Tren Elektrik (ETS) KTM



KL-Padang Besar 5 jam
Oleh Wan Asrudi Wan Hassan


Kuala Kangsar: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gold disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis yang perjalanannya hanya mengambil masa lima jam bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebagai permulaan perkhidmatan berkenaan membabitkan dua kali perjalanan sehari.

“Ia membabitkan satu perjalanan dari KL Sentral, Kuala Lumpur-Padang Besar pada sebelah pagi dan satu perjalanan dari Padang Besar-KL Sentral di sebelah petang.

“Perkhidmatan ini dimulakan sempena sambutan Aidilfitri minggu depan dan kami menjangka ia mendapat sambutan orang ramai kerana perjalanan lebih cepat dan selesa,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan itu mengenakan tambang mengikut kadar biasa ETS iaitu 13 sen bagi setiap kilometer atau RM81 dari KL Sentral-Padang Besar selain berhenti di semua stesen kereta api utama seperti Ipoh dan Butterworth.

“Tren yang mempunyai enam gerabak itu boleh memuatkan 312 penumpang untuk satu perjalanan.

“Kami mempertimbangkan untuk meningkatkan kekerapan perjalanan KL Sentral-Padang Besar apabila tren baru siap dan diuji sebelum diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam tempoh terdekat,” katanya di Stesen Kereta Api Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Dr Ismail Bakar, Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad dan Presidennya Sarbini Tijan.


Liow bersama pegawai kanan Kementerian Pengangkutan, KTMB, SPAD serta media dibawa menaiki tren baru ETS dihasilkan kilang CCRC Rolling Stock Malaysia (CCRC) dari Stesen Batu Gajah sehingga ke Stesen Kuala Kangsar yang mengambil masa perjalanan 30 minit. Sebelum itu, beliau turut diberi taklimat mengenai aktiviti dan proses pembuatan tren serta dibawa melihat kawasan kilang CCRC yang baru dibina di Batu Gajah.

Tiong Lai berkata, KTMB membeli 10 gerabak ETS berharga RM506 juta yang mana empatdibawa dari China, manakala enam lagi dibina di kilang CCRC Batu Gajah dengan semua tren itu dijangka digunakan menjelang tahun hadapan.

Menurutnya, kilang CCRC dengan nilai pelaburan RM400 juta berkemampuan membina 100 gerabak baru selain menyelenggara serta membaiki 150 gerabak.

“Pengurusan syarikat itu berminat menambah pelaburan di Malaysia dengan sasaran membina lebih banyak gerabak serta tren yang boleh dieksport ke luar negara,” katanya.

mymetro

Perkhidmatan ETS KL-Padang Besar bermula esok
9 Julai 2015



Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika lawatan kerja di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Batu Gajah untuk menaiki tren 'Electric Train Service' baharu dari Stesen Batu Gajah ke Stesen Kuala Kangsar hari ini. - Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini mengumumkan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gold dari Kuala Lumpur ke Padang Besar akan bermula esok.

Beliau berkata perkhidmatan itu dijalankan dua kali sehari iaitu untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dan Padang Besar ke Kuala Lumpur.

"Perkhidmatan ini bermula esok sempena sambutan Aidilfitri minggu depan dan kita jangka ia mendapat sambutan orang ramai kerana perjalanan lebih cepat dan selesa.

"Perkhidmatan ini juga akan dijalankan secara tetap," katanya dalam sidang media di Stesen Kereta Api Kuala Kangsar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama pegawai Kementerian Pengangkutan, Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan media menaiki tren baharu ETS dari stesen kereta api Batu Gajah ke Kuala Kangsa.

Sebelum itu, Tiong Lai melakukan lawatan kerja ke kilang CRRC Rolling Stock Center Malaysia (CRM), yang sebelum ini dikenali sebagai CSR Rolling Stock Center Malaysia yang bertanggungjawab menghasilkan tren baharu.

Tiong Lai berkata, perkhidmatan itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM81 dan mengambil masa selama empat jam 45 minit untuk sampai ke destinasi.

"Kita telah mendapat kelulusan daripada SPAD untuk melakukan perkhidmatan ini. Masanya akan diumumkan nanti oleh pihak KTMB. Bagaimanapun perjalanan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar akan melalui 28 stesen.

"Pada masa hadapan, kita juga berharap dapat memberikan perkhidmatan komuter Sungai Siput-Kuala Kangsar-Ipoh-Kampar bagi penduduk yang duduk berhampiran Lembah Kinta," katanya sambil menambah tren ETS yang mempunyai enam gerabak itu boleh memuatkan 312 penumpang untuk satu perjalanan.

Sementara itu, berhubung ETS baharu menghubungkan Ipoh dan Padang Besar, yang sepatutnya beroperasi pada awal Julai lepas, beliau berkata pihaknya sedang mendapatkan kelulusan daripada pihak SPAD.

"ETS yang baharu ini, ia mengambil sedikit masa untuk pentaulaihan. Sebab itu hari ini kita menyertai perjalanan ini untuk menguji semua ciri-ciri keselamatan. Kita perlu kebenaran SPAD, apabila kita mendapat kebenaran, kita boleh menggunakan tren ini," kata Tiong Lai.

Katanya, 10 tren ETS baharu itu melibatkan kos sebanyak RM506 juta.

Perkhidmatan ETS pertama negara, yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Ipoh, mula beroperasi 12 Ogos 2010.

Tren pertama buatan Korea Selatan yang mempunyai enam gerabak setiap unit itu mampu bergerak 160 kilometer sejam serta hanya mengambil masa dua jam bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Ipoh. - Bernama

sinar harian






Comments