Sang Seniman Sutung Umar RS

Sutung Umar RS suatu nama yang tak terpisah dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Selama bersama Dewan Bahasa dan Pustaka beliau melibatkan diri untuk memajukan denyut sastera ke pelusuk tanah air. Rencah dan warna Kesusasteraan Melayu bertebar luas hasil bakti dan tuai jasa beliau. Beliau lebih dikenali dengan nama penanya Sutung Umar RS daripada nama sebenar beliau Wan Omar Ahamad.

Dalam wikipedia biogrqfi beliau ditulis :

Sutung Umar RS memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif dari Universiti Malaya pada tahun 1982. Beliau kemudian bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera dan di Bahagian Majalah. Beliau juga pernah bertugas sebagai Editor Kumpulan Majalah terbitan DBP. Kemudian bertugas pula dengan Kumpulan Berita Harian.

Bidang penulisan utama Sutung ialah puisi. Banyak puisinya telah tersiar di dalam akhbar dan majalah perdana tanah air seperti majalah Dewan Sastera dan Berita Minggu. Selain daripada puisi, beliau juga turut menghasilkan esei, kritikan, dan rencana. Beliau menjadi kolumnis "Rentak Kalam" di akhbar Berita Minggu.

Antara karya dihasilkan :
Makyung : The Mystical Heritage of Malaysia, susunan, Rahimidin Zahari & Sutung Umar RS : Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010.
Wau Bulan (Fajar Bakti, 1982)
Kampung Halaman (Fajar Bakti, 1983)
Taburkan Bunga : DBP, 1996.
Sikap dan Pemikiran Usman Awang / diselenggarakan oleh Dinsman dan Sutung Umar RS. : Fajar Bakti, 1983.
Api Cinta (novel: Pustaka Nusa, 2009)
Seluang Lepas Melaut Jilid 1 dan 2 (Novel Kita: 2011)

Marilah seketika merenung kembali akan seniman yang ini Sutung Umar RS
Sumbangannnya begiru besar untuk alam seni, sastera dan bahasa tanah air.

Terima kasih Pak Sutung Umar RS

Semangat seni Sutung Umar RS
RASDAN AHMAD
14 Jun 2015 


DINSMAN ( kiri), Sutung Umar RS dan Pegawai Perancang Bahasa DBP, Abdul Ghani Abu dalam Astaka Minda Kembara Seni Penyair Bangsa di DBP Khamis lalu.

KARYAWAN yang dikenali sebagai Sutung Umar RS atau Wan Omar Wan Ahmad sebenarnya cukup dikenali di pentas seni tempatan. Beliau adalah antara karyawan yang dilahirkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan seni khususnya kesusasteraan. Khamis lalu Pusat Dokumentasi Melayu DBP menganjurkan acara Astaka Minda Kembara Seni Penyair Bangsa: Sutung Umar RS di DBP.

Acara ini bertujuan membawa khalayak mengenali Sutung Umar RS dengan lebih dekat daripada perspektif karyawan yang akrab dan sezaman dengannya.

Selain itu sebagai penghormatan kepada mantan karyawan DBP yang telah memberi sumbangan besar kepada organisasi serta dunia persuratan Melayu.

Pembicara yang dipilih adalah sahabat Sutung Umar RS yang juga aktivis seni Che Shamsuddin Osman atau Dinsman.

Dinsman adalah aktivis seni sastera dan teater pada tahun 1970-an di mana Sutung Umar RS turut terlibat dalam beberapa program teater yang dianjurkannya.

Menurut Dinsman, keperibadian Sutung Umar RS ketika pertama kali menjejakkan kaki di DBP penuh dengan semangat yang luar biasa walaupun beliau masih hijau dalam dunia sastera.

Setelah berjinak dengan puisi dan sering kali mengadakan persembahan, Sutung Umar RS bersama Dinsman menubuhkan Group Teater Elit (GTE) pada 1976.

Ketika itu GTE bergerak aktif dalam memperjuangkan dan mempersembahkan puisi termasuk diadakan di Hotel Abad Century dan turut menganjurkan acara deklamasi puisi di seluruh negara.

