mengenang sabra-shatila

Sabra-Shatila terus merintih….
September 11, 2011
Dr Zainur Rashid Zainuddin


(Memperingati 32 tahun tragedi hitam Sabra-Shatila 16-18hb Sept 1982)



Apakah Sabra dan Shatila?


Sabra dan Shatila adalah 2 daripada kem pelarian Palestin di Beirut, Lubnan yang telah didirikan selepas berlakunya peristiwa Nakbah Palestin pada 1948. Kira-kira 3,000 orang pelarian terkorban dalam tempoh 48 jam semasa tragedi hitam tersebut yang berlaku pada 16-18hb September 1982 yang didalangi oleh Zionis dan Phalangist Lubnan.

Bagaimanakah latar belakang Sabra-Shatila?


Pada tanggal 11 September 1982, Menteri Pertahanan Israel Ariel Sharon, arkitek kepada penjajahan Israel ke atas Lubnan telah mengumumkan bahawa terdapat lebih daripada 2,000 orang pengganas masih berada di kem-kem pelarian Palestin di sekitar Beirut, Ibu Negara Lubnan.


Bagaikan agenda drama yang kemas dirancang, Presiden Lubnan Bashir Gemayel, telah dibunuh apabila ibu pejabatnya telah diletupkan dengan bom oleh sekumpulan bersenjata pada 14hb September. Beliau merupakan Ketua Parti Phalangist Lubnan yang merupakan sekutu kuat rejim Zionis Israel. 4 hari kemudiannya, Rabu 15hb September 1982, tentera Israel telah menguasai Beirut Barat dengan mengelilingi serta mengunci mati laluan ke kem Sabra dan Shatila yang padat diduduki oleh pelarian Palestin dan orang awam Lubnan.

Pada sebelah petangnya, kem-kem pelarian ini telah dikepung sepenuhnya oleh kereta kebal dan tenteraIsraelyang menjaga setiap laluan keluar masuk kem-kem ini untuk rangka memantau setiap orang yang keluar atau masuk ke kem. Laluan ini telah ditutup sepenuhnya pada lewat petang.

Keesokannya Khamis 16hb September, Ariel Sharon dan Ketua Turus Tentera Israel telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Unit Militia Phalangist Lubnan, mengundang mereka masuk ke kem pelarian Sabra dan kem Shatila untuk membersihkan ‘sarang pengganas’. Mesyuarat tersebut telah berakhir pada jam 3 petang.

Bagaimanakah tragedi ini dilakukan?

Menjelang lewat petang 16hb September 1982, lebih kurang 150 orang unit pertama Militia Phalangist Lubnan yang merupakan sekutu rapat rejim Zionis Israel telah masuk ke kem pelarian tersebut dengan bersenjatakan senapang, pisau dan kapak. Mereka terus membunuh orang-orang awam terutamanya di kalangan pelarian ini dengan mengelar leher mereka, membunuh dengan kapak serta menembak dengan senapang mereka. Ramai dari kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan pelarian yang tidak berdosa ini telah dirogol bergilir-gilir terlebih dahulu. Pada malam yang sama, pasukan tenteraIsraelmenerangkan kawasan kem dengan cahaya api yang membakar menyebabkan kawasan tersebut terang benderang seumpama stadium bola sepak, menurut saksi yang terselamat dari insiden tersebut.


Dalam masa beberapa jam pertama itu sahaja mereka telah merogol, membunuh dan mencederakan ramai orang-orang awam yang kebanyakannya adalah pelarian Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua yang telah dikepung di dalam kem-kem tersebut.

Pada jam 11.00 malam, satu laporan telah sampai ke ibu pejabat tentera Israel di Beirut Timur yang mengatakan sekurang-kurangnya 300 orang telah dibunuh dalam tempoh 5 jam pertama. Di antara 36 hingga 48 jam kemudiannya, Militia Phalangist telah membunuh kebanyakan penduduk yang menghuni kem pelarian tersebut sementara tentera Israel mengawal laluan keluar kem dan terus memberikan sokongan yang maksimum terhadap pembunuhan ini.

Jumaat 17 September, laluan ke kem Sabra dan kem Shatila masih ditutup namun ada beberapa pemerhati bebas berjaya melepasi sekatan ketat tenteraIsrael. Di kalangan mereka adalah seorang wartawan dan seorang pegawai diplomat dari Norway, Gunnar Flakstad yang menyaksikan operasi pembersihan yang dijalankan oleh Militia Phalangist yang sedang membuang mayat-mayat dari rumah yang musnah dihancurkan.

