demi natrah


Natrah mengubah fasa hidup Fatini
Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN


FATINI mengabdikan gambar kenangan bersama Natrah ketika menemuinya di Amerika Syarikat lebih 20 tahun lalu.

MENGAKUI dirinya seorang yang becok, namun memilih untuk tidak berbicara kisah peribadi, wanita manis berbaju hijau itu ada sejarah lebih besar mahu dikongsi.

Pertemuan yang pada awalnya untuk mengenal diri wanita itu dan diabadikan dalam bentuk artikel bertukar kepada penceritaan sejarah yang bagi beliau adalah satu amanah.

Katanya, tiada apa-apa yang menarik tentang dirinya tetapi pengalaman beliau mengkaji sejarah rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura lebih 60 tahun lalu secara mutlak mengubah fasa hidupnya. Ini kerana, setelah 25 tahun, dia dapat memahami makna takdir Allah di sebalik tragedi itu.

Semuanya bermula apabila beliau yang ketika itu wartawan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditugaskan untuk menjejak Natrah pada penghujung 1980-an.

Pemilik na­ma Puan Sri Fatini Yaacob itu mengakui, pada mu­la­nya beliau mem­pertikaikan ke­pentingan tuga­san itu.

Anak ja­ti Kampung Alor Sena, Padang Pauh, Perlis itu bercerita, arahan yang diberikan oleh Ketua Bahagian Majalah DBP, Johan Jaaffar (kini Tan Sri) ketika itu dianggap tidak relevan dengan masa tersebut memandangkan kisah Natrah sudah hampir 40 tahun berlalu.

Ketika itu, beliau yang berusia awal 30-an bertugas sebagai Editor Majalah terbitan DPB.

“Sebagai wartawan, saya perlu patuh kepada arahan. Saya segera memulakan pencarian di Arkib Negara. Bermula dari situ, saya sedar Natrah bukan sebara­ngan kisah.

“Ia melibatkan perjuangan agama, bangsa dan negara yang ketika itu belum merdeka. Saya percaya sejarah Natrah menjadi klimaks kepada kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah,” kongsi ibu kepada seorang anak itu ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Impak

Penggalian dan penyelidikan sejarah Natrah mempunyai impak paling hebat kepada bekas pelajar Ijazah Sarjana Muda Sebaran Am Universiti Teknologi Mara itu.

“Selama 25 tahun sejarah Natrah berlegar di dalam diri saya. Dalam tempoh 20 tahun pertama, sejak wawancara dengan Natrah tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat pada April 1989, saya hanya mengenali Natrah yang ‘takut dan benci’ dengan orang Melayu sedangkan orang Melayu amat me­ngasihi Natrah walau apapun keadaannya.

“Kontradiksi ini menyebabkan saya terfikir mengapa keadaan ini berlaku. Segala-galanya hanya terjawab apabila saya membuat penyelidikan tentang rusuhan Natrah selepas kematian wanita itu enam tahun lalu,” ujarnya.

Beliau kemudiannya menghasilkan biografi, Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata.

Memahami Natrah, orang Melayu dan rusuhan itu telah membawa beliau kepada sebuah kesimpulan yang hebat untuk masyarakat Melayu. Natrah, Che Aminah (ibu angkat Natrah) dan Mansor Adabi (suami pertama Natrah) tidaklah sangat penting.

Mereka hanyalah sekadar pemangkin kepada takdir Allah yang lebih besar iaitu kebangkitan kaum Melayu yang begitu lama dihina dan lali termakan ‘gula-gula’ penjajah selama lebih 400 tahun.

Beliau yang gemar menyertai aktiviti perbahasan, syarahan dan pidato ketika zaman persekolahannya menyifatkan Allah telah menyediakannya untuk menjadi penulis yang serius supaya dapat ‘membaca’ makna di sebalik sejarah besar itu.

“Penjajah membatalkan pernikahan antara Mansor dan Natrah. Ia telah mencabar undang-undang Islam. Pada masa sama, ia telah melahirkan seorang pejuang undang-undang Islam yang hebat iaitu Tan

Sri Profesor Ahmad Ibrahim (peguam Che Aminah) yang berpaling arah daripada memuja undang-undang Inggeris kepada pejuang undang-undang Islam.

“Peristiwa rusuhan Natrah 1950 adalah kebangkitan orang Melayu membela diri. Penjajah melalui provokasi akhbar propenjajah menghina orang Melayu.

“Rusuhan itu berlaku kerana agama dan maruah bangsa. Rakyat Tanah Melayu memang sudah sedia tahu keputusan tidak akan berpihak kepada mereka. Sebab itulah ia berlaku pada 11 September bukannya pada hari keputusan mahkamah dibaca sembilan hari sebelumnya,” terang Fatini yang menegaskan bahawa pada ketika itu akhbar Utusan Melayu memainkan peranan besar dalam kebangkitan tersebut.

