lelaki di hati

Kasih teragung seorang lelaki

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT



MENGENANG seorang ibu barangkali jauh lebih mudah daripada mengenang bakti dan jasa seorang ayah. Banyak puisi atau gurindam Melayu yang sering bercakap tentang wanita bergelar ibu, tetapi antara sedar atau tidak, balada seorang lelaki bergelar ayah mungkin kurang tercanai.

Berbanding wanita bergelar ibu, entah kenapa nama ayah jarang berlagu di bibir, meski pun sentiasa hidup di teratak jiwa.

Jarang juga ada puisi yang mengagungkan kecintaan anak terhadap ayah bahkan jarang benar ada lagu yang bergema meratapi kasih ayah. Kalau ada pun tidaklah sekerap dendangan buat ibu.

Kenapa agaknya? Bukankah ayah juga insan teragung dalam carta manusiawi?

Sebagai jawapan yang paling nurani, mungkin ketegasan ayah tidak mampu membatasi kelembutan sang ibu, atau syurga yang bergentayangan di kaki ibu melebihi ukuran kasih sayang insan.

Itulah hakikat atau mungkin juga, sifat lelaki itu secara natural menolak sesuatu yang bersifat sentimental. Tidak mengapa jika kasih padanya tidak dilaungkan asalkan di hati ia teguh bersemi.

Sesungguhnya walau tidak banyak dimadah gurindam, seorang bapa kekal sebagai ‘wira’ paling perkasa di hati seorang anak.

Bapa satu anugerah tidak ternilai buat seorang anak. Dia permulaan sebuah kehidupan, dialah juga penjaga yang menjadi kekuatan sebuah keluarga. Tanpanya, si anak berdiri tanpa pegangan, ibarat kapal yang kehilangan nakhoda.

Ayah, abah, papa ataupun abi, masing-masing punya pilihan untuk memilih antara frasa keramat itu sebagai gelaran. Di hati semua, selain ibu, bapalah insan utama, kemuncak murni kemuliaan insan.

Pengorbanan mereka tiada terhingga, bakti mereka tidak terhapus walaupun nun jauh di perbatasan bumi.

Kasihnya paling ikhlas – Jamal

‘ARWAH adalah kawan baik saya’, itu luahan pertama daripada lelaki seribu kisah, Jamal Abdillah, 50, apabila bicara tentang bapa dibangkit demi mengisi secuit kisah.


JAMAL (duduk tengah) menjadi kebanggaan keluarga.



Muhammad Ali Hussien, demikian nama yang diberi, nama yang kekal beraja di hati Jamal sehingga ke akhir hayat sebagai pemilik kasih sayang yang paling ikhlas.

“Arwahlah orang paling besar kasih sayangnya terhadap saya, paling suci, paling ikhlas berbanding semua wanita yang pernah menjadi kekasih saya,” tambah Jamal lagi.

Menjadi lelaki separuh abad, separuh juga hidupnya terisi dengan noda hitam, penyanyi tersohor itu mengakui, orang yang paling besar pengorbanan terhadap dirinya ialah Allahyarham Haji Ali Hussien, bapanya yang meninggal dunia lebih setahun lalu.

“Seperti saya yang selalu berdiam ketika dihambur dengan pelbagai kata, ayah juga begitu. Bayangkanlah dengan tugas dan statusnya sebagai penceramah agama yang mengajar orang lain tentang kebaikan sedangkan anaknya pula tidak sunyi dengan gejala negatif.
“Bayangkan bagaimana hancurnya perasaan dia, bagaimana dia berdepan dengan masyrakat. Tetapi kepada saya, arwah tidak pernah menunjukkan rasa kecewa.


JAMAL amat sedih dengan kematian bapanya.



JAMAL berjaya menunaikan hasrat arwah bapanya yang mahu dirinya menjejakkan kaki ke Mekah.

Sebaliknya, dia tidak pernah jemu menyokong dan menasihati. Daripada kenalan dan adik-beradik yang lain, saya dapat tahu, arwah tidak pernah putus meminta sesiapa sahaja untuk tolong menasihati, tolong tengok-tengokkan Jamal, itulah pesanan ayah setiap berjumpa sesiapa sahaja, ” kata Jamal mengingati perihal arwah bapanya ketika hayat.

Kata Jamal, daripada raut wajah dan tingkah laku, arwah bapanya tidak pernah menunjukkan kesusahan jiwa. Cuma badannya sahaja yang akan menunjukkan reaksi jika hidupnya dilanda tekanan.

“Kesihatannya akan terjejas dan dia akan jatuh sakit setiap kali keluar berita yang tidak menyenangkan tentang saya. Kalau saya okey, keadaan arwah juga okey. Dia akan selalu tersenyum dan wajahnya akan berseri-seri. Itu yang saya dapat tahu daripada kakak dan keluarga saya,” ujar Jamal lagi.

