"Abang" Rahim Razali

Rahim Razali dramatis yang versatile
December 8, 2013


Rahim Razali telah mengarahkan lapan buah filem, Abang (1981), Pemburu (1982), Tsu Feh Sofiah (1982), Matinya Seorang Patriot (1984), Puteri (1987), Anak Sarawak (1989), Rentak Desa (1990), dan Abang 1992 (1993),

oleh Melati Pusaka

Sudah lama kita tidak mendengar berita pelakon dan pengarah, Datuk Rahim Razali . Tiba tiba akhir bulan Oktober lalu beliau menjadi bahan utama akhbar harian apabila beliau dimasukkan ke hospital akibat pendarahan di otaknya.

Difahamkan beliau menjalani pembedahan kira-kira pukul 8 pagi 30 Oktober lalu di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya.

“Alhamdulillah, ayah telah selamat menjalani pembedahan dan ia mengambil proses selama sejam lebih. Dia kini ditempatkan di High Dependency Unit (HDU),” ujar anak kepada pengarah filem ‘Abang’ ini, Nadia.

Sebelum ini, Rahim telah dimasukkan ke hospital selepas mengalami sakit kepala ketika menjalani penggambaran rancangan sukan terbitan Astro Arena di Kuantan, Pahang.

Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan pembuluh darah di bahagian kepalanya pecah dan menyebabkan pendarahan di dalam otak.

Rahim Razali dilahirkan pada 3 Julai 1939 di Batu Gajah, Perak. Beliau merupakan pelakon filem, dramatis dan pengacara sukan, pengarah, penerbit Filem, penerbit TV, jururunding skrip, dan penulis tersohor di Malaysia.

Beliau bersekolah di Sekolah Anderson, Ipoh dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Melbourne, Australia dalam bidang chartered accountancy di bawah Rancangan Colombo.

Beliau bekerja sebagai pembantu penyiaran di Radio Malaya, Tobacco Co. Bhd, di Kementerian Kebudayaan, dan SSC & B Lintas Sdn. Bhd dan syarikat iklan rokok SH Benson Advertising Company.

Menubuhkan

Seterusnya bekerja di Fleet Communication. 1981 menubuhkan syarikat sendiri Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd bersama Wan Rohani Zain, bekas penyampai berita RTM.

Sejak tahun 50an beliau menjadi penulis skrip dan pengarah bagi drama di sekolahnya.Di Australia , Rahim menyertai Melbourne University Theatre Dub, Brighton Theatre Group, dan Australia Broadcasting Commission. 1963, berlakon sebagai Hamlet dalam Hamlet iaitu persembahan untuk Brighton Thearte Group.

Pada tahun 2010 beliau mengarahkan Muzikal Uda & Dara karya asal Usman Awang. Beliau bertanggungjawab mencungkil dan menyerlahkan bakat lakonan ramai bintang sejak era 70an, dan terbaru beliau berjaya menampilkan penyanyi popular Misha Omarsebagai bintang teater muzikal yang mempunyai keseimbangan dalam bidang lakonan dan nyanyian.

Beliau menerbitkan 50 drama televisyen di RTM dan berlakon 15 buah filem.

Sejak 1960an menceburi dunia lakonan di RTM. Sejak 1981 telah mengarah lapan buah filem dan filemnya terpilih mewakili negara ke Tokyo International Film Festival, London International Film Festival dan lain-lain.

Rahim Razali telah mengarahkan lapan buah filem, Abang (1981), Pemburu (1982), Tsu Feh Sofiah (1982), Matinya Seorang Patriot (1984), Puteri (1987), Anak Sarawak (1989), Rentak Desa (1990), dan Abang 1992 (1993),

Anugerah yang beliau menangi ialah 2007 – Festival Filem Malaysia ke-20 ,- Pelakon Lelaki Terbaik (Dalam Watak Pembantu) ,1986 – Festival Filem Malaysia ke-6 – Pengarah Terbaik 1986 ,- Festival Filem Malaysia ke-6 – Skrip Terbaik 1984 ,- Festival Filem Malaysia ke-5 – Sutradara Terbaik 1984 – Festival Filem Malaysia ke-5 – Lakonlayar Terbaik 1981 – Festival Filem Malaysia ke-2 – Pelakon Lelaki Terbaik 1981 – Festival Filem Malaysia ke-2 – Skrip Terbaik.

