Zaiton : sukan dan pelajaran

Memori zaman kecil Zaiton
Oleh ZUBAIDAH IBRAHIM


DI tengah-tengah kehijauan ladang getah yang terletak di kampung Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang, kedengaran keriuhan suara kanak-kanak bermain lumba lari dan melakukan pelbagai aktiviti riadah dalam keredupan cuaca petang.

Dari kejauhan kelihatan seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun berlari bersungguh-sungguh untuk mengalahkan seorang rakan yang mengejarnya. Nasib menyebelahi kanak-kanak perempuan itu apabila dia sekali lagi dinobatkan sebagai juara dalam acara itu. Selepas itu, mereka melakukan aksi lompat tinggi dan beberapa permainan dengan lagak seorang atlet beraksi di padang.

Menariknya, setiap pemenang akan diraikan dengan diberi trofi yang dibuat daripada kulit rokok berwarna emas, perak dan gangsa. Selain itu, buah-buah seperti rambutan, sengkuang asam dan sentul dijadikan hadiah.

Bagi menyediakan podium, beberapa kepingan papan disusun atas bata mengikut ketinggian yang berbeza sebagai tempat menyampaikan hadiah.

Siapa sangka aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Zaiton Othman, 56, pada zaman kanak-kanaknya telah melahirkan seorang tokoh sukan heptatlon dan olahragawati terkemuka tanah air.

Zaiton bukan calang-calang orang. Beliau merupakan antara atlet olahraga yang berjaya di pentas antarabangsa. Sepanjang bergelar atlet, pelbagai anugerah telah diraih seperti Olahragawati Kebangsaan pada tahun 1982 dan pemegang rekod kebangsaan heptatlon di Sukan SEA Manila 1981.

Dek kerana kejayaan dan sumbangannya dalam bidang sukan membolehkan beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan

berkuat kuasa pada 1 Februari 2015. Beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita dan bekas atlet pertama menyandang jawatan itu.

Galas tanggungjawab

Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN). Zaiton memulakan perkhidmatan pertamanya di MSN sebagai pegawai sukan pada September 1989.

Menurut Zaiton, pelantikan sebagai Pesuruhjaya Sukan merupakan penghargaan terbesar buat dirinya yang telah berkecimpung dalam bidang sukan lebih empat dekad. “Saya sangat terharu kerana pelantikan ini merupakan satu penghormatan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Ia juga satu penghargaan kepada kaum wanita.

“Saya berjanji akan menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan akan belajar banyak lagi mengenai peranan serta tugas sebagai Pesuruhjaya Sukan agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik,” kata ibu kepada seorang cahaya mata perempuan.

Wanita yang berketinggian 165 sentimeter itu bukan sahaja berjaya dalam bidang sukan tetapi turut menjadi pelajar terbaik sejak sekolah rendah sehingga peringkat pengajian tinggi.

Antara anugerah yang pernah diterima oleh beliau adalah anugerah pelajar terbaik secara keseluruhan semasa menuntut di Maktab Perguruan Ilmu Khas dan Anugerah Emas Canselor selepas dinobatkan sebagai pelajar terbaik sempena Majlis Konvokesyen di Universiti Pertanian Malaysia.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang dan meneruskan sekolah menengahnya di St. George’s Girls’ School, George Town, Pulau Pinang.

Beliau kemudian menyambung pengajian ke Maktab Perguruan Ilmu Khas, ijazah sarjana muda dalam Pendidikan Jasmani di Universiti Pertanian Malaysia dan Ijazah sarjana dalam Psikologi Sukan Gunaan dari San Diego State University, California.

Anak kacukan Melayu dan Cina itu tidak lokek berkongsi resipi kejayaannya baik dalam bidang sukan dan pelajaran. Menurut Zaiton, pengurusan emosi adalah asas penting untuk berjaya dalam apa jua bidang. Di samping sikap tidak berputus asa.

“Semasa belajar dulu saya telah melatih diri agar tidak membawa bebanan sebagai atlet ketika mengikuti pembelajaran di dalam kelas dan begitu juga apabila berada di padang.

“Perkara yang sama saya terapkan kepada para pelajar dan atlet. Apabila menyertai kejohanan, kekuatan fizikal tidak akan dapat membantu mereka sekiranya mental berada dalam keadaan tidak stabil sehingga mengganggu keupayaan diri memberikan aksi yang terbaik,” jelasnya.


Kecemerlangan Zaiton (tengah) dalam sukan olahraga membolehkannya dianugerahkan Olahragarawati Pulau Pinang pada tahun 1981.

