Persekutuan Tanah Melayu

foto hiasan


Konsep federalisme negara masih utuh

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
23 Sept 2010

MALAYSIA adalah antara negara yang mengamalkan konsep federalisme (Persekutuan). Mohd Foad Sakdan dalam bukunya Asas Politik Malaysia (DBP, 1999) memetik pandangan Wheare yang menyebut bahawa konsep federalisme bermaksud wujudnya dua peringkat kerajaan, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang tiap-tiap kerajaan itu mempunyai had bidang kuasa masing-masing serta bebas daripada campur tangan orang lain.

Ditinjau dari sudut sejarah, konsep federalisme di negara kita telah wujud dan diguna pakai sejak 1896. Ia bermula apabila kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu diperkenalkan melalui Perjanjian Persekutuan 1895 yang menggabungkan empat negeri yang dijajah British iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan di bawah satu kerajaan pusat yang diketuai oleh seorang Residen Jeneral. Setiap negeri itu pula diketuai oleh seorang Residen yang mentadbir berdasarkan panduan kuasa yang telah digariskan.

Sebelum itu, keempat-empat negeri tersebut diperintah oleh Residen masing-masing dengan memiliki kuasa yang terlalu luas sehingga kemajuan dan pembangunan di keempat-empat negeri itu tidak seimbang. Konsep federalisme yang dilaksanakan British itu telah berjaya mengubah landskap pembangunan di kesemua negeri terbabit. Banyak masalah dapat diatasi melalui pemerintahan berpusat itu.

Seterusnya pada 1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan berasaskan prinsip federalisme bagi menggantikan Malayan Union (Kesatuan Malaya) yang ditubuhkan pada 1946 tetapi mendapat tentangan hebat orang Melayu. Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kesemua negeri-negeri di Tanah Melayu menandatangani perjanjian persekutuan dan menerima kewujudan negara yang dikenali sebagai 'Persekutuan Tanah Melayu' dengan kerajaan pusatnya berada di Kuala Lumpur.

Justeru, jika kita meneliti peruntukan asal Perlembagaan Perkara 1 (1), Perlembagaan Persekutuan 1957 dengan jelas menyatakan bahawa 'Persekutuan hendaklah dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya).' Pada 16 September 1963, idea mengenai gagasan Malaysia yang diilhamkan Tunku Abdul Rahman pada 1961 telah dapat direalisasikan. Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk berada dalam Persekutuan yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada itu digunakan dengan pindaan dibuat bagi membolehkan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perkara 1 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda menyebut bahawa 'Persekutuan adalah dinamakan Malaysia dalam Bahasa Melayu dan dalam Bahasa Inggeris'. Di dalam Perkara 1(2) disebut dengan jelas 13 buah negeri di dalam Persekutuan. Singapura menarik diri dari Malaysia dan menjadi sebuah negara merdeka pada 1965.

Secara mudahnya, konsep federalisme menonjolkan ciri-ciri pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Doktrin pengasingan kuasa juga menetapkan wujudnya pembahagian kuasa antara tiga badan utama iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Doktrin pengasingan kuasa bertujuan memastikan setiap cabang kuasa itu tidak diganggu atau dipengaruhi oleh cabang kuasa lain.

Ringkasnya, tiada campur tangan antara satu sama lain. Namun, check and balance antara satu sama lain tetap berlaku mengikut peranan masing-masing. Dari segi praktiknya, kerajaan pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui Dewan Undangan Negeri. Di antara kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan pusat adalah kewarganegaraan Persekutuan, hubungan luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan dan industri.

Kuasa kerajaan negeri pula merangkumi undang-undang Islam, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, perkhidmatan tempatan dan jentera kerajaan negeri. Untuk memastikan tujuan, agenda dan misi negara (nasional) tercapai, maka kerajaan negeri dan kerajaan pusat bersetuju bekerjasama dalam banyak bidang.

Di antara kuasa bersama ialah kebajikan awam, biasiswa, taman negara dan hidupan liar, parit dan tali air dan perkara-perkara lain yang bersangkutan. Kerajaan atau pemerintahan pusat juga mengatur beberapa urusan yang dianggap nasional yang perlu diikuti oleh kerajaan negeri. Pemerintah pusat mengatur polisi nasional untuk kesejahteraan seluruh negeri dan rakyat. Bagaimanapun, kerajaan pusat masih tetap menghormati bidang kuasa yang dimiliki oleh negeri.