“Mungkin ramai yang belum mengetahui bahawa darah seni yang mengalir dalam tubuh Sutung Umar RS bukan sahaja terhadap penulisannya semata-mata. Beliau pernah berlakon dalam teater dan filem orang putih, malah menjadi pengukir apabila pernah menghasilkan lima karya arca,” jelas Dinsman.


Dimensi baharu

Menyentuh berkenaan karya-karya Sutung Umar RS, jelas Dinsman, sahabatnya itu mengalami perubahan fasa ketika menghasilkan novel Api Cinta yang diterbitkan pada 2010.

Ketika itu, kepengarangan Sutung Umar RS bergerak kepada demensi baharu dan karya novel tersebut juga antara karya terpenting beliau.

Api Cinta yang hanya dicetak sebanyak 20 naskhah sahaja itu merupakan sebuah novel yang "panas" dengan unsur erotik digambarkan dengan cukup berani oleh penulis.

JelasDinsman, suasana, latar masa dan tempat serta watak-watak yang terkandung dalam novel tersebut seperti realiti yang pernah terjadi.

“Saya pernah menulis dalam satu akhbar, novel yang mempunyai 173 halaman itu mempunyai kekuatan yang tersendiri ibarat magnet yang mendorong pembaca untuk terus membacanya.

"Watak dan cerita seperti kisah benar yang berlaku dan saya sendiri tahu cerita tersebut. Mungkin juga kerana saya kenal Sutung Umar RS, tapi kalau orang yang tidak mengenalinya tentu tidak tahu.

“Novel-novel Sutung Umar RS memang begitu hingga saya terfikir di mana fiksinya? Namun jawapan itu sebenarnya berada dalam imaginasi Sutung Umar RS sendiri.

"Apa yang penting, melalui novel ini adalah kesan terhadap pembacanya kerana terdapat kesan yang tersendiri dalam setiap karya yang dihasilkan oleh anak jati Kelantan itu,” ujarnya.

Melihat pula pada penghasilan karya-karya lain, Sutung Umar RS sebenarnya telah menghasilkan 17 karya sejak 2009, ketika usianya telah menjengah 61 tahun.

Sebuah puisi terpanjang Malaysia berjudul Ratib Kalbu merupakan antara karya yang unik pernah dihasilkan.

Selain itu pada 2011, Sutung Umar RS menghasilkan beberapa lagi karya antaranya, Seluang Lepas ke Laut serta Dia dan Nya. Tiga lagi karya masih dalam proses antaranya buku berjudul Wasiat.

Bukan itu sahaja, karya puisi berjudul Nyanyian Sukma Diri yang dikatakan mengandungi penulisan sepanjang 1,500 halaman iaitu karya yang lebih panjang dari Ratib Kalbu. Ketika ini buku itu masih dalam peringkat penilaian.

Bertenaga

“Terus terang saya katakan, kekuatan yang dizahirkan oleh karyawan ini sememangnya cukup bertenaga. Saya sendiri tidak mampu untuk melakukan seperti yang dilakukan oleh Sutung Umar RS disamping keadaan kesihatannya juga yang tidak menentu,” jelas Dinsman.

Menyentuh pula pada karya puisi Ratib Kalbu, ini merupakan sebuah karya yang mempunyai nilai yang tinggi.

Ujar Dinsman, karya yang mengandungi 504 halaman ini sebenarnya berlainan dengan karya-karya puisi yang pernah dihasilkan Sutung sebelum ini antaranya Taburkan Bunga.

Karya Taburkan Bunga yang dihasilkan sebelum ini sebenarnya membuatkan kita rasa dekat dengan hati Sutung Umar RS. Namun karya Ratip Kalbu tidak begitu.

“Ratip Kalbu mengandungi ilmu yang cukup tinggi mengenai ketuhanan dan keagamaan yang tidak diterjemah secara terus.

