Usman Awang : Lingkar Warna Hidup Kita




Sasterawan Negara Dato' Dr Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 dan meninggal dunia pada 29 November 2001 pada usia 72 tahun.

Kepergian yang begitu lama namun karya dan jiwanya masih merayap dan tumbuh dalam alur jiwa dan fikir mereka yang menatap karya beliau. Pemikiran dan suaranya tetap melantun membelah nurani kita seperti apa yang pernah ditulis dan dirungkai sentiasa bergema dan berkisar di depan kita. Seperti apa yang digarap puluhan tahun dulu menyajikan harus hidup masa kini. Kita tidak akan merasa puisi, cerpen, drama dan novel suratan beliau berada jauh tetapi semakin dekat dan bertaut rapat dengan segala kejadian dan alam yang melingkari. Sasterawan Negara Usman Awang telah meletakkan penanya di sudut terbaik dalam hidup kita. Ia sentiasa memberi pandangan dan fikir yang meminta dan memanggil-manggil kita menafsir dan memahami saban masa. Sekali kalam diraut puluhan tahun tatahnya bermakna untuk kita.

Baca  sajak bunga popi, ia ditulis pada tahun 1955 tetapi apabila kita membedah dan meredah karya ini. Segalanya masih tersusun segar dan melatar hidup masa kini. Perang tidak pernah berhenti dan manusia menjadi mangsanya hingga ke detik ini.

"Bunga Popi"

Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,
rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,
hasil manusia gila perang membunuh mesra,
bunga merah berkembang indah minta disembah.

Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,
kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,
perang dalam kenangan penuh kengerian,
sekarang dalam kepahitan,
dalam kesepian.

Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,
hilang pergantungan, hilang pencarian,
hidup kebuluran,
ribuan janda, ribuan kecewa, ribuan sengsara,
jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.

Manusia gila perang telah membunuh segala mesra!
perang berlangsung mencari untung tanah jajahan!
perang berlangsung membunuh anak dalam buaian!
perang berlangsung menghantar lebur nilai kebudayaan!

Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan,
bunga darah merah menyimbah,
penuh kengerian.

Kami benci pada perang penuh pembunuhan!
kami rindu pada damai sepanjang zaman!

Usman Awang (1955)

Menjelang detik kemerdekaan negara ogos nanti, terasa bahawa karya-karya Sasterawan Negara semakin menjamah emosi kita. Ia semakin mengusik fikir dan akal sedar kita. Apa yang pernah ditulis puluhan tahun dulu tentang makna perpaduan dan kemanusiaan semakin menjalar dan menyentap kita. Apakah kita berupaya menterjemah segala yang termuat dalam karyanya seperti Anak Jiran Tionghua sebagai ramuan hidup dan langsir pergaulan antara kita? Segala yang diungkapkan menjadi suatu peringatan yang payah dan sukar tetapi sekiranya kejujuran dan kesungguhan membawa hikmah dari puisi itu, kemakmuran, kemerdekaan, kesejahteraan, dan kesepaduan akan berumah besar di negara ini.

Karya-karya Usman Awang masih menetas dan dihidupkan dengan segala bentuk seni. Kreativiti dan upaya penulis dan pengkarya berupaya melestarikan karya-karya beliau ke dalam bentuk baru yang lebih sesuai dengan alir masa. Kita masih perlu banyak lagi terjemahan dan adaptasi atau pembugaran kembali karya-karya Sasterawan Negara Usman Awang.  Kita tidak mahu karya-karya yang begitu dekat dan akrab dengan hidup dan warna alam kita terbiar begitu saja. Generasi muda perlu ditumbuhkan cinta dan minat terhadap karya-karya Usman Awang.  Ia melingkari segala warna dan segi hidup kita : cinta, kasih sayang, perjuangan, alam sekitar, persaudaraan, kemanusiaan, hubungan kaum, perjuangan, nasionalisme, nasib marhaen, suara jiwa rakyat, kemerdekaan dan banyak lagi sudah dirakam Sasterawan Negara Usman Awang ke dalam pelbagai genre karya sastera.