Satu lagi unsur penting dalam sistem federalisme di negara kita ialah ketua negara adalah Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Institusi YDPA dibentuk setelah negara mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan diperkenalkan. Sebelum itu, terdapat sembilan raja-raja Melayu yang berkuasa ke atas negeri masing-masing. Apabila institusi YDPA diperkenalkan, maka seorang daripada mereka akan dipilih bagi setiap lima tahun untuk memegang jawatan tersebut.

Berdasarkan Perlembagaan Negara, takhta YDPA diperoleh secara lantikan mengikut Jadual iii Perlembagaan Malaysia. Baginda dipilih mengikut kekananan dalam negara dan pemilihan dilakukan oleh Majlis Raja-raja. Ini bermakna Raja-raja Melayu akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai YDPA. Baginda adalah seorang Raja Berperlembagaan yang melaksanakan kuasanya secara terikat mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan.

Baginda memerintah mengikut nasihat jemaah menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Perlu difahami bahawa Perdana Menteri boleh dilantik berdasarkan budi bicara baginda sendiri. Baginda mempunyai beberapa keutamaan dan keistimewaan seperti yang diperuntukkan di dalam perlembagaan. Misalnya, baginda tidak boleh didakwa di dalam perbicaraan mana-mana mahkamah sekalipun.

foto hiasan

Baginda yang merupakan sebahagian daripada Parlimen juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Baginda juga bertindak sebagai Ketua Agama Islam di Malaysia dan juga negeri-negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, baginda boleh mengisytiharkan pembubaran Parlimen jika Parlimen hendak dibubarkan. Baginda juga mempunyai kuasa mengisytiharkan darurat jika baginda sendiri berpendapat keadaan memang memerlukan baginda berbuat demikian. Kedua-dua perkara tersebut akan dilaksanakan baginda atas nasihat Perdana Menteri. Baginda juga boleh memanggil raja-raja lain untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja dan boleh membuat segala keputusan dalam mesyuarat itu.

Demikian juga, sebelum sesuatu rang undang-undang itu menjadi undang-undang, ia perlu mendapat perkenan baginda dalam tempoh 15 hari daripada rang undang-undang itu dipersembahkan kepada baginda. Jika selepas tempoh itu, rang undang-undang itu tetap akan diluluskan dengan menganggap rang undang-undang itu telah dipersetujui oleh baginda.

Ini adalah kerana rang undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen di mana YDPA adalah sebahagian daripada Parlimen itu sendiri. Justeru, apabila sesuatu rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat, maka rang undang-undang itu telah sah dan hanya memerlukan cop mohor daripada baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Hanya undang-undang yang menyentuh hak, kedudukan, keistimewaan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu yang perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu terlebih dahulu jika hendak diluluskan.

Di peringkat negeri pula, Sultan-sultan Melayu, Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri adalah ketua kerajaan bagi negeri yang baginda warisi. Namun, seperti juga YDPA, baginda tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memerintah negeri masing-masing. Baginda menjalankan tugas dengan nasihat Menteri Besar atau pun Ketua Menteri.

Di negeri-negeri yang beraja, baginda juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing kecuali bagi empat negeri yang mana ketuanya adalah YDPA.

Kesimpulannya, sehingga kini konsep federalisme yang diperkenalkan sejak merdeka masih lagi berjalan dengan berkesan di negara ini. Prinsip pengasingan kuasa bagi tiga badan utama iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman masih lagi berjalan dengan baik. Kedudukan YDPA masih lagi kukuh dan dapat berfungsi dengan baik.

Kerajaan negeri masih bebas menjalankan kuasanya. Setiap Dewan Undangan Negeri di negara ini masih berfungsi dengan baik tanpa campur tangan kerajaan pusat. Ini termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Dewan Undangan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah terus dapat bersidang tanpa sebarang halangan.

Polisi-polisi nasional yang dibuat oleh kerajaan pusat pula tetap mengambil kira kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan ia juga tidak meminggirkan mana-mana negeri di negara ini. Semuanya menikmati faedah dan kebaikan yang sama. Kerajaan terus berusaha keras untuk menyeimbangkan pembangunan dan kemajuan di setiap negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Justeru, tuduhan pembangkang yang menyatakan bahawa kerajaan pusat menodai konsep federalisme hanyalah tuduhan politik liar yang dangkal dan bermotifkan kepentingan politik semata-mata.