Sementara menunggu keputusan rayuan (3 September hingga 10 September 1950) diputuskan, Natrah yang terpaksa berpisah dengan ibu dan suaminya telah ditempatkan di gereja.

Detik penantian tersebut diguna­kan oleh akhbar-akhbar propenjajah untuk melakukan provokasi dengan menggambarkan betapa Natrah gembira di gereja walhal Utusan Melayu melaporkan perkara yang bertenta­ngan.

Provokasi


GAMBAR Natrah dan suami kedua, J. G. Wolkenfelt yang diperoleh Fatimi ketika bertemu Mansor di Singapura.

Natrah yang berada dalam kesedi­han mahu kembali ke pangkuan Man­sor dan Che Aminah.

Katanya, provokasi itulah yang membuatkan orang Melayu marah dan beramai-ramai ke Singapura.

“Bayangkanlah, dari Kelantan ke Si­­ngapura ada yang berbasikal. Bumi Si­ngapura dipenuhi manusia, itupun sekatan telah dilakukan di Tambak Johor.

“Rusuhan itu datang daripada kaum yang disifatkan malas, bodoh dan miskin oleh penjajah sehingga darurat terpaksa diisytiharkan selama tiga hari tiga malam.

“Penjajah tersentak kerana orang-orang yang mereka rasa hanyalah pak turut, boleh bertolak ansur dan tidak kisah itu boleh bangkit,” ceritanya pe­nuh semangat sambil memberitahu penduduk Tanah Melayu pada ketika itu semuanya bersatu menentang pen­jajah.

Sebagai seorang pengkaji, pada hematnya, Tanah Melayu barangkali akan lebih lambat merdeka sekiranya kebangkitan rakyat itu tidak berlaku. Beliau juga kagum dengan semangat juang orang Melayu yang sanggup mengorbankan diri kerana kasihkan agama, bangsa dan tanah air.

“Terkesan dan tersentuh hati mendalami perjuangan bangsa, setiap helaian kisah yang saya tulis diiringi air mata.

“Ia tidak henti-henti mengalir sehinggalah buku tersebut selesai di­bingkiskan. Disebabkan rasa sedih dan insaf yang lahir ketika menulis, saya tidak sanggup mengambil royalti buku biografi ini,” terangnya yang kini telah menghasilkan empat buah buku biografi.

Dalam pada itu, Fatini menjelaskan, pengalamannya semasa menuntut di Universiti of Wales, United Kingdom (UK) pada peringkat sarjana memudahkan beliau membuat penyelidikkan termasuk pergi ke Singapura, Belanda, UK dan Amerika Syarikat (AS) selain Malaysia.

Fatini mengakui, walaupun mencabar, beliau bersyukur kerana mendapat bantuan pebagai pihak dalam wawancara dengan bermacam orang. Takdir Allah memberikan beliau hanya sekali pertemuan dan temu bual dengan salah seorang ‘watak utama’ sejarah tersebut iaitu Mansor Adabi.

Mansor meninggal dunia pada 14 Oktober 1988, sehari selepas pertemuan mereka. Dalam pertemuan di Singapura itu, suami pertama kepada Natrah tersebut sempat menyerahkan beberapa fail yang mengandungi surat-surat penting antara dia dan Natrah.

“Barangkali dia sudah menyimpan hasrat untuk menyerahkan kepada sesiapa yang berhak bagi menyimpan kisah itu kerana Mansor sudah penat menanggung beban sejarah hebat ini.

“Ketika berjumpa dengan beliau, saya sempat menanyakan soalan-­so­a­­l­an penting dan berhasrat untuk kembali bertanya selepas saya me­neliti kandungan fail-fail berkenaan. Malang­nya, dia telah kembali kepada Allah dalam kejutan yang tidak terhingga kepada saya,” ceritanya yang kini menumpukan fokus untuk menghidupkan yayasan yang diasaskannya.

Ketika menjejak Natrah di Amerika Syarikat, Fatini ketika itu mengan­dungkan anak tunggalnya berusia tiga bulan.

Kongsi Fatini, Natrah pada ketika itu berusia 58 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah resort yang terletak di Lake Tahoe, Nevada.

“Hampir seminggu di sana, saya cuba membongkar rahsia hati Natrah. Natrah sebenarnya rindu kepada kehidupan masa kecilnya dahulu. Pertemuan itu merupakan peluang terbesar bagi saya untuk menyampaikan kerinduan rakyat Malaysia terhadap Natrah,” luahnya.

kosmo




Fatini terkilan tidak sempat temui Natrah
11 Julai 2009

SHAH ALAM 10 Julai - Bekas wartawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datin Fatini Yaacob yang pernah membuat penyelidikan dan menulis kisah hidup Natrah atau Maria Bertha Hertogh, 72, terkilan kerana tidak sempat menemui wanita itu buat kali terakhir.

