panas el nino

Serangan terburuk Budak Kecil



KEADAAN udara yang teruk berjerebu di Putrajaya baru-baru ini menyebabkan Wahida Jamaluddin, 37, tidak berani keluar rumah tanpa mengenakan topeng muka.

Dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri paras tidak sihat, wanita tersebut khuatir cuaca panas serta kering itu akan memudaratkan kesihatannya sementelah pencemaran udara itu boleh mengundang penyakit berkaitan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, batuk dan selesema.

Kemerosotan kualiti udara itu semakin membimbangkan selepas laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengesan lebih 600 lokasi titik panas di seluruh Sumatera seperti di Jambi, Riau dan Sumatera Selatan sehingga Jumaat lepas.

Situasi tersebut juga memberi petunjuk awal bahawa fenomena El Nino yang bermaksud Little Boy atau Budak Lelaki Kecil dalam bahasa Sepanyol itu dijangka menye­rang dunia termasuk Malaysia tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Organisasi Meteo­rologi Dunia (WMO) meramalkan El Nino kali ini mungkin menjadi fenome­na paling buruk yang pernah direkodkan sejak lebih separuh abad lalu.

Sebelum ini, El Nino paling teruk di dunia direkodkan pada tahun 1998 dengan 23,000 angka kematian selain kemusnahan yang mencecah AS$45 bilion (RM190.6 bilion).

Tiga taufan

Pakar kaji cuaca meramalkan suhu permukaan air laut di bahagian timur serta tengah Lautan Pasifik dijangka meningkat sehingga 2.2 darjah Celcius lebih panas daripada suhu normal.

“Angka ini hanya terjadi tiga kali sejak 65 tahun dahulu. Apa yang terjadi saat ini, El Nino yang kita rasakan sekarang dan seterusnya akan menjadi yang paling buruk dalam sejarah sejak tahun 1950,” kata Pengarah Ramalan Penyesuaian Iklim WMO, Maxx Dilley.


EL NINO mendatangkan kemarau yang menjejaskan tanaman seperti padi.

Lebih memburukkan keadaan, pusat ramalan kaji cuaca Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mendapati terdapat kemungkinan lebih 90 peratus feno­mena itu akan berlarutan sehingga tahun depan. NOAA turut menyebut bahawa kekuatan El Nino dijangka akan mencapai kemuncaknya sekitar Oktober ini hingga Januari tahun hadapan.

“Ia dijangka lebih teruk daripada rekod El Nino pada 1997 yang menyebabkan bencana di beberapa buah negara seperti banjir besar di barat AS, kemarau buruk di Indonesia, wabak virus maut di Afrika, banjir lumpur di California dan kebakaran hutan di Australia,” katanya.

Selain itu, El Nino kali ini juga dilihat mencetuskan satu fenomena baharu yang disifatkan oleh para saintis sebagai sesuatu yang luar biasa.

Buat pertama kali dalam sejarah moden, tiga taufan kategori empat iaitu dengan kelajuan angin sekitar 209 hingga 251 kilometer sejam dikesan berlaku secara serentak di Kepulauan Hawaii di Lautan Pasifik.

Sebagai rekod, taufan kategori empat merupakan taufan kedua terkuat dan boleh mengakibatkan kerosakan teruk dengan meranapkan kediaman selain menyebabkan sebahagian besar pokok dan tiang elektrik patah atau tercabut akibat tiupan angin kencang.

Seorang saintis penyelidik di projek meteorologi tropika di Colorado State University, Phil Klotzbach berkata, fenomena tersebut merupakan kejadian alam yang sangat jarang berlaku.

“Ia benar-benar menakjubkan. Lebih menarik, dua daripada taufan berkenaan terjadi di Pasifik Tengah, sebuah kawasan berisiko paling rendah terkena taufan,” katanya.

Taufan yang berlaku di bahagian tengah serta timur lautan terbesar di dunia itu termasuklah Taufan Ignacio, Jimena dan Kilo.

Perubahan iklim

Klotzbach memberitahu, punca di sebalik peningkatan aktiviti itu adalah daripada pergerakan air laut yang panas ke tengah dan timur Lautan Pasifik, menjadikan pembentukan taufan lebih mudah berlaku.


DI bahagian lain di dunia, sesetengah negara di Amerika Selatan termasuk Peru mengalami hujan lebat dan banjir besar.

“El Nino kuat mempengaruhi musim siklon di seluruh dunia. Lebih panas suhu laut di Timur Pasifik, lebih banyak taufan akan berlaku,” jelasnya.

Secara mudahnya, El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan air laut yang biasanya berlaku dalam tempoh enam hingga 8 bulan setiap dua hingga tujuh tahun di timur Lautan Pasifik. Namun feno­mena itu menyebabkan rantaian perubahan iklim di seluruh dunia.

