kenangan rahimidin


DAUN KENANGAN RAHIMIDIN ZAHARI
Gambar dan rencana: Ladin Nuawi 30 Ogos 2015

 Ladin Nuawi dan Kumpulan Wayang Kulit Ct Puspa.

Allahyarham Rahimidin Zahari anak kelahiran Kampung Becah Keranji, Peringat, Kota Bharu, Kelantan amat mencintai alam persuratan Melayu. Beliau antara segelintir penulis Nusantara rumpun bahasa Melayu yang begitu tekun menyiapkan diri sebagai penulis. Sedari kecil beliau kuat membaca dan kitab jawi pondok bukan masalah baginya. Di sekolah beliau akan sentiasa terlibat dengan kegiatan penulisan dan drama pentas.

Masuk alam remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan, Melor, guru bahasa Melayu, Wan Yusof, bertanggungjawab merangsangkan beliau menjadi penulis dengan membaca majalah Dewan siswa dan Dewan Sastera serta menyertai Minggu Penulis Remaja DBP.

Bersama-sama penulis seperti Salleh Yaakob, Muhammad Ishak Yusof, Muhammad Nasir, Zahari Hamzah, Fauziah Mat, Rosli Md Noor, Roslina, Linda, Azman, Fauzi dan Saupi menubuhkan kumpulan Teater Saadong. Salleh Yaakob banyak mengenalkan beliau dengan persatuan di Kelantan seperti PPK (Persatuan Penulis Kelantan), Puspa dan Rumpun Seni.

Bersama-sama Salleh Yaakob, perkenalan beliau makin rapat dengan penulis Kelantan yang tersohor seperti Wadi Leta S.A., Norhisham Mustafa, Mustafa Jusoh, Aziz Mohd Nor, Darma Muhammad, Rosli K. Matari dan Abdul Aziz H.M. Perlu disebut di sini bahawa ketika bersama-sama Abdul Aziz H.M beliau belajar ‘menjadi orang’.

Jika dengan Abdul Aziz H.M, beliau belajar ‘menjadi orang’, dengan Dolah Baju Merah beliau berguru seni permainan wayang kulit, dan dengan Rosli K. Matari beliau berguru dalam penulisan puisi. Hubungan mereka juga sebagai guru dan murid di Madrasaturramah Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Bertahun-tahun Rosli memperkenalkan dunia penulisan penyair alam Melayu dan dunia berserta dengan teori dunia dan teori yang Rosli temui sendiri kepada Rahimidin.

Berkat kegigihan itu beliau telah menghasilkan lapan kumpulan puisi persendirian iaitu Sekepal Tanah (DBP, 1995), Matahari Berdoa (GEMA, 1998), Kebun Khatulistiwa (DBP, 2005), Perjalanan Salik (Pustaka Nusa, 2008), Askara (Ilmu Bakti, 2000), Zumok Iz Peska (Moscwa, 2009), Rawana (Pustaka Nuza, 2011) dan Perahu Fansuri (soljah, 2011). Sekepal Tanah telah memenangi Hadiah Utama Anugerah Sastera Darul Iman III.

Di samping itu juga beliau menghasilkan kumpulan cerpen persendirian, Cempaka Putih (DBP, 1994), novel Pewaris (Fajar Bakti, 1995). Buku Makyung The Mystical Heritage Of Malaysia (ITBM, 2010). Beliau juga menulis, menyunting dan menyelenggara bersama-sama penulis lain. Ini termasuklah buku Wayang Kulit Shadow Play: The Folk Epic Of The Malay Archipelago (ITBM, 2013) dan siri Sasterawan Negara Di Mata Kami yang diterbitkan oleh ITBM. Ada beberapa buah buku puisi stensilan beliau secara persendirian dan berkumpulan masih disimpan oleh beberapa sahabat karibnya.