Fatini, 50, yang pernah menemubual Bertha di Nevada, Amerika Syarikat pada Januari, 1989 lalu berkata, beliau merancang terbang ke Belanda menemui wanita itu sebelum Ramadan untuk melengkapkan buku biografinya yang dijadualkan terbit pada penghujung tahun ini.

''Tetapi sayang dia telah meninggal dunia dan pemergiannya pada saya adalah sebuah pengakhiran kepada penderitaan yang dialaminya selama ini," kata beliau yang ditemui pemberita di rumahnya di Seksyen 7 di sini petang ini.

Penulis itu yang pernah menyentuh hati pembaca dengan tulisan kisah cinta dan penderitaan Natrah bersama orang-orang yang pernah hadir dalam hidupnya termasuk bekas suaminya, Mansor Adabi yang disiarkan dalam Dewan Masyarakat keluaran Februari hingga Mei 1989 bagaimanapun tetap akan ke Belanda untuk menziarahi keluarga Bertha seperti yang dirancang.

Fatini yang kini menjadi Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, beliau juga akan menyiapkan buku biografi serta berhasrat menerbitkan kisah Natrah dalam pelbagai versi termasuk dalam bentuk dokumentari drama dan filem.

''Tujuan saya ialah untuk memperbetulkan persepsi Barat terhadap Timur tentang isu Natrah yang pernah menimbulkan kontroversi sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950 dan sehingga kini masih menjadi rujukan sekiranya isu berkaitan dibincangkan.

''Bagi saya ini adalah tanggungjawab yang perlu saya lunaskan kerana saya telah membuat penyelidikan mengenai kisah Natrah ini terlalu mendalam sehingga merasakan telah amat memahami penderitaan yang ditanggung wanita itu akibat hidup dalam paksaan dalam serba serbi," ujarnya lagi.

Walaupun tidak pernah bersua muka dengan Bertha sejak tahun 1989, Fatini tetap mengikuti perkembangan wanita itu dan tahu dia pernah datang ke Kemaman, Terengganu pada Hari Raya Aidilfitri tahun 1997.

Ceritanya, ketika itu Bertha melawat Kamariah yang juga merupakan anak angkat keturunan Jepun, Che Aminah Mohamed, ibu angkat Natrah dan dia juga sempat ke Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura.

''Saya tahu dia datang tetapi oleh kerana fobia Bertha terhadap apa yang berlaku semasa beliau dipaksa berpisah dengan suami dan keluarga angkat, dia tidak memberitahu saya.

''Saya kesal kerana tidak dapat memperbetulkan persepsi Bertha itu tetapi berharap kedatangannya ke sini dapat memberi gambaran tentang perubahan yang berlaku di Malaysia," katanya.

Ditanya apa yang paling tidak dapat dilupakan beliau sepanjang menulis kisah Natrah, Fatini berkata, pertemuannya dengan Mansor, bekas suami Natrah kerana sehari selepas lelaki itu menyerahkan empat fail berisi surat dan catitan perjuangannya untuk mendapatkan kembali isterinya ketika itu dia meninggal dunia.

utusan online


Naskhah Natrah Bakal Difilemkan Tahun Depan

Oleh: NURUL AIN MOHD HUSSAIN
10 Mac 2010

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan buku Natrah di Universiti Teknologi Malaysia Cawangan Kuala Lumpur hari ini. Turut serta, penulis karya Natrah, Datin Seri Fatini Yaacob.Foto THE STAR Oleh:AZHAR MAHFOF.

Jika segalanya berjalan lancar, karya naskhah Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata akan difilemkan pada tahun hadapan.

Menurut penulisnya, Datin Seri Fatini Yaacob, beliau sendiri akan menulis skrip bagi filem berkenaan selepas menemui penerbit yang bersetuju berkolaborasi menerbitkan karya bersejarah itu.

“Buat masa ini saya mahu memberi tumpuan kepada penjualan buku terlebih dahulu.

"Insya-Allah tahun depan saya lihat sesuai untuk saya serius dalam usaha menerbitkan filem ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata di Universiti Teknologi Malaysia di sini hari ini.

Fatini berkata usaha untuk menerbitkan filem itu tercetus kerana Natrah merupakan khazanah yang memiliki nilai estetika yang tinggi.

“Dalam Natrah ada roh perjuangan Islam dan bangsa Melayu yang besar. Kalau itu tidak diterapkan masuk betapa ruginya kerana ia merupakan khazanah yang sangat besar nilainya,” katanya.

Beliau mengambil masa hampir tiga bulan menulis kisah Natrah selepas membuat kajian penyelidikan selama 21 tahun daripada manuskrip, buku-buku yang pernah menceritakan mengenai figura itu serta menemuramah seorang ahli perniagaan Haja Maideen yang merupakan rakan suami Natrah, Mansor Adabi.

