Warisan : Rumah tradisional Negeri Sembilan

Rumah tradisional Negeri Sembilan


MELIHAT bumbung panjang dengan hujung yang sedikit lentik bersama seni bina rumah yang penuh dengan simbolik adat, hati mula tertanya-tanya bagaimana rumah yang sudah mencapai usia lebih seabad masih lagi kekal terpelihara tanpa sebarang cacat cela.

Tatkala menjejakkan kaki di pekarangan sebuah rumah di Kampung Rembang Panas, Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kelihatan sosok tubuh seorang lelaki sedang asyik menyapu helaian daun kering di halaman rumahnya.

Tempat berlindung kala hujan dan panas, mata seakan-akan terpegun dengan seni bina bercirikan rumah tradisional Melayu Negeri Sembilan.

Alias Makmur, 57, anak jati Negeri Sembilan itu berbangga kerana mempunyai warisan turun temurun yang merupakan identiti utama negerinya.

“Rumah ini merupakan warisan sejak zaman nenek moyang saya, sehingga kini ia masih utuh malah seni binanya masih dikekalkan seperti mula-mula dibina.

“Walaupun ada sebahagian pihak mengatakan rumah kayu agak ketinggalan zaman, saya masih berpegang teguh dengan amanat supaya rumah ini dapat dijaga untuk diwarisi kepada generasi yang akan datang,” katanya yang kini tinggal di rumah pusaka tersebut bersama isterinya, Sharifah Harun, 50.

Rumah Klasik Melayu Negeri Sembilan merupakan antara seni bina yang sinonim dan menjadi simbolik kepada negeri yang turut terkenal dengan amalan adat Perpatih.

Sering disalah erti dengan reka bentuk rumah Minangkabau, rumah Negeri Sembilan mendukung identiti tersendiri.

Begitupun, pada dasarnya pengaruh seni bina tersebut dibawa oleh masyarakat Minang dari kabupaten Siak, di provinsi Riau, Indonesia yang berhijrah ke Tanah Melayu sejak beratus tahun dahulu.

Bermula daripada tiang seri yang berperanan sebagai tunjang utama sebuah rumah sama ada dipecah empat atau lapan, seni bina unik tersebut membentuk sebuah kediaman yang berperanan bukan sahaja sebagai tempat berteduh malah menjadi tempat untuk aktiviti kemasyarakatan dan keraian.

Serambi

Langkah pertama memasuki rumah Negeri Sembilan bermula dengan serambi atau kini dikenali sebagai ruang tamu. Berbeza seperti rumah kayu biasa, serambi rumah Negeri Sembilan mempunyai bentuk yang memanjang dan terdapat bahagian hujung dan pangkal yang ditentukan mengikut laluan arus sungai.

Bahagian hujung selalunya di kedudukan hilir sungai, manakala pangkal di sebelah hulu.


Sharifah tidak pernah mengabaikan amanat keluarga yang memintanya untuk memelihara dan menjaga warisan pusaka untuk generasi akan datang.

Kedua-duanya mempunyai fungsi tersendiri seperti kawasan tempat duduk pembesar semasa keraian, ruang mengaji al-Quran, akad nikah, berkhatan, mengkafankan jenazah dan tempat tidur bagi tuan rumah yang pasangannya telah meninggal dunia.

Pembinaan lantainya adalah sekata di sepanjang serambi, selaras dengan adat Perpatih yang menggariskan nilai egalitarianisme bahawa setiap manusia adalah sama rata walaupun berbeza pangkat dan darjat di alam duniawi.

Melepasi kawasan serambi, rumah ibu menjadi bahagian kedua dalam seni bina rumah Negeri Sembilan. Bahagian yang tinggikan dengan selapis papan dari serambi itu merupakan kawasan yang menempatkan kamar tidur bagi tuan rumah dan ahli keluarga.

Selain itu, rumah ibu menempatkan laluan ke ruang loteng yang menjadi tempat simpanan barang-barang berharga.

Suatu masa dahulu ruang loteng juga menjadi tempat persembunyian anak gadis daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun.

Rumah ibu merupakan rangka utama yang menjadi penghubung kepada setiap bahagian lain dalam seni bina rumah Negeri Sembilan.

Seterusnya, bahagian rumah disambung pula dengan ruang yang dipanggil kolek anak. Bahagian kolek anak merupakan ruang khas untuk menempatkan ibu yang baru bersalin.

