Tentang "Kapsul"

Kapsul cipta sejarah
Oleh RASDAN AHMAD
23 Ogos 2015






FILEM Kapsul yang diterbitkan oleh Two Tones Sdn. Bhd. dan akan ditayangkan pada 17 September nanti melakar sejarah apabila berjaya memujuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) untuk terbabit sama menjayakan filem itu. Penampilan Tun M melakonkan lima babak berdialog dengan teraju utama filem tersebut, Faizal Hussein memberi kesan kepada keseluruhan filem itu yang sebelum ini telah diarahkan oleh Allahyarham Martis Mohd Ali.


Menyambung pembikinan yang tergendala, penerbit filem Kapsul, Amru Najmi Osman berkata, pernah menyebut untuk membawa Tun M sebagai pelakon dalam Kapsul kerana percaya Tun M akan memberi kesan yang besar kepada keseluruhan filem yang bertemakan kenegaraan ini.

“Pada awalnya memang saya tergelak dengan idea arwah, saya tidak tahu mengapa arwah cukup beria-ia untuk mendapatkan Tun M. Namun sekarang baru saya tahu sememangnya kesan daripada Tun M memang cukup besar. Ditambah pula pencapaian beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia paling berjaya.

“Saya juga bersyukur dan berpuas hati apabila hasrat Martias untuk membawa Tun M dalam filem ini berjaya dilaksanakan namun terkilan arwah tidak dapat melihat filem yang diusahakannya ini,” jelas Amru ketika dihubungi Pancaindera baru-baru ini.

Tambah Amru lagi, untuk mendapatkan Tun M sememangnya cukup sukar, beberapa perbincangan telah diadakan sejak arwah Martias mula-mula mengarahkan filem ini lagi, namun gagal.


“Selepas Tun M pulang dari mengerjakan umrah pada awal tahun lalu, barulah keputusan positif diterima itu pun selepas pegawai-pegawai khas Tun M melihat draf pertama filem Kapsul.

“Peluang ini saya gunakan dengan sebaik mungkin, paling saya tidak sangka adalah komitmen yang ditunjukkan oleh Tun M dalam menjayakan filem ini sebenarnya di luar jangkaan saya.

“Setiap dialog yang dilepaskan oleh Tun M sebenarnya berlainan daripada skrip asal, namun apa yang diluahkan sebenarnya lebih bertepatan dan lebih kuat dari skrip asal. Mungkin itu disebabkan pengalaman Tun M ketika menerajui negara suatu waktu dulu dan beliau faham kehendak skrip filem ini,” jelasnya.

Dalam pada itu Amru, juga turut gusar apabila ada pihak yang cuba mencetuskan sentimen negatif dengan mengaitkan filem terbitannya dengan sentimen politik semasa.

“Filem ini tidak ada kena mengena dengan sentimen politik sebaliknya hanya fokus kepada perjuangan bangsa Melayu. Kemunculan Tun M melengkapkan jalan cerita filem ini berdasarkan kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam di Putrajaya ketika pentadbirannya.

“Semua pelakon yang terbabit begitu teruja kerana Tun M bersetuju untuk turut berlakon dalam filem ini. Kesan yang diberikan oleh Tun M tidak dinafikan begitu besar sekali buat filem Kapsul ini," tambahnya.

Filem ini mampu membuatkan penonton sebak dan menangis melihatkan semangat perjuangan perwira kita dulu. Filem ini yang menjalani penggambaran awal tahun lalu adalah hasil intepretasi Martias berkenaan bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul itu mengenai amanat Tun M menjelang tahun 2020.

Filem Kapsul turut diperkuatkan dengan penampilan khas Rahim Razali, Ahmad Tarmimi Siregar, Adlin Aman Ramli dan Irfan Khairi ini bakal menemui penonton seluruh negara mulai 17 September ini. Martias meninggal dunia pada 29 Mei 2014 kerana kanser darah.

urtusan online


Kapsul tanpa isu perkauman
Kapsul punya agenda patriotik
18 Ogos 2015

 KEMUNCULAN Dr. Mahathir Mohamad dalam beberapa babak menjadikan Kapsul sebagai filem yang begitu istimewa.

KOS RM2.3 juta dengan membabitkan seorang figura terkenal dalam sebuah filem mungkin agak mustahil untuk kita bayangkan.