Kalaulah penderitaan dan keharuan  yang dinukilkan, kita akan selalu ingat tentang kepahitan yang dihirup oleh seorang gadois kecil  dalam sajaknya Gadis kecil.  Segalanya diungkapkan dalam bahasa yang lunak dan sederhana tetapi menggetarkan jiwa apabila tersua hidup dan kepayahan yang dilalui gadis kecil di usia mudanya itu.  Citra pohon dan sinar matahari semakin menjadikan puisi ini begitu mencengkam jiwa.

Tubuh itu mengingatkan daku
sebatang pinang di desa sepi
kurus dan tinggi
ketika ribut besar
pohon sekitarnya rebah terkapar
dan pohon pinang tegak menanti
sinar mentari pagi

Demikianlah gadi kecil itu
kurus seperti sebatang pinang
bertahun berulang-alik melalui
penjara kawat duri menemui
ayahnya yang bertahun pula sendiri
menentang tiap penderitaan
tabah dan beriman.

Begitulah Sasterawan Negara Usman Awang dalam nukil dan kata kita terasa ada di tengah arus penceritaannya. Kita terasa berada dalam nadi dan urai jiwa manusia yang dibicarakan. Karya-karya Usman Awang tidak ubah sebagai lingkar warna yang mengitari hidup kita. Ia begitu dekat dan akrab kerana ditulis dari sudut pandang yang kita sendiri melihat dan mengalaminya.

Kita harus memperkasa kasrya-karya beliau kerana karya-karya itu tidak pernah berbeza dengan pengalaman hidup kita semalam atau hari ini....

 Di bawah ini beberapa catatan tentang karya-karya UIsman Awang serta penampilan semula karya beliau dalam dinamika baru karya seni.


Penghargaan Buat Usman Awang

Oleh DATUK DR. AWANG SARIYAN


IZINKAN saya memulakan penghargaan ini dengan membacakan petikan puisi beliau yang cukup terkenal, “Anak Gadis Tionghoa”:

Lihat mereka tertawa riang
Ah Chen tak punya gigi sebatang
Iskandar mengesat hingus ke baju
Sekarang mereka menunggu aiskrim lalu
Bumi tercinta resapkan wahyumu
Jantung mereka adalah langitmu
Darah mereka adalah sungaimu
Nafas mereka adalah udaramu.
(1962)

Bait-bait puisi ini berisi harapan pada erti kehidupan yang penuh pengertian dan saling memahami. Dengan keupayaan bahasanya yang lembut dan bersahaja tetapi sentiasa segar, Usman merakamkan zaman kanak-kanak yang tidak mengenal erti perbezaan kaum, berkawan tanpa batasan prasangka ras dan usikannya tanpa penghinaan tetapi selalunya mesra. Puisi ini memancarkan sikap, pendirian, harapan dan keyakinan Usman yang sebenar. Beliau tidak menyeru ke arah perpaduan dengan desakan dan slogan politik tetapi dengan kejujuran mengungkapkan perhubungan antara manusia tanpa membezakan kaum dan seringnya merakyatsecara luhur.

Demikianlah Usman atau mesra kita kenali sebagai Tongkat Warrant, simbol keunggulan kesusasteraan kita. Beliau menggunakan sastera dalam upaya memperjuangkan pendirian atau menyatakan sikapnya. Puisi Usman sering menyuarakan suara kemanusiaan, dengan perjuangan yang universal sifatnya. Beliau menentang sebarang penindasan dan ketidakadilan tanpa mengenal sempadan.

Usman penyair yang hidup subur sepanjang zaman. Beliau mula menulis kira-kira pada tahun 1948, dengan puisinya yang pertama “Korban Tanah Air”. Usman datang dengan bakat alam dan hati nuraninya. Alam beserta manusia sekeliling menjadi gurunya yang sebenar. Dalam berkarya, Usman memuliakan tradisi, rantaian sejarah dan urutan pengalaman bangsanya.