Bagaimanapun Rebab Berbisik tidak sempat dibukukan semasa hayat tetapi teater yang mengambil imej makyung dan wayang kulit ini yang beliau tulis dan arah telah menjelajah banyak negara luar termasuk Jepun dan Jerman. Rebab Berbisik juga telah mengangkat Rosnan Rahman sebagai aktivis makyung yang dikenali pada masa ini.

Dalam kegiatan berpersatuan beliau bergerak bersama-sama Persatuan Penulis Nasional (PENA) sebagai ahli jawatankuasa dan bendahari. Beliau juga ‘pemikir’ untuk PENA dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Sesiapa yang membaca karya-karya atau mendekatinya akan mengakui benarnya kata-kata Ketua Satu PENA, Dr. Salleeh Rahamad bahawa Rahimidin berkarya dalam senyap tetapi prolifik. Lenggok bahasanya lembut tapi menyimpan amarah. Beliau memang sasterawan dan sudah mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penyair terdahulu. Kelebihan beliau ialah berupaya konsisten dalam kuantiti dan kualiti.

Bagi sasterawan Norhisham Mustafa, kumpulan puisi Sehelai Daun Kenangan memuatkan puisi-puisi yang cukup mulus dan murni; boleh menjadi panduan, serentak itu menghadirkan kesedaran terhadap makna kehidupan dalam pengertiannya yang luas. Puisi-puisi yang mampu menjinakkan hati andaikata dihayati dengan kesedaran tanpa skeptik.

Beliau juga turut menyumbangkan hampir sepuluh buah puisi kanak-kanak untuk Rebung Puisi Bingkas Kebayan, 2006. Puisi Rumah Allah telah dimasukkan dalam video album Gembira Sekali, Bingkas Kebayan.

Puisi Tok Janggut karya Rahimidin telah mengangkat penyair dan deklamator Shukri Abdullah sebagai juara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan pada tahun 1996. Puisi menjadi ‘wajib’ setiap kali persatuan dan sekolah-sekolah menganjurkan acara sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Atas kesungguhan sebagai penyair, penyelidik, penasihat, penyelenggara dan sukarelawan penulisan maka tepatlah usaha Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), ITBM dan PENA menganjurkan Malam Sehelai Daun Kenangan mengenang Rahimidin Zahari di Auditorium DBPWT baru-baru ini. Sebelum ini PENA juga telah mengadakan majlis seperti itu demi mengenang dan menghargai jasa yang ditinggalkan.

Pada siangnya telah berlangsung Seminar Kepenyairan Kelantan anjuran Peradaban dengan kerjasama DBPWT, FELCRA dan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Hotel Crown Garden, Kota Bharu. Pemakalah terdiri daripada Dr. Saleeh Rahamad, Dr. Hanafi Ibrahim, Dr. Naafie Mat, Syaidul Azam Kamarudin, S.M Zakir dan Rosli K. Matari. Majlis ini dipengerusikan oleh Norhisham Mustafa dan Nazmi Yaakub.

Malam Daun Kenangan dimulakan dengan tahlil selepas solat Isyak. Penyair Hadi Yusoff, Wadi Leta S.A., Cheflani Muhd Nusi, Maroof Seman, Usman Gumanti, S.M Zakir, Datuk Aziz Deraman dan Syaidul Kamarudin, Nazmi Yaakub, Sakri Abdullah dan M. Arif membaca puisi yang dihasilkan oleh Rahimidin. Penulis muda Ahmad Aiman Razali berduet dengan Nor Hafuza Muhammad Arif mendeklamasikan puisi Tok Janggut sementara Saleeh Rahamad mendeklamasikan puisi khas untuk Rahimidin Zahari, Menyirat Nirmala.

Kumpulan Wayang Kulit Ct Puspa yang dinaungi oleh Nusa Centre telah mempersembahkan sketsa bertajuk Pengasuh Mencari Jejak. ITBM pula membawa khas komposer Adinda Amiro dari Kuala Lumpur untuk mendendangkan lagu Pintu Angan. Puisi ini dimasukkan dalam album kumpulan lagu puisi yang akan diterbitkan oleh ITBM tidak lama lagi. Album ini memuatkan puisi karya beberapa penyair yang digubah dan dinyanyikan oleh Adinda Amiro sendiri.