Manusia normal mana yang tidak pilu apabila ayahanda tercinta pergi untuk selamanya. Kata Jamal, dia juga begitu. Namun, dia cuba menjauhi rasa terkilan kerana seminggu sebelum menghembuskan nafas terakhir, mereka sempat bertentang mata dan arwah bapanya sempat berpesan.

“Katanya, jauhi maksiat, jangan buat dosa besar dan jangan tinggal solat. Itu pesanan terakhir yang saya pegang dan akan turuti hingga akhir hayat,” luah Jamal yang sangat mengagumi ketaatan ayahanda dalam mengerjakan ibadat ke hadrat Ilahi.

Hasrat besar ayahandanya yang mahu Jamal menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah juga sudah ditunaikan.

“Arwah selalu bercakap tentang Tanah Suci, dia mahu sangat saya ke sana ketika hayatnya masih ada. Secara kebetulan, saya mengikuti satu delegasi ke Universiti Al-Azhar, sempat juga saya mengerjakan umrah. Sengaja saya rahsiakan daripada pengetahuan arwah.

“Tiba di Mekah, saya telefon dia dan beritahu di mana saya berada. Tiba-tiba arwah jadi sebak dan tidak boleh bercakap, dia terharu sebab saya tunaikan keinginan beliau. Saya tak boleh lupa saat itu,” kongsi Jamal bernostalgia tentang sekelumit kisah bagi mengenang seorang lelaki bergelar bapa.


Belajar bisnes daripada arwah bapa


SEGALA kejayaan yang dikecapi pelakon dan penyanyi Diana Rafar atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar dalam kehidupannya kini semuanya bertitik tolak daripada tunjuk ajar arwah bapanya yang dipanggil abah.


KENANGAN arwah Abdul Rafar (kanan) pada majlis perkahwinan pertama Linda Rafar bersama Kefli.


Katanya, bapanya tidak pernah berhenti mencurahkan segala kasih sayang dan ilmu perniagaan kepadanya sehingga dia menghembuskan nafas terakhirnya.

“Abah selalu bawa kami adik-beradik ke pejabatnya sejak berumur tiga tahun lagi dan masa kecil pun kami sudah mempunyai kad nama masing-masing.

“Tujuan abah buat begitu untuk biasakan kami dengan perniagaan dan pada umur 13 tahun saya sudah memiliki telefon bimbit sendiri yang dibeli abah, katanya mudah untuk berurusan dengan orang. Lima tahun selepas itu saya sudah mula aktif dalam bidang seni,” tuturnya.

Tambah Diana, arwah bapanya tidak pernah mengenal erti putus asa dan penat ketika mengepalai syarikat produksi yang diberi nama Menara Tiga Production.

Mungkin kerana itu, kakak-kakaknya yang lain turut menubuhkan syarikat produksi mereka sendiri iaitu Video Bang Production dan Chempa Murni Production.

Namun, Diana sedikit terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat melihat kejayaan D'Lugano Spa syarikat miliknya yang terletak di Seksyen 13 Shah Alam.

“Dalam kedua-dua syarikat kakak-kakak saya, abah yang menjadi orang kuat sebalik penubuhannya termasuklah album saya bersama kakak, tetapi syarikat saya dia tidak sempat lihat.

“Saya menjadi Diana Rafar hari ini semuanya kerana didikan abah. Jatuh bangun dalam perniagaan dan kesungguhan abah bekerja membesarkan kami adik-beradik membuatkan saya menjadikan abah sebagai idola,” ujar anak bongsu daripada enam beradik ini.

Bicara isteri kepada pelakon Zamarul Hisham ini lagi, saat arwah bapanya sedang sakit tenat kerana sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, dia masih mengambil berat tentang kerjaya anak-anaknya.

“Abah walaupun sedang sakit dia memaksa kami untuk keluar bekerja daripada berada di rumah sahaja kerana dia memang seorang yang sangat rajin bekerja.

“Saya masih ingat dia ajar saya sebagai ketua syarikat kita harus datang ke pejabat lebih awal daripada kakitangan lain.

“Perkara pertama yang harus dibuat apabila tiba di pejabat, kita harus mencatat apa yang ingin dilakukan pada hari itu dalam sebuah kertas supaya misi perniagaan lebih jelas,” terangnya.

Selain itu, Diana sekeluarga juga selalu melancong ke luar negara bersama arwah bapanya, namun lokasi yang paling tidak dapat dilupakan ialah di Kota Mekah.

“Dalam banyak-banyak negara yang kami lawati saya paling terkilan kerana arwah abah tidak sempat mengerjakan umrah di Mekah bersama kami.

“Kami pergi umrah pada tahun 2002 dan ketika itu abah sedang sakit, hanya emak yang pergi bersama dan arwah meninggal dunia pada tahun 2005,” kata Diana.