“Banyak masa yang telah dicurahkan selama menulis Natrah. Suami saya, Datuk Seri Alies Anor yang menjadi sumber inspirasi dan begitu memahami ketika saya menulis karya Natrah ini,” katanya.

Jelasnya, karya Natrah akan kekal relevan sampai bila-bila selagi wujudnya bangsa Malaysia dan orang Melayu di negara ini.

“Selagi masih ada undang-undang sivil dan undang-undang syariah, konflik pasti wujud kerana kisah Natrah akan mengingatkan kita tentang semua perkara ini,” katanya.

Natrah diterbitkan oleh Penerbit UTM Press dan dijual pada harga RM75 di pasaran.

Sejak diterbitkan pada awal tahun ini, buku ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan tersenarai sebagai ‘10 paling laris’ bagi kategori fiksyen buku tempatan selama empat minggu berturut-turut di laman web, Mphonline.com.

mstar


Bukan mustahil Melayu bersatu
Oleh : Fatini Yaacob

KELMARIN buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata telah dilancarkan dengan sempurnanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beliau kerana keberanian melancarkan buku itu.

Walaupun perjuangan Natrah dahulu tidak diterajui oleh pemimpin UMNO, hanya disertai oleh ahli-ahli UMNO tetapi atas kebenaran sejarah dan apresiasi sejarah, Muhyiddin sanggup meletakkan dirinya melancarkan buku ini.

Kerana buku Natrah adalah kisah benar satu episod sejarah yang sanggup meleburkan kepentingan politik demi agama.

Saya berterima kasih dan percaya dengan kesudian Ustaz Nasharudin Mat Isa dan jawatan kuasa tertinggi Pas yang hadir ke majlis pelancaran buku ini juga sebagai menyatakan istiqamah parti tersebut, dalam menyambut usaha yang baik ke arah perpaduan Melayu dan mengangkat martabat Islam.

Saya secara peribadi turut mengundang ahli jawatankuasa tertinggi parti PKR ke majlis pelancaran buku ini. Namun sayangnya hasrat saya untuk melihat detik perpaduan tiga kelompok pemimpin tertinggi parti ini dalam majlis pelancaran buku Natrah yang dulunya memang menyatukan orang Melayu dalam perjuangan membela Islam dalam Natrah, tidak tercapai.

Saya percaya dan doakan agar satu hari akan datang juga detik ini. Detik penyatuan dan perpaduan Melayu demi agama yang dinaungi oleh kasih sayang Allah.

Sebenarnya buku Natrah yang saya tulis kali ini, menghantar mesej dan makna yang lebih besar daripada Natrah yang saya tulis dalam majalah Dewan Masyarakat 20 tahun yang lalu.

Buku itu menuntut pemerhatian yang teliti dan tindakan yang penting terhadap memartabatkan Islam di tempatnya, terutama dalam politik dan perundangan negara kini.

Sebenarnya di sebalik kisah Natrah ada perjuangan yang lebih hebat, daripada sekadar kisah sedih hidup Natrah dan kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi. Dan semua ini tidak ada di dalam majalah Dewan Masyarakat yang saya tulis dahulu.

Buku ini adalah himpunan semangat dan roh pejuang-pejuang Natrah yang memperjuangkan iman di dada Natrah. Keikhlasan perjuangan mereka inilah dengan redha Allah meresap jauh menyentuh hati orang Melayu turun temurun, zaman berzaman sehingga kini. Kisah perjuangan itu saya rakam khas sehingga lapan bab di dalam keseluruhan 23 bab buku itu.

Sebenarnya kisah pengorbanan dalam Natrah ini membabitkan pelbagai jenis. Ada pengorbanan wang ringgit dan harta benda untuk dibuat derma bagi pembiayaan mahkamah dalam kes Natrah. Ada pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit oleh pejuang-pejuang Natrah seperti Karim Ghani, Dr. Burhanuddin Helmi, Mohd Taha Kalu, Tunku Abdul Rahman dan Hussien Onn (Tun), Ahmad Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama).

Namun yang paling tinggi nilainya adalah pengorbanan jiwa dan pengorbanan kepentingan diri dan kepentingan politik. Saya terharu membaca pengorbanan ini.

Walaupun diterajui oleh Dr. Burhanuddin Helmy dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dianggap sebagai parti kiri semasa itu, namun ahli-ahli UMNO semasa itu seperti Sardon Jubir (Tun), Darus Sharrif yang juga jawatankuasa UMNO Johor dan Geylang Singapura turut sama berada dalam Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN).

Tunku Abdul Rahman dan Hussien Onn pula sanggup meneruskan usaha-usaha perjuangan membebaskan mereka yang dikenakan hukuman gantung kerana merusuh selepas semua JKTN dipenjarakan.

Kelompok kecil ahli-ahli parti Hizbul Muslimin juga ikut berjuang bersama. Ini bermakna pada masa Natrah, demi kepentingan agama, semua orang Melayu meleburkan kepentingan peribadi masing-masing demi membela Islam yang dihina penjajah.