Majlis ditutup dengan ‘janji’ oleh Muhammad Adib Ashraf berusia 11 tahun, anak kedua Rahimidin. Presiden Peradaban, Aziz Deraman menyampaikan watikah Anugerah Penyair dan Seniman Kelantan 2015 dan saguhati kepada balu Rahimidin, Rosliza Zakaria.

Rahimidin Zahari meninggalkan dunia pada 14 Mei lalu dalam usia 47 tahun, meninggalkan lima anak, Arief Afifi (20 tahun), Muhammad Adib Ashraf (17 tahun), Muhammad Hafiz Iqbal (15 tahun), Nur Atiqah Sofia (14 tahun tahun) dan Nur Afifah Husna (tujuh tahun).

utusan online

Sasterawan Rahimidin Zahari meninggal dunia

14 Mei 201

Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Rahimidin Zahari meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh di Kuala Lumpur petang tadi.

Pengerusi Pena Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata Allahyarham meninggal kira-kira 3.58 petang setelah koma beberapa hari selepas menjalani pembedahan pendarahan otak akibat penyakit darah tinggi.

"Jenazahnya akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kota Baharu, Kelantan dan dijangka dikebumikan esok," katanya kepada Bernama.

Rahimidin, 47, turut aktif dalam bidang penulisan kreatif.

Penerima Anugerah Penghargaan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2013 ini meninggalkan isteri Rosliza Zakaria, 47, serta empat orang anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun.

- Bernama

Malaysiakini



Puisi Rahimidin harum di Rusia

Oleh Dr. Victor Pogadaev

KADANG-kadang hal yang menakjubkan sering terjadi dalam kehidupan. Pada tahun 1998 takdir telah membawa saya kembali semula ke Malaysia untuk mengikuti Sayembara puisi bersempena Hari Kemerdekaan. Sayembara itu diselenggarakan oleh Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan berlangsung di Pulau Pinang. Serentak dengan Sayembara tersebut, Gapena mengadakan pertemuan antara ahlinya dari seluruh negara.

Antara mereka, saya tidak menduga akan menemui seorang kenalan lama, Yaakob Isa: pada suatu waktu dahulu kami sama-sama menuntut di Universiti Malaya. Kenalan saya itu menjadi orang yang agak terkenal dan bertugas di sebuah Kolej Islam di Kuantan. Menyusun Kamus Bahasa Melayu Klasik, dan telah menulis beberapa buah buku lain. Yaakob Isa menjemput saya ke Kuantan dan saya menerima jemputannya.

Rumah Yaakob di perkampungan Koperasi Guru, di mana dia tinggal bersama isterinya, manakala anak-anaknya sudah dewasa dan menjalani kehidupan sendiri. Pada malam hari saya ditemukan dengan para sasterawan setempat di kolej tempat beliau bertugas. Kami membincangkan pelbagai masalah kesusasteraan sambil makan durian yang sedap. Antara sasterawan itu hadir seorang pemuda. Mungkin saya tidak ingat namanya sekiranya beliau tidak menghadiahkan saya dengan buku puisinya yang bertajuk Sekepal Tanah.

Beberapa hari kemudian saya pulang ke Moscow. Oleh kerana kesibukan, saya tidak ada kesempatan untuk membaca buku itu sehingga datangnya berita sedih: sahabat lama saya meninggal dunia - seorang wartawan Rusia berbakat yang bekerja di bandar Krasnovodsk (Turkmenbashi) di Turkmenia. Saya berdukacita sehingga tidak boleh memikirkan hal-hal yang lain dan secara kebetulan melihat buku Sekepal Tanah. Seakan-akan dengan sendirinya saya mengambil buku itu dan membeleknya. Barisan-barisan pertama yang saya baca memberi kesan mendalam terhadap saya - begitu puisi-puisinya kena pada hati saya sehingga saya langsung menterjemah dan menerbitkannya kemudian di akhbar Sakmarskie Vesti di mana Anatoly memulakan kerjayanya sebagai wartawan. Profesor Alexander Ogloblin dari Petersburg juga menyukainya dan menerbitkannya pula dalam salah sebuah buku tentang kebudayaan Nusantara.

