Awang Batil Ke Jepun

Romli bawa Awang Batil ke Jepun


Kecintaan Romli terhadap seni mendorongnya untuk setia menjadi Awang Batil.

APALAH yang boleh difahami oleh seorang kanak-kanak berumur enam tahun tatkala mendengar penglipur lara bercerita. Namun, kehebatan golongan itu ialah mereka mempunyai kemahiran menghafal yang tinggi walaupun proses pencerapan agak kurang.

Perkara yang sama berlaku kepada Romli Mahmud, 60, atau lebih dikenali sebagai Pak Romli apabila didendangkan cerita dalam bahasa Melayu lama pada setiap malam.

Disebabkan selalu mendengar, dia mengingati kisah-kisah-kisah seperti Awang Golok Besar, Awang Denoi dan Awang Akar Narak. Malah, menjadi kelaziman cerita itu diperturunkan melalui kaedah hafalan dan bukan dibukukan.

Pak Romli berkata, cerita-cerita yang didengari itu kini diceritakan kembali kepada anak-anak dan khalayak umum melalui persembahan yang dinamakan Awang Batil.

Awang Batil merupakan penglipur lara yang terkenal di Perlis. Ia menyampaikan cerita oleh seorang pencerita yang digelar Awang Batil menggunakan beberapa prop seperti topeng dan serunai.

Paling membanggakan buat diri penglipur lara atau satu-satunya Awang Batil yang masih ada di Perlis itu, dia berjaya membawa himpunan hikayat tersebut hingga ke Jepun.

“Saya tidak menyangka ia boleh sampai ke negara Matahari Terbit itu kerana seni warisan yang dipertahankan daripada pupus.

“Kini, saya mampu berbangga kerana jika sebelum ini ia didengari warga Singapura, kini Awang Batil semakin jauh tersebar. Mungkin orang Jepun tidak faham apa yang saya tuturkan tetapi sekurang-kurangnya mereka melihat bagaimana bentuk persembahan penglipur lara warisan Melayu berusia kira-kira 300 tahun itu dibawakan,” cerita Pak Romli ketika ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Kembara selama lima hari yang dibawakan oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dengan kerjasama Mutiara Arts Production dan Hati Malaysia di Jepun itu bertujuan untuk memperkenalkan persembahan Awang Batil dan Tarik Selampit di negara Matahari Terbit tersebut.

Jelas penerima Tokoh Warisan Orang Hidup oleh Jabatan Warisan Negara itu, Petronas telah memberikan geran kepada penggiat seni warisan sepertinya untuk menjadi pendorong melestarikan seni persembahan Awang Batil.


“Geran ini juga membantu usaha untuk mengetengahkan Awang Batil kepada masyarakat terutamanya generasi muda, sekali gus menumbuhkan rasa cinta dan hormat mereka terhadap khazanah budaya Malaysia yang unik ke luar negara,” ujar Pak Romli yang bersedia menurunkan ilmu dan warisan itu kepada sesiapa yang berminat khususnya golongan belia.

Bagaimanapun, hanya mereka yang benar-benar berminat dan berjiwa seni boleh mendalami karakter Awang Batil kerana menurut Pak Romli, ia tidak mudah walaupun nampak senang.

Tiada jaminan

Sebagai penglipur lara yang menyampaikan cerita kepada audiens, kemahiran bercerita, bermain dengan intonasi suara dan menggunakan prop perlu selari dengan babak yang diceritakan. Malah, tiada jaminan tentang tempoh masa proses pembelajaran yang ditempuhi kerana ia bergantung kepada kebolehan masing-masing.

“Ada masanya, Awang Batil akan memakai topeng, meniup seruling dan bercerita. Paling penting, cerita-cerita yang disampaikan itu perlu dihafal oleh mereka yang ingin belajar kerana tiada skrip cerita yang dibukukan.

“Semuanya melalui kaedah hafalan. Ingatan mesti kuat kerana setiap cerita yang disampaikan ada masanya boleh mencapai sejam dan lebih daripada itu,” terangnya yang pernah bercerita sehingga tiga jam.

