MUD : Our Story of Kuala Lumpur


Teater Muzikal MUD rai ulang tahun pertama
SITI ATHIRAH DZULKIFLY
21 Jun 2015


DIAM tak diam, sudah setahun pementasan teater MUD: Our Story of Kuala Lumpur (MUDKL) merancakkan Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur sejak mula dipersembahkan pada 21 Jun lalu.

Mengangkat penceritaan mengenai kisah wujudnya kota raya Kuala Lumpur (KL), usaha itu didatangkan oleh Enfiniti Vision Media yang mahu membantu menghidupkan panggung tersebut yang dipercayai mampu menjadi salah satu tarikan terbesar pengunjung dalam dan luar negara.

Tujuannya tidak lainuntuk memberi pengenalan dan pendedahan mengenai KL di sebalik wajah gahnya sebagai sebuah bandaraya dan ibu negara Malaysia.

Memandangkan kontrak pementasan teater ini berlangsung selama tiga tahun, tunjang utama syarikat produksi Enfiniti, Tiara Jacquelina mengakui, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa menyediakan pembaharuan untuk teater yang diangkat sebagai pementasan terpanjang di negara ini.

Tidak hairanlah mengapa Tiara sendiri turun padang dan kembali berada di kerusi pengarah khas untuk MUDKL yang baginya cukup dekat di jiwanya sebagai seorang yang sayangkan keharmonian dan penyatuan pelbagai bangsa seperti yang dimiliki negara ini.

“Saya akui, untuk versi 3.0 kali ini memang saya sengaja mahu mengarah. Saya adalah penerbit untuk teater ini. Tetapi harus diingat, saya bukan seperti penerbit lain yang lepas tangan dan membiarkan keseluruhan operasi teater dikendalikan orang lain.

“Tidak. Saya sebagai penerbit selama ini pun akan turun padang dan menonton pementasan itu pada kebanyakan masa. Apabila ada yang tak kena, saya akan beri arahan kepada pengarah dan minta dia ubah perkara yang perlu termasuk menyemak kembali keseluruhan perjalanan teater.

“Setiap kali pasti ada yang saya minta untuk diubah mengikut kesesuaian. Daripada saya asyik tulis dan serah nota kepada orang lain, lebih baik saya sendiri yang mengarah,” katanya sambil tertawa.

Masih mengekalkan plot dan jalan cerita yang sama dengan naratif penceritaannya menerusi watak Mamat, Meng dan Muthiah, kata Tiara, perubahan yang dilakukan di bawah pengarahannya tidaklah secara total.

Sebaliknya hanya menyentuh aspek gubahan muzik, menaik taraf koreografi dan sedikit jalan cerita agar MUDKL dilihat lebih segar dan sentiasa terkini sesuai dengan kehendak penonton.


Lebih banyak pendedahan

Pun begitu, secara jujurnya, Tiara memberitahu, MUDKL masih memerlukan banyak liputan, promosi dan pendedahan dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai sejarah bandaraya ini.

Meskipun usaha itu dilakukan bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bagaimanapun diakui masih belum mencapai sasaran.


“Sepanjang setahun dipentaskan, dapat dilihat adanya sambutan daripada kalangan masyarakat tempatan dan pelancong luar. Itu satu pencapaian yang bagus. Cuma masih belum benar-benar mampu menarik lebih ramai penonton.

“Saya fikir mungkin kita perlukan lebih banyak hebahan dan pendedahan mengenai teater ini. Sebab itu saya amat berharap agar lebih ramai orang sedar dan barangkali boleh dilakukan antaranya pendedahan dalam kalangan pelajar sekolah dan sebagainya,” katanya.

Selain itu MUDKL, kata Tiara, juga merupakan satu produk pelancongan negara yang mampu menjadi tarikan kepada pelancong.

“Mendapat pengiktirafan daripada Tripadvisor di peringkat antarabangsa menjadi satu kebanggan untuk kami dan pihak DBKL.

“Cuma saya harap lebih ramai yang hadir menonton teater ini dengan antara medium yang boleh digunakan adalah menerusi agensi pelancongan agar dapat memasukkan teater ini dalam pakej pelancongan mereka.


“Kita mahu lebih ramai orang tahu mengenai sejarah KL sekali gus membantu menjana sektor pelancongan dalam negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menurut Tiara, sempena Ramadan ini juga Enfiniti menyediakan pakej berbuka puasa Iftar with MUD the Musical yang akan memberi peluang untuk penonton menonton sambil berbuka puasa di Panggung Bandaraya.

Untuk semakan harga dan maklumat lanjut mengenai pakej berbuka puasa bersama-sama muzikal MUD, layari laman web www.mudkl.com atau hubungi talian 030-26023335 atau 016-2666190.





utusan online

Comments