Kawasan timur Lautan Pasifik yang merangkumi negara-negara Amerika Selatan seperti Peru, Colombia, Ecua­dor dan Chile akan menerima angin kencang yang mengakibatkan hujan lebat, ribut petir serta banjir besar.

Pada masa sama, fenomena itu menyebabkan berlakunya cuaca panas serta kemarau selain kadar hujan yang sedikit di Australia serta negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Berdasarkan rekod, kejadian alam itu telah melanda negara sebanyak 12 kali sejak 1950-an dan kejadian yang paling teruk ialah pada tahun 1998 dengan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April tahun berkenaan.

Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenya­taan berkata, purata kebanyakan model-model iklim antarabangsa kini menjangkakan kemungkinan El Nino yang sederhana meningkat menjadi kuat menjelang September dan ia boleh berterusan sehingga awal tahun depan.

“Ukuran El Nino pada tahap yang kuat kadangkala boleh meningkatkan suhu antara 0.5 hingga 2 darjah Celcius di seluruh negara selain menyebabkan pengurangan jumlah hujan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Penduduk di kedua-dua negeri itu juga akan menjadi yang pertama merasai impak fenomena tersebut memandangkan kedudukannya yang terletak berdekatan Lautan Pasifik,” katanya.

kosmo



El Nino: 'Cuaca panas sehebat 1997, dijangka berlarutan hingga Mac 2016'
Astro Awani
 2 Julai 2015



Jumlah taburan hujan juga direkodkan kurang pada tahun ini dan El Nino kali ini juga diramalkan kuat seperti tahun 1997. - Foto Fail


KUALA LUMPUR: Fenomena alam El Nino iaitu keadaan cuaca panas melampau kini berada di tahap membimbangkan dan negara turut tidak terlepas mengalami bahang suhu cuaca panas melampau ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata daripada segi ramalan yang telah dilakukan, lebih 80 peratus kebarangkalian menunjukkan bahawa El Nino akan bertahan sehingga 2016.

Jumlah taburan hujan juga direkodkan kurang pada tahun ini dan El Nino kali ini juga diramal sama dahsyat seperti pada tahun 1997.

Dr Azizan yang hadir dalam Agenda Awani pada Rabu menambah bahawa negara perlu bersedia dan merancang dengan menyediakan persiapan secukupnya sebelum terjejas akibat fenomena El Nino.

Berdasarkan pengalaman pada 1997, negara perlu mempunyai perancangan dengan melihat kesan serta tindakan akibat impak buruk daripada El Nino ini.

"Malaysia perlu melihat bukan sahaja daripada segi bekalan air, khasnya di Kuala Lumpur. Kita juga perlu melihat outbreak yang berkaitan dengan organisme lain. Bukan kepada manusia sahaja tetapi juga ekosistem lain.

"El Nino memberi kesan yang banyak. Untuk Kuala Lumpur, kita perlu melihat secara serius akan bekalan air ekoran kekurangan hujan yang mungkin timbul," kata Dr Azizan.


Kesan daripada fenomena El Nino banyak memberi impak apabila rantaian bekalan makanan dan ekonomi terjejas apabila cuaca panas yang berpanjangan.

"Kalau kering terlalu lama, negeri Kedah dan sebagainya tidak dapat menghasilkan padi dua tahun sekali. Kalau Thailand juga kering, kenaikan harga padi akan berlaku.

"Benda ini berkait, kalau dulu kita sudah ada jawatankuasa El Nino, maka ia perlu digerakkan semula," katanya lagi.
Tambahnya, negara masih kurang bersedia dan perlu meningkatkan kepakaran serta melabur dalam kajian perubahan iklim bagi menyediakan kapasiti serta rangka operasi menghadapi cuaca panas ini.

Cuaca panas yang sedang dialami ketika ini dijangka akan berlarutan sehingga Mac 2016.

astro awani

Ancaman El Nino
OLEH AMIZUL TUNIZAR
AHMAD TERMIZI
29 Jun 2014


SEKIRANYA tidak bersedia, el nino kali ini mungkin boleh menyebabkan seluruh negara mengalami krisis bekalan air.

FENOMENA El Nino dijangka melanda dunia termasuk Malaysia pada penghujung bulan ini. Ditambah faktor pemanasan global, serangan El Nino kali ini bakal menjadikan 2014 atau 2015 sebagai tahun paling panas dalam rekod.

Walaupun El Nino belum lagi melanda, tanda-tanda awal sudah kelihatan dengan suhu panas, taburan hujan yang kurang dan keadaan udara berjerebu, memberikan petunjuk kepada kita bahawa musim kering sudah bermula.

