hidangan xing xing dan liang liang

Rasa manis buluh pikat selera panda

Oleh ZUBAIDAH IBRAHIM
Foto Aizzul A. Majid


Tompokan putih pada batang buluh menunjukkan ia sudah matang dan boleh ditebang.

KEMUNCULAN pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan daripada kerajaan China membawa tuah kepada pengusaha buluh betung, Mohammad Sharif Rasid, 57 dan penduduk Kampung Kundur Hulu, Pedas, Negeri Sembilan.

Buluh yang ditanam di kampung itu terpilih untuk dijadikan makanan pasangan panda tersebut setelah kedua-duanya amat menggemari rasa manis buluh itu.

Mohamamad Sharif berkata, buluh betung di ladang itu sangat istimewa berbanding kawasan lain. Ini kerana buluh ditanam di atas tanah bekas tapak sawah padi, sekali gus membolehkan ia hidup subur, menghasilkan rebung yang berkualiti dan mengandungi air yang banyak.

“Pada awalnya, tanah itu merupakan tapak sawah padi tetapi penebangan hutan berhampiran telah menyebabkan punca air berkurangan dan tanaman padi tidak dapat diteruskan.

“Kemudian, pelbagai tanaman lain dilakukan seperti labu dan pisang sebelum dipajakkan kepada syarikat milik orang Cina yang menanam buluh betung.

“Syarikat tempatan itu memajak tanah pusaka (tanah adat) milik keluarga saya pada tahun 2005 untuk menanam buluh betung bagi tujuan menghasilkan rebung yang dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

“Setelah beberapa tahun bekerjasama dengan syarikat itu, saya terpaksa menghentikan pajakan pada tahun 2010 kerana pembayaran yang tidak adil dan merugikan pemilik tanah,” jelasnya.

Pada tahun yang sama, ladang buluh itu dipajakkan pula kepada sebuah syarikat dari Switzerland yang mengeksport buluh betung ke negara asal mereka untuk dijadikan sebagai perabot dan hiasan dalaman rumah. Namun, atas masalah yang sama, perjanjian itu ditamatkan pada Disember 2014.

Siapa sangka, bekas tapak sawah padi itu membawa tuah kepada penduduk kampung apabila berjaya memikat se­lera haiwan comel tersebut.

Buluh itu didakwa mengandungi air yang banyak dan rasa manis berban­ding buluh-buluh lain. Buluh menjadi diet utama panda dan dinikmati seperti tebu.

Rentetan daripada peristiwa itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kundur Hulu mengikat peranjian dengan Zoo Negara pada tanggal 1 Januari 2015 bagi membekalkan buluh selama tiga tahun bermula awal tahun ini dan disambung setiap tiga tahun sekali sehingga 10 tahun.

Jelas bapa kepada lima orang cahaya mata itu, ladang buluh tersebut dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon A dan B.

Zon A berkeluasan lapan hektar dan mempunyai tujuh orang penama manakala Zon B pula seluas enam hektar serta dimiliki lima orang penama.

Sifat semula jadi

“Bagi tempoh tiga tahun ini, penebangan buluh dan kutipan rebung hanya melibatkan Zon A. Selepas itu, Zon B pula diteroka untuk memberi keadilan sama rata kepada pemilik-pemilik yang lain,” katanya yang diberi tanggungjawab menguruskan tanah pusaka milik keluarganya itu.

Berkongsi mengenai penjagaan ladang buluh betung yang secara keseluruhannya seluas 14 hektar itu, Mohammad Sharif memberitahu, tumbuhan tersebut tidak memerlukan penjagaan yang rapi kerana sifat semula jadinya yang senang hidup dan sukar mati.

“Ladang buluh di sini hanya mempunyai seorang pekerja yang bertugas memotong batang buluh untuk dibekalkan kepada pihak Zoo Negara,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama de­ngan pihak Zoo Negara, beliau akan memastikan buluh-buluh yang diambil cukup matang iaitu tiga tahun ke atas dan berkualiti tinggi kerana pada usia itu, ia mengandungi air yang banyak air serta tinggi kanji.

“Pihak Zoo Negara akan mengambil bekalan buluh pada setiap hari Isnin dan Jumaat. Sebanyak lima batang buluh dan 30 kilogram (kg) rebung bagi setiap pengambilan. Selepas melahirkan anak baru-baru ini, panda betina, Liang Liang lebih suka makan rebung berbanding buluh,” ujarnya.

Mohammad Sharif turut menghadapi cabaran yang tersendiri kerana perlu berhadapan dengan babi hutan. Binatang itu amat menggemari rasa lemak manis rebung buluh betung sehingga sering terserempak dengan haiwan tersebut. Namun, ia tidak menggentarkan beliau untuk meneruskan perusahaan buluh.

Beliau dan penduduk kampung juga sentiasa memantau kawasan ladang itu agar tidak diceroboh oleh orang luar bagi mencegah perbuatan khianat dan kecurian rebung.

Anak kedua daripada tujuh adik-ber­adik itu merancang untuk mengkomersialkan semula rebung selepas tamat perjanjian dengan Zoo Negara.

“Rebung buluh menghasilkan pulangan yang lumayan kerana mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara. Satu rumpun buluh boleh menghasilkan 70kg rebung dalam masa setahun dan berharga RM5 bagi setiap 1kg.

“Saya turut mendapat tunjuk ajar daripada pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menjaga buluh betung dan menambahkan bila­ngan rebung dengan menggunakan baja khas,” katanya.

