Pameran Solo Imuda

Ilham seni Imuda
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Beliau tidak asing lagi dalam kalangan penggiat seni kerana bakat dimiliki sebagai pelukis, karikatur, pelawak, penyanyi, pengacara dan lakonannya dalam siri drama popular ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ dan ‘2 + 1’.

Masih segar dalam ingatan pengikut siri drama itu, keletah dan kelucuan Abdul Rahim Muda atau Imuda.

Begitu pun, Imuda tidak pernah lari daripada kebolehannya dalam seni lukis apabila kembali beraksi menerusi Pameran Solo Imuda di Lobi Bangunan Pentadbiran LPSVN, Kuala Lumpur.

Sebanyak 60 lukisan potret, kartun dan karikatur yang memaparkan kerja seninya dipamerkan.

Beliau turut mempamerkan potret Tan Sri Michelle Yeoh, Datuk Jimmy Choo, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David yang sepatutnya dibawa ke pameran di Malaysian Hall, London namun tidak kesampaian berikutan tragedi MH370.

The Beatles turut dipamerkan dalam siri pamerannya kerana minatnya kepada kumpulan itu.

Tekstur wajah, persembahan dan gaya artis menjadi tarikannya menggunakan medium akrilik di atas kanvas.





INFO  PAMERAN SOLO IMUDA

- Artis: Abdul Rahim Muda @ Imuda
- Lokasi: Lobi Bangunan Pentadbiran, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), No 2, Jalan Temerloh Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur
- Tarikh: Sehingga 31 Julai 2015
- Masa: 10 pagi hingga 6 petang
- Telefon: 03-4026 7000
- Web: www.artgallery.gov.my

hmetro online


Pameran Solo Imuda

 

Abdul Rahim bin Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda merupakan seorang yang tidak asing dalam dunia seni. Penglibatan beliau dalam dunia seni lukis bermula pada tahun 1978 sebagai pelukis ilustrasi buku kanak-kanak di United Book Company, Pulau Pinang. Seterusnya beliau terlibat melukis kartun untuk majalah GILA-GILA, GELI HATI dan Berita Minggu. Imuda pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pelukis dari tahun 1979 hingga 1993. Selain melukis, beliau juga aktif dalam bidang lakonan, nyanyian pengacaraan dan pelawak. Ramai dalam kalangan kita telah mengenali Imuda menerusi filem lakonannya yang pertama iaitu ‘Mekanik’ pada tahun 1982. Seterusnya Imuda terus menempa nama dalam siri-siri drama popular seperti ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ dan ‘2 + 1’.

Balai Seni Visual Negara (BSVN) mempersembahkan Pameran Solo Imuda dengan mempamerkan 60 buah karya lukisan potret, kartun dan karikatur dari koleksi pelukis sendiri. Potret-potret yang dihasilkan oleh Imuda adalah berkonsepkan individu, keluarga, tokoh-tokoh politik terkenal dan juga artis-artis terkenal Malaysia dan juga luar negara. Potret-potret ini dihasilkan menggunakan akrilik dan juga pensil. Selain koleksi potret, Imuda juga turut mempersembahkan karya kartun beliau yang dihasilkan sejak tahun 80-an hingga kini yang pernah tersiar di surat khabar, majalah dan komik tempatan. Dalam Pameran Solo Imuda ini pelukis cuba mendekatkan diri pelawat kepada dunia popular pelukis dengan mempamerkan koleksi potret artis-artis terkenal. Imuda sendiri sangat meminati The Beatles dan beliau telah menghasilkan sebanyak 6 buah karya The Beatles dan yang terbaru dihasilkan pada tahun 2015. Selain itu, pada tahun ini juga, beliau turut menghasilkan potret Tan Sri Michelle Yeoh yang merupakan ikon wanita Asia pada masa kini.

artgallery


Perasmian Pameran Solo IMUDA

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2015 – Balai Seni Visual Negara (BSVN) hari ini telah mengadakan satu Majlis Perasmian Pameran Solo IMUDA di Lobi Bangunan Pentadbiran BSVN. Pameran tersebut merupakan kesinambungan daripada 60 buah karya lukisan potret, kartun dan karikatur daripada koleksi pelukis sendiri.