Orang yang menulis buku puisi Sekepal Tanah ialah Rahimidin Zahari, salah seorang daripada penyair moden Malaysia yang penting hari ini. Beliau dilahirkan pada tahun 1968 di Kelantan. Seperti kanak-kanak lain dia membesar dalam suasana kampungnya dengan meresap kehormatan kepada tanah tradisinya yang terkenal dengan jati diri budaya. Dia bermain gasing, sepak raga, dan wau yang berwarna-warni bersama teman-teman. Menjejaki teman dewasa menikmati pertunjukan wayang kulit dan dikir barat dengan irama muziknya yang mengasyikkan. Serentak dengan itu, dia secara senyap, tanpa diketahui oleh sesiapa di sekitarnya mula mengarang puisi.

Bertuah

Rahimidin bertuah - bakatnya diperhatikan dan dia mendapat peluang mengikut Rancangan Sijil Seni Kreatif (Kesusasteraan) di Universiti Sains Malaysia, Diploma Pengurusan Seni di Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus di Universiti Sains Malaysia. Hadiah mencurah-curah: Hadiah Pertama Peraduan Menulis Sajak Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (1986), Hadiah Penulis Muda Terbaik Sayembara Cerpen Esso Gapena VIII (1991), Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena (1992), Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena (1995), Anugerah Puisi Islam Darul Imam III (1997). Rahimidin pernah mewakili Negara ke Persidangan Penulis ASEAN Kedua di Manila, Festival Istiqlal II di Indonesia, Pesta Puisi Antarabangsa Kuala Lumpur 2002 dan banyak lagi.

Kami berjumpa semula pada tahun 2001 bila saya mula mengajar di Universiti Malaya. Sejak itu kami sering bertemu dan banyak dialog kami tentang bahasa, budaya dan kesusasteraan. Puisinya menjadi lebih dekat dan dihayati secara lebih mendalam.

Tentulah puisinya mencerminkan apa yang mendasari dan mendap dalam kehidupan rohaniahnya, yang menyangkuti pula "tingkat keperibadiannya". Puisinya memerlukan pemikiran jitu, respons emosional terhadap perasaan puitik. Banyak puisi Rahimidin diresapi dengan perasaan pemergian kita yang tidak boleh dielakkan dari dunia fana. Ini bukan pesimisme. Di belakang kehidupan duniawi nampak keabadian yang hakiki. Apakah kita telah bersiap untuk pertemuan dengan kehidupan akhirat yang abadi itu?

Nenda Ismail, benar
seperti kata akhirmu:
kita sentiasa dekat
cuma terpisah
oleh ruang yang lain.

(Sekepal Tanah)

Sajak-sajaknya adalah penuh bayangan, rahsia dan perasaan halus, juga sangat menonjol dengan motif cinta. Hal ini bersamaan seperti yang terungkap dalam puisi penyair agung Rusia, A.S. Pushkin (1799-1835): 'Rindu Aku Penuh Dengan Kau'. Tetapi cinta duniawi dalam puisi-puisi Rahimidin seperti juga dengan karya penyair Malaysia yang lain, tidak terpisah sama sekali daripada cinta yang lebih luhur iaitu cinta kepada Tuhan.

