KBAT dalam PdP

Guru perlu terap elemen KBAT dalam proses pengajaran
06 Julai 2015


Dr. Ismail Zain (lima dari kanan) bersama dengan guru SK Batu Laut menunjukkan tanda bagus selepas mengikuti Seminar Aplikasi KBAT dalam PdP di sekolah itu di Tanjung Sepat, Selangor, baru-baru ini.

Menerapkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bukanlah sesuatu yang rumit malah ia boleh berlaku sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Laut, Salina Hussin berkata, elemen KBAT boleh diterapkan dalam semua bentuk pengajaran termasuk seca­ra lisan atau ketika berbual de­ngan murid, tidak terhad semasa proses pengajaran atau ketika di bilik darjah.

“Penerapan elemen KBAT da­lam proses pengajaran memerlukan kreativiti guru,” katanya ke­tika ditemui selepas mengikuti Seminar Aplikasi KBAT dalam PdP oleh mantan Pensyarah Cemerlang JUSA B, Dr. Ismail Zain di sekolahnya di Tanjung Sepat, Selangor, baru-baru ini.

Dalam seminar itu guru diberi latihan secara hands on berbentuk bengkel tentang strategi PdP berasaskan KBAT, mengaplikasikan alat berfikir (thinking tools) yang sesuai untuk menganalisis sesuatu isu dan permasalahan hingga peringkat mereka cipta penyelesaian.

Unit Pendidikan Utusan Malaysia dilantik oleh Kumpulan UMW sebagai penasihat kandungan program dan aktiviti tersebut yang merupakan sebahagian daripada Program Pintar UMW.

Di bawah program Pintar ini, selama tiga tahun semua sekolah angkat Pintar UMW menerima bantuan dari segi kewangan dan sumbangan lain mengikut keperluan masing-masing.

Kumpulan UMW telah membantu lebih 11,000 murid, bermula pada 2007 dan sehingga kini sudah menaja 16 buah sekolah.

Sementara itu, guru mata pelajaran Sains, Nisi Fazirawati Mohd. Ghazali berkata, mempraktikkan elemen KBAT dalam proses pengajaran harian amat menyeronokkan dan skop penggunaan KBAT tidak seharusnya terhad kepada satu-satu aspek sahaja.

“Melalui seminar ini, guru memperoleh pelbagai idea baharu terutama inisiatif mempraktikkan elemen KBAT dengan lebih berkesan dalam bilik darjah,” katanya.

Rakannya, Noor Sarmilah Tu­kiran memberitahu, guru amat memerlukan lebih banyak kaedah dan alternatif baharu yang boleh dipraktikkan untuk menerapkan elemen KBAT di dalam bilik darjah.

“Sebelum ini, saya tidak tahu langsung ada teknik lain yang boleh dipraktikkan untuk memasukkan elemen KBAT dalam proses PdP namun setelah menyertai bengkel ini, banyak sumber ilmu baharu diperoleh, terima kasih UMW kerana menganjurkan bengkel yang amat bermanfaat ini,” ujarnya.

utusan online

Comments