buku

Ambil bahan bacaan secara percuma
Oleh KHAIRIYAH HANAFI
2 Ogos 2015


DARI jauh kelihatan seorang gadis bertudung coklat sedang leka membelek puluhan buku yang tersusun di atas meja kecil yang diletakkan di luar pekarangan menara Telekom Malaysia, Taman Desa, Kuala Lumpur.

Selepas beberapa saat membaca sinopsis yang tertera di halaman belakang buku tersebut, dia kemudian dilihat meletakkan kembali buku yang dipegang di atas meja tersebut.

Matanya kemudian disorot ke arah longgokan buku lain yang diletakkan di atas meja yang sama. Perlahan-lahan, tangannya mencapai buku berwarna hitam sambil mengukir senyuman di bibir.

Biarpun pada waktu itu percikan cahaya matahari mula mencuit tubuhnya, namun Wan Nor Fahmin Wan Kamarudin, 21, tetap tidak berganjak dari kedudukan asalnya dan terus membelek satu persatu longgokan buku yang berada di sana.

“Siapa yang tidak teruja apabila melihat longgokan buku yang kini sukar diperolehi berada di hadapan mata. Tambahan pula kesemua buku ini mempunyai isi kandungan yang menarik.

“Apa yang membuatkan saya menjadi lebih teruja ialah kesemua buku yang terdapat di sini boleh dimiliki secara percuma. Apa yang perlu saya lakukan hanyalah membawa koleksi buku lama yang tidak dibaca lagi dan kemudian menukarnya dengan naskhah yang lain,” katanya.

Ujar Wan Nor Fahmin, melalui kaedah tersebut, dia bukan sahaja dapat memanfaatkan buku-buku lama yang tidak lagi digunakan dengan buku yang lain, bahkan ia juga menjimatkan kos perbelanjaan membeli buku-buku baharu selain mampu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Dalam pada itu, menurut pengasas Kuala Lumpur Book Exchange (KLBE), Gladys Wong, 27, idea untuk menganjurkan KLBE diperolehinya ketika berkunjung ke sebuah pusat kitar semula di sekitar Kuala Lumpur kira-kira dua tahun yang lalu.

Jelasnya, pada waktu itu dia terlihat dua buah kotak berisi buku yang masih dalam keadaan baik.


KLBE dianjurkan pada setiap hari Ahad minggu pertama di Menara TM, Taman Desa, Kuala Lumpur.

Buku terpakai

Disebabkan sayang dan tidak mahu melihat puluhan buku tersebut dikitar semula menjadi kepingan kertas, Gladys meminta izin daripada pemilik pusat kitar semula tersebut untuk mengambil dan menjual kesemua buku tersebut.

“Situasi tersebut berlaku pada tahun 2013. Pada waktu itu saya berkunjung ke pusat tersebut untuk mengitar semula barang-barang terpakai.

“Dalam perjalanan menuju ke pekarangan pusat tersebut, saya terlihat dua buah kotak yang mengandungi buku-buku.

“Apa yang membuatkan saya terkejut ialah kesemua buku itu masih kelihatan baharu dan dalam keadaan yang baik,” ujarnya.

Jelas Gladys, pada asalnya, kesemua buku tersebut dijualnya menerusi internet dengan separuh harga.

Bagaimanapun, percaturan tersebut gagal apabila ia langsung tidak mendapat sambutan daripada mana-mana pihak.

“Siapa yang mahu membeli buku-buku terpakai walaupun dijual dengan separuh harga?

“Hampir berbulan-bulan saya memikirkan apa yang perlu dilakukan terhadap buku-buku ini dan akhirnya pada pertengahan tahun 2014, saya mendapat idea untuk melaksanakan program pertukaran buku KLBE,” ujarnya.

Sistem barter

Jelas Gladys, melalui KLBE ini juga, ia secara tidak langsung dapat menggalakkan amalan membaca dalam kalangan orang awam.

Bagi tujuan tersebut, Gladys sanggup berkampung selama dua jam bermula 8.45 pagi hingga 10.45 pagi pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan di luar pekarangan Menara TM.

Seperti sistem barter, individu yang mahu memiliki buku-buku yang ada pada simpanan KLBE perlu membuat pertukaran dengan buku-buku milik mereka tanpa sebarang had.

Bagaimanapun, setiap satu unit buku yang ditukar hanya untuk sebuah buku sahaja.

“Disebabkan buku-buku yang ada pada KLBE terlalu banyak, saya mengambil inisiatif untuk membuat senarai buku dan memuat naik ke dalam laman sosial Facebook KLBE.

“Ia bertujuan untuk memudahkan orang ramai membuat pilihan dan membolehkan mereka membuat tempahan awal bagi mana-mana buku yang diminati. Jadi mereka tidak perlu membelek satu demi satu buku yang ada di sini selain menjimatkan masa mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambah Gladys, bagi mana-mana individu yang tidak membawa buku untuk menjadi bahan tukaran, mereka masih boleh mendapatkan buku-buku yang ada pada KLBE, namun caj tambahan serendah RM5 akan dikenakan untuk setiap buku yang diambil.


KLBE menggalakkan individu menjadikan membaca sebagai amalan harian.

Sokongan

Siapa sangka, Gladys yang memulakan KLBE dengan hanya kira-kira 50 buah buku kini mempunyai lebih ribuan buku untuk ditukar oleh orang ramai.

Daripada bahan bacaan berbentuk ilmiah, novel, buku-buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin, semuanya boleh didapati di KLBE dengan mudah serta percuma.

“Saya tidak menyangka ia mendapat sambutan yang hangat daripada orang awam memandangkan buku yang ditukar ini bukanlah buku yang baharu.

“Bagaimanapun, siapa sangka, ramai yang bermurah hati menderma buku-buku terpakai mereka bagi tujuan ini tanpa membuat sebarang pertukaran buku dengan kami.

“Walaupun menjalankan KLBE secara sukarela, namun saya rasa seronok dan berbaloi bagi setiap masa yang dihabiskan apabila melihat penglibatan daripada orang ramai,” jelasnya yang bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat percetakan.

Tambah Gladys lagi, penglibatannya dengan KLBE tidak memerlukan kos perbelanjaan yang besar memandangkan kesemua buku tersebut diperolehi dengan cara pertukaran.

Perpustakaan

Sama seperti Gladys, June Ong, 72, yang begitu mencintai buku merupakan individu yang sama-sama melibatkan diri secara sukarela di dalam aktiviti tersebut, hampir dua tahun yang lalu.

Menurut June, uniknya program yang diketengahkan oleh KLBE itu ialah, konsepnya mudah berbanding konsep pinjaman buku di perpustakaan ataupun membeli di kedai buku.

“Jika di kedai buku kita perlu membayar dengan harga yang mahal, manakala di perpustakaan pula kita terikat dengan tarikh pemulangan buku tersebut.

“Bukan sahaja terkejar-kejar untuk membaca, malah jika lewat memulangkan buku, kita pasti akan dikenakan denda.

“Bagaimanapun berbeza dengan konsep yang diketengahkan KLBE, ia sangat mudah dan praktikal. Mereka hanya perlu menukarkan buku yang mereka ada dengan mana-mana bahan bacaan yang diminati di sini tanpa sebarang caj dikenakan,” ujarnya.

Tambah June, jika buku-buku yang ditukar tidak menarik, sudah habis dibaca atau sebagainya, mereka boleh membuat pertukaran pada bila-bila masa sahaja dengan KLBE.

kosmonline

Comments