Chile Gempa


Chile digegar gempa bumi terkuat


SEORANG lelaki meninjau kemusnahan di pelabuhan Coquimbo akibat gempa bumi bermagnitud 8.3 yang melanda ibu kota Santiago, Chile, awal Khamis lalu.

ALICIA YOUNG dan suaminya sedang lena tidur ketika mereka dikejutkan dengan gegaran gempa bumi berskala 8.8 Richter yang menggegarkan Santiago, Chile, pada 27 Februari 2010.

Saat apartmen lapan tingkat yang didiami mereka bergoyang, pasangan suami isteri itu sempat merangkak untuk berlindung di bawah katil.

Barang-barang yang diletakkan di atas almari berlaga antara satu sama lain dan ada antaranya jatuh terhempas ke lantai.

Keadaan semakin membimbangkan apabila bekalan elektrik terputus, menjadikan suasana malam yang kelam semakin gelap.

Dalam kekalutan, Young dan suaminya meluru keluar dari kediaman mereka di tingkat tiga melalui tangga keselamatan sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Di luar, jalan raya yang biasanya lengang pada waktu malam dibanjiri penduduk yang ketakutan. Pasukan penyelamat termasuk polis, bomba dan ambulans ada di mana-mana bagi membantu meredakan situasi panik yang tercetus.

Gempa bumi yang berpusat di 325 kilometer (km) dari barat daya ibu kota Santiago pada kedalaman 35km itu turut mencetuskan tsunami setinggi 2.7 meter.

Menurut laporan Reuters, bencana alam yang dilaporkan berlaku pada pukul 3.34 pagi waktu tempatan itu mengorbankan sebanyak 525 orang dan memusnahkan beberapa bandar termasuk Curico, sebuah bandar yang dibina pada abad ke-18 dan bandar pelabuhan Talcahuano.

Sebagai rekod, gempa bumi itu juga disenaraikan sebagai yang kelima terburuk pernah direkodkan dalam sejarah Chile.

Chile sekali lagi diuji apabila gempa bumi kuat bermagnitud 8.3 menggegarkan bandar raya Santiago, awal pagi Khamis lalu.

Amaran tsunami

Seorang mangsa yang terselamat, Katie McColl berkata, dia dan rakannya Rose Rutherford serta dua lagi teman serumah sedang menikmati makan malam ketika kejadian itu berlaku.

Kedua-dua pelajar dari Universiti Kebangsaan Australia yang sedang mengikuti program pertukaran pelajar di negara itu bagaimanapun terselamat daripada bencana tersebut.

“Saya terkejut selepas meja makan tiba-tiba bergoyang dengan sendirinya. Saya fikir salah seorang daripada rakan saya yang menggerakkan meja itu, namun tiba-tiba kami merasakan satu gegaran yang kuat,” katanya.


GEMPA bumi kuat yang menggegarkan bandar Illapel, kira-kira 200 kilometer dari ibu kota Santiago turut meranapkan beberapa buah rumah.

Mengimbau kembali pengalaman ketika berhadapan dengan kejadian tersebut, McColl berkata, mereka menyelamatkan diri dengan berlindung di bawah meja.

“Saya berasa sangat takut. Waktu itu saya sedar ada sesuatu yang tidak kena lebih-lebih lagi gegaran tersebut lebih lama daripada biasa.

“Selalunya, jika ada gegaran pun, ia tidak lama, mungkin 30 hingga 60 saat, namun gegaran kali berpanjangan sehingga tiga minit lamanya,” cerita McColl.

Gempa yang disifatkan luar biasa itu turut mencetuskan ombak setinggi tiga meter sehingga Agensi Kecemasan Kebangsaan Chile terpaksa mengeluarkan amaran tsunami selain mengerahkan operasi menyelamat di beberapa kawasan pesisir pantai.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 12 orang dilaporkan maut, manakala 10 lagi cedera manakala lebih sejuta penduduk terpaksa berpindah.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, gempa itu turut mengakibatkan banyak rumah dan bangunan rosak dengan gegaran turut dirasai penduduk yang berada di Buenos Aires, Argentina, yang terletak 1,500 kilometer di timur Chile.

Menurut laporan media tempatan, seorang wanita berusia 26 tahun maut selepas dihempap dinding rumah yang runtuh di Illapel dengan seorang lagi mangsa berusia 86 tahun terkorban akibat serangan jantung.

“Sekali lagi kita terpaksa berdepan dengan malapetaka akibat bencana alam ini. Ia adalah yang keenam paling kuat dalam sejarah Chile dan terkuat di dunia sepanjang tahun ini,” ujar Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mahmoud Aleuy.

Paling kuat

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Persekitaran dan Bumi, Open University di England, Prof. Dr. David Rothery berkata, Chile terdedah kepada risiko yang tinggi terhadap fenomena gempa bumi kerana kedudukan yang terletak antara plat tektonik Amerika Selatan dan Pasifik.


