Frog VLE Di Bilik Darjah

Bilik darjah Frog bantu guru tangani cabaran
29 Jun 2015 1:00 PM



Kamalanathan (kiri) diberi penerangan perisian pembelajaran terkini di bilik darjah Frog.

Penubuhan bilik darjah Frog di setiap sekolah dapat membantu guru dalam menangani cabaran dalam sistem pendidikan rendah dan menengah di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan I, P. Kamalanathan berkata, penubuhan bilik darjah baharu itu seiring dengan perubahan sistem pendidikan negara.

“Dengan adanya bilik darjah Frog guru akan lebih kreatif dalam merancang pengajaran yang lebih kreatif selain memberi inspirasi kepada pelajar.

“Dalam usaha itu, sekolah-sekolah di negara ini perlu dilengkapi dengan infrastruktur kemudahan bilik darjah yang lengkap dengan kemudahan peralatan mengajar dan akses kepada internet berkelajuan tinggi,” katanya ketika merasmikan Bilik Darjah Frog Sekolah Kebangsaan Kota Warisan,Sepang, Selangor baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Projek proses dokumentasi, Latun Nazira, Pengetua SK Kota Warisan, Ana Liza Zainuddin berkata.

Kelas interaktif bilik darjah Frog SK Kota Warisan telah diubahsuai pada 30 Mei hingga 14 Jun lalu dengan melibatkan 28 sukarelawan dari Express Rail Link (ERL), E-MAS termasuk dibantu 17 pelajar tahun akhir dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA.

Objektif utama projek ini adalah untuk mendedahkan generasi baharu pelajar melalui pendidikan, teknologi, perkhidmatan dan keazaman. Bilik darjah abad ke-21 akan meningkatkan persekitaran pembelajaran ke tahap yang lebih tinggi dengan penggunaan teknologi yang maju daripada ChromeLabs.

Kamalanathan berkata, beliau berharap lebih banyak syarikat penyertaan daripada sektor korporat terlibat dalam projek ‘Frog Classroom Makeover’ supaya lebih banyak sekolah, terutama di kawasan luar bandar berpeluang untuk mengalami pengalaman dalam bilik darjah Frog dan menggunakan sepenuhnya manfaat VLE ‘Frog Classroom’ dalam pembelajaran yang lebih kondusif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah berkata, pihaknya amat teruja apabila terlibat dalam menjayakan projek ini dan dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk membuka minda mereka.

“Kelas yang unik akan menyediakan persekitaran pembelajaran interaktif yang menyeronokkan untuk guru dan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah projek Yayasan YTL, Datin Kathleen Chew berkata, idea mengubah bilik darjah ini timbul ketika menjalankan sesi ‘Teach for Malaysia’ untuk pelajar.

“Bilik darjah Frog direka bentuk untuk membolehkan kreativiti dan kerjasama dan menggalakkan penggunaan ICT untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran setiap hari,” katanya.

Pensyarah dan Penasihat Projek pelajar tahun akhir perhubungan awam UiTM Prof. Dr. Kiranjit Kaur berkata, program ini dapat meningkatkan nilai-nilai murni dalam program sukarela ini selain mewujudkan bilik darjah abad ke-21,

“Dengan tidak mendokumenkan proses pengubahsuaian bilik darjah untuk pengetahuan umum tetapi juga untuk menunjukkan kepada sekolah-sekolah lain mengenai bagaimana mudahnya untuk mengubah suasana pembelajaran dalam bilik darjah untuk pembelajaran yang lebih interaktif melalui ini contoh transformasi di SK Kota Warisan,” katanya.

utusan online


Pengajaran maya Frog VLE
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


MOHD. HANIFF HAFISZAL SEMAN, 33, berjalan mundar-mandir di sekeliling bilik makmal komputer yang terletak di tingkat dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1), Putrajaya. Sesekali matanya liar memerhatikan gerak-geri pelajar-pelajar tahun tiga Alfa yang leka mengadap komputer masing-masing.

Mereka tampak begitu fokus, mungkin sedang gigih memerah otak menyelesaikan beberapa latihan matematik yang diberikannya sebentar tadi.

“Kelas, kamu semua ada 15 minit lagi. Pastikan semua soalan dijawab dengan sempurna dan disemak sebelum dihantar. Sesiapa mempunyai masalah, sila angkat tangan nanti cikgu akan bantu kamu,” katanya sambil melihat jam tangan yang dipakainya.

Lazimnya, begitulah kaedah pengajaran yang dipraktikkannya sejak setahun yang lalu.

