59 Tahun DBP


59 Tahun Mendaulatkan Bahasa Melayu

Oleh NORAZLINDA MISRAN

MAJLIS Perhimpunan dan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-59 dan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan telah diadakan di Auditorium Menara DBP, Kuala Lumpur, pada 22 Jun 2015 yang lalu. Tetamu kehormat majlis tersebut ialah Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
YBHG. Prof. Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sedang menyampaikan ucapan perasmian majlis


YBHG. Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sedang menyampaikan ucapan perasmian.

Dalam ucapan perasmian, Salleh menyatakan bahawa DBP, yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956, setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan, ialah hasil perjuangan rakyat yang prihatin dan peduli akan kepentingan bahasa Melayu sebagai teras kehidupan berbangsa dan bernegara. Semangat dan roh perjuangan itu dimanifestasikan dengan desakan agar bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya yang merdeka.

Selain itu, menurutnya lagi, sebagai organisasi tunggal yang diberi amanah untuk memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu, seluruh warga kerjanya telah berusaha membudayakan nilai kecemerlangan dan mengamalkan etika kerja yang tinggi dalam perkhidmatan.

Beliau juga menyeru semua karyawan DBP untuk sentiasa merenung wawasan dan hala tuju institusi ini, dan melaksanakan tanggungjawab dengan semangat yang lebih membara. Karyawan DBP juga perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan kemahiran dan keterampilan yang sesuai, memanfaatkan kecanggihan teknologi terkini selain bersedia mengubah budaya kerja agar sesuai dengan keperluan dan cabaran semasa.



YBHG. Datuk Dr. Haji Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP.

Sementara itu, Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, menyatakan bahawa sebagai institusi kerajaan yang diberi amanah untuk mengembangkan bahasa dan persuratan kebangsaan, DBP akan terus mengorak langkah untuk mencapai hasrat memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.

Selain itu, kelangsungan perjuangan memartabatkan peradaban bangsa melalui bahasa Melayu perlu diperkukuh melalui pelbagai pendekatan. Oleh sebab itu, perjuangan DBP ini menuntut masyarakat untuk memahami hasrat dan cita-cita penubuhan DBP. Rakyat Malaysia perlu berpadu suara dan bersatu pernyataan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa negara yang akan terus dijunjung selagi negara berdiri tegak sebagai negara yang berdaulat.



Persembahan deklamasi puisi oleh En. Rasdi Daud.

DBP yang didukung oleh para ahli Lembaga Pengelolanya, pengurusan tertingginya dan seluruh warga kerjanya telah berjaya melunaskan tugas, tanggungjawab serta hasrat rakyat yang diamanahkan kepada mereka, khususnya dalam memartabatkan bahasa Melayu, baik sebagai bahasa kebangsaan mahupun sebagai bahasa rasmi negara.

Oleh itu, dengan semangat “Bahasa Jiwa Bangsa”, dan misi pemartabatan bahasa Melayu, DBP terus melangkah maju, melakarkan nama dan mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan juga dalam bidang penerbitan.

Penerima Anugerah Perkhidmatan 37 tahun, bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat

klikwebdbp

Catatan Ismail Dahaman

SEKALI PERISTIWA (14) 22 JUN 2015 – ULANG TAHUN DBP KE-59:

Dengan penuh takzim dan bangganya saya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN DBP KE-59 pada 22 Jun 2015. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha DBP untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu di bumi yang tercinta ini dan di peringkat antarabangsa. Selamat sejahtera kepada warga DBP dan mantan warga DBP.

Dalam setengah abad lebih, DBP sudah banyak berjasa kepada pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pendidikan, pengembangan kesusasteraan dan kebudayaan kebangsaan, penerbitan buku umum dan buku ilmu, dan fungsi-fungsi bahasa yang lain, di samping memelihara pustaka persuratan Melayu yang utama di Malaysia.

Pusat Dokumentasi Melayu banyak menyimpan khazanah yang tidak ternilai tentang sejarah DBP dan sejarah bahasa dan persuratan Melayu. Seandainya anda ingin melihat kemajuan DBP sehingga kini, layarilah laman sesawang DBP.

DBP-lah satu-satunya tempat hamba bertugas secara rasmi sebagai penjawat awam selama 30 tahun lebih sejak bulan September 1968. Sudah pasti banyak peristiwa pahit manis yang terakam dalam ujana kenangan hamba.

Pada kesempatan ini, hamba hanya akan menampilkan cebisan daripada sejarah DBP dalam bentuk imbasan setem keluaran khas oleh Biro Filateli Pos Malaysia, poskad dan dokumen tertentu perayaan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 DBP (2006). Selamat Maju Jaya DBP. BAHASA JIWA BANGSA.














fb ismail dahaman

Comments