Majlis perasmian ini telah dilancarkanoleh YBhg. Dato’ Mahadzir Lokman, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Haned Masjak, Ketua Pengarah BSVN, rakan artis serta para penggiat seni tanah air.

Menurut penghiburversatile Abdul Rahim Bin Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda, beliau menjadikan tokoh-tokoh terkenal negara dan selebriti lagenda sebagai figura pilihan serta inspirasi untuk berkarya.

Pameran istimewa ini, memaparkan karya-karya berkonsepkan individu, keluarga, tokoh-tokoh politik terkenal dan juga artis-artis popular tempatan dan antarabangsa. Antara karya terbaru yang dihasilkan beliau dalam tahun 2015 termasuklah sebanyak 6 buah karya The Beatles yang sangat diminati beliau dan potret Tan Sri Michelle Yeoh yang merupakan ikon wanita Asia pada masa kini.

Selain koleksi potret, Imuda juga turut mempersembahkan karya kartun beliau yang dihasilkan sejak tahun 80-an hingga kini yang pernah tersiar di surat khabar, majalah dan komik tempatan.

Karya-karya hebat cetusan kreatif Imuda ini telah dipersembahkan di ruang Lobi Bangunan Pentadbiran Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara. Pameran tersebut bermula pada 15 Jun 2015 hingga 31 Julai 2015 dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang di Lobi Bangunan Pentadbiran Lembaga Pembangunan Seni Visual. Orang ramai dijemput hadir.

artgallery



Watak Sam popularkan Imuda

Oleh ABD. AZIZ ITAR
26 April 2013



SEJAK awal tahun 1980-an, Imuda telah terbabit dalam pelbagai bidang seni tempatan dengan kerjaya awalnya sebagai pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penyair. Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda juga merupakan penyanyi dan pelakon.

Bagaimanapun di antara ke semua bidang seni itu, dia paling menyerlah dan diingati ramai kerana pembabitannya sebagai pelakon komedi. Sitkom 2 + 1 merupakan siri televisyen yang telah mempopularkan namanya dalam dunia lawak jenaka tanah air.

Menerusi sitkom arahan Othman Hafsham itu, dia melakonkan watak Sam iaitu seorang lelaki lembut yang bekerja sebagai pereka fesyen. Walaupun watak itu pernah mencetuskan kontroversi tetapi ia secara tidak langsung telah melonjakkan populariti namanya sebagai pelakon komedi.

“Saya sendiri tidak menyangka watak Sam itu menjadi fenomena dan ikutan ramai. Pada mulanya watak Sam bukannya lembut tetapi saya cadangkan karakter itu kepada Othman Hafsham dan dia bersetuju dengan idea itu.

“Tujuan saya reka karakter Sam itu antara lain bagi menyesuaikan watak itu bergaul dengan tiga gadis yang berjiran dengannya. Malah, Sam asalnya hanyalah watak sampingan sahaja tetapi kerana sambutan para penonton Sam kemudiannya menjadi watak utama dalam sitkom itu," katanya kepada Hits di Petaling Jaya baru-baru ini.

Jelas anak seni berusia 54 tahun ini, sambutan para penonton itu dapat dilihat apabila rating penonton yang menyaksikan 2 + 1 ketika ia ditayangkan di TV3 pernah mencecah lima juta penonton.

Sitkom itu bukan sahaja menjadi siri televisyen yang paling popular pada tahun 1980-an. Malah, ia sekali gus telah membuka ruang yang lebih luas kepada Imuda menggunakan formula kejayaan watak Sam untuk meneruskan lagi kesinambungan siri komedi itu selepas sambutan tersebut.

“Ketika itu pelakon utama 2 + 1 ialah Susan Lankester, Louisa Chong dan Liza Othman, manakala saya hanyalah pelakon tambahan. Tetapi selepas tiga musim ditayangkan, Sam telah diangkat menjadi watak utama. Kalau watak Sam tidak muncul dalam 2 + 1 maka siri itu seperti menjadi tidak ceria.

