih berkarya dinobatkan sebagai Tokoh Sastera (Sasterawan Terengganu) dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman (Hasdi) II di sini baru-baru ini.

Pemilihan bekas pesara kerajaan yang kini menerajui Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), menyusul selepas Syarif Putera yang merupakan penerima pertama apabila program dwitahunan itu diperkenalkan.

“Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga di atas apa yang Allah kurniakan, tidak sepadan dengan bakti yang sangat sedikit. Saya merasakan hadiah dan penghormatan ini cukup besar,” ujarnya yang berkarya dalam pelbagai genre.

SM Noor menerima wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan selain turut menerima hadiah sampingan bagi kategori kumpulan cerpen umum melalui Sulur Bayam dan naskah drama pentas Telemong yang diterbitkan dalam tempoh penilaian 2013-2014.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Gha-zali Taib dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Hasdi II ditunjangi oleh kerajaan negeri dengan kerjasama DBP sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan para sasterawan di negeri ini dalam menyuburkan dunia sastera di samping merangsangkan penghasilan karya yang matang dan bermutu.

Mereka yang mengangotai panel penilai HASDI II termasuklah Dr. Hashim Ismail, Dr. Norhayati Abdul Rahman, Dr Mohamad Salleh Rahamad, Hamzah Hamdani, Shamsuddin Othman, Zaen Kasturi, Ghazali Lateh, Zakaria Ariffin, Ismail Kassan dan SM Zakir.

Satu lagi lagi hadiah utama, Cekal Sastera (Sasterawan Harapan Terengganu) yang menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan dianugerahkan kepada Nazeri Hussein (Husna Nazeri), 49, yang mula menceburi bidang penulisan pada tahun 1990, dan sehingga kini telah menghasilkan beratus cerpen dan puisi.

Sepanjang penglibatannya, guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang, Kemaman ini menerima pelbagai anugerah dalam pelbagai sayembara berprestij di peringkat neegri dan kebangsaan termasuk hadiah utama dan penghargaan Hadiah Sastera Utusan ExxonMobil sebanyak 15 kali.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000 bersama sijil penghargaan di samping hadiah eceran bagi cerpen umum Pelita Jiwa Ayah.

Nawawee Mohamad pula mememangi hadiah karya sastera bahagian buku melalui kumpulan puisi kanak-kanak, Ayam Berkokok dan kumpulan puisi remaja Haruman Kata-Kata manakala Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy (Fahd Razy) bagi kumpulan puisi umum Kota Subuh di samping hadiah eceran melalui puisi Nota Renyuk Kepada Al Assad II dan cerpen umum Cinta Menyala di Constantinople.

utusan online

Comments