Keadaan yang sama barangkali tidak jauh bezanya jika kita lihat keadaan politik hari ini. Setelah dekat 60 tahun tragedi Natrah, kini kita kembali berada dalam keadaan yang berat dan mengancam dari segi politik.

Kalau dulu musuh politik dan agama kita adalah jelas iaitu penjajah, sekarang kita jadi bingung kerana keadaan kuasa yang semakin terancam walaupun kuasa masih ada di tangan kita. Kuasa majoriti yang sedikit kita pegang semakin goyah kerana perpecahan sesama kita.

Dalam keadaan tertentu, suasana penghinaan Islam pada zaman penjajah dahulu juga wujud, walaupun barangkali dalam bentuk yang berbeza. Penghinaan terhadap Islam sekarang berlaku dari dalam dan luar diri kita.

Dari ‘dalam diri’ kita’ penghinaan berlaku apabila kita tidak meletakkan martabat Islam pada tempatnya. Dalam percaturan politik, kita meletakkan kepentingan diri dan kuasa melebihi kepentingan awam dan kepentingan Islam.

Kita sanggup mengetepikan Islam dan hukum-hakam Islam asal kuasa dan kepentingan diri dipenuhi. Elemen ini ada pada semua parti Melayu hari ini. Mereka masih belum boleh duduk semeja, berdamai dan berunding demi sebab yang lebih besar – meleburkan kepentingan parti demi survival Islam di tangan orang Melayu.

Dari ‘luar diri’ kita, penghinaan terhadap Islam jelas berlaku apabila orang bukan Islam sudah berani membuat provokasi kepada agama dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Penggunaan kalimah Allah, mempersoalkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah contoh-contoh provokasi yang jelas terhadap orang Islam. Mereka akan terus berani berbuat demikian sekiranya kita tidak kuat memegang prinsip jati diri orang Islam.

Kita harus belajar daripada sejarah dahulu termasuk sejarah perpaduan yang unik lagi istimewa dalam kisah Natrah di kalangan bangsa-bangsa Cina, India dan Serani.

Mereka ikut berjuang membantu orang Islam ketika itu sehingga ikut terkorban. Semangat itu hanya diperolehi kerana kesatuan jitu orang Islam ketika itu.

Hanya dengan perpaduan dan penyatuan hati orang Melayu yang ikhlas kerana Allah, yang tidak pentingkan diri, yang memungkinkan kita membuat percaturan politik yang bijaksana, yang tidak merugikan Islam pada zaman mana pun jua, termasuk masalah perpecahan politik sesama kita pada hari ini.

Bagi saya sebagai pembaca sejarah, tidak ada suatu pun kuasa yang dapat menghancurkan dan meleburkan kita, sekiranya kita bersatu hati dan mengikhlaskan diri demi perjuangan yang murni – iaitu agama.

Pengorbanan ini bukannya sukar walaupun tidak terlalu mudah. Bangsa yang besar adalah bangsa yang tahu menilai pengorbanan pejuang-pejuang yang terdahulu.

Pemimpin yang besar adalah pemimpin yang tahu membuat pengorbanan diri demi kepentingan bangsa dan negara.

Natrah di tangan saya kini telah melampaui sifatnya sebagai penceritaan seorang individu. Natrah adalah kisah kita, kisah perjuangan kita.

Jika demikian kentalnya roh dan semangat penyatuan para pejuang dan orang Islam masa dulu sehingga menyusup ke dalam sanubari kita sehingga ke hari ini, apakah percaturan politik yang bakal kita hantar kesannya kelak untuk generasi Islam 60 tahun lagi?


Datin Seri Fatini Yaacob ialah Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia

tranungkite

Kalaulah Natrah tahu...

Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.


PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.

Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.

Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.

Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.

Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.


TINGGAL KENANGAN. (Dari kiri): Peguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi dan bapa angkat Mansor, M.A Majid.

Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.

Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.

Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.

Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.

"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


SETELAH gagal menjejak Natrah di Belanda, Fatini (kanan) pergi ke AS dan bertemu Natrah di sana pada tahun 1989.

Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.


NATRAH meninggal dunia di Belanda pada usia 72 tahun, Khamis lalu.

"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.

"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.

Natrah cuba bunuh suami

Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.

"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.

"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.

Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.

"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.

Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.

"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.

"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.

"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...

"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...

"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.

Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.

"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.



kosmo



Tragedi Natrah Membakar Semangat Juang Melayu Untuk Islam

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Izwan Azman
2 Jun 2014


BANGI, 29 Mei 2014 – Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura Disember 1950 telah membangkitkan semangat perpaduan, keberanian serta keimanan orang Melayu hingga mempersoalkan kekuasaan penjajah waktu itu.