Bercakap tentang perkahwinan yang berlangsung pada 16 Mei lalu meskipun berjalan dalam suasana meriah dan ceria masih terselit kesedihan yang tidak dapat dipendam wanita berusia 27 tahun ini.

“Saya sedih apabila terkenang semasa kakak-kakak saya berkahwin abah yang menjadi wali tetapi apabila tiba waktu perkahwinan saya abah sudah tiada dan tanggungjawab itu diambil oleh oleh abang saya Airul Azmi Rafar.

“Apa yang bertambah membuatkan saya sedih abah pun sempat kenal dengan Zamarul cuma tidak dapat saksikan kami disatukan,” kata Diana. – HARYATI KARIM

Sanggup berlapar demi anak-anak


SEGUNUNG emas hendak dicurahkan, namun ketentuan Ilahi tidak mampu mengubah rancangan manusia. Panggilan daripada-Nya terlebih dahulu disambut, dan sebagai anak, diri hanya mampu berdoa agar roh insan penuh jasa itu ditempatkan di kalangan hamba pilihan.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Syukri Shahabuddin jarang menemukan peminat ke lembaran pilu yang pernah melewati hidupnya. Ayahnya meninggal dunia saat diri sedang mengecap kejayaan.

“Masa arwah pergi, saya tengah popular dengan lagu Mahligai Syahdu. Sebab itulah saya tak berapa gemar lagu berkenaan,” ucap Hattan, terhenti sementara menyusun cerita hati.


Dalam nada suara yang mula bergetar, bisik Hattan: “Arwah idola saya. Dulu keluarga saya pernah susah. Arwah selalu berpesan, kalau mahu buat sesuatu, buatlah sampai sukses, sampai berjaya dan jangan sesekali bersikap tamak. Dia selalu menyokong apa sahaja kemahuan dan tak pernah marah saya.

“Dia juga tidak pernah meragui anak-anak, kakak saya pernah tiga kali ambil peperiksaan LCE, tapi ayah tetap sabar. Masa saya nak jadi penyanyi, dia tak pernah mempersoalkan malah sentiasa menyokong.”

Menurut Hattan juga, bapanya pernah bergelar usahawan berjaya namun nasib adakala tidak menyebelahi, pernah arwah bapanya jatuh terduduk dan terpaksa menoreh getah demi sesuap nasi untuk keluarga.

“Arwah pernah jadi tauke balak, tapi kami pernah jatuh miskin dan ayah sanggup jadi penoreh untuk pastikan kami cukup makan. Dia juga jenis yang tak pernah cakap pasal susah atau tiada duit depan anak-anak.

“Masa sekolah, saya pernah tinggal di asrama dan perlukan duit untuk bayar yuran. Bila suarakan pasal duit, ayah ajak saya sama-sama panjat pokok kundang, petik buah dan jual. Ayah berikan duit jualan untuk saya bayar yuran,” cerita Hattan menahan sebak.

Menyambung kisah dalam sendu yang cuba ditahan, katanya: “Pernah ayah berbohong kepada kami, katanya dah makan, sedangkan sebenarnya dia belum makan, dia berlapar demi anak-anak. Dia macam tu, itu yang buat saya sedih bila terkenangkan dia.”

Kepayahan hidup adakala sebuah ujian. Faktor itulah yang mendorong kembara Hattan bergelar anak seni hanya untuk suka-suka. Datang ke Kuala Lumpur, tekadnya bulat mahu mencari rezeki untuk mengubah hidup sekeluarga.

Pengorbanan bapa menjaga, mendidik dan memberikan haluan buatnya memang tidak terbayar dengan wang ringgit. Sedikit-sebanyak, didikan arwah bapa menjadi pegangan Hattan untuk mendidik satu-satu anaknya, Adam Eiman yang sedang membesar.

“Sekurang-kurangnya saya cuba membalas jasa keluarga. Pertama kali dapat duit royalti sebagai penyanyi, saya hantar ibu bapa saya mengerjakan ibadah haji. Niat di hati nak belikan ayah kereta, tapi usianya tidak panjang. Dia meninggal dunia sebulan selepas kembali dari Tanah Suci,” beritahu Hattan dalam sebak yang masih bersisa.

Ketika hayat, arwah bapanya ada keinginan untuk menempatkan keluarga, ibu serta tujuh orang adik-beradik dalam sebuah rumah besar.

“Itu impian dia, impian itu yang cuba saya tunaikan. Saya berikan semua itu kepada emak saya yang masih hidup,” beritahu Hattan di hujung perbualan.

Itulah antara lambang kasih seorang anak. Buat anak-anak yang masih punya ayah dan ibu, jangan tunggu sedikit masa atau hari esok untuk menunjukkan kasih kalian.

kosmo

Comments