Beliau memberitahu, baja itu akan digunakan selepas tamat perjanjian dengan Zoo Negara kerana khuatir akan memberi kesan buruk kepada haiwan tersebut.

Sementara itu, Pengarah


Buluh menjadi diet utama panda dan dimakan seperti tebu. - Gambar hiasan

Zoologi dan Vete­rinar Zoo Negara serta Pengarah Pu­sat Konservasi Panda, Dr. Mat Naim Ramli berkata, pasangan panda itu amat menggemari buluh betung yang dibekalkan dari Kampung Kundur Hulu. Ia dijadikan sebagai diet utama di samping buah-buahan lain.

“Pasangan panda itu memerlukan buluh betung sebanyak 30 hingga 35kg sehari di samping epal, lobak merah dan kek panda. Kedua-dua panda itu berada dalam keadaan sihat dan ceria.

“Sejak melahirkan anak pada 18 Ogos lalu. Ibu panda itu hanya makan rebung dan tidak mengambil buluh kerana ke­dua-dua tangannya memegang anak. Petugas Zoo Negara akan menyuap rebung itu setiap tiga jam sekali bersama lobak merah,” jelasnya.

Ujarnya, sebanyak RM6,000 diperuntukkan sebulan untuk membeli buluh tersebut.

Tambahnya, dalam sehari, ibu panda itu memerlukan 3 hingga 5kg rebung dan 300 gram lobak merah. Menu itu dijang­ka dimakan sehingga sebulan.

Menurut, Dr. Mat Naim, anak panda itu membesar dengan sihat dan kini, menunjukkan peningkatan dalam proses pembesaran iaitu 380 gram ketika ditimbang pada 29 Ogos berbanding 190 gram pada 22 Ogos lalu.

“Bayi panda itu sudah kelihatan tompok-tompok hitam pada mata, telinga dan bahu. Ia turut menunjukkan peningkatan dalam ketinggian apabila mencapai 26 sentimeter (cm) pada 29 Ogos berbanding 20cm sebelum ini, “jelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelidik Kanan Bahagian Bioteknologi Perhutanan, FRIM, Abd. Razak Othman memberitahu buluh betung sangat istimewa kerana mempunyai rebung yang berkualiti manakala batang yang tebal sesuai untuk dijadikan pelbagai produk termasuk bahan binaan.

Cahaya matahari

Ujar Abd. Razak, buluh betung juga boleh hidup di atas pelbagai jenis tanah kecuali tanah yang

be­rair dan berpaya. Tanah yang sesuai adalah jenis tanah gembur berpasir yang mempunyai saliran baik. Di samping itu, ia memerlukan kawasan lapang untuk mene­rima cahaya matahari sebanyak 70 peratus.

“Buluh betung ini ditanam mengikut kaedah keratan tampang de­ngan menggunakan bahagian rizom-ofset, batang dan dahan. Untuk tanaman secara besar-besaran, biasanya bahan tanaman yang digunakan adalah keratan dahan. Ia juga tergolong dalam buluh yang bersaiz besar.

“Berat kasar bagi sebatang buluh betung yang sudah matang boleh mencecah hingga 40kg dan boleh mencapai ketinggian 20 meter,” jelasnya.

“Purata 10 rebung baharu tumbuh daripada serumpun buluh dalam tempoh setahun dan jangka hayat buluh juga boleh menjangkau sehingga 50 tahun,” jelas pegawai yang bertanggungjawab membuat kajian dan mencari buluh terbaik khas untuk pasangan panda itu.

Menurut Abd. Razak, Malaysia mempunyai industri buluh sejak awal tahun 1980-an tetapi masalah kekurangan sumber buluh mengganggu pertumbuhan dan hanya bergantung kepada hasil buluh dari hutan.

Proses untuk mengambil buluh di hutan pula perlu mendapat permit daripada Jabatan Perhutanan. Pertumbuhan buluh di hutan bertaburan dan pengeluaran pula sukar kerana kawasan yang terpencil dan berbahaya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agensi terlibat seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menggalakkan serta mengkomersialkan penanaman buluh seperti tanaman-tanaman perladangan lain di negara ini.

Ujarnya lagi, buluh menjadi salah satu industri utama di China dan mempunyai ladang-ladang serta kemudahan infrastruktur terbaik. Mereka bergantung sepenuhnya kepada tumbuhan itu kerana tidak mempunyai sumber kayu seperti negara ini. Malah dalam tempoh empat tahun, hasil sudah boleh dituai.

“Di China, pelbagai produk dihasilkan menggunakan buluh seperti perabot, kosmetik, pakaian, bahan binaan dan cenderamata. Buluh menjadi pokok serba guna di negara itu bermula daripada akar hingga daun,” jelasnya.

Tambah Abd. Razak, pihak FRIM sentiasa menjalankan kajian untuk memajukan industri buluh negara dan pada tahun 2012, para penyelidik FRIM berjaya menghasilkan kaedah Veneer Rotaring Peeling iaitu batang buluh betung menjalani proses penipisan seperti sehelai kertas. Ia memudahkan untuk penghasilan pelbagai produk buluh seperti perabot dan bahan-bahan produk bernilai tinggi yang lain.

Jelasnya lagi, terdapat 70 spesies buluh di Malaysia antaranya, semantan, lemang, beting dan aur. Bagi buluh lemang ia digunakan untuk penghasilan kraf tangan dan memasak lemang.

kosmo

Comments