Beliau minat sukan terutama bola sepak, ragbi, hoki, tenis dan terkini golf. Kerjaya pengacara sukan dipupuk sejak 1965 lagi.. Jasa beliau dalam bidang seni begitu besar kerana filem-filem arahannya dikatakan memberi nafas baru kepada industri filem Melayu.

Filem arahan sulungnya Abang begitu berkesan dan mendapat sambutan hangat pada tahun 1981 dahulu.

fmt


Teringat Rahim Razali tahun 1980-an


DEKAD 1980-an mempunyai petanda yang sangat besar dalam sejarah perfileman Melayu. Biarpun tidak dihasilkan oleh pengarah-pengarah besar seperti P. Ramlee atau Hussein Haniff, tetapi ia mencetuskan satu gelombang baru.

Selepas studio filem Melayu di Singapura ditutup pada 1960-an, perfileman Melayu beralih ke Kuala Lumpur atau lebih tepat lagi ke Studio Merdeka di Hulu Klang. Apa hubungan dekad 1980-an dengan gelombang baru filem Melayu? Sesuatu yang ketara filem dekad 1980-an ditandai dengan hadirnya karyawan-karyawan muda yang tidak ada hubungan jiwa dengan filem Melayu di Singapura. Malah mereka sebahagian besar bukan 'orang filem.

Mereka bukan saja mempunyai gaya berkarya yang berbeza, malah ruang litup persoalan juga menjejak bumi di mana mereka berada. Dekad 1980-an tentunya kita tidak boleh meminggirkan kehadiran generasi muda seperti Rahim Razali, Nasir Jani, Othman Hafsham, Ahmad Yatim, Ahmad Tarmimi Serigar dan banyak lagi.

Rahim Razali cukup menonjol dengan gelombang baru dekad 1980-an apabila 'orang teater' diberi kepercayaan untuk mengarah filem. Abang, arahan Rahim Razali menjadi penanda wujudnya gelombang baru filem Melayu yang terputus daripada kesan dan gaya pemikiran filem di Singapura.

Dekad 1980-an bermula dengan kegemilangan filem Abang arahan pertama Rahim Razali. Beliau yang mempunyai nama yang besar di pentas teater membawa Ahmad Yatim dan Ahmad Tarmimi Serigar yang juga pelakon teater sebagai pelakon utama Abang.

Siapa Rahim Razali? Demikianlah pertanyaan yang bertubi-tubi dengan nada sindir kerana Rahim belum pernah memegang kamera sebelum itu. Tidak kurang juga menjangka Abang akan lebur di tangan orang muda seperti Rahim.

Tetapi keadaan menjadi sebaliknya. Abang yang menyingkap kemunculan golongan korporat Melayu adalah ros bagi filem Melayu. Persoalannya segar tentang dilema kalangan korporat Melayu antara nilai budaya dan gaya hidup baru yang menghiasi dunia korporat.

Abang mengangkat pendekatan dan situasi daripada sosiobudaya masyarakat Melayu. Filem pertama arahan Rahim ini menunjukkan taring yang luar biasa kepada generasi veteran. Biarpun banyak yang berkata, filem arahan Rahim Razali terlalu berwajah teater, tetapi Rahim tidak mempedulikan.

Ternyata Abang keluar secara drastik daripada ikatan konvensional filem Melayu. Isunya mengenai ancaman terhadap institusi keluarga apabila gaya hidup berubah menjadi mewah.

Selepas Abang yang mengerdipkan harapan, Rahim terus mengganas dengan Pemburu. Ahmad Yatim sekali lagi menjadi teraju utama filem yang penuh dendam dan menampakkan imbasan 'hukuman di tangan Jebat'. Malah Pemburu juga antara tiga filem trilogi arahan Rahim yang membawa konsep Jebat. Ketiga-tiga filem itu ialah Pemburu, Matinya Seorang Patriot dan Puteri.

Konsep Jebat dalam filem-filem Rahim pada dekad 1980-an ialah tidak mempercayai ketelusan sistem undang-undang. Sebaliknya keadilan adalah di tangannya sendiri. Gaya pemikiran Rahim yang dituang dalam filem semakin jelas apabila menghasilkan Matinya Seorang Patriot.

Siapa pula yang menjadi penanda dekad pertama alaf baru ini?

utusan online





ABANG: Kejutan daripada Rahim Razali
NASIR JANI
10 Ogos 2014

GELOMBANG baharu perfileman tanah air atau Malaysian new wave cinema bermula pada 1981 dengan lahirnya filem Abang arahan sulung Rahim Razali.

Setahun sebelum itu, Othman Hafsham telah menghasilkan filem Adik Manja (1980) yang lari dari kebiasaan acuan filem-filem Melayu arus perdana.

Walaupun filem Adik Manja meninggalkan jauh filem-filem Melayu lain ketika itu dari segi teknikal dan cara penceritaan yang memenuhi tuntutan-tuntutan cinematic, filem ini tidak boleh dianggap pencetus kepada gelombang baharu filem Malaysia.

Ini adalah kerana, filem Adik Manja merupakan satu cerita adaptasi daripada skrip Hong Kong, Who’s baby in the Classroom yang diolah semula oleh Othman Hafsham untuk memenuhi tuntutan dan milieu tempatan.

Othman Hafsham berjaya membawa nafas segar dan baharu kepada filem Melayu terutamanya filem-filem genre komedi. Beliau berjaya menghasilkan filem komedi situasi yang tidak memaksa penonton ketawa dengan gelagat kurang cerdik dan aksi slap stick kebadutan watak-watak yang dipaparkan seperti kebanyakan filem-filem komedi yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah veteran dari Singapura ketika itu.

Isu masalah remaja yang lebih universal sifatnya diangkat oleh Othman Hafsham dalam Adik Manja. Masalah pertembungan pemikiran dan nilai hidup baharu dengan lama dalam menangani masalah kehidupan semasa.

Gelagat Cikgu Azmi yang diperankan oleh pendatang baharu, Dharma Harun Al Rashid yang bukan klise dan unconventional sehingga menimbulkan kekecohan kepada tenaga pengajar lain dan pelajar-pelajar di sebuah sekolah swasta perempuan.

Isu masalah sosial melibatkan pergaulan bebas remaja sehingga melahirkan bayi sebelum berkahwin. Kehadiran bayi si Adik Manja inilah yang mengharu-birukan suasana di sekolah swasta tersebut.

Di tengah-tengah kebanjiran filem-filem komedi style atau gaya lama seperti filem Da Di Du (1981), Setinggan (1981) arahan Aziz Sattar dan filem Si Luncai (1981) arahan Omar Rojik, Othman Hafsham dengan filem Adik Manja berjaya membawa angin perubahan lebih segar dan baharu – satu turning point.

Kejayaan Othman Hafsham itu memberi semangat, kekuatan dan inspirasi kepada penggiat dan pembikin filem generasi baharu untuk membawa perubahan kepada filem-filem Melayu.

Jika filem Adik Manja berjaya merubah gaya penceritaan dan pendekatan cinematic filem-filem Melayu bergenre komedi, bagaimana pula dengan filem-filem Melayu dari genre yang lain?

Di tahun-tahun awal 80-an dan akhir 70-an, selain penghasilan filem-filem komedi, produser-produser Melayu banyak menghasilkan filem-filem bergenre melodrama. Filem-filem melodrama ini kebanyakannya gagal mengangkat isu-isu semasa dan terkini yang sedang melanda bangsa Melayu ketika itu.

Filem-filem itu antaranya seperti Dia Ibuku, Langit Tidak Selalu Cerah, Mama Oh Mama, Perjanjian Syaitan, Potret Maria, Sesejuk Air Mata Ibu, Ribut Barat, Toyol dan Jejak Bertapak masih membawa tema cerita dan isu-isu lama dan yang tidak relevan dengan perkembangan hidup rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu.

Mudah cakap, perubahan filem-filem Melayu ketika itu cuma pada warnanya sahaja sedangkan cerita dihasilkan masih macam cerita filem Melayu zaman hitam putih. Tiada perubahan dan kemajuan. Masih tersangkut di takuk lama.

Suasana politik tanah air ketika itu sedang rancak mengalami perubahan. Negara sedang bergerak dari sebuah negara berasas pertanian dengan rancangan Buku Hijaunya mula bertukar menuju ke arah menjadi negara berasaskan industri dan penswastaan.

Dikenali sebagai persyarikatan Malaysia – Malaysia Incorporated yang dicetuskan oleh perdana menteri ke empat Malaysia.

Rakyat mula digerakkan untuk menganut satu bentuk kehidupan yang berlandaskan sistem ekonomi bebas. Mula muncul tenaga dan tokoh-tokoh korporat Melayu yang dilahirkan oleh sistem ekonomi ini.

Ketika cara hidup dan cara mencari rezeki mula berubah, bagaimana dengan filem-filem Melayu ketika itu? Ikut samakah berubah? Nasib baik suasana membosankan melanda industri perfileman tanah air yang aku nyatakan di atas tadi tidak berlarutan.

Di tengah-tengah kelesuan dan kebosanan itu muncul seorang aktivis teater, pelakon drama dan personaliti tv yang lebih dikenali sebagai pengulas sukan bernama Rahim Razali. Beliau dengan berani mencuba nasib menduduki kerusi pengarah filem. Satu langkah yang mengejutkan mereka yang sedia ada dalam industri filem Melayu ketika itu.

Aku ketika itu secara peribadi berasa skeptikal juga dengan kemunculan Rahim Razali sebagai pengarah filem. Aku cuma tahu susuk ini sebagai pelakon drama tv dan pentas teater. Bolehkah seseorang tanpa latihan khusus dan latar belakang filem mengarahkan sebuah filem?

Dalam masa sama beliau juga berlakon memegang watak utama. Apa pun semua persoalan ini terjawab apabila filem sulung garapan Rahim Razali berjudul Abang berjaya disiapkan dan ditayangkan kepada umum mulai 7 Mei 1981.

Filem Abang dengan taglinenya, ‘Adakah dia jembalang atau hantu atau syaitan atau...’ merupakan filem pertama gelombang baharu Malaysia atau Malaysian new wave cinema.

Rahim Razali melakukan satu kejutan berani dengan Abang. Filem sulung Rahim Razali ini sememangnya satu gelombang baharu melanggar dan menghempas pantai karat berlumut jurassik perfileman Melayu.

Gelombang baharu yang memang ditunggu-tunggu dan dinantikan oleh penggiat, pembikin, peminat dan penonton filem Melayu yang hauskan dan mahukan kemajuan dan perubahan.

Abang mengangkat isu perubahan hidup yang terjadi kepada orang Melayu. Keadaan orang-orang Melayu mula menikmati kekayaan dan kejayaan dalam bidang ekonomi hasil dari Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika itu. Melalui naratif Abang, Rahim memaparkan perubahan sikap dan terhakisnya nilai-nilai budaya kehidupan orang-orang Melayu.

Perubahan dan keruntuhan nilai-nilai ini disebabkan pengaruh budaya barat yang dianuti oleh orang-orang Melayu dalam perlumbaan mencari kekayaan dan kejayaan dalam dunia korporat.

Melalui Abang, Rahim mengajak penonton berfikir dan mengambil iktibar daripada paparan watak-watak dalam keluarga besar yang berabang sulungkan Fuad (Rahim Razali) melalui konflik dan kecelaruan bila diduga dengan kekayaan yang diperoleh dalam bisnes bertaraf korporat.

Isu kehilangan jati diri bangsa Melayu cuba dikupas oleh Rahim melalui naskhah sulungnya ini. Sebagai seorang pemikir dan pembikin filem yang sedar, Rahim cuba memberi penyelesaian kepada masalah yang diangkatnya melalui naskhah Abang.

Pada Rahim, orang Melayu perlu kembali semula kepada akar umbi budaya dan jati diri mereka walau setinggi mana kejayaan berhasil diraih. Dalam konteks ini, kejayaan dalam dunia perniagaan bertaraf korporat perlu diseimbangkan dengan keluhuran keaslian budaya warisan bangsa Melayu Islam.

Sama ada disedari atau tidak oleh Rahim Razali sendiri yang beliau telah membawa filem-filem Melayu ke satu aras baharu. Aku secara peribadi menganggap filem Abang arahan Rahim Razali adalah pencetus gelombang baharu – Malaysian new wave cinema. Terima kasih Datuk Rahim Razali.

sinar harian

Tiada lagi suara emas Rahim Razali

Oleh : Oleh Nazri Abu Bakar



Pengulas dan pelapor sukan terkenal negara, Datuk Rahim Razali, 75, mengumumkan persaraannya dalam bidang berkenaan selepas kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk aktif seperti sebelum ini.

Sepanjang pembabitan dalam bidang berkenaan, beliau pernah diberi peluang sebagai pengulas Sukan Olimpik sebanyak lima kali, bola sepak Piala Dunia enam kali dan Hoki Piala Dunia empat kali selain Sukan Sea, Sukan Asia dan Piala Thomas de–ngan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

Menurut Rahim, pelbagai isu, pengalaman dan perjalanan dilalui sebagai pengulas sukan radio dan televisyen bermula 1965 termasuk kejohanan tempatan dan antarabangsa yang turut mengisi rentetan kisah hidupnya sebagai pencinta sukan tanah air.

“Apa pun, itu semua kenangan manis saya sebagai perantara untuk memberi maklumat dan menyampaikan perjalanan sukan itu untuk disalurkan kepada peminat dan rakyat Malaysia sepanjang kerjaya yang dianggap amat mencabar ini.

“Keadaan kesihatan yang sukar dijangka terutama selepas menjalani pembedahan otak beberapa bulan lalu antara faktor utama saya bersara dalam bidang ini,” katanya.


Berita Rahim yang dilaporkan mengalami pendarahan dalam otak (subdural hemorrhage) dan menjalani rawatan pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Sunway Petaling Jaya sebelum ini amat mengejutkan peminat dan pengikut setianya.

Malah, peminat dan rakan pengulas sukan turut mendoakan kesihatannya segera pulih seperti yang diluahkan menerusi pelbagai saluran komunikasi termasuk media sosial ketika itu.

Menurut Rahim, setakat ini, kesihatannya kembali pada tahap memuaskan.

“Alhamdulillah, kesihatan saya bertambah baik dan sebaik pulih, saya sempat berlakon dalam satu drama purba di Melaka baru-baru ini.

“Pastinya, saya berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam bidang berkenaan selagi termampu. Namun saya menarik diri dalam bidang pengulasan sukan, walaupun minat dalam arena itu tidak pernah padam,” kata ikon sukan terbabit.

Anak kelahiran Ipoh, Perak yang mempunyai tiga anak dan tujuh cucu itu bersyukur kerana isterinya, Datin Salmiah Abd Mukmin, 69, sentiasa memberi sokongan sepanjang pembabitannya dalam lakonan, pengarahan mahupun dalam bidang penyiaran.

Menurutnya, pengalaman paling diingati sepanjang kerjaya penyiaran televisyen pastinya ketika perlawanan tinju heavyweight membabitkan jaguh dunia, Muhammad Ali dan Joe Bugner di Kuala Lumpur pada 1975.

“Ia kekal dalam ingatan hingga kini dan pastinya peristiwa itu tidak lagi akan berulang, sebaliknya hanya tinggal sejarah Perlawanan itu amat menarik malah sudah pasti peminat sukan era 70-an tidak akan melupakan perlawanan bersejarah yang amat manis untuk dikenang,” katanya.

Rahim yang turut melahirkan rasa bangga atas kemunculan ramai pengulas sukan baru di Malaysia berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan padu kepada mereka untuk berjaya serta perlu menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat menerusi gaya dan teknik penyampaian berkesan.

Katanya, beliau sedia memberi nasihat dan panda–ngan kepada mana-mana pihak terutama generasi baru yang terbabit dalam bidang berkenaan, terutama jika kesihatan mengizinkan.

Sambil mengharapkan mereka tabah dan sentiasa positif, dia tidak menganggap ia satu kesukaran mendapatkan maklumat dan terpaksa lebih kerap turun padang untuk memperoleh fakta.

“Saya turut menaruh kepercayaan pengulas kini mampu lebih berjaya daripada apa yang pernah saya nikmati dengan syarat mereka terus belajar dengan konsisten mencari idea baru untuk kemajuan kerjaya masing-masing.

“Harapan saya semoga sukan negara akan terus dihormati di kancah saingan dunia selain turut mencadangkan pembabitan serius penduduk terhadap sukan baru untuk turut cemerlang seperti dibuktikan dalam arena hoki, skuasy dan badminton,” katanya.

Mengimbas latar belakangnya, bekas pelajar Sekolah Menengah Anderson Ipoh itu dilihat amat gigih dan bijak mengendalikan segmen sukan sepanjang kerjaya yang diterokainya.

Ulasan dan fakta yang diberikannya nyata melekat di jiwa pengikut sukan negara sehingga ada di antara mereka sentiasa menanti kemunculannya menerusi gaya dan suara asli yang sukar ditandingi.

Bermula secara sambilan berikutan bekerja di Malayan Tobacco sekitar 1964, beliau jelas menguasai minda peminat menerusi pembabitan awalnya sehingga suaranya amat sinonim dengan dunia sukan tanah air.

Walaupun amat teruja menanti kehadiran Piala Dunia 2014 Brazil, beliau yang pernah terbabit dalam pengulasan kejohanan berprestij terbabit tetap mengikuti perkembangan sukan dengan memilih tuan rumah muncul juara edisi kali ini.

Mula berjinak-jinak menjadi penulis skrip drama sejak 1950-an selain berpengalaman luas dalam lakonan drama dan pengarahan flem.

Beliau yang pernah berlakon teater di University Theatre Dub, Brighton Theatre Group Australia Broadcasting Commission 1963, mengakui kembali berlakon sekali gus melepaskan kerinduan sebagai pengulas sukan.

Antara anugerah diraih–nya termasuk pelakon terbaik 2007, pengarah terbaik dan skrip terbaik (1986 dan 1981) serta sutradara terbaik dan lakon layar terbaik 1984.


myMetro



Biografi Rahim Razali

'Datuk Haji Rahim Razali' (lahir 3 Julai 1939 di Batu Gajah, Perak merupakan pelakon filem, dramatis dan pengacara sukan, pengarah, penerbit Filem, penerbit TV, jururunding skrip, dan penulis tersohor di Malaysia.

Sekolah aliran Inggeris di Sekolah Anderson, Ipoh.Kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Melbourne selama lima tahun dalam jurusan Chartered Accountancy di bawah Rancangan Colombo.

Beliau bekerja sebagai pembantu penyiaran di Radio Malaya, Tobacco Co. Bhd, di Kementerian Kebudayaan, dan SSC & B Lintas Sdn. Bhd dan syarikat iklan rokok SH Benson Advertising Company. Seterusnya bekerja di Fleet Communication. 1981 menubuhkan syarikat sendiri Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd bersama Wan Rohani Zain, bekas penyampai berita RTM.

Sejak 1950an beliau menjadi penulis skrip dan pengarah bagi drama di sekolahnya.Di Australia , Rahim menyertai Melbourne University Theatre Dub, Brighton Theatre Group, dan Australia Broadcasting Commission. 1963, berlakon sebagai Hamlet dalam Hamlet iaitu persembahan untuk Brighton Thearte Group. Pada tahun 2010 beliau mengarahkan Muzikal Uda & Dara karya asal Usman Awang. Beliau bertanggungjawab mencungkil dan menyerlahkan bakat lakonan ramai bintang sejak era 70an, dan terbaru beliau berjaya menampilkan penyanyi popular Misha Omar sebagai bintang teater muzikal yang mempunyai keseimbangan dalam bidang lakonan dan nyanyian.

Beliau menerbitkan 50 drama televisyen di RTM dan berlakon 15 buah filem.

Sejak 1960an menceburi dunia lakonan di RTM. Sejak 1981 telah mengarah 8 buah filem dan filemnya terpilih mewakili negara ke Tokyo International Film Festival, London International Film Festival dan lain-lain.

Filem

2015 - Kapsul - (Pelakon Utama)
2014 - Anak Jantan - (Pelakon Tambahan)
2014 - Balistik - (Artis Jemputan)
2014 - Sayang Disayang - (Pelakon Utama)
2013 - Malam Penuh Bermisteri - (Pelakon Utama)
2011 - Nur Kasih The Movie - (Artis Jemputan)
2010 - Hikayat Merong Mahawangsa - (Pelakon Pembantu)
2010 - 4 Madu - (Pelakon Utama)
2010 - Janin - (Artis Jemputan)
2010 - Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami - (Pelakon Pembantu)
2009 - Muallaf - (Pelakon Pembantu)
2009 - Pisau Cukur - (Pelakon Pembantu)
2009 - Cinta Terakhir - (Pelakon Pembantu)
2008 - CUCI - (Pelakon Pembantu)
2008 - Jarum Halus - (Pelakon Pembantu)
2007 - 1957 Hati Malaya - (Artis Jemputan)
2007 - Qabil Khusry Qabil Igam - (Pelakon Utama)
2006 - Cinta - (Pelakon Utama)
2004 - Puteri Gunung Ledang - (Pelakon Utama)
2003 - Aku Kaya The Movie - (Pelakon Pembantu)
2002 - Embun - (Pelakon Pembantu)
2002 - KL Menjerit - (Pelakon Pembantu)
1993 - Abang 92 - (Pelakon Pembantu)
1987 - Puteri - (Pelakon Pembantu)
1981 - Tsu Feh Sofiah - (Pelakon Utama)
1981 - Abang - (Pelakon Utama)
1978 - Dayang Suhana - (Pelakon Utama)


Anugerah

2007 - Festival Filem Malaysia ke-20 - Pelakon Lelaki Terbaik (Dalam Watak Pembantu)
1986 - Festival Filem Malaysia ke-6 - Pengarah Terbaik
1986 - Festival Filem Malaysia ke-6 - Skrip Terbaik
1984 - Festival Filem Malaysia ke-5 - Sutradara Terbaik
1984 - Festival Filem Malaysia ke-5 - Lakonlayar Terbaik
1981 - Festival Filem Malaysia ke-2 - Pelakon Lelaki Terbaik
1981 - Festival Filem Malaysia ke-2 - Skrip Terbaik

wiki


Comments