Rima akhir puisi Rahimidin sangat berirama, dan setiap pembaca boleh mengertinya dengan cara yang tersendiri. Masing-masing mempunyai sudut dan kaedah untuk menilai dan menghayatinya. Terjemahan puisinya juga boleh berbeza terpulang kepada orang yang menterjemahkan itu ingin menitikberatkan: irama, suasana hati atau makna yang tepat. Puisi-puisi Rahimidin, dengan sepenuhnya mencerminkan kata-kata penyair Rusia Alexander Blok (1880-1921):

Waktu malam bila
kecemasan tidur,
serta bandar hilang
dalam gelap -
alangkah banyak muzik
dipunyai Tuhan,
alangkah banyak bunyi bumi
gemerlap!

Oleh kerana nilai estetik puisinya yang tinggi, kumpulan puisi yang terdiri daripada 32 sajak pilihan Rahimidin dari bukunya Sekepal Tanah (1995), Matahari Berdoa (1998) dan Di Kebun Khatulistiwa (2005) telah dipilih, diterjemah dan diterbitkan di Moscow dalam bahasa Rusia dengan judul Zamok Iz Peska atau Istana Pasir.

Puisinya begitu popular sehingga ramai pemilik blog dalam Internet Rusia memuat turunnya dan menghubungi saya untuk mendapatkan kumpulan puisi tersebut.

Dengan penuh minat pula saya membaca artikel Wangi Namanya dengan Sajak Islami oleh A. Zainoor Ismail dalam majalah Dewan Sastera (Julai 2011) dan dengan hairan memerhatikan ayat berikut "...sehingga kini belum ditemui nama-nama penyair tanah air daripada barisan penulis muda yang mampu menembusi nama mereka ke peringkat antarabangsa" (hlm. 28). Saya tidak setuju dengan pendapat ini.

Karya Rahimidin Zahari yang kiranya boleh tergolong sebagai "barisan penyair generasi baru Malaysia" telah diterjemah dan diterbitkan di Rusia dalam tiga buah buku. Buku-buku tersebut, antologi dwibahasa tunggalnya Zamok Iz Peska (2007) yang mengandungi 32 sajak serta dalam dua kumpulan bersama: Bertakhta di Atasnya (2009) yang mewakili 27 penyair Malaysia (tiga puisi Rahimidin) dan antologi cerpen Darah Melayu (2011) dengan cerpen Rahimidin yang berjudul Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mah Tuk Bagih.

Di dalam antologi puisi Bertakhta di Atasnya termuat tiga puisi oleh Marsli NO, dua puisi oleh Ahmad Shukri Abdullah dan satu siri puisi daripada 10 sajak Kata Emak oleh Awang Abdullah. Saya percaya semua penyair ini tergolong sebagai barisan penyair Malaysia hari ini yang penghasilan karya-karya mereka yang amat membanggakan untuk sastera Malaysia.

DR. VICTOR POGADAEV adalah sarjana Rusia yang berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.

utusan online


Perubahan tidak jejas tradisi
26 Oktober 2013



RAHIMIDIN Zahari yakin Peperangan Bintang mampu memberikan kelainan bagi menaikkan kembali populariti persembahan wayang kulit.

PERUBAHAN drastik dari segi cerita dan watak tidak akan menjejaskan keaslian atau keunikan seni persembahan wayang kulit. Pengurus Panggung Istana Budaya, Rahimidin Zahari, 45, berkata, sebenarnya banyak cerita-cerita asing telah dimasukkan ke dalam persembahan wayang kulit sebelum ini.

Lagipun katanya, setiap dalang mempunyai kisah mereka yang tersendiri.

"Cerita yang dibawa oleh Dalang Dollah Baju Merah bertajuk Perbu Anum Guru Pati Tombak Kencana sama sekali berbeza dengan cerita asal persembahan wayang kulit.

"Ada watak yang ditambah, namun masih menggunakan patung yang sama, begitu juga yang dibawa oleh Peperangan Bintang," katanya.

Teknik penceritaan Peperangan Bintang dilihat menggabungkan beberapa ciri tradisional seperti penggunaan alat muzik, bentuk patung mahupun konsep pentas persembahan yang masih menggunakan kelir putih sebagai layar utama.