Bercerita mengenai kecintaannya dalam bidang sukan dan acara heptatlon, anak kelapan daripada sembilan beradik itu memberitahu, aktiviti yang dilakukan ketika zaman kanak-kanaknya banyak membantu membina keyakinan serta keupayaannya sebagai seorang atlet.

Sejak kecil dia meminati aktiviti lasak dan lebih cenderung untuk bermain permainan yang digemari oleh kanak-kanak lelaki seperti melastik burung, memanjat pokok dan membaling batu untuk mendapatkan buah-buahan. Di samping itu, beliau turut membantu ayahnya, Othman Che’ Meh seorang pekebun getah untuk menipiskan getah sehingga membentuk kekuatan pada tangannya.

Kekuatan fizikal

“Sejak kecil saya amat mencintai bidang sukan dan melakukan aktiviti lasak. Tanpa disedari ia membina kekuatan fizikal dan apabila bertanding di padang saya mampu mengalahkan peserta dewasa.

“Ia juga membantu saya melakukan acara heptatlon kerana aktiviti seperti lumba lari, lompat tinggi, membantu ayah menipiskan getah dan lain-lain sewaktu kecil membolehkan saya untuk melakukan lebih daripada satu jenis sukan,” katanya yang gemar berkebun pada waktu lapang dan sangat meminati bunga ros.

Kebolehannya itu disedari oleh gurunya ketika melakukan Ujian Daya Tenaga Asas. Mereka amat terkejut dengan kekuatan fizikal Zaiton yang tidak sama dengan rakan-rakan seusianya. Sehubungan itu, beliau diberi peluang mengikuti acara sukan di sekolah. Sejak darjah empat Zaiton telah mewakili sekolah untuk lumba lari 100 meter berganti-ganti.

Heptatlon adalah acara yang menggabungkan tujuh jenis sukan iaitu lari berpagar, lontar peluru, lompat tinggi, lumba lari 200 meter, lompat jauh, lontar lembing dan lumba lari 800 meter. Atlet heptatlon perlu menyempurnakan kesemua sukan itu dalam satu pertandingan.

Perkataan heptatlon berasal daripada perkataan Greek hepta (tujuh) and athlon (pertandingan). Peserta pertandingan heptatlon dirujuk sebagai heptatlet.

Mengimbau kekecewaan ketika ingin mewakili Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (MSSPP) bagi menyertai kejohanan sukan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia kerana masalah teknikal dan kekurangan bajet, beliau menyifatkan ada hikmah yang tersembunyi di sebalik kejadian itu.

“Pada ketika itu saya sangat kecewa kerana hanya seorang sahaja terpilih untuk mewakili MSSP dan merasakan diri tidak cukup hebat sehingga gagal tercalon untuk menyertai kejohanan itu menyebabkan saya menjalani latihan berganda.

“Seorang pelepas, Lionel Rajamoney yang menyedari kekecewaan saya telah menasihati agar tidak berputus asa dan menaruh keyakinan yang tinggi dalam masa dua tahun pasti saya dapat menjadi wakil negara. Benar katanya, pada umur 15 tahun saya telah mewakili negara buat pertama kali di Singapore Open dalam acara lumba lari 400 meter,” jelasnya.

Sementara itu, pengalaman yang paling manis yang masih kekal dalam memori Zaiton sepanjang bergelar atlet ialah ketika memenangi tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa di temasya Sukan SEA, Manila pada tahun1981.

Pada ketika itu, beliau memperoleh emas dalam acara heptatlon, lumba lari 4x100 meter dan 4x400 meter. Beliau memperoleh pingat perak dalam acara lompat tinggi dan gangsa bagi lompat jauh. Kejayaannya itu telah mencipta rekod baharu di Sukan SEA.

Di sebalik kemanisan yang dikecapi oleh jaguh sukan negara itu terselit kepahitan apabila beliau mengalami kecederaan tulang belakang semasa menjalani latihan di Jerman pada tahun 1982. Tetapi dalam kesakitan Zaiton tetap meneruskan perjuangan dalam acara heptatlon dan lumba lari 4x400 meter di Sukan Asia di New Delhi.

“Saya berpegang kepada pesanan arwah ayah agar melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa. Oleh itu, saya masih ingin menyempurnakan misi pada acara sukan tersebut walaupun mengalami kecederaan.

“Syukur, walaupun bertanding dalam keadaan sakit, saya berjaya mendapat tempat keempat dan saya telah dianugerahkan Olahragawati Kebangsaan pada tahun tersebut,” tuturnya.

kosmo

Comments