Rekaannya juga memudahkan golongan ibu bersalin seperti tali sebagai tempat bergantung yang diikat dari bumbung. Di sudut bahagian kolek anak pula, menempatkan dapur kecil yang menjadi tempat untuk memanaskan batu tungku.

Kedudukan lantai dijarakkan selebar satu hingga dua jari, bahagian kolek anak turut dijadikan ruang untuk memandikan jenazah sekiranya berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga.

Rumah Negeri Sembilan juga mempunyai ruang pelantar yang merupakan tempat simpanan barang-barang keperluan dapur dan makanan binatang ternakan seperti sagu untuk ayam.

Ruang akhir semestinya dapur yang merupakan bahagian wajib untuk setiap kediaman.

Bumbung

Selain susun atur bahagian rumah, identiti utama yang mencerminkan jiwa Negeri Sembilan adalah seni bina bumbung rumah yang panjang serta melentik di hujungnya.

Menurut pakar adat Negeri Sembilan dengan gelaran Datuk Seri Maharaja Tuan Haji Khalid Bongek, 75, reka bentuk bumbung rumah Negeri Sembilan merupakan ciri utama yang menzahirkan perbezaan antara rumah tersebut dengan rumah Minangkabau.

“Walaupun salasilah keturunan suku kaum Minang berasal dari kepulauan Minangkabau, amalan adat serta rekaan rumah Negeri Sembilan tidaklah sepenuhnya mengguna pakai identiti negeri tersebut.

“Masyarakat sering salah faham tentang perkara yang berkisar tentang Negeri Sembilan khususnya dari segi adat dan rumah.


Alias menunjukkan susunan papan lantai ruang kolek anak yang dahulunya direka sebagai tempat untuk memandikan jenazah.

“Jika menyebut sahaja tentang rumah Negeri Sembilan, ramai yang tertanya-tanya adakah wujud rumah sedemikian dan bukankah itu rumah Minangkabau,” jelasnya yang juga merupakan Tiang Balai Penghulu Luak Ulu Muar.

Tambahnya, seperti yang diketahui ramai tentang fakta Istana Diraja Seri Menanti dibina tanpa menggunakan sebatang paku, kebanyakan rumah tradisional Negeri Sembilan turut mengguna pakai teknik binaan sama iaitu teknik pasak dan tanggam.

Kedua-dua teknik tersebut merupakan kaedah untuk mencantumkan rumah yang digunakan oleh tukang rumah pada zaman dahulu sebelum penggunaan paku.

Khalid turut berseloroh tentang kelebihan teknik tersebut yang menjadikan rumah bebas daripada dimasuki semut.

Rekaan dinding rumah Negeri Sembilan pula mempunyai variasi mengikut kemampuan masyarakat yang ingin membina kediaman mereka.

Antara jenis dinding sering ditemui pada rumah tradisional di Negeri Sembilan ialah dinding sisik tenggiling, papan tengah berlidah, papan serong berlidah, apit-apit, pelupuh, anyam beremban dan kulit kepong.

Pantang larang

Untuk membina sebuah rumah, masyarakat Negeri Sembilan, mempunyai kepercayaan atau pantang larang yang perlu dituruti supaya kediaman yang didirikan lengkap dengan keperluan air dan cahaya.

Khalid memberitahu, peraturan itu bertujuan mengelakkan rumah daripada didirikan atas tapak yang tidak sesuai.

“Sebelum membina rumah, tukang pawang akan dipanggil bagi meneliti kawasan tersebut sama ada ia sesuai atau tidak. Bukan sahaja faktor ekosistem dititikberatkan tetapi unsur makhluk lain yang kita tidak nampak dengan mata kasar turut diambil kira.

“Zaman dahulu rumah di Negeri Sembilan banyak dibina di kawasan yang mempunyai mata air atau berdekatan sungai yang merupakan laluan utama penduduk sebelum adanya jalan raya. Rumah perlu menghadap tanah lapang supaya cahaya dapat masuk ke dalam rumah,” katanya.

Dalam meniti peredaran zaman, rumah Negeri Sembilan masih gah bertahan sehingga hari ini. Hal tersebut telah menarik ramai pihak untuk mengkaji kelebihan seni bina rumah dan ciri-ciri yang menampilkan keunikan dan identiti rumah tersebut.