Menurutnya, perubahan teknik penceritaan yang dibawa dalam wayang kulit Peperangan Bintang tidak menjadi masalah dari segi budaya dan tradisi.

Katanya, ketukan bunyi gedombak dan gelagat dalang mengawal patung wayang kulit tidak akan terpadam meskipun tokoh-tokoh wayang kulit seperti Pak Hamzah, Dolah Berbaju Merah dan ramai lagi sudah meninggal dunia.

"Wayang Kulit tertua di dunia berasal dari Turki iaitu Karagoz dan tradisi tersebut masih bertahan sehingga hari ini dan masih dipersembahkan dalam skala besar malah diberi perhatian secara khusus oleh masyarakat di sana.

"Perkara yang sama harus dilakukan di Malaysia. Wayang kulit moden yang dibawa Muhammad Dain Othman atau Pak Dain dilihat sebagai usaha positif dalam menghidupkan semula tradisi yang telah lama bertapak di Malaysia," katanya kepada S2.

Menyentuh tentang kemungkinan persembahan tersebut mencemarkan keaslian wayang kulit, Rahimidin berkata, hal itu tidak berlaku dan dia menyokong pementasan Peperangan Bintang.

"Mungkin dahulu, masyarakat menganggap epik Sri Rama sebagai satu tradisi zaman dahulu, seperti pakaian, senjata, kenderaan serta perwatakan yang dibawa.

"Namun mungkin 100 tahun akan datang, umum akan menganggap konsep yang dibawakan dalam Peperangan Bintang sebagai satu bentuk tradisi.

"Adalah menjadi tanggungjawab dalang untuk menjaga keaslian cerita pokok wayang kulit supaya tidak bercampur dan mengelirukan penonton," kata Rahimidin yang pernah merakamkan transkrip cerita dalang terkenal Kelantan, Dollah Baju Merah dalam bentuk buku

utusan online

BIOGRAFI RAHIMIDIN ZAHARI


Rahimidin Zahari (1968-14 Mei 2015) adalah penulis dari Malaysia. Beliau adalah Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena). Rahimidin yang bertugas sebagai Pengurus Panggung Istana Budaya dan Editor Majalah Pentas dikenali sebagai penyair dan sudah menghasilkan 11 kumpulan puisi yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Rusia, Portugis, Korea, Arab dan Thailand. Beliau yang menghasilkan buku Wayang Kulit Shadow Play: The Folk Epic of the Malay Archipelago, turut dikenali sebagai penggiat wayang kulit yang aktif mempersembahkan seni tradisi masyarakat Kelantan itu ke luar negara termasuk di Frankfurt, Jerman dan Amerika Syarikat (AS). Rahimidin Zahari dilahirkan di Peringat, Kota Bharu, Kelantan pada 28-Mac-1968.

Menerima pendidikan rendah dan menengah Kelantan. Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Sains Malaysia, dan Diploma Pengurusan Seni dari Universiti Malaya. Menulis dalam semua genre sastera dan menangi pelbagai hadiah untuk kesusasteraan di peringkat kebangsaan seperti Hadiah Penulis Muda Terbaik Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena, Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, Anugerah Sastera Islam Darul Imam, Hadiah Puisi Islam Yayasan Pelajar, Hadiah Sastera Kelantan, Hadiah Utusan Exxon-Mobil, Hadiah Sastera Perdana, Anugerah Penghargaan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2013, dan banyak lagi.

Beliau telah menerbitkan 15 buah buku perseorangan dan lebih 60 buah kumpulan karya bersama penulis lain. Judul bukunya seperti Lakaran Kampung, Cempaka Putih, Pewaris, Wira Sekolah, Sekepal Tanah, Matahari Berdoa, Di Kebun Khatulistiwa, Zamok Iz Peska (Istana Pasir) - sebuah kumpulan puisi terjemahan dalam bahasa Rusia di Moscow, Aksara, Perjalanan Salik, Rawana (dwibahasa Melayu-Inggeris) dan Perahu Fansuri. Dramanya yang pernah dipentaskan Muzikal Puteri Hang Li Po, Suzana @60. Teater Tari Pentas, Muzikal Putra, Mahsuri, Rebab Berbisik, Dalang dan Bidan Ketujuh. Puisinya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dunia seperti Inggeris, Russia, Portugis, Korea, Arab dan Thailand.

