24 Aug 2015

Mutawif

Pakar rujuk, pembimbing jemaah di tanah suci
Oleh ZUBAIDAH IBRAHIM



PERASAAN gementar menyelubungi hati seorang mutawif muda negara ketika kali pertama menguruskan jemaah umrah tahun lalu.

Bismie Amer Mohd. Zauna, 23, ditugaskan membawa seramai 90 orang jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke kota Madinah, Arab Saudi.

Meskipun kehadiran Bismie Amer dan rombongan bakal disambut oleh beberapa mutawif di tanah suci itu, tetapi dia tetap gementar kerana tidak mempunyai pengalaman mengerjakan umrah.

Namun, ia bukan penghalang bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Kebangsaan Malaysia itu untuk memberikan perkhidmatan terbaik.


JEMAAH umrah akan diberi taklimat oleh mutawif mengenai aktiviti yang akan dilakukan sepanjang berada di tanah suci.

Bagi Bismie Amer, kerjaya sebagai mutawif jemaah umrah merupakan pengalaman berharga kerana selain dapat berkhidmat kepada masyarakat, dia turut berpeluang bersama-sama mengerjakan ibadah itu.

Menurut beliau, pada mulanya, dia hanya sekadar ingin mencuba nasib apabila mengikuti temuduga sebagai mutawif di Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. setelah dicadangkan oleh rakan-rakan.

Pada ketika itu, dia perlu bersaing dengan 90 orang calon yang berlatar belakang pendidikan agama dari dalam dan luar negara.


BISMIE AMIR (kanan) tidak melepaskan peluang bergambar kenangan berlatar belakang Ka'abah.

"Mutawif yang diperlukan hanya 30 orang daripada 100 calon yang menghadiri temu duga itu. Syukur, saya terpilih untuk menjadi seorang mutawif setelah melepasi beberapa ujian bertulis, membaca al-Quran dan menyampaikan ceramah.

"Selepas itu, saya diwajibkan menghadiri kurus mutawif selama seminggu untuk mempersiapkan diri sebelum menjalankan tugas seorang mutawif dan dikurniakan sijil pembimbing jemaah umrah," katanya yang sudah memasuki tahun kedua menguruskan jemaah umrah secara sambilan.

Pemuda yang berasal dari Banting, Selangor itu mengakui, bukan mudah untuk menjadi mutawif. Beliau perlu mempersiapkan diri dari segi ilmu agama, sejarah kota Mekah dan Madinah kerana turut bertugas sebagai pemandu pelancong kepada jemaah dengan membawa mereka menziarahi tempat-tempat bersejarah di tanah suci itu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu turut memaklumkan bahawa tugas mutawif bukan sahaja ketika berada di tanah suci tetapi sebelum bertolak ke sana beliau perlu menyelesaikan beberapa perkara.

Antara urusan yang perlu dilakukan ialah memastikan pasport dan visa bakal jemaah umrah belum tamat tempoh, menghubungi mereka untuk memaklumkan maklumat penerbangan dan bertanyakan mengenai status kesihatan.

"Selain menjadi pakar rujuk dalam bidang agama dan urusan logistik. Kami juga bertanggungjawab untuk menjadi perawat kesihatan dalam kes-kes kecemasan. Malah, perlu menguruskan jenazah jemaah Malaysia yang perlu melalui prosedur rumit sebelum dikebumikan," katanya.

Tambah pemuda itu, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, beliau seronok menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kerana berpeluang menjejakkan kaki ke tempat suci idaman umat Islam dari seluruh dunia pada setiap bulan.

Kemahiran berkomunikasi yang baik menjadi kelebihan buat Bismie Amer kerana ia merupakan kriteria penting bergelar mutawif selain ilmu agama dan pandai berbahasa Arab.

Kongsinya, pengalaman manis sepanjang bergelar mutawif ialah dapat memenuhi permintaan jemaah yang ingin ke tempat doa mustajab. Lalu beliau membawa jemaah tersebut ke Hijir Ismail. Pada ketika itu, barisan sangat panjang tetapi seorang pengawal di pintu masuk membenarkan mereka masuk dengan mudah selepas melihat bendera Malaysia yang tertera pada jaketnya.


GAMBAR kenangan Mujahid (tengah) ketika mengerjakan umrah bersama jemaah umrah.

Hilang

Bagi pengalaman pahit pula, beliau terpaksa berdepan dengan tujuh orang ahli keluarga yang berkelakuan sombong dan enggan mengikut peraturan. Tanpa diduga, mereka sekeluarga hilang ketika melakukan saie dan tidak pulang ke hotel. Usaha mencari dijalankan dan keluarga itu ditemui dalam keadaan kepenatan.