Seorang pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Rumah Tangga), Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Anis Fariza Ahmad, 25, memberitahu, dia cukup mengagumi seni bina rumah Negeri Sembilan yang sangat berbeza daripada rumah tradisional lain.

Mendapat peluang untuk mendalami sejarah asal usul rumah tradisional Negeri Sembilan melalui kerja kursusnya dalam subjek Hubungan Etnik di Malaysia, Anis Fariza telah mengkaji tentang seni bina unik tersebut.

“Saya turun padang mencari maklumat dan baru saya tahu Negeri Sembilan bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Masyarakat di sini amat ramah, bersatu dan menjaga segala adat resam yang membentuk rumpun komuniti yang sakinah.

“Sebagai belia, saya amat berharap agar seni bina rumah Negeri Sembilan dapat dikekalkan untuk generasi akan datang supaya ia tidak dilupakan dan terus disalah anggap,” ujarnya.

kosmo online

Rumah Tradisional Pembesar Istana NS didirikan di UPM sebagai Muzium Warisan
Oleh Muhamad Najkhan Mazlan


SERDANG, 14 Mac (UPM) - Kerja-kerja pembinaan semula rumah tradisional Negeri Sembilan milik Orang Empat Istana Seri Menanti bermula hari ini dengan bacaan doa selamat sebelum upacara menaikkan tiang seri rumah.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif berkata rumah lama itu secara simboliknya dimasukkan ‘semangat’ pada tiang seri (tiang utama) rumah sebelum ianya ditegakkan.

“Mengikut kepercayaan orang Negeri Sembilan dahulu, objek seperti emas dan perak akan dimasukkan dalam lubang pada bawah tiang seri sebagai penyeri rumah.

“Proses menaikkan rumah ‘Tok Tonso’ ini melibatkan proses memasukkan semula beberapa objek iaitu duit syiling perak tahun 1935, duit syiling baru tahun 2013 sebagai simbolik tahun rumah ini dinaikkan semula, dan juga ibu kayu iaitu kayu dari pohon pertama yang ditakik ketika mula-mula rumah dibina.

“Kadangkala sukar untuk kita percaya perkara sebegini di zaman moden ini, tetapi itulah keunikan adat Melayu lama sehinggakan hendak membina rumahpun mempunyai falsafah dan simboliknya,” katanya pada majlis menaikkan rumah di sini.

Upacara itu disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad yang merupakan pencetus idea untuk mendirikan rumah itu sebagai muzium warisan.


Dr. Pauzi menerangkan rumah tradisional pembesar Negeri Sembilan mempunyai beberapa perbezaan dengan rumah masyarakat awam yang lain kerana ia mempunyai struktur yang hanya boleh dibina pada rumah kerabat diraja atau pembesar istana sebagai lambang status.

“Ia mempunyai enam tiang gantung dengan corak berbeza yang dipanggil ‘Tiang Gantung tak Jejak Bumi’ yang bersambungan pada bahagian bumbung dan dua tebar layar yang diberi nama Tebar layar Bertingkat Tiga dan Tebar Layar Mentari Terbit Pagi pada bahagian kanan dan kiri rumah induk dan pintu hadapan.

Kata Dr. Pauzi lagi, kebanyakan rumah pembesar memiliki lima bahagian utama berbanding tiga yang ada pada rumah masyarakat awam iaitu anjung, serambi, rumah induk atau ibu, loteng dan kelek anak atau rumah dapur.

“Keunikan Tebar Layar Mentari Terbit Pagi merupakan struktur yang dipasang pada bahagian hadapan rumah mengadap matahari terbit. Ia dibina sedemikian rupa bagi memudahkan tuan rumah untuk menentukan arah kiblat.

“Satu lagi keunikannya ialah mempunyai tempat untuk memandikan mayat di dalam rumah kerana menjadi kebiasaan masyarakat lama Negeri Sembilan memandikan jenazah ahli keluarga di dalam rumah,” katanya lagi.

Rumah milik Datuk Raja Diwangsa Muhammad Yunus Jabar atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Tonso’ itu diserahkan oleh waris beliau kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Februari lalu untuk dipulihara sebagai Muzium Warisan Melayu yang dijangka siap pada bulan September tahun ini.

--UPM/MNM

Comments