Beliau wewakili negara ke Second Asean Writers Conference (1995), Festival Istiqlal (1995), International World Theatre Congres anjuran UNESCO (2005), Program Penataran MASTERA (2006) dan Korea-Asean Poets Literature Festival (2010), “The Makyung Spiritual Dance Heritage: Seminar And Performances”, di Bangkok, Thailand (2011), “1st Asian Theatre Professionals Congress”, Chongqing, China (2011) dan “ASEAN-KOREA Culture and Arts Forum (2012) Bukunya “Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia” dilancarkan di Frankfurt International Book Fair (2010)
Meninggal dunia

Rahimidin Zahari telah dimasukkan ke Hospital Selayang selama lebih kurang seminggu sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pembedahan untuk menghentikan pendarahan di otaknya akibat serangan darah tinggi. Rahimidin Zahari meninggal dunia pada hari Khamis, kira-kira jam 4 petang, 14 Mei 2015 di Hospital Sungai Buloh, selepas tidak sedarkan diri sejak seminggu lalu akibat strok. Pengerusi Pena Dr Mohamad Saleeh Rahamad memaklumkan bahawa Rahimidin Zahari berhadapan dengan koma beberapa hari selepas menjalani pembedahan pendarahan otak akibat penyakit darah tinggi.


Hasil penulisan

Pewaris (Novel) Fajar Bakti, 1995.
Cempaka Putih (Kumpulan Cerpen) DBP, 1994.
Sekepal Tanah (Kumpulan Puisi) DBP, 1995.
Matahari Berdoa (Kumpulan Puisi), Gema, 1998.
Di Kebun Khatulistiwa (Kumpulan Puisi), DBP, 2005.
Muzikal Puteri Hang Lipo (Drama), Istana Budaya, 2006.
Suzana@60 (Drama), Istana Budaya, 2006.
Zamok Iz Peska (Istana Pasir). Kumpulan Puisi dwibahasa Russia-Melayu. Diselenggarakan dan diterjemahkan oleh Victor A. Pogadaev. Moscow: Klyuch-S, 2007.
Aksara (Kumpulan Puisi), Ilmu Bakti, 2009.
Perjalanan Salik (Kumpulan Puisi) Pustaka Nusa, 2009.
Perahu Fansuri (Kumpulan Puisi)Sindikit Soljah, 2011.
Rawana (Kumpulan Puisi dwibahasa Melayu-Inggeris) Pustaka Nusa, 2012.
Orang Perjuangan : antologi drama / diselenggara oleh : Rahimidin Zahari & Shamsudin Othman.: Ilmu Bakti, 2009.
Makyung : The Mystical Heritage of Malaysia.(editor) Rahimidin Zahari & Sutung Umar Rs: Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010.
Makyung : Warisan Mistik Malaysia (editor) Rahimidin Zahari & Sutung Umar Rs: Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010.
Pak Samad di Mata Kami (editor): Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2012.
Pengakuan Penyair (editor) Rahimidin Zahari & Shamsudin Othman, ITBM, 2012.
Melangkaui Jambatan Kedua: Cerpen Terpilih Malaysia-Singapore (editor) Rahimidin Zahari & Kartini Anwar, ITBM/NAC, 2012.
Wayang Kulit - Shadow Play The Epic of The Malaysia Archipelago, ITBM, 2013.
Bayang Beringin (Kumpulan Puisi), ITBM, 2013.
Cikgu Shahnon di Mata Kami (editor), ITBM, 2013.
Antologi Cerpen Malaysia-Indonesia (penyelenggara), ITBM & YOI, 2013.

wiki

Comments