Kampung Karyawan Malim

Daerah seni dunia di Kampung Karyawan Malim
Daeng Ramliakil
02 Ogos 2015



beberapa chalet yang terdapat di Kampung Karyawan Malim di Lembah Gunung Tempurung, Perak.

APABILA daerah seni diwujudkan oleh Yayasan Kampung Karyawan Malim di Lembah Gunung Tempurung, Mukim Kampar, Perak yang majlis makan malamnya berlangsung tidak lama dulu di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina@Meru, Ipoh bermakna Malaysia sudah memiliki sebuah daerah yang menjadi tempat terhimpunnya seniman seluruh dunia. Daerah yang berprestij tentunya.

Siapa yang tidak mengenali Malim Ghozali Pk yang memenangi S.E.A Write Award 2013, anugerah berprestij tertinggi Thailand dalam bidang sastera? Dan yang lebih penting, Malim menjayakan perhimpunan penyair dunia pada tahun 2014 di Perak yang impaknya, lampu-lampu sastera yang bercahaya mula bergemerlapan dan disedari para sasterawan Eropah, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Arab.

Meneliti empat objektif utama Kampung Karyawan Malim, iaitu pertamanya penyediaan ruang kepada para karyawan dunia dalam semua genre berkarya, kedua, menyatupadukan manusia di dunia menerusi karya kesenian, ketiga, memfokus kepada generasi muda yang partisipasif dan keempat, pengurusan acara budaya, sastera dan kesenian dalam semua genre; nyata “warna” keduniaan tampak nyata pada mata hati.

Seperkara lagi, penyatuan manusia di dunia menerusi bidang seni amat ketara.

Agenda
Jika dirujuk sejarah, gagasan kesenian sebegini menjadi agenda penting di Perancis 200 tahun yang lalu, sesudah Zaman Pembaharuan yang kaya dengan unsur kejenteraan dan perkilangan menghantui kehidupan warga Eropah.
Kata Malim, idea penubuhan daerah seni tumbuh dalam hatinya pada tahun 1990, sesudah beliau pulang dari Virginia Centre for the Creative Artist. Namun hanya pada tahun 2011 sahaja idea berkenaan dapat direalisasikan apabila kerajaan Perak meluluskan permohonan tanah di Lembah Gunung Tempurung. Walau bagaimana pun, pada tahun 2014, ancaman penyakit muncul bak raksasa sebesar langit apabila Malim diserang kanser usus hingga sembilan inci daripadanya terpaksa dipotong bagi tujuan pemulihan. Alhamdulillah Malim segar kembali lalu meneruskan perjuangan bangsa untuk mencipta rekod antarabangsa.

Kini, kerja-kerja pembinaan dan penyempurnaan prasarana amat hampir siap. Dan Malim, selain semakin acap berulang-alik ke Lembah Tempurung bagi memastikan 20 buah chalet gaya kampung Melayu, masjid, galeri seni, balai-balai dan pentas dibina sempurna, selari dengan citra kesenian.

Diyakini, majlis pelancaran yang dirancang pada Ogos 2015 ini, pasti mendapat perhatian pihak media seluruh dunia, khususnya Eropah dan Amerika Syarikat, selain China kerana bak kata peribahasa Melayu, hanya jauhari yang mengenal manikam. Apa tidaknya apabila Lembah Tempurung dibuka kepada warga seluruh dunia khususnya para karyawan dunia dalam bidang kesenian yang dinaungi budaya keislaman, keberkatan akan terjelma. Apatah lagi apabila Yayasan Kampung Karyawan Malim diterajui individu yang banyak menghasilkan kajian dan buku ilmu tentang al-Quran, Matematik dan Fizik.

Nilai kecendekiawanan Melayu pasti terserlah, bermula dengan pembukaan daerah seni seumpama ini, sesudah itu, dengan pantas sekali ratusan malah ribuan karya kesenian dalam bidang sastera, lukisan, filem, lagu, muzik, teater, seni reka dan seumpamanya terhasil. Ribuan jugalah karyawan baharu muncul yang jika dari Malaysia, bererti generasi pelapis negara, manakala jika dari negara lain, maknanya negara kita menjadi melting pot atau pusat perpaduan manusia seni.

utusanonline


Perak Terus Perkasa Seni Budaya

23 Mei 2015

Perak terus memacu pemerkasaan seni dan kebudayaan dengan pembangunan projek Kampung Karyawan Malim yang akan direalisasikan dengan kerjasama kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Radzi berkata, pihaknya berharap perkampungan kesenian,kesusasteraan dan karya yang pertama di Malaysia itu bakal menjadi ruang kondusif bagi semua yang berjiwa seni untuk mencurahkan idea masing-masing.

Menurut beliau, adalah amat penting sekiranya platform kesenian di mukim Kampar yang amat meluas interpretasinya itu diusahakan bersama oleh generasi muda dan yang lebih berpengalaman.

"Kalau kita teliti dari sudut seni, ada banyak perbezaannya di antara ilham, karya dan hasil kerja antara golongan muda dan tua, namun itu tidak menjadi halangan untuk mereka menggembeling tenaga menaikkan perkampungan seni ini bersama.

"Setakat ini saya lihat, mana-mana program kolaborasi di antara kedua-dua generasi telah mencetuskan idea kesenian yang cukup kreatif, versatil dan merangkumi kepelbagaian genre dan sumber," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam 'Inspirasi Kreatif' Yayasan Perkampungan Karyawan Malim (YKKM) di Amanjaya Convention Centre, Hotel Casuarina Meru pada malam Jumaat.

Turut hadir memeriahkan majlis, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli. Dr Zambry turut tidak melepaskan peluang untuk menonjolkan bakat terpendam dengan mendeklamasikan sebuah sajak khas sempena majlis itu sebelum melancarkan buku bertajuk "Memoir: Di Sudut Duniaku" dan album "Benarkah Laut itu Biru" hasil nukilan Pak Malim.

Pengerusi YKKM, Mohamed Ghozali Abdul Rashid atau lebih dikenali dengan nama pentas, Pak Malim, meluahkan rasa syukur dan terima kasih terhadap kerajaan negeri yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada perjuangan seni di negeri ini.

"Saya hanya boleh mengucapkan syukur dan akan memastikan impian perkampungan seni yang ditubuhkan untuk mengumpulkan seniman tempatan dan antarabangsa dapat menjadi nyata," katanya kepada Peraknews.

Beliau yang amat terkenal dengan sajak seperti 'Pentas', 'Hampa' dan pelbagai lagi karya agung, berpesan kepada generasi baru untuk tidak mudah mengalah dalam memperbaiki sebarang cacat cela dalam hasil seni dan sentiasa berkongsi idea bersama mereka yang lebih pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

peraknews

Majlis Makan Malam Inspirasi Kreatif Kampung Karyawan Malim 
di Hotel Casuarina Meru, Ipoh








Comments