Militia Phalangist tidak keluar dari kem pada jam 5 pagi Sabtu 18hb September sebagaimana yang diarahkan. Mereka terus melakukan pembunuhan sehinggalah mereka meninggalkan kem Sabra dan kem Shatila pada jam 8.00 pagi 18hb September 1982.Parawartawan asing hanya dibenarkan masuk ke dalam kem pada hari Sabtu, jam 9.00 pagi 18hb September yang menyaksikan ratusan mayat masih bergelimpangan di sekitar kawasan kem dan banyak di kalangan mayat ini yang telah dikelar-kelar anggota badannya.

Apakah di antara testimoni pelarian Palestin yang sempat menyelamatkan diri ?

 ”Tentera-tentera tersebut pergi dari satu rumah ke satu rumah dan memberikan amaran akan meletupkan rumah sekiranya mereka tidak keluar dari persembunyian.”
”Ada saksi yang terselamat mendengar bahawa tentera Phalangist memberitahu satu sama lain supaya menggunakan kapak sahaja kerana bunyi senapang akan menyebabkan orang ramai sedar dan akan melarikan diri.”
“Mereka membunuh abang ipar saya di depan mata kepala saya sendiri, saya melihat mereka menembak kepada orang ramai. Mereka membunuh kesemuannya dan saya terus melarikan diri”

Tidak diketahui jumlah yang terbunuh secara tepat kerana sumber rasmi dari Israel mengumumkan bahawa ‘hanya’ 700 orang awam terbunuh. Sumber rasmi dari Lubnan pula menjangkakan kira-kira 1900 orang awam terbunuh. Manakala sumber berita Palestin pula mengatakan bahawa di antara 3000-3500 orang pelarian Palestin telah dibunuh, 1000-1500 telah hilang dan kira-kira 1000 orang yang lain telah melarikan diri.

Siapakan arkitek tragedi Sabra dan Shatila ini?


Tidak lain dan tidak bukan adalah Ariel Sharon yang merupakan bekas Perdana Menteri Israel. Beliaulah pemimpin pengganas yahudi yang pernah berkata,

”Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang palestin dari Gaza dan Tebing barat ke Jordan.”

» (New York Times, 17hb Mei 1982)

“Orang Arab yang baik adalah orang Arab yang telah mati”

» (Ha’aretz, 25hb Februari 1983).

“ Saya merasa sedikit kesal terhadap tragedi tersebut tetapi kenapa perlu saya memohon maaf atau merasa bertanggungjawab terhadapnya”

» (“The Accused” BBC- Panorama, 17/6/2001 ).

Bagaimana Sabra-Shatila hari ini?

Kini hampir tiga dekad telah berlalunya tragedi hitam Sabra dan Shatila (16-18hb September 1982) .


Kem Shatila yang keluasannya cuma sekangkang kera ini yang padat merupakan satu daripada 12 kem pelarian Palestin yang masih kekal di Lubnan. Ianya dihuni oleh lebih 12 ribu orang pelarian Palestin sejak tahun 1949 lagi. Kem ini merupakan penempatan pelarian yang paling sempit dan daif jika dibandingkan dengan keseluruhan 12 kem-kem pelarian Palestin di Lubnan. Jumlah pelarian Palestin di Lubnan semakin meningkat dan kini telah melebihi 500 ribu orang pelarian.


Rata-rata mereka hidup dengan penuh kepayahan dan keperitan. Bekalan air dan elektrik adalah dalam keadaan yang sangat minimum di penempatan yang sempit lagi dhaif ini. 80 peratus dari kalangan mereka adalah miskin dan saban hari terpaksa mengikat perut kelaparan. Hanya 14 peratus di kalangan anak-anak pelarian ini berjaya menamatkan persekolahan menengah mereka dan majoriti yang dewasa pula adalah penganggur kerana mereka dinafikan daripada memiliki hak-hak asasi mereka untuk bekerja di dalam 72 bidang pekerjaan di Lubnan. Betapa mereka telah terus dizalimi untuk sekian lamanya.

 Perjuangan dan ikon jihad adalah tajuk penting yang semakin dibicarakan masyarakat.

Adakah kebangkitan terkini di Timur Tengah bakal memberikan sinaran mentari baru buatmu wahai Sabra dan Shatila?


Penulis bersama anak-anak pelarian di Kem Shatila






Memperingati tragedi Sabra & Shatila
Oleh Azril Mohd. Amin
17 September 2014


MAYAT mangsa tragedi pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila bergelimpangan. Kekejaman itu tercetus pada 16 September 1982 dan berlarutan selama tiga hari.

SEMALAM, 16 September 2014 merupakan ulang tahun ke-32 peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila di Beirut, Lebanon. Sekurang-kurangnya 3,000 orang awam, kebanyakannya pelarian wanita, warga tua dan kanak-kanak Palestin, terkorban dalam tragedi pembunuhan yang berlangsung selama tiga hari, angkara anggota militia sayap kanan Parti Phalangist Lebanon yang bersekutu dengan Israel.

Askar Israel mengepung kem-kem itu dan para penghuninya dibedil dengan dahsyatnya. Kemudian, puak Phalangist dibenarkan masuk dan tentera Israel menerangi langit malam dengan suar-suar untuk membolehkan pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan. Terdapat laporan saksi bahawa beberapa askar Israel turut mengambil bahagian dalam pembunuhan tersebut.

Sebuah suruhanjaya penyiasat Israel menyimpulkan sejurus selepas itu bahawa kerajaan Israel 'bertanggungjawab secara tidak langsung' terhadap pembunuhan tersebut dan bahawa Ariel Sharon, selaku Menteri Pertahanan dan pencatur operasi pencerobohan 1982 itu, 'memikul tanggungjawab peribadi' kerana gagal mencegahnya.

Menjadi persoalan lain pula apabila tindakan tidak diambil terhadap Sharon, yang seterusnya menjadi Perdana Menteri dan berperanan penting dalam usaha melemahkan perjanjian damai Oslo dan meneruskan pendudukan Israel di tanah Palestin. Seperti yang dinyatakan oleh Noam Chomsky, siasatan rasmi Israel itu 'tidak ditujukan kepada orang yang memihak kepada kebenaran dan ketelusan'.

Sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa yang diketuai oleh negarawan Ireland, Sean MacBride, pada 1982 menyimpulkan bahawa Israel 'bertanggungjawab secara langsung' kerana kem-kem tersebut berada di bawah jagaannya selaku 'kuasa takluk'. Meskipun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan di Shatila itu sebagai 'jenayah pembunuhan' dan mengisytiharkannya sebagai perbuatan menghapuskan sesuatu kaum, namun Israel tetap bebas daripada sebarang tuduhan.

Kira-kira dua tahun lepas, muncul bukti baharu yang menunjukkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat pada hakikatnya memang menyedari aktiviti tentera Israel dan sekutu-sekutu tempatan mereka pada hari-hari tersebut tatkala pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan.

Akhbar The New York Times, menyiarkan sebuah laporan panjang lebar bertajuk 'A Preventable Massacre' yang disiarkan pada 17 September 2012. Ia menyatakan bahawa Israel telah 'menipu' Washington untuk mempercayai bahawa beribu-ribu 'pengganas' berkubu di dua kem tersebut dan tindakan ketenteraan diambil untuk menghapuskan mereka.


hanya ini yang tinggal daripada struktur rumah keluarga Palestin di pekan Khan Younis di selatan Genting Gaza, selepas musnah dibedil tentera Israel dalam perang yang mengorbankan hampir 2,000 rakyat Palestin. - AGENSI

Seth Anziska, penuntut kedoktoran di Universiti Colombia yang menulis rencana berkenaan, memetik dokumen-dokumen rasmi untuk menunjukkan bahawa pihak berkuasa Israel sengaja memperdayakan rakyat Amerika untuk mempercayai dakwaan palsu bahawa beribu-ribu pejuang Palestin, yang digelar 'pengganas' oleh Israel, berkubu di penempatan pelarian Sabra dan Shatila yang serba daif itu.

Anziska menyandarkan kajiannya pada dokumen-dokumen Israel yang didedahkan baru-baru ini dan diperolehinya dari arkib kerajaan. Rencana tersebut menyebut; "Yang paling merunsingkan, apabila Amerika Syarikat berada dalam kedudukan yang mampu memberikan tekanan diplomatik kuat terhadap Israel untuk menghentikan keganasan tersebut, namun gagal berbuat demikian."

Pembunuhan berlaku setelah para pejuang Palestin meninggalkan Beirut Barat berikutan jaminan pihak Amerika bahawa orang awam akan diberi perlindungan. Amerika Syarikat telah menggerakkan askar marinnya sejurus selepas pemergian angkatan pejuang Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dari Lebanon. Beirut Barat berada di bawah kawalan angkatan PLO selama bertahun-tahun. Tetapi dalam tempoh 10 hari selepas mereka pergi, askar marin Amerika Syarikat pula, yang sepatutnya membantu mengekalkan keamanan, telah meninggalkan Beirut. Maka medan terbuka luas bagi tentera Israel dan sekutunya daripada golongan sayap kanan Kristian.

