Format Baru UPSR 2016

KENYATAAN MEDIA
FORMAT BAHARU PEPERIKSAAN PUSAT
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) MULAI TAHUN 2016




Sejajar dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) disamping membudayakan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), maka format peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang baharu dan ditambahbaik akan digunakan. Walau bagaimanapun, UPSR masih berbentuk ujian bertulis 100% peperiksaan pusat seperti tahun-tahun sebelumnya.

UPSR 2016 yang terdiri daripada ujian bertulis bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil antara lain adalah bertujuan untuk mentaksir pencapaian akademik murid seluruh negara dengan mematuhi standard yang ditetapkan. UPSR yang juga memberi penekanan kepada penguasaan literasi, numerasi dan KBAT berhasrat untuk mentaksir pencapaian pembangunan kemahiran seperti penyelesaian masalah, penaakulan dan kreativiti. Kesemua enam mata pelajaran yang ditaksir melalui UPSR adalah juga mewakili mata pelajaran yang dipelajari di peringkat sekolah rendah.

Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan keseluruhan peperiksaan tersebut bermula daripada penghasilan kertas peperiksaan, pengendalian peperiksaan, penskoran, penggredan, pengumuman keputusan peperiksaan dan pengeluaran pernyataan keputusan peperiksaan. Pernyataan keputusan UPSR 2016 adalah merupakan satu daripada pelaporan akhir pendidikan rendah seluruh negara yang lebih holistik, komprehensif dan bermakna. Pelaporan kepada setiap murid akan diberikan secara serentak, iaitu:

i. Pernyataan Keputusan UPSR dalam bentuk gred A hingga E yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan.
ii. Pelaporan Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dalam bentuk deskriptif yang dikeluarkan oleh pihak sekolah menggunakan format dan spesifikasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Format dan contoh instrumen UPSR mulai 2016 akan dimuatnaik ke laman sesawang Lembaga Peperiksaan yang boleh dicapai melalui www.lp.edu.my pada 28 September 2015.

Sekian dimaklumkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia
28 September 2015

kpm

Comments