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

utusan online



Persekutuan Tanah Melayu

Persekutuan Tanah Melayu merupakan sebuah persekutuan 11 negeri di Tanah Melayu. Ia dibentuk pada 31 Januari 1948 oleh sembilan Negeri-Negeri Melayu dan dua penempatan British Pulau Pinang dan Melaka.


Perjanjian Persekutuan

Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu sejak antara Jun-Disember 1946. Di akhir mesyuaratnya Sidang Pleno telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 muka surat.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House dan diumumkan oleh kerajaan British . Perjanjian ini ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, dan Sir Edward Gent, sebagai wakil Kerajaan British . Perjanjian ini adalah sebagai persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perjanjian ini penting kerana ia memansuhkan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Kedudukan Raja-Raja Melayu juga telah dikembalikan.

Antara 1946 - 1948, 11 negeri ini membentuk tanah jajahan British yang dipanggil Malayan Union. Disebabkan bantahan orang Melayu yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar, Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang mengembalikan kedudukan simbolik raja-raja Melayu. Malayan Union dibubarkan secara rasmi pada 21 Januari 1948.

Dalam Perjanjian Persekutuan ini, walaupun negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British, Pulau Pinang dan Melaka kekal menjadi tanah jajahan. Seperti Malayan Union, persekutuan ini tidak dianggotai Singapura, yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian dari Malaya.

Persekutuan Tanah Melayu ini mendapat kemerdekaan daripada Negara-negara Komanwel British pada 31 Ogos 1957. Merujuk kepada Akta Malaysia 1963, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (yang dinamakan semula sebagai Sabah) disekutukan dengan negeri-negeri lain yang sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya ia dinamakan Malaysia. Singapura kemudiannya dikeluarkan dari Malaysia dan membentuk sebuah republik sendiri pada 9 Ogos 1965.

Ahli persekutuan

Perlis
Kedah
Pulau Pinang
Perak
Selangor
Negeri Sembilan
Melaka
Johor
Pahang
Terengganu
Kelantan


Sistem kerajaan

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa-kuasa eksekutif dengan dibantu dan dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan Tanah Melayu dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu.

Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan mengandungi 7 orang ahli rasmi dan 7 orang ahli tidak rasmi.

Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pula mengandungi Pesuruhjaya Tinggi sebagai Presiden Majlis, 14 orang ahli rasmi serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili Negeri-negeri Selat, golongan peniaga dan semua kaum. Selain daripada itu 9 orang Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri, (Menteri Besar) dan 2 orang wakil dari Negeri-negeri Selat menjadi ahli tidak rasmi.

Majlis Raja-Raja Melayu akan menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar imigresen.Residen British digantikan dengan seorang Menteri Besar di tiap-tiap negeri dalam Persekutuan.

Syarat kerakyatan

Syarat-syarat Kerakyatan di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini diperketatkan lagi melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara memohon. Dengan kuatkuasa undang-undang mereka yang berikut secara otomatis boleh menjadi warganegara;

Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.
Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan selama 15 tahun terus-menerus.
Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal selama 15 tahun terus-menerus.
Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat istiadat Melayu dalam kehidupan sehari-hari.
Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu di mana kedua ibubapanya dilahirkan serta telah tinggal selama 15 tahun berterusan.


Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;
Dilahirkan di Persekutuan dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan
Telah tinggal di Persekutuan selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.

Dalam kedua-dua perkara itu (melalui proses naturalisasi) pemohon- pemohon mestilah berkelakuan baik, bersumpah taat-setia dan menjelaskan tujuannya hendak menetap di Persekutuan, dan mengetahui bahasa Melayu dengan baik atau bahasa Inggeris dengan baik.

Persekutuan Tanah Melayu melalui perlembagaannya menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.
Pembahagian kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri

Perjanjian Persekutuan menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal ehwal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. DYMM Sultan diberikan kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat Melayu. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dipegang oleh Kerajaan British. Perjanjian Persekutuan telah dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948.
Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu

Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu mengadakan persidangan pertama di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1948. Ia dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British Sir Edward Gent. Turut hadir ialah Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tanah Jajahan, Lord Listowel. Dewan Perundangan Persekutuan itu adalah termaktub dalam Bahagian Empat, Perlembagaan Persekutuan 1948. Ahli majlis mestilah terdiri daripada :

Pesuruhjaya Inggeris sebagai Presiden
3 orang Ex-Officio iaitu Ketua Setiausaha, Setiausaha Kewangan dan Peguam Negara
11 orang ahli rasmi
34 orang ahli tidak rasmi.