Selepas menerangkan sesuatu konsep seperti yang ditetapkan dalam silibus, dia akan memberikan latihan kepada pelajar untuk meningkatkan kefahaman mereka.

Menariknya, Mohd. Haniff Hafiszal tidak menggunakan kaedah pengajaran konvensional di bilik darjah, sebaliknya selesa mengajar dengan bantuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi sistem pembelajaran maya, Frog VLE.

“Melalui sistem ini, kaedah pengajaran bukan sahaja menjadi mudah dan pantas malah lebih interaktif.

“Semua bahan pengajaran juga boleh diakses melalui satu pangkalan data membolehkan guru dan pelajar berkongsi maklumat yang sama,” ujarnya yang sudah tujuh tahun bergelar pendidik.

SK Putrajaya Persint 8(1) merupakan salah satu daripada 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di negara ini yang mengguna pakai aplikasi Frog VLE.

Diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama YTL Communications menerusi projek 1BestariNet sejak awal tahun lalu, sistem yang dibangunkan di United Kindom itu membolehkan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran di sekolah menjadi mudah dan lancar.


PENGGUNAAN Frog VLE menjadikan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran di sekolah menjadi mudah serta lancar.

Menerusinya juga, semua sekolah bakal dilengkapi akses internet berkelajuan tinggi 4G, platform pembelajaran bertaraf dunia dan akses kepada sumber dan teknologi sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.

Berasaskan web

Pengarah Eksekutif Frog Asia Sdn. Bhd., Yeoh Pei Lou berkata, Frog VLE adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

Katanya, melalui sistem itu pendidikan tidak lagi terbatas dalam bilik darjah sahaja sebaliknya boleh dilakukan di mana jua, pada bila-bila masa.

“Sistem ini membenarkan pelajar dan guru untuk menghasilkan dan mengakses sebuah tapak pembelajaran secara dalam talian. Ia membolehkan mereka memperoleh hampir semua maklumat di internet seperti video, gambar, sumber pendidikan dan membinanya menjadi sebuah laman yang menarik tanpa memerlukan sebarang kepakaran teknikal.

“Apa yang lebih penting, limpahan sumber pengajaran dan aplikasi hebat yang ditawarkan itu adalah selamat dan telah ditapis,” katanya kepada Kosmo!

Mengulas lanjut, Pei Lou berkata, sistem itu menggunakan platform Google Cloud yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi Google seperti Google Email, Google Drive dan sebagainya.

Pada masa yang sama, katanya, platform itu juga menawarkan bahan pengajaran berkualiti secara percuma seperti Khan Academy, Ted Education, National Georgaphic dan British Council selain apa yang disediakan oleh KPM.

“Ini akan memberi kelebihan kepada para guru untuk mencari bahan-bahan pengajaran yang sesuai dengan minat dan kemampuan pelajar mereka.

“Pada masa sama, mereka juga boleh menghasilkan bahan pengajaran sendiri dan berkongsi bersama guru lain di sekolah atau di seluruh negara,” ujarnya.


PEMBELAJARAN secara interaktif melalui Frog VLE mampu meningkatkan minat dan kefahaman pelajar terhadap sesuatu subjek.

Jelas Pei Lou, syarikat itu tidak sekadar menyediakan platform Frog VLE malah bertanggungjawab memastikan sistem itu dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

“Fasa-fasa akhir kini giat dilaksanakan termasuk menyediakan rangkaian internet berkelajuan tinggi di samping merangka sistem latihan dalam kalangan mereka yang terlibat di semua peringkat.

“Sebanyak 351 buah sekolah telah dipilih di bawah Program Sekolah Champion dan telah diberi bimbingan mengenai penggunaan Frog VLE secara komprehensif. Pada masa sama, kami turut melatih lebih 671 kakitangan di kementerian bagi tujuan yang sama,” katanya.

Kelebihan

Sementara itu, Tan Mui Meng, Ketua Panitia Bahasa Cina di sekolah itu berkata, sistem itu memberi kelebihan kepada semua pihak sama ada dalam kalangan pentadbir, para guru, pelajar dan ibu bapa.

Ujarnya, melalui sistem itu, semua maklumat dalam buku teks termasuk latihan dan kerja sekolah akan disimpan dalam satu pangkalan data.

“Ia dapat mengurangkan jumlah buku teks yang perlu dibawa oleh pelajar ke sekolah dan jumlah buku latihan yang perlu ditanda oleh guru setiap hari kerana peranan itu telah diambil alih oleh komputer.

“Dengan ini, guru dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajar serta merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.

