mengenang pejuang


Malam Inspirasi Perjuangan, kenang tokoh pejuang Melayu
September 14, 2015

Oleh Daniel Azar


SHAH ALAM, Isnin – Dalam usaha menyemarakkan semangat cinta negara dan pejuangan bangsa, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menganjurkan makan malam amal Malam Inspirasi Perjuangan atau ‘PEJUANG 2015’ di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Majlis ini diadakan bagi memperingati jasa tokoh-tokoh pejuang Melayu bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan serta mengangkat agenda perjuangan Melayu dan Islam selain membuka mata bangsa Melayu terhadap perjuangan silam dan kegemilangannya.

Ia mengenengahkan jasa bakti tokoh-tokoh silam yang telah melakar sumbangan untuk bangsa dan agama seperti Pendeta Zaaba, Dr Burhanuddin Al-Hilmy, Dato’ Onn Jaafar, Maarof Zakaria, Tan Sri Hajah Zainun Munshi Sulaiman (Ibu Zain) dan Tun Abdul Razak Hussein.

Majlis diserikan dengan ucaptama kalam negarawan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad.

Turut hadir bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid, dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Persahabatan Malaysia – Turki (MTF Foundation), Ustaz Qamarul Naim Mohd Faisal.

Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, majlis pada malam ini merupakan penghargaan khas kepada pejuang bangsa dan agama dalam memartabatkan cita-cita bangsa dan kemerdekaan tanah air.

“Bangsa Melayu telah melalui suatu sejarah perjuangan yang panjang dan penuh liku dalam membangunkan agama, bangsa dan tanah air.

“Semoga Allah merahmati mereka (pejuang) dan dengan contoh perjuangan yang telah mereka tunjukkan, diwarisi kita pada hari ini,” katanya.

Lebih 450 orang tetamu dan mereka juga dihiburkan dengan menampilkan artis terkenal tanah air, Datuk M Nasir, kumpulan nasyid perjuangan, Fetya dan bacaan puisi oleh penyair Ahmad Sarju.

ismaweb 

 

Comments