Cabaran Bahasa Melayu


Kiasu terhadap bahasa Melayu
RASDAN AHMAD |
05 Julai 2015

 AHLI panel Forum Cabaran Bahasa Kebangsaan Dalam Era Globalisasi di DBP baru-baru ini, Dr. Salleh Yaapar (dua dari kiri), Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan Dr. Abdullah Hassan. Nazri Kahar (kiri) berperanan sebagai moderator.

Bahasa Melayu telah mencapai martabatnya sebagai bahasa utama seawal abad ketujuh lagi apabila menjadi bahasa perdagangan dan perhubungan bagi rantau kepulauan Melayu.

Era kegemilangan empayar Melaka menyaksikan bahasa Melayu berada di puncaknya dan diiktiraf sebagai bahasa ilmu dan digunakan secara meluas bukan sahaja dalam aktiviti perdagangan malah sebagai bahasa diplomasi, bahasa undang-undang dan pengajian Islam.

Bagaimanapun era penjajahan Inggeris menjadi faktor utama menyebabkan pengaruh besar bahasa Melayu beransur-ansur malap apabila penjajah mula memperkenalkan bahasa Inggeris dalam semua urusan di Tanah Melayu. Ketika itu juga, dalam bidang pendidikan, bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah Melayu dengan cabang ilmunya yang cukup terhad.

Hal ini berlaku kerana penjajah merancang menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai generasi bangsa yang berupaya membebaskan tanah airnya daripada cengkaman penjajah. Kemerosotan itu berlarutan hingga kini apabila menempuh era globalisasi. Untuk kembali berada di puncak kecemerlangan adalah suatu cabaran yang getir.

Hal ini disingkap dalam forum, Cabaran Bahasa Kebangsaan Dalam Era Globalisasi yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini. Ahli panel yang terdiri daripada Pengerusi DBP, Datuk Seri Dr. Md Salleh Yaapar, Ketua 1 Gapena, Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Moderator ialah Editor Astro Awani, Nazri Kahar.

Menurut Dr. Salleh, dominasi bahasa Inggeris dan persepsi masyarakat terhadap bahasa Melayu, menyebabkan bahasa ini mengalami pengurangan fungsinya dalam banyak bidang. Ini ditambah pula dengan kurangnya pembudayaan bahasa Melayu dan lunturnya rasa kecintaan terhadap bahasa kebangsaan sebagai asas jati diri menyebabkan bahasa itu terpinggir daripada arus pemodenan.

Jelasnya, untuk melihat bahasa Melayu dimartabatkan dalam pelbagai bidang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan sekalipun tidak mustahil dijayakan. Impian inilah antara matlamat perjuangan yang masih belum selesai walaupun negara sudah lama mencapai kemerdekaan.

Beliau menekankan, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukanlah tergalas di bahu DBP semata-mata. Sebaliknya sokongan dan dokongan daripada pelbagai agensi lain amat perlu terutamanya sektor awam dan sektor swasta. Sokongan dari dua sektor ini amat penting kerana tanpa mereka, impian untuk melihat bahasa kebangsaan maju seiring dengan kemajuan negara tidak akan tercapai.

“Fenomena bahasa Melayu tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya di sektor awam dan swasta bukan sesuatu yang baharu. Walaupun bahasa Melayu telah termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan, dan harus digunakan dalam segala urusan rasmi, namun masih tidak menyeluruh. Ini menunjukkan walaupun bahasa Melayu sudah termaktub sebagai bahasa rasmi dalam Perlembagaan tetapi itu bukan satu jaminan.

Menurutnya, pelbagai halangan yang berlaku antaranya "keracauan bahasa" yang digunakan contohnya penggunaan istilah Inggeris seperti yang diletakkan di bangunan-bangunan kerajaan, nama-nama jalan dan sebagainya. Namun cabaran lebih besar apabila berdepan dengan cabaran baharu muncul yang dilancarkan oleh beberapa akhbar Inggeris yang mahu mengembalikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Hujah itu disokong oleh Dr. Latiff dan menjelaskan tentang peranan serta perjuangan yang dilakukan oleh Gapena selari dengan gagasan memartabatkan bahasa Melayu. Ujarnya, walaupun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara namun nilai bahasa Melayu ketika ini tetap rendah dan fungsinya juga tidak diambil kisah terutamanya daripada pihak kerajaan sendiri.

“Rakyat telah ditipu oleh "pemikiran kolot" zaman moden. Ramai yang menyatakan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dan bahasa teknologi padahal apa yang kita lihat adalah bertentangan. Kita ambil contoh beberapa negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan, Itali dan China, mereka menggunakan bahasa ibunda tetapi berjaya menjadi negara maju,” tegasnya.

Roh

Baginya, semangat sememangnya telah wujud dalam kalangan rakyat namun roh untuk memperjuangkan bahasa Melayu ini masih kurang. Usaha yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah cukup kuat dan kita juga memerlukan pemimpin lain yang mempunyai roh seperti dilakukan beliau dalam memperjuangkan bahasa Melayu.

“Bulan Bahasa Kebangsaan yang akan diadakan pada Oktober ini perlu mempunyai pengisian yang baik terutamanya dalam memperjuangkan bahasa Melayu bukan hanya diisi dengan pesta yang bukan-bukan,” katanya sambil mengesyorkan supaya semua universiti awam mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajiannya.

“Bukan tidak boleh dilakukan, lihat sahaja subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) yang diwajibkan di setiap universiti. Subjek Bahasa Melayu juga perlu diwajibkan seperti mana subjek Titas yang sudah dipelajari oleh semua mahasiswa universiti tempatan.

“Di peringkat pentadbiran, kerajaan juga perlu diwajibkan memartabatkan bahasa Melayu bukannya bersikap sambil lewa seperti apa yang berlaku kepada nama Putrajaya International Convention Centre (PICC) yang mengambil masa selama dua tahun untuk ditukarkan kepada nama Melayu, Pusat Konvensional Antarabangsa Putrajaya, jelasnya.

Dr. Abdullah pula berkata, perjuangan mengangkat bahasa Melayu ini perlu dilakukan dari akar umbi lagi. Misalnya di peringkat universiti sudah ada satu kesedaran dalam kalangan pensyarah supaya menghasilkan buku-buku dalam bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris.

“Saya lihat ramai yang hendak bergaya dengan pentingkan gaya mahu jadi orang putih, bercakap sikit mesti menggunakan istilah Inggeris. Adakah istilah Melayu kolot sangat sehingga malu untuk digunakan? Saya juga lihat, perjuangan bagi memastikan kedaulatan bahasa Melayu juga hanya dilakukan oleh golongan veteran, generasi muda terutamanya jarang memperjuangkan isu bahasa ini. Sekiranya kita berganding bahu mungkin bahasa Melayu kita tidak akan terjadi seperti sekarang ini,” jelasnya.

Baginya penggunaan teknologi baharu terutamanya buku digital perlu diseragamkan dan menyeluruh seperti yang dilakukan oleh buku-buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris kerana teknologi seperti ini juga antara yang cepat dan sering diguna pakai ketika ini.

“Kita tidak perlu memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu ini dengan berdemo, tetapi perjuangan yang kita lakukan adalah perjuangan zaman moden. Pihak berwajib seperti DBP juga perlu lebih banyak menghasilkan bahan bacaan ilmu dalam bentuk digital,” jelasnya.

utusan online

Comments