Usman selalu percaya akan kemerduan alam pantun dan syair, gaya tradisional yang indah serta gubahan bahasanya yang lembut dan halus tetapi kehalusan bahasany>Tamu Di Bukit Kenny, Uda dan Dara, Matinya Seorang Pahlawan, Menyerahnya Seorang Perempuan dan Degup Jantung. Bahasa dalam dramanya sentiasa terkawal, berhemah, indah dan sentiasa berwibawa dengan pemilihan perbendaharaan kata dan olahan yang kemas. Keindahan ungkapan yang tiada tandingnya dalam drama tempatan terlihat dalam drama Menyerahnya Seorang Perempuan.

Drama Usman mengambil kisah klasik untuk menentang amalan feudal dan menuntut keadilan serta kebenaran. Beliau menyeru dan membangkitkan semangat juang orang kecil yang tertindas. Dalam drama modennya Usman mengutarakan persoalan dan konflik masyarakat dengan komentar tajam tabiat masyarakat sezamannya. Hasilnya drama Usman bukan sahaja tidak jemu ditonton malah isu yang diangkatnya sentiasa relevan merentas zaman.

Usman hanya menghasilkan sebuah novel, iaitu Tulang-tulang Berserakan tetapi novel ini umpama menjenguk babak-babak kehidupan Usman sendiri. Watak Leman dikatakan mendekati watak Usman, seorang yang berperasaan halus, mudah terusik oleh keadaan yang tidak menyenangkan, kekerasan, peperangan, ketidakadilan, kepincangan, penipuan dan penindasan. Seperti Usman, watak Leman juga akhirnya meletakkan jawatan sebagai anggota polis. Sebagai anggota polis, Leman berhadapan dengan dilema tugasnya. Memburu dan membunuh pengganas komunis merupakan beban yang amat berat, yang mencabar rasa kemanusiaannya. Dia bersimpati dengan mereka yang tabah dan teguh untuk menegakkan ideologi yang dia sendiri tidak bersetuju.

Usman pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada ketika DBP berada di puncak perjuangan bahasa dan suara kebangkitan nasionalis Melayu. DBP ketika itu juga menghimpunkan sejumlah besar karyawan sastera dan bahasa terbaik ketika itu, antaranya Keris Mas, Wijayamala, Awam-il Sarkam, Abdullah Hussein, Baha Zain, Kemala, Anwar Ridhwan, Dinsman, Johan Jaaffar dan Sutung Umar RS. Usman bersama-sama Keris Mas merancang dan melancarkan penerbitan majalah Dewan Sastera, satu-satunya wadah karyawan sastera unggul dan terbaik hingga kini. Kemudian Usman dan Keris juga turut merencanakan penerbitan Dewan Budaya, majalah suara seni dan budaya yang masih unggul hingga kini. Dan legasi Usman terus hidup di DBP.

Usman seorang penulis yang cukup versatil. Beliau penyair, penulis novel, penulis cerpen dan penulis esei. Kekuatannya terletak pada puisi, tetapi beliau juga kuat sebagai penulis drama. Namun yang lebih kuat adalah bahasanya yang begitu istimewa, menyindir dengan sinis, mengkritik dengan tajam, marah dalam lembut, mesra tanpa prasangka dan kemanusiaan yang ikhlas melampaui ras.

Sesungguhnya anugerah ini datang tepat pada masanya, ketika negara bergolak dengan prasangka yang cuba mengoyakkan keharmonian perpaduan kaum yang sekian lama damai bersama. Besarnya sumbangan Usman bukan sahaja kepada dunia sastera Melayu, malah kesan harumnya kepada kemanusiaan sejagat. Yang diutamakan oleh Usman adalah nilai keikhlasannya.

Sebagai menutup penghargaan dan mengingati Usman, izinkan saya sekali lagi memetik kata-kata daripada buku Sikap dan Pemikiran Usman Awang:

“…Seorang penulis tidak melihat batas benua. Tidak terikat pada warna kulit dan keturunan bangsa kerana tangis seorang anak di Sungai Kelang adalah juga tangis seorang anak di Sungai Mekong. Air mata seorang ibu di Kuala Terengganu adalah juga air mata seorang ibu di belantara Afrika.”

Maka, sewajarnyalah anugerah ini dinamakan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang.

