#sehatisejiwa



#Sehatisejiwa Tema Sambutan Hari Kebangsaan 2015
6 Jun 2015 



KUALA LUMPUR: #sehatisejiwa dipilih sebagai tema bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tema itu dipilih kerana ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini.

"Misalnya, gempa bumi di Sabah dan bencana alam seperti banjir besar yang berlaku di negeri-negeri Semenanjung baru-baru ini turut dirasai dan terkena tempiasnya oleh seluruh rakyat Malaysia.

Perasaan ini seharusnya dirasai bersama. Sebab itulah tema #sehatisejiwa dipilih bagi melambangkan semangat kesepaduan tersebut yang dimiliki oleh semua rakyat tidak kira di mana mereka berada," katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka, Sabtu.

Ahmad Shabery berkata mulai tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lagi disebut berdasarkan ulang tahun, sebaliknya mengikut tahun.

"Ia dilihat sebagai prinsip kesamarataan antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak kerana penggabungan Malaysia yang sebenarnya pada 16 September, dan 31 Ogos hanya melibatkan Semenanjung sahaja," katanya.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan barangan sempena Hari Kebangsaan untuk jualan kepada orang ramai sebagai cenderahati.

Selain itu, Ahmad Shabery turut membuat pelepasan konvoi Eksplorasi #sehatisejiwa yang melibatkan dua buah kenderaan Jabatan Penerangan, 10 buah kereta Proton terdiri daripada pelbagai model, 20 motosikal berkuasa besar dan sebuah lori yang bakal menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Pelbagai aktiviti diadakan seawal pukul 8 pagi tadi sempena prapelancaran itu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2015.
-- BERNAMA

mstar



24 acara utama sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015
15 Julai 2015

AHMAD SHABERY CHEEK menunjukkan logo sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015 dengan slogan #sehatisejiwa selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk persiapan sambutan tersebut di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya, semalam. Turut sama, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad (kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Datuk Seri Othman Mahmood. BERNAMA

PUTRAJAYA 14 Julai – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan me­nganjurkan sebanyak 24 acara utama bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan pada tahun ini bakal disambut meriah dengan pelbagai acara baharu sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, antara acara baharu yang akan dianjurkan ialah Bufet Hari Kebangsaan bermula 28 Ogos hingga 16 September di hotel-hotel terpilih di seluruh negara selain penganjuran pelbagai acara sukan seperti larian.

“Sebelum ini, hotel-hotel di seluruh negara jarang terlibat dengan sambutan Hari Kebangsaan dan juga Hari Malaysia, penglibatan mereka kali ini diyakini dapat memeriahkan suasana sambutan.

“Pengusaha hotel sebelum ini hanya menganjurkan bufet Ramadan dan tahun baharu sahaja, kali ini satu program baharu yang mampu menarik perhatian pengunjung diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kali ketiga Jawatankuasa Induk Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, antara acara lain yang akan dianjurkan adalah Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang, Jualan Hari Kebangsaan, Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2015 dan Sambutan Hari Malaysia 2015.

Selain itu, katanya, perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan menampilkan kelainan apabila pihak kementerian menjemput malim gunung sebagai penghormatan atas pengorbanan dan keberanian mereka semasa operasi menyelamat di Gunung Kinabalu.

“Kita juga te­lah bincang untuk memperbanyakkan penglibatan bahagian animasi semasa perarakan berlangsung selain beberapa pembaharuan hiasan di Dataran Merdeka semasa sambutan berlangsung.

“Pada sambutan tahun sebelum­nya kita hanya menyediakan tempat duduk khas kepada tetamu jemputan sahaja, tetapi pada kali ini kita akan menyediakan 10,000 tempat duduk khas di Dataran Merdeka bagi keselesaan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana terlibat dalam penganjuran acara sempena sambutan tersebut.

utusan online








Comments