Penulis buku biografi Natrah, Datin Fatini Yaacob memberi pandangannya mengenai rusuhan itu dan mengatakan berkata peristiwa Natrah bukanlah satu kekalahan bagi orang Melayu seperti ditohmahkan British pada masa itu, tetapi telah membawa kepada kebangkitan orang Melayu dan membakar semangat untuk berjuang mencapai kemerdekaan.

Beliau menghuraikan pengalamannya ketika membuat kajian terhadap tragedi itu untuk menulis buku mengenainya termasuk temubualnya dengan Natrah sendiri.

Wacana itu berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) awal bulan ini yang juga disertai bekas pensyarah UKM Encik Nasharudin Mat Isa dan Prof Madya Dr Jasri Jamal dari Fakulti Undang-undang.

Wacana bertajuk “Rusuhan Natrah: Implikasi Terhadap Islam” adalah untuk membincangkan implikasinya terhadap orang Melayu ketika itu dan generasi pada masa ini.

Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh, yang dilahirkan pada 24 Mac, 1937, adalah seorang kanak-kanak Belanda yang telah diserahkan ibu bapa kandungnya kepada keluarga Melayu kerana melarikan diri daripada serangan Jepun semasa perang dunia kedua.

Justeru, Natrah dengan itu telah dibesarkan sebagai seorang Muslim dan Melayu oleh keluarga angkatnya di Malaya.

Setelah tamat peperangan ibu bapa kandung Natrah kembali ke Malaya dan meminta anak mereka dikembalikan hingga terpaksa mengemukakan tuntutan di mahkamah.

Pada mulanya, Che Aminah, ibu angkat Natrah telah diberi hak penjagaan tetapi keadaan itu dikeruhkan apabila pihak tertentu mendapat tahu Natrah, yang pada masa itu berumur 13 tahun telah berkahwin dengan seorang guru berumur 22 tahun, Mansor Adabi.

Perundangan Belanda tidak membenarkan seseorang di bawah umur 16 untuk berkahwin. Akhirnya mahkamah Singapura memutuskan hak penjagaan diberi kembali kepada ibu bapa kandungnya.

Keluarga itu pulang ke Belanda. Natrah meninggalkan Islam dan memeluk agama Kristian hingga menaikkan kemarahan orang Melayu di Malaya khususnya Singapura.

Ini telah membawa kepada kekecohan dan rusuhan di Singapura pada 12 Disember 1950 hingga menyebabkan 18 orang terkorban dan lebih 200 orang lagi cedera.

Natrah kemudiannya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada 1984 dan menetap di sana sehingga meninggal dunia pada 2009 kerana Leukaemia.

Fatini berkata semasa menemuinya di Lake Tahoe Amerika Syarikat,pada 1989, Natrah sudah berusia 52 tahun dan beliau melihatnya sebagai seorang wanita yang sudah tidak bermaya dan patah semangat. Natrah sebelum itu telah beberapa kali keluar dan masuk wad psikiatri.

“Keadaan mental dan emosinya sangat lesu dan letih. Ada satu ketakutan dalam dirinya, takut terhadap orang-orang Melayu dan Islam. Ketakutan yang dia tidak boleh jelaskan atau lupa. Pendapat saya adalah, dia diberitahu berkali-kali oleh penjaganya bahawa orang berjuang, cedera dan mati kerana tindakannya memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Muslim tanpa keizinan ibu bapa kandungnya. Dia akhirnya mempercayai bahawa orang Melayu melihat dirinya sebagai pengkhianat dan mahu mencederakannya. Walaupun ia tidak benar, tetapi itu yang dia percaya. Dia tinggal dengan kekeliruan dan pergolakan emosinya untuk masa yang sangat lama, cukup untuk membuatkan dirinya tidak begitu stabil,” kata Fatini.

“Walaupun ceritanya sangat sedih, keputusan mahkamah yang tidak berhati perut hingga membawa kepada kebangkitan orang Melayu bukanlah satu tragedi. Orang Melayu yang ditohmahkan British sebagai kaum pemalas, takut, tiada tulang belakang dan tidak ada semangat kebangsaan telah bangkit untuk mempertahankan agama dan bangsa serta menunjukkan semangat cintakan agama yang tidak boleh dipersendakan. Orang Melayu telah bangkit untuk menentang usaha memperlekehkan agama serta dijadikan bahan ejekan oleh pihak yang tidak faham agama Islam”, kata Fatini.

Isu itu sebenarnya telah membawa kepada penyatuan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu bersama-sama berjuang untuk sesuatu yang lebih bernilai daripada sekadar kehidupan seorang gadis remaja Belanda.

“Natrah tidak begitu penting dalam sejarah kita, dia adalah alat untuk sejarah dan takdir untuk membangkitkan semangat Melayu untuk bersatu. Ceritanya memang sedih dan tragis tetapi ia bukannya isu utama. Isu sebenar adalah penyatuan, semangat jati diri dan bangkit berjuang untuk hak agama,” kata Fatini.