(Teks ini disampaikan di Majlis Penyampaian Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang, Hotel Berjaya Times Square, K. Lumpur, 14 Dis. 2014).

klikweb


Usma Awang, anak jiran Tionghua, dan Malaysia yang kita cintai

Meor Yusof Aziddin
8 Februari 2015

8 FEBRUARI — Datuk Dr Usman Awang adalah antara segelintir orang yang hebat dibidangnya yang pernah negara kita lahirkan . Beliau juga orang baik yang nawaitunya jelas mahu kita masyarakat berbilang bangsa selalu hidup dalam rukun dan harnoni.

Terlalu banyak pengiktirafan yang diterimanya dan yang paling besar apabila dianugerahkan gelaran Saterawan Negara yang ke 3 pada tahun 1983. Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 dan meninggal dunia pada 29 November 2001 pada usia 72 tahun.

Banyak sajak sajak dan novel beliau yang saya baca antara yang paling menarik ‘Tulang Tulang Berserakan, namun saya cukup tertarik dengan sajaknya, Anak Jiran Tionghua. Dulu sewaktu usia saya awal 20an, saya lebih sukakan karya yang bersifat rebel karangan Achmad K.Mihardja, Pramoedya Ananta Toer, Zaen Kasturi juga Rendra antaranya.

Bila usia mula menjangkau 30an saya mula menyelak semula karya karya yang lembut A.Samad Said, Usman Awang terutamanya. Saya rasa mereka berbicara dalam mood yang lembut tapi penuh dengan mesej yang jelas dan tidak berbelit.

Cuba kita baca dan fahamkan sajak Anak Jiran Tionghua ( AJT) yang saya sertakan di bawah ini,


ANAK JIRAN TIONGHUA

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar
Kilat matanya memanggil Iskandar
Siapa lalu siapa berkaca
Melihat keduanya bergurau senda


Anak Tionghua kelahirannya di sini
Di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi
Ia bisa bercerita untuk siapa saja
Di sini tanahnya dan ibunya bersemadi

Lihat mereka sedang berebutan pistol mainan
He, jangan berkelahi
Ah, anak-anak dengan caranya murni
Berkelahi untuk nanti bermain kembali

Lihat mereka tertawa riang
Ah Chew tak punya gigi sebatang
Iskandar mengesat hingus ke baju
Sekarang mereka menunggu aiskrim lalu

Bumi tercinta resapkan wahyumu
Jantung mereka ialah langitmu
Darah mereka adalah sungai
Nafas mereka adalah udaramu.

Sajak AJT ini ditulis pada tahun 1962. Saya pun belum lahir lagi waktu itu. 7 tahun selepas itu berlaku peristiwa rusuhan kaum yang tarikhnya semua kita masih ingat, 13 Mei. Adakah kita mahu peristiwa yang tidak baik ini berlaku lagi di negara yang kita cintai ini ? Sudah tentu tidak kerana kita, masing masing telah faham betapa perlunya sebuah negara yang aman dan damai. Bukan untuk orang lain, melainkan untuk diri kita sendiri.

Memahami sajak ini ianya mudah menyerap ke dalam jiwa kita, rakyat Malaysia. Iskandar dan Ah Chew adalah sebahagian dari watak watak kita, inilah yang kita lalui dulu tak kira siapa kita, samada Melayu, India, Cina mahupun apa bangsa sekalipun selagi kita ini berstatus warganegara.

Saya pernah mencipta lagu berdasarkan lirik AJT ini dan mempersembahkan di beberapa majlis sastera yang berlangsung. Bahkan pernah saya hantar lagu yang saya cipta dalam sebuah pertandingan mencipta lagu puisi yang sering di anjurkan oleh badan sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tapi seperti biasa, formatnya kalau kita nak bikin lagu puisi, bunyinya mesti seperti Kopratasa. Lenggoknya pun perlu seperti Kopratasa juga, itu format dan formula yang mereka faham tentang lagu puisi. Kalau bikin melodi selain dari mood Kopratasa, memang payahlah nak menang.

Sebab yang menjadi juri biasanya di kalangan mereka yang kenal antara sesama mereka, jadi sampai sudah lagu dan formatnya akan seperti itulah.

