ombak laut adalah kehidupan

'Laut nyawa kami' 
Oleh Azran Jaffar
 21 Jun 2015


"NYAWA kami lebih penting daripada segala-galanya, kerana itu jika lanun datang menyerang, kami akan lari dan meninggalkan segala harta benda kami yang tidak seberapa.

Biarlah apa pun yang mereka nak ambil, namun kami sekali-kali tidak akan melawan, tambahan pula kalau datang mereka akan serang dengan parang," kata Sabaldati Jilan yang boleh dianggap sebagai jurucakap masyarakat Palaau di Pulau Sibuan, kira-kira setengah jam perjalanan dengan bot laju dari Semporna, Sabah.

Apa pun, lanun yang menyerang bukanlah orang asing kerana ia dalam kalangan bangsa mereka juga dan kehadiran lanun itu biasanya apabila mengetahui komuniti Sabaldati mendapat rezeki yang lebih sedikit dan setiap serangan akan dibalas dengan kata-kata seperti: "Ambillah apa yang ada, tetapi jangan dibunuh kami." Kebiasaannya tidak akan ada pertumpahan darah dan lanun yang menyerang, akan pergi selepas memperoleh apa yang mereka hajati.

Namun, masalah lanun itu tidak pernah mematahkan semangat masyarakat berkenaan yang hidup dalam kelompok lapan keluarga di pulau seluas kira-kira sehektar itu dengan rata-rata mereka semua ada kena mengena antara satu sama lain, kerana bagi mereka hidup mesti diteruskan dan apa yang hilang diganti dengan bekerja keras untuk mengembalikan apa yang sudah dirampas.

Bagaimanapun kata Sabaldati, antara beberapa penduduk pulau berkenaan yang boleh berbahasa Melayu, ancaman itu sudah semakin kurang kerana perairan sekitar Laut Celebes kini dikawal pasukan tentera dan situasi itu membolehkan mereka hidup dengan lebih tenang juga melakukan pekerjaan di laut tanpa ada perasaan bimbang terhadap keselamatan.

Memulakan perbualan pada pertemuan hari itu, Sabaldati yang sudah lupa sejak bila berhijrah ke pulau berkenaan, berkata sebenarnya dia berasal dari Pulau Tungku apabila ibu bapanya sebelum ini adalah komuniti yang tinggal di dalam perahu dan membesar serta meneruskan kehidupan di pulau itu demi mencari kehidupan lebih baik.

Kemampuan jadi kekangan

Jelas, apa yang diperkatakan bapa kepada lapan cahaya mata itu yang mengakui belajar bertutur dalam bahasa Melayu daripada anggota tentera yang berkawal di sekitar perairan tempat tinggalnya, berkeinginan untuk mempunyai kehidupan lebih baik, namun kemampuan menjadi kekangan untuk dia dan keluarga lain keluar dari budaya kehidupan yang sudah mendarah daging itu.

Tersirat raut suram pada wajah gelap itu yang disulam dengan senyuman nipis apabila bercerita mengenainya. Sememangnya dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan menjual isi kima kering di Semporna yang perlu dikongsi dengan seisi pulau, apakan daya untuk hidup semewah seperti diimpikan, walaupun jika hendak dibandingkan, usaha dicurahkan untuk menampung kehidupan tidak sepadan dengan panahan mentari yang membakar tubuh.

 Hasil jualan yang diperoleh cukup untuk diganti dengan beras dan ubi kayu yang sudah siap diparut serta sedikit keperluan lain. Namun, untuk bermewah-mewah ia mungkin hanya di dalam tidur, ketika waktu matahari mula berlalu meninggalkan mereka buat seketika dan bangkit keesokan, membadai semula, memunggah khazanah laut mencari rezeki untuk isteri dan anak.

Sabaldati berkata, selain keperluan harian, wang yang ada juga perlu dijimat kerana apa yang ada sebahagiannya digunakan bagi membaiki bot jika berlaku kerosakan dan mengakui sukar untuk menabung kerana keperluan yang banyak dan tanggungan semakin berat jika isterinya mengandung kerana perlu mencari wang bagi bayaran rawatan bersalin di hospital yang mencecah sehingga RM800. Status mereka menyebabkan masyarakat ini tidak menerima rawatan percuma di hospital, yang menambahkan lagi beban kehidupan mereka.

Sabaldati berkata, rutin hariannya bermula dengan keluar memancing pada waktu pagi dan akan pulang ketika air mulai pasang dan sebelah tengah hari akan keluar semula ke laut yang hanya ditinggalkan jika kudrat tidak mengizinkan.

Terima bantuan penuh syukur

foto hiasan

Ditanya sama ada mereka menerima bantuan daripada mana-mana pihak, katanya, jika ada yang memberi mereka menerimanya dengan penuh kesyukuran lalu terkeluarlah perkataan 'Alhamdulillah' daripada mulutnya. Namun, apabila ditanya akan agama, Sabaldati hanya tersenyum sambil berkata ada juga yang memperkenalkan Islam kepada mereka.

"Masalahnya mereka datang sekali sekala... datang sekejap lepas tu mereka tinggalkan kami dan tidak muncul lagi," katanya yang menampakkan riak kecewa dan mata kami tiba-tiba menghala ke laut, melayan seketika hati tatkala mendengar jawapan itu dan kemudian menambah: "Kami setengah-setengah", yang menampakkan sekali lagi senyuman nipis, seolah ada lagi yang ingin diluahkan.

Jawapan itu membuatkan perbualan kami terhenti seketika.

Mencari nafas untuk bertanya bagi memahami lagi kehidupan Sabaldati dan mereka di pulau itu, beliau kemudian menyambung dan berkata, kadang-kadang pelancong yang hadir ke pulau itu ada juga memberikan mereka sedikit sumbangan selepas berjalan-jalan menikmati pemandangan di sekitar pulau.

"Mereka hanya pusing-pusing di sekitar pulau ini... melihat-lihat, bagaimanapun kami tidak terganggu dengan kehadiran mereka dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya menerangkan mengenai kehadiran pelancong ke pulau berkenaan.

Ditanya seterusnya mengenai anak, Sabaldati berkata, mereka tidak ke sekolah dan sejak kecil diajar memancing dan mencari siput.

"Apabila mereka sudah besar sedikit mereka tahu akan tanggungjawab mereka terhadap keluarga dan apa yang mereka peroleh dapat menampung kehidupan selain untuk menambah bekal makanan seharian," katanya yang jika diselak maksudnya, inilah kehidupan kami dari kecil sehingga pejam mata, laut adalah segala-galanya dan laut juga memberikan segala-galanya.

Melihat beberapa kanak-kanak perempuan di pulau itu yang sudah dara, terdetik hati untuk bertanya akan nasib mereka dan terlihat keterbukaan masyarakat pulau itu seperti kata Sabaldati bahawa mereka dibenarkan memilih pasangan sendiri dan tiada paksaan untuk memilih lelaki di pulau itu untuk dijadikan suami atau memaksa mereka berkahwin dengan lelaki pilihan ibu bapa.

Apa yang pasti, dalam kecilnya pulau itu, di sebalik nilai tradisi yang dipegang, ada keluasan dari segi pemikiran masyarakatnya. Namun, kesukaran hidup membuatkan langkah tidak dapat bergerak laju. Hanya masa yang akan menentukan kehidupan mereka seterusnya dan sejauh mana langkah yang disusun membuatkan mereka untuk berlari lebih jauh.

bhonline

Comments