Pada 15 September, Perdana Menteri Israel pada ketika itu, Menachem Begin, telah memberitahu wakil khas Amerika Syarikat di negaranya, Morris Draper, bahawa askar-askar Israel sedang memasuki Beirut Barat untuk mencegah berlakunya 'pogrom', iaitu tindakan penghapusan etnik. Sehari sebelumnya, Presiden Lebanon yang memihak Israel, Basher Gemayel, yang baru sahaja memegang jawatan, telah dibunuh.

Menjelang 16 September, iaitu hari pertama pembunuhan beramai-ramai itu, tentera Israel telahpun menguasai Beirut Barat sepenuhnya, termasuk kem pelarian di Sabra dan Shatila. Pada peringkat ini, pihak Washington semestinya sudah nampak muslihat Israel.

Lawrence Eagleburger, Setiausaha Rendah Negara Amerika Syarikat, memberitahu duta Israel, Moshe Arens, bahawa; "Kami dipandang oleh sesetengah pihak sebagai mangsa penipuan yang disengajakan oleh Israel."

Eagleburger telah mendesak agar askar-askar Israel segera berundur dari Beirut Barat. Tetapi Israel enggan berganjak. Sharon, selaku Menteri Pertahanan, memberitahu Draper bahawa terdapat seramai '2,000 hingga 3,000 pengganas yang masih berada' di Sabra dan Shatila.

Rencana akhbar The New York Times itu menggambarkan Draper sebagai 'terkejut' apabila diberitahu bahawa Sharon sedang merancang untuk menghantar anggota militia Phalange yang zalim itu ke kawasan berkenaan. Ketua Turus tentera Israel, Rafael Eitan, memberitahu rakyat Amerika mengenai kebimbangannya bahawa 'suatu pembunuhan yang tidak terbatas' akan berlaku sebaik sahaja puak Phalangist dibenarkan memasuki Beirut Barat.

Desakan Draper mengenai pengunduran Israel terus dibantah oleh Sharon, yang pada ketika itu amat sedar bahawa pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan di Shatila telah pun bermula. Sharon telah meyakinkan Draper bahawa perkara yang melampaui batas tidak akan berlaku, sebaliknya memanipulasi berita bahawa pembunuhan 'pengganas' akan 'menguntungkan' mereka.

Sejarah memaparkan pihak Amerika telah membiarkan Sharon membuat kata putus. Puak Phalangist dan tentera Israel dibenarkan meneruskan pembunuhan di Sabra dan di Shatila tanpa dihalang selama tiga hari tiga malam.

Presiden Ronald Reagan menunggu sehingga 18 September untuk mengeluarkan kenyataan yang melahirkan 'rasa jijik dan marah mengenai pembunuhan' tersebut. Beliau berkata, Amerika Syarikat menentang pendudukan Israel di Beirut Barat kerana 'percaya bahawa ia salah dari segi prinsip dan bimbang bahawa perbuatan itu akan mencetuskan pertempuran selanjutnya'. Setiausaha Kerajaan, George P. Schultz, menegaskan Amerika Syarikat menanggung 'sebahagian tanggungjawab' terhadap pembunuhan tersebut kerana mempercayai kata-kata Israel dan Lebanon.

Sejak itu, pentadbiran Amerika Syarikat semakin diperbodohkan dengan hal-hal yang berkaitan dengan komitmen dan janji pihak Israel.

Peristiwa Sabra dan Shatila adalah salah satu kemuncak kezaliman Israel yang tidak dilupakan masyarakat dunia. Semenjak itu, Israel terus melakukan banyak lagi kekejaman.

Dengan serangan terbaru terhadap Gaza, tahun ini sahaja menyaksikan lebih 1,500 orang terbunuh lantas mengulangi memori pedih Sabra dan Shatila.

Kini, pentadbiran Barack Obama ditekan pelobi Yahudi yang menguasainya lantas membuatkan ramai pemerhati dan penganalisis merasakan bahawa peristiwa terbaru ini menandakan Israel sekali lagi berjaya mengemudikan dasar luar Amerika ke arah manfaatnya.

Dengan berlatarbelakangkan hakikat tersebut, tidak hairanlah mengapa hanya sebilangan kecil sumber media Barat yang mengambil kisah untuk memperingati ulang tahun ke-32 pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila, sementara masyarakat dunia terus dilumpuhkan dengan penipuan Israel, yang dibiarkan bermaharajalela menguasai dunia dengan keganasannya.

PENULIS ialah peguam dan Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

utusan online

Comments