Saya teringat sajak AJT ini kerana dalam keadaan masyarakat kita juga mereka yang di atas sana yang semakin sensitif dengan isu kaum dan agama hari ini, baru baru ini tatkala saya bernyanyi di KL Sentral, seorang lelaki mencatat sesuatu pada sehelai kertas dan diletakkan di beg gitar yang saya bentangkan di hadapan saya.

Catatannya, ‘Tolong nyanyikan lagu yang berbentuk perpaduan kaum’. Walaupun mesejnya ringkas, namun ia membuatkan saya berfikir sejenak. Mungkin lelaki itu juga risau dengan keadaan kita, rakyat yang berbilang kaum ini mula bertelagah antara sesama.

Lelaki yang menulis catatan tersebut adalah seorang lelaki Cina yang umurnya awal 20an saya kira. Saya percaya lelaki Cina itu mewakili semua kita tidak kira apa bangsa pun, yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Apa akan berlaku jika kita asyik bergaduh antara sesama sendiri? Kesannya negara akan menjadi huru hara, ekonomi merosot dan yang paling penting, rakyat susah nak cari makan, kecuali mereka yang berada di atas sana yang kebanyakannya kaya raya dan duit bagi mereka bukanlah satu masalah.

Kebanyakan kita, kalau ada kepentingan pun itulah seperti yang saya kata, kita mahu negara negara kita ini aman, rakyat boleh cari makan. Rezeki banyak atau sikit itu masing masing kita punya rezekilah.

Saya suka mood yang dulu, saya rasa negara kita ini sudah cukup aman dan selesa untuk kita diami. Saya mahu mood itu sentiasa ada dalam diri kita, keselesaan dan keharmonian, itu penting untuk kita faham dan praktikalkan bersama.

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

malaysianinsider


Matinya Seorang Perempuan

Kekasih


Mata Ayah

Tanahair

Prosa Air Mata






Fakta Ringkas Usman Awang

Nama Usman Awang bukan asing dalam dunia kesusasteraan tempatan. Dalam dunia sastera tanah air, Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang adalah nama tersohor bagai bintang yang gemerlapan sepanjang zaman.

Karya seni beliau begitu indah, cukup bersemangat dan benar-benar bermakna sehingga diterima oleh pelbagai kaum di seluruh tanah air. Hasil kerja beliau berkisar tentang realiti kehidupan, prihatin terhadap golongan tertindas serta menentang kuat kolonialisme selain bersifat universal dan patriotik.

Sesungguhnya Usman Awang adalah ikon patriotik yang menerusi karya seni menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia serta wajar dikenang dan dimartabatkan. Beliau telah memenangi banyak anugerah kesusasteraan seperti Gelaran Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1982), Gelaran Sasterawan Negara (1983), Zamalah Sastera untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran) (1985) dan Anugerah Penyair Johor (1995)

Lahir pada 12 Julai 1929 di Kota Tinggi, Johor
Seorang penyair, penulis dalam pelbagai genre termasuk cerpen dan drama terkenal di Malaysia
Salah seorang pengasas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Berpendidikan sekolah rendah sahaja kerana kemiskinan keluarga
Pernah menjadi buruh paksa Jepun dan anggota polis pada zaman British
Kembali ke Rahmatullah pada 29 November 2001

Antara nama-nama pena beliau termasuk Tongkat Warrant, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A. dan Zaini.

Antara puisi-puisi termasyhur beliau adalah

Salam Benua
Kekasih
Pak Utih
Ke Makam Bonda
Nasib Buruh
Bunga Popi
Gadis di Kuburan
Duri dan Api
Anak Jiran Tionghua
Hadiah
Sahabatku
Merpati Putih, Jelajahilah Dunia Ini

Drama-drama termasyhur beliau termasuk

Muzikal Uda dan Dara
Tamu Di Bukit Kenny
Matinya Seorangan Pahlawan (Jebat)
Malam Kemerdekaan
Serunai Malam

Cerpen-cerpen masyhur beliau:

Degup Jantung
Betisnya Bunting Padi
Matinya Seorang Perempuan
Sebuah Khemah Didirikan
Turunnya Sebuah Bendera

Satu-satunya novel beliau berjudul “Tulang-tulang Berserakan”

sumber  yayasan usman awang

Comments