Mengikut rekod, El Nino telah melanda negara sebanyak 12 kali sejak 1951-1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997-1998 dengan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998.

Pada tahun itu, sebahagian besar kawasan di negara ini mengalami cuaca kering dan panas serta berjerebu. Isu paling mendapat liputan pada masa itu ialah krisis bekalan air di Lembah Klang. Di peringkat global pula, El Nino pada tahun tersebut menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM112.6 bilion dan angka korban melebihi 23,000 orang.

Pancawarna minggu ini melihat kepada kesan-kesan yang dibawa oleh El Nino terhadap kehidupan masyarakat di negara ini. Ini kerana El Nino mempunyai kesan rantaian kepada manusia terutamanya dari segi kesihatan, bekalan air dan aktiviti manusia.

Apakah El Nino?

El Nino berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud 'anak lelaki’. Istilah tersebut pertama kali digunakan oleh nelayan di Peru sekitar 1800-an bagi merujuk kepada Jesus Christ kerana fenomena itu dikesan berlaku sekitar sambutan Krismas pada Disember.

Fenomena itu dikesan jauh lebih awal daripada La Nino kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap nelayan di negara Amerika Selatan itu. Nelayan Peru mendapati sekitar Disember dan Januari, hampir tidak ada langsung ikan di lautan.

Secara mudahnya, El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan air laut yang biasanya berlaku dalam tempoh enam hingga 18 bulan setiap dua hingga tujuh tahun di timur Lautan Pasifik berhampiran Peru. Namun, fenomena itu menyebabkan rantaian perubahan iklim di seluruh dunia.

Kejadian semula jadi itu berlaku apabila angin yang biasa bertiup dari kawasan Lautan Pasifik di benua Amerika Selatan menuju ke kawasan Australia dan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina. Keadaan itu menyebabkan berlaku cuaca panas dan kemarau serta kadar hujan yang sedikit di negara-negara berkenaan.

Pada masa sama, kawasan timur Lautan Pasifik yang merangkumi negara-negara Amerika Selatan seperti Peru, Chile, Argentina, Bolivia, Colombia, Ecuador dan Brazil akan menerima angin kencang yang mengakibatkan hujan lebat, ribut petir serta banjir besar.

Sehingga kini, punca sebenar kejadian El Nino ini masih belum diketahui walaupun banyak kajian telah dibuat oleh pakar.

Kesan El Nino

* Kesihatan

Perubahan suhu dan cuaca boleh mempengaruhi populasi dan kelakuan vektor nyamuk, sekali gus meningkatkan potensi jangkitan. Ini kerana keadaan cuaca yang lebih panas akan menyebabkan vektor nyamuk untuk hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, kesan pemanasan global turut meningkatkan kewujudan nyamuk di kawasan baharu, sekali gus menambah potensi epidemik sebanyak 31 hingga 47 peratus untuk denggi dan antara 12 hingga 27 peratus untuk malaria.

"Walaupun kajian mengaitkan faktor cuaca dengan denggi terbatas di Malaysia, tetapi secara umumnya perubahan pantas dalam suhu sekeliling dan kelembapan boleh mempengaruhi vektor nyamuk.

"Beberapa kajian menunjukkan hubungan positif antara hujan yang turun dan denggi, masa hujan turun juga penting, sama dengan jumlah hujan yang turun," katanya.

Selain demam, penyakit lain seperti wabak taun, untut dan malaria boleh merebak disebabkan peningkatan suhu. Penyakit-penyakit ini sering menular ketika musim panas.

Di samping itu, jerebu yang menyebabkan pencemaran udara boleh mengundang penyakit berkaitan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selsema. Semasa jerebu teruk melanda rantau ini pada 1997-1998, dilaporkan hampir 20 juta orang mengalami pernafasan teruk.

* Pencemaran udara

Semasa kejadian El Nino pada 1997-1998, cuaca panas dan kering yang melampau telah menyebabkan kebakaran hutan hampir 10 juta hektar di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Puluhan ribu rakyat negara itu terpaksa menerima rawatan dan beratus-ratus kematian dilaporkan di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada kemerosotan kualiti udara.

Kebakaran hutan di Indonesia turut mengundang pencemaran udara di negara-negara berjiran terutamanya Malaysia, Singapura dan Thailand. Dalam keadaan musim kering dengan taburan hujan yang sedikit atau tidak ada langsung, pencemaran tersebut akan menjadi lebih meruncing sehingga menyumbang kepada masalah jerebu.

