Pantun Melayu II



Pantun Melayu II
Raja di gua jalan ke teluk,
Cantik halus rupa mukanya;
Ibarat buah busuk di pokok,
Hilang manis pahit rasanya.

Meninjau berpadi masak
Batang kapas bertimpal jalan
Hati risau dibawa gelak
Bagai panas mengandung hujan

Panjanglah rumput di permatang
Disabit orang Inderagiri
Disangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari

Pergi ke hutan memotong nibung
Parangnya tumpul tidak diasah
Petir berdentum kilat bersabung
Hujan tak jadi bajuku basah

Riuh rendah di tepi telok
Lihat orang duduk bertenun
Tengah malam ayam berkokok
Serasa tuan datang membangun

Terang bulan di Pulau Pinang
Anak Belanda turun ke kapal
Tengah malam bangkit terkenang
Air mata turun ke bantal.

Orang Jawa mencari benang,
Mencari benang di atas bukit;
Orang jauh jangan dikenang,
Lama-lama jadi penyakit.

Orang berkain corak berbelang,
Mengayuh rakit mencari duku,
Jangan bermain kekasih orang,
Nyawa tersangkut di hujung kuku.

Patah jarum dalam peti,
Buat menjahit kain bertimbun;
Nasihat sepatah kurang dimengerti,
Rupanya penawar beribu tahun.

Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut patah batangnya;
Hati muda jangan diturut,
Kalau diturut susah datangnya.

Bawa mari ke kedai Cina,
Kerana itu buah dagangan;
Hidup kita biar sempurna,
Kerana dunia ini adalah tumpangan.

Beras kisar mudik ke hulu,
Tanak pulut santan durian;
Tak ada orang menyesal dahulu,
Banyak orang menyesal kemudian.

Bukan tidak saya katakan,
Merbuk biasa makan di papan;
Bukan tidak saya katakan,
Buah mabuk jangan dimakan.

Bukit Jertih berhutan buluh,
Tempat raja pergi memburu;
Minta selisih malaikat empat puluh,
Janganlah saya diberi malu.

Orang hulu memalu nobat,
Nobat dipalu kayu berangan;
Fikir dahulu sebelum buat,
Kalau dibuat menyesal jangan.

Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Hendak belayar ke Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci;
Jangan suka bercakap bohong,
Semua kawan akan membenci.



Comments