Ucapan Aidilfitri TPM



UCAPAN HARI RAYA AIDILFITRI 1436H
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahilhamd.

1. Saya dan keluarga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat harri raya Idulfitri, maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam.

2. Alhamdulillah, bersyukur kerana kita telah diberikan kesempatan untuk menjalani ibadah puasa sepanjang bukan Ramadhan.

3. Berdoa semoga segala amal ibadat kita sepanjang bulan Ramadhan diterima oleh Allah s.w.t. dan berharap agar kita diberikan kesempatan sekali lagi untuk merasai kenikmatan Ramadhan pada tahun hadapan.

4. Sepertimana yang kita tahu, Ramadhan adalah bulan keampunan, bulan penyucian jiwa dan hari Raya Idulfitri adalah hari kita menyambut kemenangan kembalinya kita kepada fitrah insan yang suci, bersih dan taat kepada Allah s.w.t.

5. Mudah-mudahan madrasah Ramadhan telah mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih mulia dan lebih bertakwa kepada Allah s.w.t. Semoga semua amalan mulia yang kita laksanakan sepanjang bulan Ramadhan seperti bersedekah, bertadarrus dan amal ibadat samada yang wajib mahupun sunat yang dituntut oleh Islam dapat kita teruskan dalam kehidupan seharian kita selepas ini.

6. Yang penting ialah hikmah Ramadhan yang melatih kita mengekang hawa nafsu semata-mata kerana kita mentaati perintah Allah s.w.t. Dalam kehidupan kita seharian banyak godaan nafsu yang perlu kita jauhi untuk membina satu kehidupan yang bahagia dan sejahtera.

7. Dalam mengejar kekayaan, jangan kita biarkan diri kita dikuasai oleh nafsu tamak dan haloba. Dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita, jangan kita melakukan penyelewengan atau pecah amanah. Dalam menjalankan kuasa yang ada pada kita, jangan kita berlaku zalim dan tidak adil sesiapa.

8. Semua ini adalah penting untuk menjamin kerukunan dan kebahagiaan hidup umat Islam di dunia dan akhirat. Ingat, yang kita cari bukanlah kesenangan dunia semata-mata, tetapi juga keredhaan Allah s.w.t sebagai bekal kebahagiaan kita di akhirat nanti.

9. Sebagai umat Islam, saya juga berharap agar kita sentiasa memelihara keamanan dan keharmonian negara kita. Jauhi permusuhan sesama Islam mahupun dengan masyarakat bukan Islam.

10. Islam adalah agama persaudaraan. Islam menganjurkan kita supaya hormat menghormati sesama insan. Jika kita dapat mengamalkan ajaran Islam yang sebenar ini, maka saya percaya bahawa kita akan dapat mengekalkan keharmonian dan keamanan negara kita yang berbilang kaum dan agama.

11. Jangan kita mudah terpengaruh dengan suara-suara yang menghasut kita untuk bergaduh sesama sendiri dan mencetuskan perbalahan samada sesama umat Islam mahupun dengan orang bukan Islam.
Sesuai dengan bulan Ramadhan yang mulia dan semangat Idulfitri, marilah kita kekang nafsu ammarah kita dan berlapang dada untuk bermaaf-maafan serta memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan perpaduan sesama rakyat di negara kita.

12. Kepada warga kota yang pulang berhari raya di kampung halaman, saya ucapkan selamat memandu. Patuhilah undang-undang jalanraya, banyakkan bersabar dan bersama-samalah kita menjaga keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalanraya yang lain.

13. Akhirnya saya dan seisi keluarga sekali lagi mengucapkan selamat menyambut hari raya Idulfitri, maaf zahir dan batin.

YAB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
15 Julai 2015



sumber

Comments