Jerebu yang berlaku pada 1997-1998 di negara ini dianggap yang terburuk dalam sejarah sehingga hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap. Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di sesetengah kawasan turut mencapai paras sangat berbahaya pada masa itu sehingga Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa mengisytiharkan darurat. Dalam tempoh Ogos hingga Oktober 1997 sahaja, jerebu menyebabkan kerugian sebanyak RM802 juta kepada Malaysia.

* Krisis bekalan air

Musim kering akan menyebabkan penyusutan di kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam disebabkan kadar sejatan yang tinggi dan tidak ada hujan. Pengalaman semasa El Nino melanda pada 1997-1998 sudah cukup memeritkan terutamanya bagi penduduk di Lembah Klang apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berhadapan dengan catuan air selama enam bulan.

Pada tahun ini, penduduk di Lembah Klang termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terpaksa berhadapan catuan air berjadual secara berperingkat-peringkat kira-kira dua bulan bermula Mac hingga 30 April lalu akibat kemorosotan paras air di empangan-empangan utama. Beberapa kawasan lain di Negeri Sembilan dan Johor turut mengalami masalah serupa akibat musim panas.

Baru-baru ini pun, susulan cuaca panas yang sedang dialami, permintaan bekalan air di Lembah Klang telah meningkat sehingga menyebabkan beberapa kolam mengalami penurunan paras air yang ketara. Keadaan itu mengakibatkan gangguan bekalan air di sekitar Hulu Langat dan Kuala Lumpur pada 17 dan 19 Jun lalu. Pada masa sama, rizab margin air terawat yang mampu dihasilkan oleh loji-loji rawatan air di Lembah Klang adalah kurang daripada dua peratus.

Bayangkan sekiranya El Nino yang kuat melanda sekarang dengan keadaan paras air di empangan dan loji rawatan yang rendah, negara berkemungkinan mengalami krisis air yang lebih teruk berbanding 1997-1998.

Pada 1998, sebanyak 4.2 juta pengguna di Lembah Klang terpaksa berkongsi 2,553 juta liter sehari tetapi kali ini, sebanyak 7.1 juta pengguna berkongsi 4,367 juta liter sehari.

Bagi menghadapi El Nino, semua rakyat perlu bekerjasama dengan menjimatkan penggunaan air dan tidak menggunakan air untuk aktiviti yang tidak perlu. Mereka juga perlu bersedia dengan membuat tadahan air bermula dari sekarang.

* Aktiviti Luar dan ekonomi

Apabila El Nino melanda, kegiatan harian manusia terjejas teruk dan secara tidak langsung memberikan kesan kepada ekonomi. Ketika kejadian El Nino pada 1997-1998, negara-negara di Asia Tenggara dilaporkan mengalami kerugian melebihi RM34 bilion.

Misalnya, jerebu serius yang berpunca daripada El Nino menyebabkan kualiti udara tidak sihat dan jarak penglihatan terhad. Kesannya, aktiviti luar perlu dikurangkan, sekolah ditutup, kedatangan pelancong terjejas serta sektor pengangkutan termasuk penerbangan tergendala. Secara tidak langsung, perniagaan turut menerima impak.

Dari segi pertanian pula, keadaan kemarau akan menjejaskan pengeluaran padi, buah-buahan serta sayur-sayuran yang amat bergantung pada air. Malah, industri kelapa sawit di rantau ini yang merupakan pengeluar terbesar di dunia boleh terjejas sehingga 15 peratus sekiranya El Nino berpanjangan. Industri berkaitan seperti bahan api bio, makanan, kosmetik sabun yang menggunakan minyak kelapa sawit dalam proses pengeluaran turut akan menerima tempias.

El Nino juga boleh menjejaskan ekosistem marin dengan memusnahkan plankton yang merupakan makanan utama kepada hidupan laut. Ini sudah tentu akan menjejaskan industri perikanan dan sumber protein utama kita. Apabila hasil berkurangan, sudah tentu harga ikan di pasaran juga meningkat.

Selain itu, industri yang memerlukan air sebagai bahan dalam proses pengeluaran produk seperti makanan dan minuman juga bakal menerima kesan besar sekiranya berlaku catuan bekalan air kerana kemarau berpanjangan.

Begitu juga dengan projek pembangunan akan menerima kesan sekiranya berlaku krisis air. Ini kerana industri pembinaan amat bergantung pada bekalan air yang stabil. Mengikut laporan, sebanyak 785 projek yang dikemukakan kepada kerajaan gagal diluluskan berikutan krisis bekalan air yang berlaku di sekitar Lembah Klang sehingga Mac lalu.

"Sekiranya masalah bekalan air tidak diatasi, ia akan menjejaskan industri kerana orang luar tidak berani datang melabur kerana salah satu keperluan asas tidak mencukupi," kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

utusan online

Comments