"Sebanyak tiga halaman dalam karya ini menyatakan tentang rujukan yang digunakan. Inilah yang dikatakan puisi sebagai wadah ilmu, gaya baharu yang dipaparkan dalam karya ini cukup hebat,” katanya.

Tambahnya lagi, semangat kental, kekuatan minda dan jiwa yang ditunjukkan oleh Sutung ini seharusnya dijadikan contoh, pendorong dan cetusan semangat kerja cemerlang khususnya kepada karyawan muda tempatan dalam meneruskan kegemilangan dunia sastera dan seni tanah air.

Terus terang saya katakan, kekuatan yang dizahirkan oleh karyawan ini sememangnya cukup bertenaga. Saya sendiri tidak mampu untuk melakukan apa yang dilakukan oleh Sutung Umar RS disamping keadaan kesihatannya juga yang tidak menentu

utusan online


Malam RATIB KALBU Garapan U-Wei Saari Hargai Sutung Umar
Budiey
23 Jan, 2015

Seramai 20 pemuisi dari pelbagai latar kerjaya mendeklamasi puisi Ratib Kalbu dalam majlis Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Tanah Licin Sdn Bhd dan Galeri Seni Morne, pada 20 Januari lalu, di Dewan Wisma ITBM, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Penganjuran acara ini merupakan penghargaan kepada karyawan Sutung Umar RS yang telah banyak menyumbang bakti dalam pembangunan serta perkembangan bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air.


Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu merupakan acara diinspirasikan melalui buku karya Sutung Umar RS, Ratib Kalbu terbitan ITBM dan dikoreografkan oleh U-Wei Bin HajiSaari, pengarah filem dan teater.

Buku tersebut disifatkan sebagai karya puisi terpanjang di Malaysia yang diterbitkan setebal 499 halaman; tanpa pecahan bab atau tajuk puisi lain. Malah karya ini adalah satu-satunya buku puisi yang melampirkan bibliografi sebagai rujukan pembaca.

Sutung melalui buku ini mengetengahkan nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan yang dinaratifkan berdasarkan ayat Quran dan sunnah Nabi Muhammad. Daripada kedua-dua sumber tersebut, Sutung mengolah kata menjadi bahasa pertuturan mudah difahami bagi memberi kesan mendalam kepada pembaca untuk tidak lupa kepada Allah S.W.T.

Pendek kata, Ratib Kalbu adalah puisi yang penuh nilai ilmu Quran, tasawuf, sufi, zikir, akidah, makna ibadah, fitrah manusia kepada Tuhannya, taubat hamba dan banyak lagi.

Walaupun Ratib Kalbu antara hasil karyanya yang terbaik, Sutung Umar RS yang banyak menulis pelbagai genre; novel, cerpen, puisi dan esei tidak meletakkan dirinya sebagai penyair sufi atau islamik.

Mantan Ketua Editor Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka serta bekas Pengarang Sastera Berita Harian ini masih aktif berkarya walaupun sudah menjangkau usia 67 tahun. Selain Ratib Kalbu, karyanya yang lain terbitan ITBM ialah Dia dan Nya, Anggerik dari Bukit Tujuh, Di Negeri Kalbu dan Makyung: Warisan Mistik Malaysia. Hasil tulisannya mampu membuat kita merasa dalam jiwa.

Acara santai yang dibuka kepada umum pada malam itu dimeriahkan dengan pengisian deklamasi bait-bait puisi daripada buku Ratib Kalbu oleh individu pelbagai latar kehidupan yang disampaikan dengan cara tersendiri antaranya U-Wei Bin HajiSaari (pengarah filem & teater), Sofea Jane (pelakon), Melissa Saila (pengarah TV & pelakon), Sabri Yunus (pengarah TV, pelakon), Mohd Khair (CEO) & Seri Amalina (penuntut jurusan Undang-undang), Morne Hashim (pemilik galeri seni), Rebecca Ilham (jurutera), Sani Sudin (pemuzik, penyanyi & pelakon), Rahimidin Zahari (penyair), Rosnan Rahman (penari makyung), Jayshree (pelukis), Jo Ghazali (jurugambar), Sireh (kartunis), Dalila Daud (peguam) & Nora Zali (Usahawan IT), Hang Jebat Abd Rahman (pegawai penjara), Hamidah Hassan (pengurus kanan), dan Ahmad Muthmain Ahmad Saufi (penuntut jurusan Insurans).