Api yang telah membakar semangat orang Melayu dan mencetuskan rusuhan adalah media asing yang tidak sensitif menjatuhkan maruah agama Islam hingga membuatkan orang Melayu bangkit untuk memberontak dan mempertahankan Islam.

Gambar Natrah berdoa dan melutut di hadapan patung The Virgin Mary di sebuah gereja dan beberapa artikel yang diterbitkan yang ‘menunjukkan’ bagaimana Natrah gembira dan ‘lega’ untuk menjadi seorang Kristian semula, melanggar banyak sensitiviti agama dan cara ia dilaporkan menunjukkan bagaimana media asing telah sengaja mengundang kemarahan orang Islam.

Tidak sensitif dan penggunaan istilah yang menghina oleh media mengenai Islam menyebabkan kemarahan yang tidak pernah dilihat oleh British dari negara yang mereka percaya sebagai salah satu tanah jajahannya yang jinak dan rapuh.

Kemarahan yang membuak itu akhirnya meletus dengan rakyat beramai-ramai turun ke jalan raya di Tanah Melayu dan Singapura serta merusuh menentang kebiadaban media dan keangkuhan mahkamah penjajah yang tidak menghormati agama.

Menyentuh isu belia, Nasharudin pula melahirkan kekecewaan dengan generasi muda Melayu hari ini yang mewarisi kebebasan dan hak tanpa pernah berperang untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Sehingga hari ini rusuhan oleh orang Melayu di Tanah Melayu dan Singapura, menunjukkan British kenapa Melayu adalah satu-satunya bangsa yang mereka tidak pernah benar-benar jajah. Semangat perjuangan, patriotik, jati diri dan keimanan terhadap Islam yang membangkitkan kita, malangnya, adalah apa yang kini telah hilang dalam tempoh 64 tahun selepas Natrah,” kata Nasharudin.

Ketika itu terdapat orang Melayu yang pergi ke kelab malam dan minum arak tetapi apabila mereka mendengar apa yang berlaku kepada Natrah mereka menyertai rusuhan untuk mempertahankan agama mereka, kerana mereka tahu ia adalah kewajipan walaupun mereka tidak melakukan sepenuhnya apa yang diharapkan daripada seorang Muslim setiap hari.

Beliau menerangkan dilema moral, etika dan rohani dan juga kehilangan identiti oleh belia Melayu Islam kini telah memasuki ke suatu tahap mereka tidak lagi mengambil berat atau kisah dengan kelakuan tidak bermoral dan menjijikkan yang malu untuk di tonton oleh keluraga dan orang awam tetapi lebih-lebih lagi ia adalah satu dosa terhadap Islam itu sendiri.

Sekarang kita lihat anak muda Melayu, terutama di Kuala Lumpur, berlumba-lumba memakai pakaian menjolok mata seperti yang berlaku di Amerika. Kini terdapat pemuda Melayu yang tidak boleh membaca doa yang paling mudah pada usia 20 tahun. Mereka mengatakan ini bukan kesalahan mereka, apabila dilahirkan sebagai Melayu secara automatik mereka adalah Islam. Melayu dan Islam selalunya satu, kata Nasharudin.

Seseorang tidak boleh menjadi Melayu dan bukan Islam. Mereka yang mengaku Melayu tetapi bukan Islam sudah murtad, seperti apa yang Natrah lakukan. Bezanya ada kuasa luar yang memaksa Natrah meninggalkan Islam tetapi bagi sesetengah belia Melayu sekarang siapa pun tidak memaksa mereka melupakan agama, tambah beliau.

Nashrudin berkata warisan yang ditinggalkan kes Natrah membuatkan orang Melayu menjadi lebih prihatin terhadap agama sendiri dan akan sentiasa bersatu untuk mempertahankannya, tidak kira apa yang berlaku. Selepas Natrah, ia mendorong semangat perjuangan yang membawa kepada kemerdekaan daripada pemerintahan British dan akhirnya, untuk mengukuhkan pegangan terhadap Islam hingga menjadikan Islam agama persekutuan dan agama rasmi negara.

Dr Jasri pula berkata terdapat ramai pemimpin Melayu Islam yang besar dan hebat ketika itu yang banyak berkorban memperjuangkan hak Natrah dan hak orang Melayu Islam.

Pemimpin seperti Allahyarham Professor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim, peguam Natrah yang berjuang untuk membantu Natrah adalah pemimpin undang-undang Islam di Malaysia dan diiktiraf sebagai Bapa Sistem Perundangan Malaysia.

Prof Ahmad Ibrahim juga berjaya memisahkan kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah melalui pindaan Perkara 121 (1A) pada 1988.

