seni topeng



Uniknya topeng
JKKN anjur MIMAF untuk tonjolkan keunikan topeng dari serata dunia
14 Ogos 2015


KEUNIKAN topeng dari Korea Selatan yang boleh dilihat pada Festival Topeng Antarabangsa Malaysia.

TOPENG membawa pelbagai konotasi. Ada yang dikaitkan dengan kejahatan, untuk menakutkan orang malah bagi tujuan menipu. Tetapi sejak dari zaman dahulu, topeng juga mampu menghiburkan apabila ia sering digunakan dalam pementasan dan sebagainya.

Malah topeng wujud dalam dalam semua masyarakat di dunia ini. Kehadirannya sudah tentu untuk kegunaan yang pelbagai. Setiap masyarakat ada identiti topengnya yang tersendiri serta tujuannya juga berbeza.



Di Malaysia misalnya, Orang Asli suku Mah Meri di Pulau Carey, Selangor terkenal dengan seni menghasilkan topeng mereka. Topeng merupakan sebahagian daripada budaya unik Mah Meri.

Bagi membawa keunikan topeng setiap masyarakat dunia supaya lebih dikenali oleh rakyat Malaysia, Kementerian kebudayaan dan Pelancongan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Nasional (JKKN) telah menganjurkan Festival Topeng Antarabangsa Malaysia (MIMAF) dari 13 hingga 16 Ogos di Esplanade, Taman KLCC.

Ini merupakan kali pertama program ini diadakan di Malaysia yang merupakan antara program utama yang dapat menarik pelancong dari seluruh dunia untuk berkunjung ke negara ini.

Festival ini juga bermatlamat untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa berhubung dengan budaya topeng yang terdapat di serata dunia terutama untuk mengetahui lebih dekat keunikan topeng berkenaan dan tujuan penghasilan dan pemakaiannya.

Melalui festival ini akan mendedahkan perenan topeng itu serta sifat kesejagatannya berdasarkan kepada jenis-jenis topeng yang dihasilkan termasuk fungsi dan peranannya.

Pemilihan KLCC sebagai lokasi festival juga selari dengan kedudukannya yang merupakan pusat membeli-belah ikonik yang bukan sahaja menjadi tumpuan ramai tetapi juga menempatkan jenama-jenama antarabangsa yang unik.

Pemilihan lokasi ini kerana kedudukannya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur dan menjadi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara. Sudah tentu kehadiran festival topeng ini akan menambahkan lagi tarikan kepada pengunjung.


Festival selama empat hari ini membabitkan 379 penyertaan termasuk 287 penyertaan dari Malaysia, di samping 92 penyertaan dari luar negara.

MIMAF terdiri daripada beberapa komponen utama seperti persembahan, pameran, demonstrasi, pertandingan dan perarakan.

Komponen persembahan pula melibatkan pertunjukan daripada negara-negara yang terlibat. Pameran akan menampilkan topeng dan pakaian sementara demonstrasi pula membabitkan mengukir dan mewarna topeng.

Pada masa sama terdapat pertandingan mewarna dan mengecat topeng, sementara perarakan akan membabitkan peserta yang memakai topeng dan kostum menarik. Mereka akan berarak sejauh satu kilometre melalui Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P Ramlee dan Suria KLCC.

Tarikan utama ialah persembahan daripada negara-negara yang mengambil bahagian di tempat-tempat yang menjadi tarikan pelancong seperti Pasar Seni, Sungai Wang Plaza dan Nu Sentral.

Matlamat MIMAF ialah untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan kebudayaan dunia dengan mengketengahkan budaya topeng dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

utusan online


Malam Gala Festival Topeng Antarabangsa 2015 Meriah
14 Ogos 2015 12:42 PM

Aneka topeng pelbagai bentuk dan warna dipersembahankan di Festival Topeng Antarabangsa Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan KPK melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Esplanade KLCC di sini malam ini. Festival tersebut berlangsung dari 13 sehingga 16 Ogos ini.


KUALA LUMPUR: Topeng unik pelbagai bentuk, kostum berwarna-warni sarat dengan aksesori menjadi antara tarikan utama pengunjung pada malam gala Festival Topeng Antarabangsa Malaysia 2015 di Esplanade, KLCC, Khamis malam.

Festival yang julung kali diadakan itu melibatkan seramai 379 peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, China, Thailand, Filipina, Rusia, Indonesia dan Sri Lanka.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, festival bertemakan 'Menyelusuri masa... Setiap wajah ada cerita' itu bermaksud setiap topeng yang digunakan mempunyai nilai identiti dan fungsi tersendiri mengikut budaya masyarakat tertentu.

"Festival ini dapat mempamerkan kepada masyarakat tentang kekayaan seni budaya dan tradisi etnik, contohnya di negara kita terdapat seni bertopeng daripada etnik Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, Selangor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan festival itu.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Ong Hong Peng, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli.


Kumpulan Teo Chew PUPPTN Opera dari Pulau Pinang mewakili Malaysia membuat persembahan di malam gala Festival Topeng Antarabangsa Malaysia di Esplanade KLCC .


Acara malam gala itu diserikan dengan pertunjukan pengenalan oleh setiap negara menerusi persembahan tarian bertenaga yang mempamerkan identiti sosio budaya kaum atau etnik masing-masing menerusi reka bentuk topeng, kostum, prop dan aksesori hiasan.

Antara jenis tarian menarik yang dipersembahkan kepada pengunjung tempatan dan luar negara di sini ialah tarian 'ballroom' (Rusia), opera (China), tarian singa (Korea Selatan) dan lain-lain lagi.

Berlangsung mulai Rabu lalu sehingga Ahad ini, festival topeng ini juga menyediakan program menarik seperti perarakan topeng pada hari ini serta persembahan penuh oleh peserta-peserta pada Sabtu dan Ahad. -- Bernama

mstar










Comments