Pengalaman pahit manis yang ditempuh Bismie Amer menjadikannya lebih memahami selok-belok tugas sebagai mutawif, sekali gus lebih bersemangat berbakti kepada masyarakat.

Beliau turut berpesan kepada anak-anak muda yang ingin bergelar mutawif agar tidak gentar mencuba kerjaya itu kerana ia memberi manfaat yang tidak ternilai pada masa akan datang.

Ibadah haji atau umrah tidak akan berjalan lancar tanpa insan penting bergelar mutawif. Mereka akan menjaga kebajikan dan segala kelengkapan yang diperlukan oleh para jemaah sebelum dan sesudah sampai di sana.

Selain menjaga kebajikan para jemaah, mereka juga dijadikan pakar rujuk dalam setiap persoalan agama agar ibadah dapat ditunaikan sebaik mungkin.

Mutawif didefinisikan sebagai pembimbing ibadah haji dan umrah. Ia diambil daripada perkataan tawaf iaitu jemaah itu akan dibimbing oleh mereka yang tahu mengenai hukum-hakam agama.

Sementara itu, seorang lagi mutawif muda dan juga merupakan Imam Muda Musim Kedua, Mujahid Suhaimi, 24, menjadikan tugas mutawif sebagai medan untuknya berdakwah dan menambah ilmu pengetahuan dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan agama Islam.

"Tugas sebagai mutawif memberi peluang kepada saya untuk bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Mereka (jemaah) sering bertanyakan kepada saya sekiranya timbul sebarang kemusykilan ketika mengerjakan umrah.

"Oleh itu, ia memberi ruang kepada saya untuk berkongsi ilmu dan dalam masa yang sama menjalankan tugas-tugas sebagai pendakwah.

"Walaupun masih muda, ia bukan penghalang untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka yang lebih berusia. Saya juga dirujuk untuk hal-hal berkaitan kewanitaan," kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Quran dan Qiraat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa itu.

Menurut pemuda yang berasal dari Woodlands, Singapura itu, mutawif perlu bersedia dari segi fizikal dan mental kerana akan berdepan dengan pelbagai kerenah manusia.

Selain itu, mereka juga perlu menjalinkan hubungan baik dengan penduduk setempat bagi memudahkan urusan sepanjang berada di sana.

Ujar Mujahid, penguasaan bahasa Arab sangat penting kerana penduduk di Mekah dan Madinah hanya menggunakan bahasa itu. Jika tidak ia akan mengganggu komunikasi dan urusan-urusan yang lain.

"Mereka menggunakan bahasa ammiyah (bahasa penduduk setempat atau bahasa pasar) berbanding fushah (bahasa al-Quran). Ada kalangan mereka tidak memahami sekiranya menggunakan loghat fushah.

"Oleh itu, saya perlu memahirkan diri menguasai bahasa ammiyah kerana sebelum ini hanya menggunakan bahasa Arab Fushah," jelasnya yang mengambil kursus bahasa Arab selama dua bulan di Institusi Gontor Darussalam, Indonesia.


MUTAWIF turut membantu menguruskan jenazah jemaah dari Malaysia.

Peka

Tutur anak sulung daripada enam adik-beradik itu, beliau perlu peka dengan perubahan struktur binaan yang sentiasa berubah terutama di kota Mekah bagi mengelakkan tersesat kerana di situ terdapat banyak pintu masuk.

Selain itu, persediaan menghadapi musim panas juga perlu dilakukan kerana suhu boleh mencapai sehingga 51 darjah Celsius.

Tambah Mujahid, dua tahun bertugas sebagai mutawif umrah di Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. merupakan satu kenangan manis kerana berpeluang menunaikan umrah bersama jemaah lain dan melawat tempat-tempat peninggalan para nabi.

Mujahid yang meminati aktiviti sukan seperti futsal bijak membahagikan masa sebagai pelajar dan mutawif kerana pekerjaan itu dilakukan ketika waktu cuti sahaja dan ia tidak mengganggu tanggungjawabnya sebagai pelajar.

Beliau yang bercita-cita sebagai penceramah bebas berpesan kepada anak muda yang meminati kerjaya sebagai mutawif agar berani mencuba kerana ia sangat menarik dan menjanjikan pengalaman berharga untuk melahirkan individu yang memiliki keperibadian mulia.

kosmo online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena