ustaz don


Tradisi jubah berona putih
Oleh HAIKAL RAMAN


HUSNA ZAHRY (kiri) menyifatkan Ustaz Don merupakan satu anugerah buat dirinya.

“Pakaian raya ini tidak semestinya baru dibeli, sebaliknya cukup sekadar ia kelihatan seakan-akan baharu sama ada selepas dibasuh, diambil dari simpanan gerobok mahupun istimewa untuk dikenakan pada hari perayaan Aidilfitri,” ujar pemilik nama Don Daniyal Don Biyajid.

Penceramah bebas anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang popular dengan jolokan Ustaz Don itu berkata, sebagai seorang anak, beliau memiliki ibu bapa yang mendidiknya sekeluarga untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan kemeriahan, namun penuh bersederhana.

Salah satu resam dalam keluarganya adalah memakai pakaian paling istimewa. Walaupun busana lebaran itu bukan pakaian baharu, ia haruslah baru dibasuh dan helaian yang istimewa untuk disarung pada hari keraian tersebut. Demikianlah tafsiran kesederhanaan yang diterapkan sejak dia dibesarkan.

Ia bertepatan dengan sunah supaya kaum Muslimin menghias diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya.

Imam Syafie berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” - Ringkasan Al-Umm, Jilid 1, muka surat 327.

Begitupun menurut Ustaz Don, tidak menjadi sebarang masalah sekiranya kita ingin membeli baju baharu dan digalakkan menghadiahkan pakaian lama yang masih dalam keadaan baik dan cantik kepada orang lain, mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada individu berkenaan.

Madrasah Ramadan

“Malah, ia menjadi sesuatu yang mulia sekiranya menjadi praktisan dan dibudayakan oleh setiap institusi keluarga. Ia sedikit sebanyak merasai kemeriahan sebenar apabila penerima dapat beraya dengan baju ‘baharu’,” katanya ketika ditemui di Hotel Seri Pacific, Jalan Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengikut pengertian literal Aidilfitri, Aid secara tunggalnya bermakna kembali manakala fitri bermaksud fitrah. Ia merujuk kepada bulan Syawal yang membenarkan setiap insan makan pada siang hari selepas sebulan berpuasa ketika Ramadan.

Apabila menyentuh pengertian Hari Raya Aidilfitri amnya, ia adalah sebuah perayaan yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bahawa umat lain mempunyai perayaan masing-masing tetapi umat Islam, Allah SWT menganugerahkan dua perayaan yang lebih agung.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud RA, Allah telah menganugerahkan Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri kepada umat Islam yakni ianya lebih baik daripada perayaan kaum-kaum lain.

Hari Raya Aidilfitri juga tidak terkecuali untuk kita mengejar seberapa banyak pahala sebagai kesinambungan madrasah Ramadan yang dilalui selama sebulan.

“Kelaziman tradisi pakaian keluarga kami, adik-beradik lelaki akan menyarung jubah berwarna putih pada pagi hari raya pertama bersama rekaan dan corak ridak yang pelbagai, manakala perempuan pula akan berindah-indah dengan busana bervariasi.

“Pemakaian jubah berona putih ini melambangkan penyatuan hati keluarga, selain ia adalah warna kegemaran Nabi Muhammad SAW. Maka, ia dikira sebagai sunah, tambahan pula apabila dipakai ketika menyambut perayaan kegembiraan umat Islam,” katanya penuh hemat dan tenang dalam senyuman.

Berbicara tentang Syawal, pastinya ada beberapa adab yang digariskan dalam agama untuk memandu umatnya menyambut keraian itu dengan cara yang betul. Paling umum, jangan melakukan perkara-perkara yang melanggar syariat.

Ziarah


Ustaz Don terkenal dengan siri televisyen 30 Minit Ustaz Don.

Menjadi kebiasaan kita semua menghabiskan banyak masa dengan menonton rancangan yang disiarkan di kaca televisyen. Bagaimanapun, tidak bermakna tidak boleh menonton langsung, sebaliknya beramai-ramai dengan ahli keluarga yang lain.

Sunah hari raya adalah menuntut amalan menziarah seperti sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, adalah Nabi pada Hari Raya Aidilfitri, baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).

“Apa yang ingin disampaikan oleh hadis tersebut adalah supaya kita berjumpa dengan orang ramai. Jadi, Baginda mahu kita beramai-ramai ketika hari raya.

“Disebabkan itu, jangan habiskan masa dengan menonton televisyen kecuali bersama sanak saudara yang lain,” jelasnya yang menggalakkan untuk menziarahi seberapa banyak keluarga termampu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir itu turut berkongsi memori-memori terindah dan saat keterujaan ketika menyambut perayaan di perantauan sekitar tahun 2006/2007 lalu.

Menurut Ustaz Don, di Mesir kemeriahan oleh masyarakat tempatan hanya dirasai ketika bulan Ramadan dan tidak pada sambutan Aidilfitri. Malah, pola meraikan Syawal juga berbeza jika dibandingkan di Malaysia.