Penampilan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, 90, dalam filem Kapsul merupakan satu kejayaan manis buat Two Tones Sdn. Bhd.

Tanpa mahu membicarakan soal bayaran terhadap Dr. Mahathir, penerbitnya, Amru Najmi Osman hanya bercita-cita tinggi untuk filem tersebut berjaya menyampaikan mesejnya tersendiri.

“Dengan pembabitan Dr. Mahathir, filem ini akan memberi impak kepada masyarakat tentang pentingnya bangsa Melayu bersatu demi negara. Mesej seperti nilai muafakat itu yang cuba disampaikan. Saya tidak mahu menerbitkan filem yang tiada mesej.

“Kehadiran Dr. Mahathir adalah sebagai pelengkap berdasarkan kisah kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam di Monumen Putrajaya semasa pentadbirannya.

“Tiada kaitan dengan keadaan politik semasa. Ini adalah atas permintaan pengarah dan hanyalah sebuah filem yang berkisar tentang perjuangan Melayu dahulu serta tiada unsur perkauman kerana tidak membabitkan kaum lain,” katanya sambil memberitahu beberapa lokasi telah digunakan seperti Kuala Kangsar, Lenggong, Sayong, Ipoh, Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya dan Klang untuk penggambaran.

Dengan berlatarkan lima era yang berbeza, filem Kapsul yang akan ditayangkan pada 17 September ini diterajui oleh 30 orang pelakon terkenal tanahair dan hampir 200 orang pelakon tambahan. Antaranya, Faizal Hussein, Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Adlin Aman Ramli, Jue Aziz, Fadilah Mansor, Normah Damanhuri dan Elly Mazlein.

Tidak ketinggalan filem ini juga bakal memaparkan penampilan khas jutawan pakar perniagaan internet Malaysia iaitu Irfan Khairi yang berlakon filem buat kali pertama.


Merupakan ilham dari pengarah filem itu sendiri, Allahyarham Martias Mohd. Ali, Kapsul merupakan sebuah penerbitan filem cereka bergenrekan fiksyen tentang kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam Dr. Mahathir.

Filem ini merupakan satu idea besar dan cubaan berani gabungan di antara penulis dan pengarah serta penerbit mengangkat detik-detik sejarah perjuangan orang Melayu membangunkan negara merentasi zaman dan dipersembahkan ke layar perak dalam bentuk yang agak kontemporari berbeza dengan filem-filem berasaskan sejarah yang lain.

Kapsul mengisahkan perjalanan hidup seorang anak Melayu yang hidup di zaman serba moden ini tetapi berpeluang menelusuri masa lampau melangkaui beberapa dekad bagi melihat sendiri perjuangan orang Melayu yang penuh dengan jalan berliku serta ranjau dan duri demi membangunkan sebuah negara bernama Malaysia.

Sementara itu, Amru turut memberitahu, Dr. Mahathir juga turut berdialog dengan pelakon utamanya, Faizal Hussein.

“Dr. Mahathir bersetuju membintangi filem ini disebabkan jalan ceritanya memaparkan perjuangan bangsa Melayu sejak zaman dahulu.


“Filem ini telah menjalani penggambaran tahun lalu dan kami cuba memberikan kelainan dalam persembahannya dengan suntikan elemen-elemen moden menerusi teknologi imej janaan komputer (CGI) serta plot cerita yang jarang dilihat dalam penerbitan filem mahupun drama di negara ini.

“Kira-kira 60 peratus elemen CGI yang direka dan dibangunkan sendiri oleh kakitangan syarikat yang kesemuanya adalah anak tempatan,” katanya yang bercita-cita memeriahkan lagi dunia perfileman tanah air melalui penghasilan filem-filem berkualiti tinggi dan mempunyai keunikan serta kekuatan tersendiri seperti filem The Adventure of Buntat.

Malangnya, cita-cita pengarahnya untuk melihat sendiri filem ini di layar perak tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada 29 Mei 2014 ketika usianya 46 tahun, setelah terlantar selama hampir sebulan di hospital akibat penyakit kanser darah.

Allahyarham hanya sempat terlibat dalam proses penggambaran serta suntingan awal sahaja dan filem ini kemudiannya berjaya disiapkan oleh pihak penerbit hampir 14 bulan selepas ketiadaannya.

utusan online

Kapsul - merentas zaman
Oleh RASDAN AHMAD


FILEM patriotik atau bersifat kenegaraan biasanya berkait rapat dengan jati diri bagi meningkatkan rasa kecintaan para penonton terhadap negaranya.

Elemen-elemen sejarah yang mengaitkan para pemimpin atau seseorang tokoh juga sering digunakan sebagai daya tarikan.

Antara filem-filem patriotik tempatan yang terkenal yang mengisahkan perjuangan menentang penjajahan di Tanah Melayu antaranya Sarjan Hassan dan Bukit Kepong.

Meneruskan kesinambungan penghasilan filem-filem kenegaraan bagi memenuhi keperluan semasa, Leftenan Adnan dan Tanda Putera dihasilkan bagi dijadikan bahan rujukan untuk tatapan generasi akan datang.

Terkini filem berjudul Kapsul dihasilkan dalam memperjuangkan wadah kenegaraan selepas empat tahun 'diperam' yang ditulis skripnya oleh Allahyarham Martias Mohd. Ali.

Sudah hampir 90 peratus siap menurut pengarahnya, Amru Osman, Kapsul dijangkakan akan ditayangkan pada Mac tahun hadapan.

Latar masa berbeza

Filem yang mempertaruhkan pelakon Faizal Hussein yang memegang watak Zohri Ibrahim dilihat merupakan watak yang cukup kuat bagi membawa penonton menjelajah ke dalam filem ini.

Berbeza dengan filem-filem kenegaraan yang biasa kita tonton sebelum ini, rata-ratanya hanya menggunakan satu latar masa sahaja seperti ketika serangan Jepun mahupun ketika komunis bermaharaja di Tanah Melayu.

Namun filem ini menggunakan empat latar masa yang berbeza bagi memberi impak kefahaman maksimum tentang eleman kenegaraan kepada penonton.

Empat latar masa yang dipilih melibatkan ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, era 1955 iaitu ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, zaman pemerintahan Tun Abdul Razak dan ketika era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Filem ini ibarat seperti filem-filem merentas masa terkenal antaranya Back To The Future dan Time Machine yang diterbitkan di Hollywood.

Namun kelainan bagi filem ini adalah dari sudut wacana serta pemikirannya, bukan sebuah filem kosong tetapi filem mempunyai mesej yang cukup mendalam.

Filem yang mengambil masa penggambarannya selama 25 hari ini juga boleh dijadikan sebagai propaganda berkesan bagi menyedarkan masyarakat Melayu yang kini dilihat semakin lupa tentang keperitan sebelum merdeka.

Bermula dengan berperang ketika era Perang Dunia Kedua inilah perjalanan Zohri berubah-ubah bagi menunjukkan bagaimana keperitan bangsa Melayu bagi mempertahankan tanah air sendiri.

Pengalaman penggembaraan Zohri ini ditunjukkan bagi memastikan penonton juga turut merasai yang sudah berlaku ketika zaman Tanah Melayu yang masih belum merdeka sehinggalah kini dikenali sebagai Malaysia.

Keperitan para pejuang terdahulu termasuk para pemimpin yang banyak berjuang selama ini menjadi intipati berguna kepada penonton agar mengingati peranan mereka dalam memastikan kemerdekaan negara.

Teknik pengimejan komputer (CGI) turut digunakan dalam filem ini bagi mencantikkan lagi 'penggunaan' latar masa yang berlainan.

"Judul Kapsul juga diambil daripada kisah sebuah kapsul yang ditanam oleh Tun Dr. Mahathir yang megandungi tulisan rahsia dan kapsul tersebut juga dikatakan hanya akan dibuka pada tanggal 1 Januari 2020.

"Saya turut berharap agar filem ini akan memberi sesuatu pengajaran kepada penonton," jelas Amru yang turut menyatakan kos keseluruhan penghasilan filem ini sebanyak RM 2.4 juta.

Selain Faizal filem yang menggunakan slogan 'kau perlu merasai untuk kau memahami ini' turut membariskan beberapa nama besar yang lain antaranya Zamarul Hisham, Harianto, Zila Bakarin, Jue Aziz dan Elly Mazlin.


utusan online



Comments