Semua ahli majlis itu kecuali ahli Ex-Officio mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu ataupun rakyat British. Dalam tahun 1948 terdapat :

28 orang wakil Melayu termasuk semua Menteri Besar
14 orang wakil Cina
6 orang wakil India
14 ahli bangsa Eropah yang menjadi ahli rasmi.


Setiausaha Negara A.T. Newboult ialah orang yang pertama berucap
Dato' Onn Jaafar selaku wakil orang-orang Melayu
Dr. Ong Chong Keng selaku wakil orang-orang Cina
S.B. Palma wakil orang-orang India
Lord Listowel selaku wakil Raja Inggeris
Presiden Sir Edward Gent.

Dato' Onn Jaafar menegaskan bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu tidak ingin melihat campurtangan dan kuasa luar dalam hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu. Wakil orang-orang Cina pula menjelaskan bahawa orang-orang Cina akan taat setia kepada Persekutuan Tanah Melayu. Dalam Persidangan Dewan Perundangan Persekutuan yang pertama ini beberapa Jawatankuasa kecil telah dibentuk iaitu :

'Standing Committee On Finance'
Jawatankuasa Pemilihan
Jawatankuasa Keistimewaan.

Persidangan pertama itu telah meluluskan Rang Undang-Undang Perbandaran Kuala Lumpur, Rang Undang-Undang Pemindahan Kuasa dan Rang Undang-Undang Peminjaman dan Hutang. Dalam persidangan itu, wakil-wakil tidak rasmi yang baru telah menunjukkan kebolehan yang baik dalam perbahasan di Dewan tersebut. Dengan cara inilah pihak kerajaan Inggeris membimbing warganegara Persekutuan Tanah Melayu untuk terus maju ke arah berkerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan.

wiki


Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu

Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu merupakan peristiwa pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Tarikh ini dipilih dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir dan timbalannya Haji Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri Malaysia ke-5) di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1956. Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim (bapa Haji Ahmad Badawi) turut ikut serta dalam perbincangan tersebut


Pengisytiharan
Malam Merdeka

Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman

Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.


Upacara Pengisytiharan

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.


Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain atas pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pemasyhuran Kemerdekaan".


Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" sebanyak 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan oleh tokoh agama Islam iaitu Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baru dimana Islam, merupakan agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikuti pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan

Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu Elizabeth II ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British yang terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.
Tetamu kehormat

Apabila Tanah Melayu meraikan Hari Kemerdekaannya yang pertama, hotel-hotel baru didirikan di serata Kuala Lumpur untuk menampung delegasi luar yang bakal datang setelah dijemput oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut.

Barisan pertama perwakilan asing ke Tanah Melayu ialah:

Raja dan Permaisuri Siam
Putera dan Puteri Mahkota Jepun
Johannes Gerhardus Strijdom, Perdana Menteri Afrika Selatan
Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India
Huseyn Shaheed Suhrawardy, Perdana Menteri Pakistan
Pham Van Dong, Perdana Menteri Vietnam
Solomon Bandaranaike, Perdana Menteri Ceylon (Sri Lanka)
U Nu, Perdana Menteri Burma
Sim Var, Perdana Menteri Kemboja
Sir Alexander Grantham, Gabenor Hong Kong
John Foster Dulles, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (mewakili Presiden Amerika Syarikat)
Duta Australia, Kanada dan New Zealand
Lim Yew Hock, Ketua Menteri Singapura
Putera Henry, Duke of Gloucester (wakil Ratu Elizabeth II), Puteri Alice, Duchess of Gloucester dan Putera William of Gloucester
Sir Gerald Templer (bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)
Lady Gurney dan Lady Gent (isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu).

Ketika mendarat di Lapangan Terbang Sungai Besi, tetamu kehormat telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald Charles MacGillivray dan Lady MacGillivray, Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama, Tuanku Abdul Rahman diiringi Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, Tunku Abdul Rahman.
Kandungan Pemasyhuran Kemerdekaan
Bukti bertulis mengenai Pengisytiharan (Pemasyhuran) Kemerdekaan

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 telah ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu yang ditulis dalam Jawi dan bahasa Inggeris.


Versi Rumi Bahasa Melayu
Pemasyhuran kemerdekaan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.

Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.

Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.

Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.


Versi Jawi

ڤمشهورن كمرديكأن

دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مڠاسيهاني، سڬالا ڤوجي باڬي الله يڠ مها بركواس دان صلوات دان سلام ك اتس سكالين رسول-ڽ.

بهاواسڽ كران تله تيباله ماسڽ باڬي اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو اين منچاڤأي تارف سواتو بڠسا يڠ مرديك لاڬي بردولت سام ستيمڤل كدودوكنڽ دڠن سڬالا بڠسا سلوروه دنيا.

دان بهاواسڽ كران دڠن ڤرجنجين يڠ دسبوت نامڽ ڤرجنجين تانه ملايو تاهون 1957 يڠ دڤربوات انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، مك، تله دڤرستوجوي بهاوا نڬري-نڬري ملايو، ايايت جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، دان ڤراق سرتا نڬري يڠ دهولوڽ ديناماكن نڬري سلت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، مولاي 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957، هندقله منجادي سبواه ڤرسكوتوان بهارو باڬي نڬري-نڬري يڠ برنام ڤرسكوتوان تانه ملايو.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق دالم ڤرجنجين ترسبوت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ ترسبوت ايت تمت درڤد منجادي سباهاڬين درڤد ججاهن تعلوق بڬيندا قوين، دان دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين تيدق لاڬي برحق منجالنكن اڤا٢ كدولتن بڬيندا ك اتس كدوا-دوا بواه نڬري يڠ ترسبوت ايت.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق يڠ ترسبوت، ايايت ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1948، دان سڬالا ڤرانجين يڠ لاين يڠ اد سكارڠ انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج اتاوڤون ساله سأورڠ درڤد بڬيندا ايت سبلوم تاريخ يڠ ترسبوت هندقله دبطلكن مولاي درڤد تاريخ ايت، دان سموا كوات كواس دان حق دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين اتاوڤون ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دالم نڬري-نڬري سلت اتاوڤون ڤرسكوتوان تانه ملايو سلوروهنڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ.

دان بهاواسڽ كران دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين، دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دان مجليس-مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان دان نڬري-نڬري ملايو تله ملولوسكنڽ، ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن كوات كواساڽ.

دان بهاواسڽ كران سواتو ڤرلمباڬان باڬي كراجأن ڤرسكوتوان تانه ملايو تله دتنتوكن منجادي سواتو كانون يڠ معتمد باڬيڽ.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت، مك، اد دسدياكن شرط اونتوق منجاڬ كسلامتن حق-حق دان كاوتامأن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج سرتا حق-حق اساسي دان كبيبسن سكالين رعيت دان اونتوق مماجوكن ڤرسكوتوان تانه ملايو دڠن امان دان داماي سرتا تراتور سباڬاي سبواه كراجأن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠ برڤرلمباڬان يڠ برداسركن ديموكراسي چارا ڤرليمين.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ داداكن اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت تله دلولوسكن اوليه سواتو اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكه اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان سرتا دڠن اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكن اوليه نڬري-نڬري ملايو دان دڠن كتتڤن-كتتڤن دالم مجليس اوندڠن نڬري ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، دڠن دمكين ڤرلمباڬان ايت تله برجالن كوات كواساڽ ڤد 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957.

مك، دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مها مڠاسيهاني، ساي تونكو عبدالرحمن ڤوترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شه، ڤردان منتري باڬي ڤرسكوتوان تانه ملايو، دڠن ڤرستوجوان دان ڤركنن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج نڬري-نڬري ملايو دڠن اين ممشهوركن دان مڠيشتهاركن باڬي ڤيهق اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو بهاوا مولاي تيڬ ڤولوه ساتو هاري بولن اوڬوس تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليما ڤولوه توجوه، مك ڤرسكوتوان تانه ملايو يڠ مڠاندوڠي نڬري جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، ڤراق، ملاك دان ڤولاو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وتعالى اكن ككل منجادي سبواه نڬارا يڠ مرديك دان بردولت سرتا برداسركن كبيبسن دان كعاديلن دان سنتياس منجاڬ دان مڠوتاماكن كسجهترأن دان كسنتوسان رعيتڽ دان
 مڠكلكن كامانن انتارا سڬالا بڠسا

wiki

Comments