Pelukis Riaz Ahmad pula melakarkan lukisan sepanjang semua penyair ini mendeklamasikan puisi Ratib Kalbu.

sensasi selebriti

Seimbas Pandang Pak Sutung Umar Rs
dari facebook Sutung Umar Rs









Antara karya terbaru Sutung Umar RS

Di Negeri Kalbu

Baha Zain berkata.”Sajak tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua.”
Kata Muhammad Haji Salleh pula,”Sajak adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya.”
Tesis yang paling popular tentang sajak ialah,”Kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik” yang diungkapkan Samuel Taylor Coleridge.

Jika diambil kira tiga ungkapan di atas, maka sajak-sajak Sutung Umar RS mampu mengisi ruangnya. Lewat kumpulan puisi ini, Sutung berbicara melalui keindahan aksara yang disusun rapi. Diksinya indah, tepat dan pada beberapa buah sajaknya, diksinya agak ekonomik tanpa menjejaskan penyampaian maksud.

Sajak-sajak dalam kumpulan ini mengetengahkan pelbagai tema. Ketuhanan, kemanusiaan, nostalgia zaman anak-anak, rindu akan tanah asal, perjalanan hidup, introspeksi diri, adalah antara tema yang diangkat Sutung. Dengan penggunaan metafora daripada alam, kita dapat rasa akan tulusnya Sutung tatkala berbicara melalui sajak-sajaknya. Selain daripada itu, dalam beberapa buah sajaknya, Sutung juga cuba bermain dengan kesan visual melalui susunan bait-bait sajaknya. Sudah tentu ini bukannya dibuat tanpa tujuan bahkan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Sutung.
Kemunculan kumpulan puisi ini menjadi bukti yang Sutung Umar RS seorang sasterawan yang tidak tahu erti bersara daripada menulis.
 
Ratib Kalbu


RATIB KALBU PUISI PANJANG SUTUNG UMAR RS
Selepas kumpulan puisi Al-Amin ( A. Samad Said, 1999, 317 hal. ) Ratib Kalbu ( Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2013, 502 hal. ) karya Sutung Umar Rs adalah kumpulan puisi Islam yang terpanjang pernah diterbitkan di Malaysia khususnya dekad mutakhir ini. Ratib Kalbu mengandungi 59 buah puisi yang boleh dikelompokkan ke dalam puisi yang membawa nilai profelik iaitu karya sastera yang sarat dengan nilai religius dan ketuhanan. Sutung mengangkat tema yang agak berat namun tidak mengabaikan nilai-nilai estetika yang diperlukan dalam sebuah puisi. Pesan-pesan yang disampaikan telah dapat dimanfaatkan oleh pembaca sebaik-baiknya.
Syed Hossein Nasr pernah menyatakan, sastera menjadi kian penting untuk memahami hubungan antara seni dan spritual Islam. Quran mengandungi gaya bahasa yang dituturkan manusia sebagai ekspresi rasa dan sentuhan nurani dalam mengetuk pintu batin untuk mengingati Yang Maha Kuasa. Puisi ( sastera umumnya ) dengan Islam sangat rapat hubungannya lebih-lebih lagi dalam konteks untuk menyebarluas ajaran Allah. Semenjak abad ke 10, sudah menjadi tradisi golongan sufi menjadi penggemar dan pencinta seni tamnpak dalam amalan sama'. Pengalaman para sufi menyertai upacara sama' membuatkan mereka insaf bahawa puisi memang merupakan wahana yang tepat dalam pengungkapan pengalaman spritual dan kerohanian mereka.
Al-Amin, buah tangan A. Samad Said adalah sebuah karya sastera panjang ( 317 hlm. ) Di dalam pengenalannya, Al-Amin disifatkan sebagai `Puisi Liris-Naratif`. Tetapi dalam pembacaan Al-Amin, saya mendapati ianya adalah karya prosa yang terlalu diimaginatif sehingga fakta yang mahu disampaikan tenggelam di dalam permainan dan ungkapan kata. Bagi yang sudah tersedia maklum mengenai Sirah Rasulullah s.a.w. mungkin dapat menanggapi aspek yang mahu disampaikan, tetapinbagi mereka yang tidak mempunyai maklumat dan latar mengenai Sirah Rasulullah s.a.w. akan tenggelam dalam ungkapan kata yang kreatif dan imaginatif. Bagi saya, Al-Amin bukan sebuah karya puisi sepenuhnya, tetapi prosa yang dikreatifkan yang mungkin lebih tepat dinamakan sebagai `Prosa-Puisi` A. Samad Said tentang Al-Amin – gelaran yang dimaksudkan kepada Rasulullah s.a.w. Untuk sampai kepada apakah yang hendak dimulakan berhubung dengan sirah, setelah membaca dan tiba ke halaman ke 4 di tengah ungkapan secara imaginatif barulah tiba tentang maklumat bahawa masyarakat pra-kelahiran Rasulullah ialah `masyarakat Jahiliyah`. ( Shafie Abu Bakar, 2013 )

Manakala dalam Ratib Kalbu, Sutung menyatakan seperti ini;
perjalanan si salik akan terus meningkat
dari satu darjat ke satu darjat yang lain
hingga mencapai puncak kewalian
yang dikenal sebagai quthb
iaitu tingkat yang paling tinggi
yang menanggung semua beban
makhluk dalam kalbunya
namun bersamaan dengan itu
ia telah mencapai iman
yang menyeluruh sebanding dengan iman
semua makhluk agar ia mampu
memikul beban yang diletakkan
di atas bahunya

( hal. 498 )
Sutung menyampaikan filsafatnya sedangkan Samad lebih digerakkan oleh latarnya. Lihat pula Samad menulis seperti dalam ungkapan panjang berikut:``Topan gelita sentiasa bergelora, meredah kafilah dan menjerit luka, resah dan tak jerih bertanya kepada bumi tentang arah inti, bertanya manusia di mana khemah damai. Kaum Jahiliyah pecahan nurani, kesementaraan dan wasangka. Setiap musim semakin ngeri. Hari tenteram hanya gementar malam yang sayu atau seakan bintang yang mengerdip, tapi tak tahu. Bertanya dari dalam dan luar keluarga, dan bertanya dari musuh yang sentiasa ada.
Padang dan panah, insan, unta dan kuda antara calar kaum dan kemelut arah, antara niat dan darah tidak pernah sekhemah walaberbondong semua dan bergerak sekafilah. Zaman terlalu gelita, suara sentiasa garau, dan antara hasrat dan darah, kaum pecahan nurani, pedang resah di sisi diri perlu sentiasa disedia. Dan unta dan kuda, wajar turut wasangka, berbisik atau marah, Isis, Osiris dan Horus pengaruhnya. Keresahan dan kepatahan ini tiada batasnya. Melalui jendela khemah, keluarga yang degil dan bayi-bayi wanita sama dibakarbara. Anak perempuan bukan maruah, lahir dalam mantera bahaya, terpinggir sejak mula, tersingkir dari tapak dan batuk pertama.`` ( A.Samad Said, 1999: 4).
Bagi saya bahasa di atas adalah bahasa prosa yang dipuitiskan secara imaginatif yang terlalu mewah dengan kata bagi menggambarkan zaman danantara sifat Jahiliyah’ Setelah menceritakan secara imaginatif-kreatif tentang keluarga Ibrahim, Hajar, Ismail dan zamzam dan kemakmuran tanah Makkah yang kepimpinan diwarisi keluarga Abdul Muttalib membawa kepada perkahwinan Abdullah dengan Aminah, maka diungkapkan tentang kelahiran Rasulullah secara yatimselepas kematian bapanya di Madinah:
``Ketika bersendiri, antara sayu seruling, kenangan mungkin berisi – tanya yang inti, wajar bagi yatim yang awal, Abdul Mutalib datuk yang penyayang Abdullah, ayah peniaga yang segak, Aminah, gadis pingit keluarga Zuhrah, asas luar biasa. Kenangan yang berulang, tanya yang inti Abdullah dengan harta unta, kambing dan pengasuh Ummu Aiman, kembara niaga ke al-Syam, berkata nama di Gaza dan ketika berihat sedia ke Makkah, sakit dan meninggal iadi Madinah. Putera lahir selepasnya, pelukan datuk di Ka`bah Muhammad s.a.w.ia.
Sudah tentu gambaran imaginatif agak panjang untuk maklumat yang agak ringkas.
Ciri penceritaan secara puitis dan imaginatif seperti diatas berlaku sepanjang cerita hingga ke bahagian terakhir saat kewafatan Rasulullah s.a.w. digambarkan ( Petikan ini lebih jelas berbanding denganpetikan-petikan yang lepas ):
``Dipapah Baginda yang lemah, Ali bin Abu Talib amat berhati-hati, dan Fadhl bin al-Abbas sungguh berjaga, dan selamat mereka ke masjid; dan Abu Bakar sedang mengimami solat, dan berundur ia selangkah, perlahan yang sopan, tapi, Nabi dalam lemah yang syahdu, menyuruhnya meneruskan ibadah. Segala diperhatikan Usamah, dan setelah amat yakin ia seperti telah sembuh Baginda, dipinta pulang ke Palestin. Dan Nabi membenar semua kembali bertugas seperti biasa, sementara, dan rahsia, mengerti dan tahu, dikenang dan dikira, bakal akhir hayatnya.

Sutung merakamkan segalanya dalam pengantarnya yang diungkap seakan puisi. Katanya;
Dengan nama Allah, Yang Maha pengasih dan Penyayang, segala puji kepada-Nya dan milik-Nya, yang maha ada sejak awal dan azali, sebelum adanya ruang dan waktu. Tanpa ada yang mendahului dan mengawali, Dia Maha Abadi, setelah leburnya seluruh ruang dan waktu. ( IV ) tunjukkanlah jalan yang lurus bagiku, bimbinglah aku untuk menemui-Mu. Engkau petunjukku, Engkau pembimbingku.
Sutung akhirnya menutup Ratib Kalbunya dengan;

demikian manusia makhluknya
tiada daya dan upaya
melainkan dengan pertolongan
petunjuk, bimbingan serta hidayah-Nya
yang menentukan segala sesuatu
pada masa lalu, kini dan akan datang
daripada-Nya diri datang
daripada-Nya diri hidup
kepada-Nya dir kembali

Kedua-dua karya besar ini saling lengkap melengkapi. Membaca Al-Amin kemudian disudahi dengan Ratib Kalbu seakan melengkapkan jusuk setubuh ikan, lengkap dengan ekor, badan dan kepalanya. Kepala, letak segala kadim dan ilmu makrifatnya...

Dia dan Nya



anggerik dari bukit tujuh




Seniman bercakap tentang kebenaran
Oleh - Sutung Umar Rs

Sejak akhir-akhir ini entah kenapa dan apa sebabnya saya jarang sekali membaca akhbar – mungkin kerana ada kawan menyatakan yang betul dalam akhbar hanya tarikh, waktu solat dan nombor judi empat ekor, atau kerana saya ada komitmen lain.

Namun, tulisan teman saya Rahman Saari yang sedang berpolemik dengan Dinsman, juga teman saya tentang subjek kebenaran, menarik perhatian kerana ia antara yang saya gemari sejak dulu lagi.

Memerhatikan tulisan Dinsman bertajuk “Aduhai lemah dan malangnya intelektual kita” ada beberapa gagasan yang mengikut faham saya, antaranya:

1. Sekarang diperlukan manusia yang berani bercakap benar – suatu nilai kemanusiaan yang hari ini kian pupus.

2. Penulis dan budayawan kita sudah lama berhenti memperkatakan kebenaran.

3. Kebenaran dihubungkan dengan kerajaan/kuasa.

4. Pensyarah yang berani berkata benar sudah tidak ada

5. Media tidak menyiarkan yang benar.

Pada faham saya, itulah lima persoalan pokok menjadi gagasan Dinsman dan dipersoalkan Rahman. Menariknya, apabila Rahman mengatakan frasa “kebenaran adalah kebenaran” sebagai klise – satu pemikiran yang selalu dipakai hingga menjadi basi dan hampir hilang makna asalnya. Sedangkan Rahman seharusnya menerangkan apakah yang basi dan tidak berguna itu? Sebabnya persoalan benar dan kidzib ini bukan baru dan dipersoalkan oleh pelbagai ahli falsafah sejak dulu hingga kini, malah Socrates memilih racun kerana menegakkan kebenaran. Saya tidak tahu Aristotles juga minum kerana sebab sama.

Pada saya kebenaran itu hanya satu, tetapi perkara yang benar itu banyak. Barangkali ini juga harus diterangkan dengan terperinci bahawa keingkaran itu benar, kejahatan itu benar, demikian juga kebaikan itu pun benar. Tetapi dia bukan kebenaran, ada yang menyembah tuhan selain Allah SWT. Ada yang menyembah Allah SWT, kedua-duanya benar. Tetapi kebenaran hanya pada yang kedua. Saya tidak pasti apakah ini suatu bentuk sinikal, aforisme atau apakah ini satu klise juga.

Apabila Rahman bermain dalam makna positif, membahaskan apa yang menjadi fokus Dinsman, Rahman pada dasarnya mempersoalkan tentang pendekatan falsafah. Inipun suatu hal yang wajar juga kerana perbahasan sebegini seharusnya berusaha menyusun batasan atau definisi. Ini penting dalam sesuatu polemik.

Berbalik persoalan kebenaran, Bertrand Russel dalam Logic and Knowledge mengemukakan kesamaan struktur antara dunia fakta pada satu pihak dan dunia kata-kata pada pihak yang lain: ada isomorfi antara unsur bahasa dan kenyataan.

Rahman mengisytiharkan dirinya berpegang kukuh pada teori anjakan makna dan ini kita boleh setentangkan pula dengan Plato yang yakin analisis pengertian didasari suatu dunia idea-idea yang bersifat abadi, tak berubah. Plato mengemukakan bahawa gabungan kata-kata dengan masing-masing pengertian boleh bersintesis menjadi sesuatu yang baru sama sekali – bukan sekadar anjakan makna, sebaliknya pernyataan atau putusan. Dalam hal ini, pengertian-pengertian akan berfungsi sebagai subjek atau predikat.

Maka apabila suatu ajakan, seruan berbunyi “Mari kita berkata benar”, apakah ia pernyataan atau pertanyaan skeptik? Tidakkah meragukan hal ini adalah suatu sikap yang mengembalikan makna kata kepada ekstensif, denotasi atau refrensi dan pada pihak lain, makna dapat diselesaikan dengan menemukan sinonim.

Persoalan berat yang dibawa Dinsman ialah kebenaran apabila dihubungkan dengan pemerintah. Realiti sejarah membuktikan benar – tidak salah, tidak keliru, sungguh-sungguh, betul. Seorang ahli sufi terkenal dengan ucapan satahah ana al-haq dihukum bunuh oleh penguasa. Di salah sebuah negara jiran kita, kitab-kitab kara-ngan Idris al-Marbawi berjudul Baharum Madzi benar dibakar kerana mendapati dalam kitab itu ada yang tidak benar.

Persoalan kebenaran memang harus diteruskan perbincangannya, apatah lagi oleh para seniman dan budayawan kita. Rahman dan Dinsman tentulah pada fikiran saya memahami betapa pun kecil dan daifnya seniman itu, sepanjang sejarah mereka telah memberi banyak sekali ucapan bermanfaat untuk kemanusiaan.

sumber

Comments