Antara cerita yang dihafal Pak Romli ialah Awang Akar Narak, Awang Kambing Berak Keluar Emas dan Awang Golok Besar. Setiap cerita yang dibawa kebanyakannya diselitkan dengan unsur komedi tetapi mengandungi nasihat.

“Sebagai contoh, cerita Awang Golok Besar yang bersikap lurus bendul dan akan mengikut satu persatu arahan yang diberikan kepadanya.

“Bagaimanapun, dalam sifatnya itu, Awang Golok Besar merupakan seorang yang jujur dan amanah,” kongsinya sambil memberitahu, cerita itu antara kisah yang sering dibawakan kepada penonton kerana penuh dengan komedi.

Anak jati Perlis itu berkata, dia bertuah kerana mewarisi bakat seni daripada ayahnya, Mahmud Wahid yang aktif membuat persembahan sebagai Awang Batil di sekitar negeri tersebut selain mengajar muzik tradisional.


Romli menerima Pingat Jasa Kebaktian pada 2006 daripada Raja Muda Perlis selepas berbakti memperjuangkan Awang Batil.

“Ayah satu-satunya orang yang boleh memainkan watak Awang Batil ketika beliau masih hidup. Dia merupakan generasi keempat yang mewarisi kemahiran itu selepas gurunya, Tok Mat Salmom manakala saya adalah pewaris kelima,” beritahu suami kepada Narisah Abd. Rahman itu.

Sehingga kini, Pak Romli merupakan satu-satunya Awang Batil yang ada selepas ayahnya menghadap Ilahi lebih sedekad lalu.

Bercerita tentang penglibatan itu, selain selalu mendengar ayahnya bercerita, Pak Romli yang merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik juga selalu mengikuti ayahnya mengajar muzik tradisional di Perlis.

Sambil melihat Mahmud menyampaikan muzik, Pak Romli secara tidak langsung turut menerima ilmu. Seawal umur lapan tahun, dia sudah memukul gong untuk membuat persembahan selampit di hadapan khalayak ramai di negeri kelahirannya itu.

Sebagai anak lelaki bongsu, bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia sangat rapat dengan Mahmud dan sering mengikuti bapanya itu membuat persembahan Awang Batil serta persembahan muzik.

“Ayahlah bapa dan guru. Saya banyak belajar daripada dia terutama yang melibatkan aliran seni untuk membina kerjaya sekarang,” terang Pak Romli yang pernah berkunjung ke Switzerland beberapa dekad lalu untuk membuat persembahan muzik selama sebulan.

Sebagai langkah untuk menjaga suara dan mengekalkan tenaga ketika bercerita, Pak Romli mengutamakan pemakanan seperti tidak makan terlalu kenyang, tidak akan makan diselangi minum air dan tidak makan ketika hampir waktu persembahan.

Tamak haloba

“Kalau mahu jadi orang seni, perlu bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa kerana bukannya mudah untuk mengajak orang menggemari sesuatu yang lama.

“Jangan sesekali berfikir mahu kaya atau tamak haloba. Ikhlaskan diri bila berkarya dengan niat untuk menghiburkan orang dan memberikan teladan melalui cerita yang dibawa.

“Orang muda perlu mengenal seni dan warisan bangsa kerana inilah satu-satunya harta yang kita ada bagi membezakan kita dengan bangsa-bangsa lain.

“Walaupun saya hanya bersekolah sehingga darjah enam, kesungguhan memperjuangkan seni mendatang pulangan dalam bentuk kepuasan dan wang kepada diri serta keluarga yang banyak menyokong perjuangan ini,” beritahunya yang pernah menerima bayaran sehingga RM2,000 untuk satu persembahan selama 10 minit.

Pak Romli memberitahu, itu adalah bayaran termahal yang pernah diterima. Bagaimanapun, peristiwa tidak dibayar ketika membuat persembahan menghadirkan sedikit kekecewaan kepadanya.

“Ia antara kenangan pahit yang dilalui sepanjang bergelar anak seni,” luahnya yang enggan mengingat kisah silam itu.

Ketika ditebak tentang bayaran untuk persembahan yang dilakukan, anak seni itu berkata, tiada harga yang ditetapkan.

Baginya, tiada nilai untuk diletakkan pada sebuah warisan.

“Biarlah orang menilai sendiri,” katanya.

kosmo

Comments