“Sementara itu, ibu bapa pula bukan sahaja dapat memantau perkembangan anak-anak mereka malah dapat mengetahui acara-acara di sekolah menerusi ruang kalendar, papan notis sekolah dan sebagainya melalui laman yang tersedia,” katanya.

Mudah

Bagi Tengku Amirah Zahiyah Tengku Amir Zakri, 10, pada mulanya dia sendiri agak kekok belajar menggunakan sistem itu namun semuanya menjadi mudah selepas mencubanya beberapa kali.

Katanya, penggunaan sistem pembelajaran maya membolehkannya berinteraksi atau bertanya soalan dengan guru biarpun selepas sesi persekolahan tamat.

“Sistem Frog VLE tidak sekadar boleh digunakan di sekolah semata-mata sebaliknya di mana-mana sahaja asalkan ia mempunyai kemudahan capaian internet,” katanya.


SISTEM Frog VLE membolehkan guru memberi lebih tumpuan kepada para pelajar.

Ujarnya, sistem itu juga menarik minatnya untuk belajar sesuatu subjek kerana bahan pengajaran yang disediakan berorientasikan pelbagai sumber dan bersifat interaktif.

“Pelajar mempunyai kebebasan membuat rujukan dan ulang kaji sehingga benar-benar faham mengenai subjek dipelajari biarpun tanpa bantuan guru. Ia menjadikan mereka lebih berdikari.

“Saya sendiri turut merasai kesan positif daripada Frog VLE. Jika sebelum ini purata markah bagi subjek matematik ialah sekitar 80 peratus, kini ia telah meningkat lebih 90 peratus dalam tempoh kurang setahun,” katanya tersenyum.

Rakannya, Wan Syamirul Azhan Shahrul Azman, 10, berkata, selain pembelajaran melalui nota dan video, pelajar juga boleh menjawab soalan kuiz, latihan, mendapatkan contoh soalan peperiksaan malah dapat mencuba permainan di akhir topik.

“Ia merupakan alternatif kepada kaedah pengajaran konvensional yang lazim berpusat di bilik darjah dan buku teks. Menerusi sistem ini pelajar bukan sahaja lebih tertarik untuk belajar, malah pada masa yang sama berpeluang meneroka ilmu lain yang terkandung di dalamnya,” jelasnya.

kosmo online




Apakah itu Frog VLE?
Bayangkan Frog sebagai satu rangkaian sosial untuk sekolah.

Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE) adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya. Sebagai contoh, guru-guru dapat memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar dapat menghantar tugasan dan menyemak markah menerusi VLE. Ibu bapa boleh berkomunikasi dengan pihak sekolah manakala pentadbir sekolah boleh menguruskan kalendar sekolah dan mewar-warkan notis sekolah melalui Internet.


PEMBELAJARAN MELANGKAUI SEMPADAN
Dengan VLE, pendidikan tidak lagi terbatas dalam bilik darjah tradisional. Pembelajaran boleh dilakukan di mana jua, pada bila-bila masa.

Sistem Frog yang mudah digunakan ini membolehkan pelajar dan guru untuk menemui hampir segala-galanya di internet (video, gambar, bahan pendidikan) dan membinanya menjadi sebuah Laman yang menarik, tanpa memerlukan sebarang kepakaran teknikal. Frog VLE juga adalah gerbang kepada limpahan sumber pengajaran dan aplikasi hebat dari seluruh web, yang kesemuanya boleh diakses dalam persekitaran yang selamat dan telah ditapis.



Guru
Frog adalah ringkas, mudah digunakan dan direka untuk mengangkat sistem pengajaran ke satu tahap baru sepenuhnya. Anda boleh memberi tugasan serta mengetahui tentang kerja dan markah pelajar, menghasilkan sumber pengajaran dan berhubung dengan rakan-rakan pendidik lain. Rancang masa anda dengan lebih baik dengan kalendar yang membolehkan anda untuk melihat, membuat, menyertai atau memasukkan acara.

Pelajar
Pembelajaran adalah menyeronokkan dan dapat diperibadikan dengan Frog. Terokai video, permainan dan pos-pos yang mengujakan di The Pond, reka sendiri laman utama anda, muat naik dan simpan fail di awan, selesaikan tugasan pada bila-bila masa, di mana jua dan kongsikan idea-idea anda yang hebat dengan rakan-rakan sekelas serta guru-guru.

Ibubapa
Ketahui tentang acara-acara sekolah, laporan PIBG serta notis sekolah menerusi kalendar dan papan notis sekolah, cari semua butir perhubungan yang anda perlukan di halaman Hubungi Sekolah dan muat turun borang keizinan dan dokumen-dokumen penting yang lain mengikut keselesaan anda.

frogasia 



Comments