“Di sana, mereka lebih pada melakukan ziarah dan meraikan Aidilfitri pada malam hari, manakala waktu siang lebih dimanfaatkan untuk berehat. Sebaliknya keseronokan tersebut hanya dirasai oleh pelajar Malaysia khususnya dengan memenuhi jemputan rumah terbuka.

“Rumah sewa saya akan menjadi lokasi kunjungan kedua selepas markas pelajar di Dauran Shoubra yang terletak kira-kira 100 meter. Kami akan bergotong-royong menyediakan juadah lebaran dan saya akan menyediakan kuah kacang dan mi sup,” katanya yang memberitahu sajian kemestian bagi orang Arab adalah halawiyat (manisan).

Hari raya kedua mereka resamnya akan pergi beraya ke markas Muhafazoh iaitu apartmen mengikut negeri masing-masing yang dikendalikan oleh Badan Kebajikan Anak Negeri, terletak di bandar Kaherah, Mesir.

Rumah terbuka

Menitipkan nasihat berkaitan budaya rumah terbuka, beliau berpendapat agar ia diteruskan selagi mana kita mempunyai kemampuan. Berkemungkinan tetamu yang hadir itu terdiri daripada mereka yang miskin dan wang tidak cukup untuk menikmati juadah istimewa hari raya.

Pandangan beliau tentang hiburan dalam rumah terbuka di Malaysia pula ialah masyarakat kita amat menggemari hiburan, namun perlu pastikan ia adalah bertepatan dengan pensyariatan agama.

Ujar beliau, ia tidak juga hanya perlu bergenre nasyid semata-mata, malah ditegah untuk berhibur dengan muzik-muzik keras yang membingitkan sehingga mengganggu jiran tetangga. Namun, jangan pula tiada langsung lagu kerana ia bertentangan dengan perayaan yang dituntut ada bunyi-bunyian.

Mengenai makanan pula, tidak salah jika menghidangkan makanan yang banyak tetapi elakkan pembaziran. Malah, segelintir daripada mereka mempunyai tabiat buruk apabila sering memberi sisa makanan kepada rumah-rumah tahfiz.

“Sebaiknya diasingkan terlebih dahulu bahagian makanan yang ingin disedekahkan kepada institusi tersebut termasuk rumah anak yatim yang lain. Jangan risau sekiranya jumlah itu mungkin berkurangan kerana percayalah Allah akan mencukupkannya,” kata Ustaz Don. Beliau yang terkenal dengan rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don itu berkata, walaupun terdapat tuntutan berziarah, juga terdapat garis adab yang telah diajar bagi menjaga kemaslahatan umum seperti tidak terlalu lama di sesebuah rumah sebaliknya membahagikan masa.

“Seelok-eloknya tetamu mendatangkan barakah, maka rugilah jika tetamu itu daripada dirinya sendiri hilang keberkatan tersebut. Maknanya, hadirlah berziarah dengan menutup aurat,” katanya yang turut menegaskan untuk menjaga ikhtilat antara lelaki dan wanita.

Cinta hati Husna Zahry Rafie, 27, dan bapa kepada Don Mustofa itu bagaimanapun merindui zaman beraya bersama datuknya, Almarhum Mustafa Hamidun yang kembali ke rahmatullah pada 8 Ramadan, 16 tahun lalu. Ketika itu, beliau berusia 13 tahun.

“Bagi saya, arwah merupakan seorang datuk yang berjaya mengumpulkan anak-anak dan menyambut perayaan Aidilfitri secara meriah serta besar-besaran. Dia merupakan tunjang utama keluarga,” ujarnya.

kosmo


Ustaz Don: Kami sama seperti pasangan lain
Wartawan Sinar Harian
24 Ogos 2012



Ustaz Don dan Husna menjadi tumpuan anggota keluarga dan rakan selepas majlis pernikahan pagi semalam. - Foto ihsan Beautifulnara



"BOLEH tak saya skip jawapan itu." Itulah jawapan ringkas penceramah popular, Ustaz Don ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan isteri, Husna Mohd Zahry.

Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid dalam kalangan peminat ceramah agamanya, malah fenomena Ustaz Don sama naik seperti Ustaz Azhar Idrus.

Ceramah yang disampaikan melalui kuliah-kuliah agamanya mula popular melalui laman YouTube sehingga ke laman sesawang Facebook, namun kini dia sudah pun menyampaikan ceramah dan mempunyai peminat yang tersendiri.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditemui Sinar Harian setelah tiba di kampung halamannya di Kampung Dodol sebelum dinikahkan petang semalam di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Husna berasal dari Balik Pulau dan majlis kenduri sebelah pengantin perempuan diadakan esok sementara majlis perkahwinan Ustaz Don akan diadakan pada 1 September 2012 di Dewan Kuis.

Dia yang bersahaja dengan kemeja lengan panjang hadir bersama adik bongsunya, Don Asyraf, 24, disambut puluhan saudara-mara dan orang kampung di situ.

Ketika ditemui dia dengan rendah diri memaklumkan jamuan berkenaan diadakan bukan untuk menyambut kedatangannya, sebaliknya adalah jamuan Aidilfitri yang diadakan setiap tahun bersama saudara-mara.