SEBUAH bangunan di bandar Concepcion, Chile ranap dalam kejadian gempa bumi yang berlaku pada 27 Februari 2010.

“Chile selalu berhadapan dengan gempa bumi kuat. Biasanya satu gempa bumi dengan magnitud 8 atau lebih akan melanda negara ini dalam tempoh setahun dan gegaran pada skala 8.8 dijangkakan berlaku sekali dalam tempoh beberapa tahun,” katanya.

Sebelum ini, negara itu pernah dilanda gempa bumi paling kuat di dunia pada 22 Mei 1960 tidak jauh dari pusat gempa yang berlaku di Concepcion, Chile.

Gempa bumi berskala 9.5 Richter itu menyebabkan 1,655 orang terbunuh, manakala 3,000 lagi cedera serta dua juta hilang tempat tinggal. Ia juga mencetuskan tsunami yang menyebabkan 61 maut di Hawaii, Jepun (138) dan Filipina (32).

Meskipun Chile sering dilanda gempa bumi kuat, jumlah kematian akibat bencana boleh dikategorikan sebagai rendah berbanding negara-negara lain.

“Setakat ini, kadar kematian di Chile lebih rendah berbeza dengan Haiti yang menyaksikan lebih 300,000 orang maut dalam kejadian gempa yang berlaku pada 12 Januari 2010.

“Salah satu sebab yang mempengaruhi angka itu adalah kerana bangunan di Chile dibina mengikut piawaian pembinaan selain penduduknya sudah bersedia menghadapi gempa bumi berbanding di Haiti,” katanya.

kosmo online



Penduduk Chile masih trauma

Sep 19, 2015

COQUIMBO, Chile, 18 Sept (AFP) – Beratus-ratus penduduk Chile yang dalam keadaan trauma berada di tempat terbuka bagi malam kedua atau di tempat perlindungan malam semalam selepas gempa bumi luar pesisir dengan 8.3 magnitud mengakibatkan 12 orang terkorban.

Di bandar pantai Coquimbo, sentakan bumi di negara ini yang cenderung dilanda gempa bumi adalah jelas dan hodoh: bot menangkap ikan, sisa-sisa rumah, lori, gerai penjaja dan kereta yang bercampur aduk dihanyutkan oleh gelombang tsunami menunjukkan bukti keberangan laut.

Maria Zamorano, 60 tahun menceritakan bagaimana dia dan keluarga besarnya berlari dari pinggir pantai untuk menyelamatkan diri mereka dari ombak yang semakin meluru.

“Jika kami tetap di sini kami akan terkorban,” dia memberitahu AFP, ketika orang ramai perlahan-lahan dan berhati-hati kembali untuk melihat apa yang tinggal dari rumah mereka. Bandar itu terletak 400 km utara bandar Santiago.

Gempa bumi pada petang Rabu adalah keenam terkuat dalam sejarah Chile dan paling kuat di dunia tahun ini, kata para pegawai.

Sebuah bot nelayan yang terdampar setelah dihanyutkan oleh ombak tsunami di pelabuhan Coquimbo, kira-kira 445km utara Santiago. – AFP

Hampir sejuta orang dipindahkan dari kawasan pantai Pasifik sebagai langkah awal berjaga-jaga ketika Chile membunyikan amaran tsunami, dengan amaran dikeluarkan sejauh-jauhnya Jepun dan New Zealand.

Tetapi sehingga semalam, kebanyakan penduduk Chile yang dipindahkan telah pulang ke rumah.

Menteri Dalam Negeri Jorge Burgos berkata kira-kira 600 orang masih berada di tempat perlindungan atau di tempat lain dan kira-kira 650 buah rumah telah musnah, terutamanya di Cocquimbo.

Gempa bumi berlaku pada kedalaman cetek dan pusat gempa ialah 228 kilometer utara bandar Santiago, sebuah bandar yang mempunyai 6.6 juta orang, yang mana di situ berlaku hiruk pikuk ketika beribu-ribu orang melarikan diri dari bangunan yang tengah bergoyang-goyang.

Dalam tempoh beberapa jam kemudian, ombak tsunami setinggi 4.5 meter muncul melanda darat di rantau Coquimbo, yang mengakibatkan kerosakan teruk pada pelabuhan rantau itu. Lapan dari 12 orang mangsa berada di Coquimbo.

Kemusnahan juga berselerak di bandar pantai Illapel yang teruk terjejas, di selatan jauh. “Ia adalah mimpi ngeri,” Maria Ramirez memberitahu AFP ketika dia menyapu serpihan-serpihan di luar rumahnya.

“Kami merasakan gegaran bagi tempoh lama, terlalu lama. Dan kemudian berlaku kejutan lanjur – ia dahsyat. Saya tidak dapat terus berdiri, tetapi nasib baik kami masih hidup.”

Presiden Michelle Bachelet menziarahi kawasan yang dilanda gempa untuk meninjau usaha menyelamat dan Setiausaha Negara John Kerry mengatakan Amerika Syarikat sedia untuk membantu.

media permata




Comments