Dr Jasri berkata tokoh-tokoh berpengaruh seperti Abdul Karim Ghani, Dr Burhanuddin al-Helmy, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Sardon Jubir telah mengetepikan perbezaan ideologi politik mereka untuk mempertahankan kesucian agama Islam, yang dipandang rendah oleh penjajah.

“Mereka berjuang keras untuk mempertahankan Islam sehingga ia dengan rasminya diterima sebagai agama persekutuan dan agama rasmi Malaysia. Saya mesti mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, oleh itu undang-undang Islam masih terpakai dan boleh digunakan orang Islam,” katanya.

Bersetuju dengan Nasharudin dan Dr Jasri, Fatini juga percaya bahawa belia Islam Melayu telah gagal untuk melakukan perkara yang bermanfaat dalam beberapa dekad yang lalu. Abad ke-21 akan tiba kepertengahan umur dan lebih ramai belia Islam bertambah dengan perangai buruk daripada menjadi lebih baik.

“Adakah kita menunggu satu lagi Natrah? Atau satu lagi kes Lina Joy yang akan membuat kita lebih serius terhadap agama kita? Kenapa mereka tidak berjuang untuk agama sendiri?”

Sebaliknya kini terdapat belia Melayu Islam sendiri mempersoalkan sejarah Melayu, menuduh kerajaan merekayasah cerita dan menghina pemimpin Melayu yang telah membuat begitu banyak pengorbanan untuk melihat Malaya bebas dari belenggu penjajahan. Lebih buruk lagi, belia inilah juga yang mempersoalkan ayat-ayat Al-Quran dan cuba menulis semula hadis dan nilai-nilai Islam untuk disesuaikan dengan dunia moden seperti kesaksamaan dan kehidupan tidak bermoral, kata Fatini.

Nasharudin melahirkan rasa sedihnya terhadap peningkatan jumlah remaja Melayu yang kini lebih terkenal dengan menunjuk perasaan memperjuangkan hak orang lain bukan untuk Melayu Islam.

Mereka juga melaungkan idea kesaksamaan agama yang akan membunuh kesucian Islam disamping memperjuangkan hak LGBT dan boleh berkahwin adalah perlakuan yang dianggapnya sebagai meludah ke muka Islam dan menganggapnya sebagai suatu perlakuan yang memalu dan menakutkan.

Kes Natrah adalah cerita sejarah dan cerita moral yang perlu diberitahu berulang kali kepada belia hari ini supaya mereka menginsafi tugas mereka sebagai penganut Islam dan pemimpin masa depan negara ini.

Nasharudin berharap legasi yang ditinggalkan Natrah akan membantu untuk mengingatkan belia Melayu betapa mudahnya untuk jatuh dan kehilangan rahmat dan beredar ke jalan yang gelap hingga tidak boleh berpatah balik.

ukm

Biografi Fatini Yaacob


Datin Sri Fatini Yaakob ialah seorang wartawan / editor majalah Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1981-1993). Beliau pernah menyiasat tentang Tragedi Natrah sehingga menemui Natrah di Amerika Syarikat tahun 1990-an.

Lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Kewartawanan/Penyiaran (1981) dan University College Cardiff, Wales, United Kingdom untuk ijazah Sarjana Pengajian Kewartawanan (1987). Fatini tinggal di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Buku Natrah

Pada 2010, Fatini Yaacob menulis buku 'Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha : Cinta, Rusuhan, Air Mata' terbitan Penerbit UTM . Buku ini hanya diterbitkan selepas Bertha / Natrah meninggal dunia pada 8 Julai 2009 .Fatini(50) pernah menemubual Maria Bertha Hertogh, (72) di Lake Tahoe, Nevada, Amerika Syarikat pada Januari, 1989.

Kajian itu bagi memperbetulkan persepsi Barat terhadap Timur tentang isu Natrah yang pernah menimbulkan kontroversi sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950 . Majalah Dewan Masyarakat keluaran Februari - Mei 1989 menyiarkan kajian biografi Natrah . Fatini telah menemui pelbagai individu yang terlibat. Fatini sedang mengusahakan bentuk dokumentari drama dan filem tentang Natrah. Natrah begitu signifikan kerana menjadi tokoh utama dalam Rusuhan Natrah 1950 atau Rusuhan Singapura 1950.

Dari tahun 1989 hingga 2009, Fatini tidak lagi menemui Bertha. Bertha pernah datang ke Kemaman, Terengganu pada Hari Raya Aidilfitri tahun 1997 tetapi tidak berkesempatan menemui Fatini. Bertha menziarahi Kamariah iaitu anak angkat keturunan Jepun, Che Aminah Mohamed, ibu angkat Natrah dan dia juga sempat ke Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura

6 Mac 2010, Naib Canselor UTYM, Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang mengumumkan Fatini Yaakob dilantik semula sebagai Karyawan Tamu UTM . Biografi Tan Sri Ainuddin Wahid, Naib Canselor pertama UTM sedang diusahakan

wiki

Comments