25 Jul 2015

Dialog Borneo-Kalimantan XII


Dialog Borneo-Kalimantan Ke-12

Oleh HJH. ASMIAH HJ. AJAMAIN

DIALOG Borneo-Kalimantan (DBK) ke-12 telah berlangsung dengan jayanya dari 4 Jun 2015 hingga 6 Jun 2015 di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak. DBK yang diadakan secara dwitahunan ini berlangsung tanggungjawab sebagai tuan rumah diserahkan kepada negeri Sarawak. Tugas sebagai penganjur telah ditangani oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan dukungan Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP dan Kerajaan Negeri Sarawak. Program pertemuan serantau antara Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Negara Brunei Darussalam, Kalimantan, Indonesia, dan Semenanjung Malaysia pada kali ini telah memilih kearifan tempatan bagi skop setempat dan serantau sebagai tema dan penelitian pertemuan. Tema DBK ke-12 ialah “Kearifan Tempatan Penjana Peradaban Serantau”.



Ucapan perasmian Dialog Borneo-Kalimantan ke-12 oleh YB Datuk Hajah Fatimah, Menteri Kebajikan , Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Majlis perasmian DBK telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, yang mewakili YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Adenan Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak. Dalam ucapan perasmian, YB Datuk Hajah Fatimah menyarankan agar kegiatan ilmu berkaitan dengan kebahasaan dan kesusasteraan haruslah turut memfokuskan pemerkukuhan kerjasama serantau dalam bidang sosiobudaya. Menurut beliau, keharmonian atau kerukunan sesebuah masyarakat dan kemajuan yang telah dicapai, sebahagiannya tentu sekali adalah hasil atau menjadi punca lahirnya kearifan tempatan yang bukan sahaja berguna kepada ahli masyarakat itu sendiri, tetapi amat bermakna untuk dikongsi dengan masyarakat lain, sama ada yang mempunyai latar belakang sosiobudaya yang sama ataupun berlainan. Beliau juga menjelaskan bahawa kearifan tempatan tentang pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak adalah antara ilmu, pengalaman, dan kepakaran yang boleh dan wajar disebar luas demi kelangsungan bersama di rantau ini. “Masyarakat yang berjaya memupuk nilai dan tradisi masyarakatnya, serta berjaya mewariskannya kepada generasi muda tentunya mempunyai kelebihan tersendiri dari segi kemahiran serta kecekapan pengasuhan dan pendidikan,” tegasnya.

Dalam ucapannya juga, YB Datuk Hajah Fatimah menegaskan bahawa kepelbagaian budaya, kesenian etnik, bahasa, sastera lisan, dan kearifan tempatan yang kaya di Pulau Borneo wajar difahami, diketengahkan, dan dikongsi dengan rakan penulis, khalayak pemikir, dan budayawan yang berminat supaya persefahaman dapat dihargai dan perbezaan diterima dan dihormati. Beliau juga berkata bahawa kepelbagaian kearifan tempatan wajar dilihat sebagai kekayaan milik bersama yang mampu memperkukuh kewujudan ilmu, pengalaman serta nilai serantau. Dalam majlis tersebut juga beberapa buah buku penulis tempatan turut dilancarkan, iaitu Meniti Jalur Pelangi karya Jais Sahok, Igaukan Igau karya Abang Median Abang Said, Urip karya Abang Patdeli Abang Muhi, Sekuntum Cinta Seharum Mesra karya Jemat Gani dan Dialek Mekayu Sarawak karya Mohd. Ali Salim.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Dr. Hazami Jahari, dan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latif Abu Bakar, turut berucap dalam majlis pelancaran tersebut. Majlis pelancaran itu juga dihadiri Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga, Puan Hajah Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Misnu Taha, yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP, Konsulat Jeneral Indonesia, Bapak Jahar, dan Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah.

Sebanyak 15 buah kertas kerja telah dibentangkan oleh pemakalah dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan, Negara Brunei Darussalam, dan Kalimantan Tengah. Ucaptama telah dibentangkan oleh Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah dengan tajuk “Kearifan Tempatan Penjana Peradaban Serantau”. Antara pembentang kertas kerja dalam DBK ini termasuklah Haji Hamzah Hamdani dari GAPENA, Jasni Matlani dari BAHASA Sabah, Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah DBP Wilayah Tengah, Hajah Asmiah Haji Ajamain, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Deddy Setiawan dari Kalimantan Tengah, Othman Mahali dari PERWILA WP Labuan, Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Shahri Abdul Rahman dari Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dari PENA, Poul Nanggang dari PUTERA, Dilah Tuah dari Persatuan Karyawan Sastera Sarawak, Awang Suip bin Haji Wahab, dan Prof. Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Tengah dari Negara Brunei Darussalam, Mohamad Puad bin Ebit dan Dr. Ismail Ibrahim dari Sabah, dan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail dari UMS Sabah.



Pengarah DBP Brunei (tengah) dan Pengarah DBP Cawangan Sabah (kanan) yang ikut serta dalam Kenduri Sastera Bersama Pemimpin.

DBK ke-12 diakhiri dengan acara Kenduri Sastera bersama Pemimpin yang berlangsung pada 6 Jun 2015 bertempat di Dewan Sri Buntal, Kampung Buntal. Tamu kehormat dalam majlis tersebut ialah YB Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Ja’afar, Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Santubong. Turut hadir isteri YB Datuk Seri Dr. Wan Junaidi, Penghulu Kg. Buntal, Pengarah DBP Brunei, dan anggota masyarakat setempat. Antara acara yang dipersembahkan termasuklah bermukun.

Sesungguhnya DBK telah meninggalkan kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh para pembentang dan para peserta DBK. Melalui siri pertemuan DBK ini, dapat difikirkan strategi bersama bagi menghadapi cabaran dan merealisasikan impian yang telah dibina bersama-sama suku abad sejak DBK pertama di Miri pada tahun 1987.

Persembahan dalam Kenduri Sastera Bersama Pemimpin.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena