Puisi dan Lukisan

Menterjemah puisi melalui lukisan
Cetusan idea Pyanhabib dihasilkan dalam bentuk visual
MOhd. FAUZI SUHAIMI
19 Jun 2015

MOHD. KHAIR NGADIRON (tengah) bergambar bersama Pyanhabib (kanan) pada pameran yang diadakan di Whitebox @ MAP Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini. UTUSAN/MOhd. FAUZI SUHAIMI

KUALA LUMPUR 18 Jun - Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama HOM Art Trans melakar sejarah dengan menerbitkan sebuah buku yang mengadaptasi puisi dalam bentuk lukisan.

Ketua Pegawai Eksekutif ITBN, Mohd. Khair Ngadiron berkata, langkah itu bertujuan menekankan aspek kebolehan pengkarya seni dalam memahami teks sastera serta menterjemahkannya kepada imej visual.

“Ini merupakan keunikan yang ada pada pengkarya serta buku puisi yang dihasilkan selain memberi penekanan terhadap interaksi antara pengkarya tersebut dengan sastera.

“Ini juga antara usaha mempersembahkan puisi dalam medium berbeza, iaitu menerusi lakaran seni visual, selain kaedah biasa seperti nyanyian dan pementasan teater,” katanya selepas pelancaran buku itu di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah HOM Art Trans, Bayu Utomo Radjikin.

Dalam pada itu, Mohd. Khair berkata, beberapa seniman dan pelukis terlibat dalam penghasilan buku tersebut antaranya Aznan Omar, Adeputra Masri, Izzadin Matrahah­ dan Anisa Abdullah.

Menurutnya, mereka diberi tanggungjawab menghasilkan karya visual berdasarkan pemahaman dan interpretasi mereka terhadap puisi-puisi Pyanhabib yang diangkat daripada bukunya, Balada Pyanhabib.­

“Lukisan daripada 31 pengkarya seni daripada pelbagai latar belakang yang dihasilkan telah dihimpunkan dalam pameran Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-puisi Pyanhabib.

“Pameran dan penerbitan buku ini dianjurkan sebagai penghargaan kepada Pyanhabib iaitu penyair terkenal tanah air yang telah bergiat aktif dalam bidang seni selama lebih empat dekad,” katanya.

Pameran itu telah berlangsung selama lapan hari di Whitebox @ MAP, Publika di sini baru-baru ini.

utusan online

Comments