“Ketika itu golongan lelaki lembut tidak banyak diperkatakan sehinggalah saya popularkan. Saya banyak mengambil inspirasi daripada lelaki lembut yang saya kenali ketika itu seperti pelakon Jaafar Onn dan penulis lirik Juwie sebagai bahan rujukan untuk watak Sam," ujarnya.

Dikecam kerana lembut

Imuda memang boleh berbangga kerana watak Sam yang dilakonkannya itu diminati ramai penonton. Namun, pada masa sama dia yang juga merupakan seorang kartunis tidak terkecuali daripada mendapat kecaman masyarakat kerana dikatakan mempopularkan budaya dan trend lelaki lembut yang kemudiannya menjadi ikutan ramai.

“Siri itu pernah dikecam ramai dan ia dihentikan siarannya buat sementara. Bagi saya respons itu memang sedikit sebanyak mengganggu emosi saya tetapi secara tidak langsung ia adalah bukti keberkesanan dan kejayaan watak lakonan saya itu.

“Niat saya bukan mahu para penonton meniru atau terikut-ikut dengan karakter watak Sam yang lembut tetapi semua itu cuma sekadar lakonan dan hiburan sahaja. Tetapi lama kelamaan para penonton dan masyarakat boleh menerima kehadiran Sam kerana watak seperti Sam memang banyak dalam masyarakat hari ini," tuturnya.

Jelas Imuda selain watak Sam, watak Budin yang dilakonkannya menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga banyak mengangkat namanya sebagai pelakon komedi. Sitkom yang diarahkan oleh Prof. Dr. Hatta Azad Khan itu juga pernah menjadi antara sitkom popular kerana banyak memaparkan isu masyarakat di dalamnya.

Watak Budin berlainan dengan Sam kerana watak itu sedikit sebanyak menggambarkan karakternya sebagai budak kampung yang nakal tetapi bijak dalam mencetuskan pelbagai isu sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat pada tahun 1980-an.

“Budin adalah watak budak kampung yang berperwatakan tersendiri seperti berambut panjang dan suka melepak di gerai. Ketika itu Kementerian Penerangan di bawah Menterinya, Datuk Mohamed Rahmat melarang artis lelaki berambut panjang keluar televisyen.

“Tetapi entah macam mana saya yang melakonkan watak Budin yang berambut panjang boleh terlepas pandang sehingga ada artis seperti Datuk Shake yang berambut panjang ketika itu melahirkan rasa tidak puas hati," katanya.

Selepas lebih 20 tahun watak Sam dan Budin masih diingati ramai sehinggalah ke hari ini kerana sambutan para penonton terhadap 2 + 1 dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang antara lain telah dimasukkan ke dalam Malaysia Books of Records kerana menjadi siri sitkom televisyen yang paling lama ditayangkan iaitu lebih 10 musim.

Bagi Imuda kejayaan dua watak lakonannya itu tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya sehingga kini dia masih meneruskan kerjayanya sebagai anak seni termasuklah dalam bidang nyanyian.

Terbaharu dia telah muncul dengan album single berduet dengan Art Fazil menerusi sebuah lagu berjudul Rilek Brader terbitan Moro Records yang telah dirakamkan di Studio 47 di Singapura pada tahun lalu.

“Inspirasi lagu itu diambil daripada salah satu adegan filem Kembara Seniman Jalanan yang saya lakonkan pada pertengahan tahun 1980-an yang mana dalam filem itu saya melakonkan watak Joe Burger. Dalam adegan itu saya banyak sebut dialog ‘rileks la brader’.

“Lagu Rilek Brader adalah sebuah lagu berkonsepkan santai yang ada elemen blues dan komedi. Ia sesuai dengan cita rasa dan penampilan saya pada usia sekarang ini.

“Art Fazil yang telah menjemput saya berduet dengannya dalam lagu yang diciptanya itu. Setakat ini lagu itu telah ditonton lebih 76,000 penonton di laman YouTube baru-baru ini," jelasnya lagi.

utusan online



Comments