“Alang-alang disebabkan perkahwinan saya diadakan hari esok (hari ini), jadi mereka semua menyambutnya sekali,” katanya.

Don yang kini bekerja sebagai tenaga pengajar di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuiscell) mengakui alam perkahwinan yang akan dilalui bersama Husna sama seperti pasangan suami isteri yang lain.

“Bagi saya tiada bezanya, apa yang pasangan lain rasakan itulah yang akan kami rasa, sama sahaja,” katanya.

Ustaz muda yang sentiasa tersenyum itu juga sempat menyampaikan nasihatnya kepada pasangan muda di luar sana.

“Bagi saya mana-mana pasangan yang ingin bercinta lama atau sebaliknya itu adalah subjektif, seperti juga nabi kita tidak pernah meletakkan sesuatu sebaliknya nabi telah meletakkan landasan kepada kita.

“Sebagai contohnya bergantung kepada kita untuk gunakan keretapi bagaimana, ekspres atau keretapi wap, jika terbabas atau sebaliknya itu adalah pada diri kita sendiri.

“Ia adalah bergantung atas kecerdikan kita sendiri, itu subjektif, namun kepada pasangan muda apa yang saya boleh nasihatkan ialah sememangnya kita melakukan kesalahan dan begitu juga orang tua, tidak boleh lari masalah.

“Namun kita masih boleh perbaiki diri kita dan tidak berterusan melakukan kesalahan itu, sebagai orang Islam dan mempunyai iman kita perlu perbaiki,” katanya.

Dia yang mempunyai keluarga di sebelah ibu di Kampung Dodol sementara sebelah bapanya pula di Gelugor.

Mula bersekolah di Sekolah Kebun Sireh Bukit Minyak kemudiannya menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal.

Dia kemudiannya menyambung diploma di Maahad Tahfiz Pulau Pinang dan ke Maahad Qiraat Shoubra Mesir.

Sementara itu, Don Asyraf adik lelaki bongsu Ustaz Don berkata, dia bersyukur kerana akhirnya ada wanita yang boleh mendampingi abang sulungnya itu.

“Kami mempunyai empat beradik, yang sulung adalah kakak dan Ustaz Don adalah abang kedua, dalam keluarga ini adalah perkahwinan kali ketiga buat keluarga kami.

“Mudah-mudahan perkahwinan ini diberkati dan kakak ipar saya dapat meneruskan perjuangan bersama Ustaz Don,” katanya.

Kedua-duanya ditemui ketika majlis jamuan Aidilfitri di rumah bapa saudaranya, Abdul Hamid Abdul Kadir, 74.

Abdul Hamid berkata, sebagai bapa saudara dia begitu seronok anak saudaranya itu akan melalui alam perkahwinan.

Dia yang juga abang kepada ibu Ustaz Don berkata, apa yang menarik mengenai Don Daniyal ialah adab sopannya.

“Sejak kecil memang keluarganya sudah terbentuk dengan akidah Islam, bukan dia sahaja malah kesemua adik beradiknya, dan ketika belajar di Mesir, Daniyal mempunyai seorang guru yang mana dipanggil Sheikh.

“Sheikh berkenaan cacat penglihatan dan dialah yang akan mengambil dan membawa pulang kembali Sheikh setiap hari, adabnya terhadap guru memang terpuji,” katanya kepada Sinar Harian.

Petah berkata-kata

Ketika ditanya siapa lagi ahli keluarga yang mengikut jejak langkah Ustaz Don dalam menyampaikan ceramah, Abdul Hamid memaklumkan adik perempuannya iaitu ibu kepada Ustaz Don sememangnya suka bersyarah dan memasuki pertandingan.

Tidak ketinggalan gembira dengan berita perkahwinan Ustaz Don ialah sepupunya, Mohd Zaki Abdul Hamid, 27.

Dia mengakui sepupunya itu petah berkata-kata sejak dari kecil lagi.

Antara pengalaman yang diingat bersama Don ketika musim perayaan ialah berhari raya di sekeliling kampung.

“Setelah kami masing-masing sambung pelajaran memang lost contact tetapi masih berhubungan, apa pun sebagai sepupu saya mendoakan kebahagiaan dia bersama isteri," katanya.

sinar harian


Biodata Ustaz Don Daniyal Don Biyajid




Pasti ramai yang ingin mengetahui biodata Ustaz Don Baniyal ini bukan. Bagi sesiapa yang mengikuti rancangan beliau iaitu 30 Minit Bersama Ustaz Don, anda mesti tertarik dengan cara penyampaian Ustaz Don yang santai dan memiliki aura pendakwah yang tersendiri. Jom kita lihat serba sedikit biodata beliau.

Biodata Ustaz Don Daniyal

Nama: Don daniyal Don Biyajid
Tarikh lahir: 14 November 1984
Tempat lahir: Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tinggi: 171 sentimeter
Berat: 56 kilogram
Pekerjaan: Pensyarah muda & pendakwah bebas bertauliah Pulau Pinang & Selangor)
Status: Bujang
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir

sumber wow berita


Comments