Tema Novel

Tema mengangkat sesebuah novel
DR. AMINUDIN MANSOR
10 Mei 2015


Jika dikaji dan diteliti tema dan persoalan yang besar mampu mengangkat sesebuah novel ke tahap menguji pemikiran pembaca dan memberikan erti dan menyerapkan unsur-unsur kesusasteraan yang tinggi nilai seninya.

Fungsi kesusasteraan untuk memberi pelajaran dan hiburan yang berkesan. Iaitu mentafsirkan perkara-perkara yang sudah sedia diketahui umum, tetapi tidak begitu difahami oleh pembaca. Novel juga menghidupkan daya imaginasi pembaca, menghidupkan semangat pembaca ke arah inspirasi moral.

foto hiasan

Tema yang besar yang diadun dengan baik juga memberikan ketenangan atau kerehatan fikiran, iaitu menghilangkan rasa penat lelah selepas bekerja dan memberikan kepuasan intelektual yang berpanjangan melalui pembacaan dengan fikiran bijaksana dalam bentuk fantasi atau melalui cerita rekaan. Penulis novel seperti Keris Mas, Shahnon Ahmad, Pak Sako, Abdullah Hussein dan Arenawati selalu mengambil tema dan persoalan besar dalam penulisannya.

Kajian menunjukkan bahawa pelbagai jenis novel antaranya novel perwatakan, psikologi, peristiwa, cinta, kemasyarakatan, resaman, sejarah, sosial, politik dan novel lawan alam. Melalui pembacaan para pembaca dapat mengetahui penulis sama ada berjaya atau tidak mengangkat sesebuah novel

Antara novel tersebut …Hujan Pun Menari dan Biarkan Aku Menangis karya Norhayati Berahim yang juga telah menghasilkan lebih 16 buah novel di bawah penerbitannya NB Kara. Kisah cinta dan masyarakat yang diadun dengan gaya bahasa yang baik menjadikan novel-novelnya menarik dibaca dan memberikan inspirasi moral dengan penuh bijaksana. Keikhlasan watak diceritakan dengan menarik.

Beberapa buah novel lain juga mengekalkan tema cinta dan kisah masyarakat yang berjejak di bumi nyata dan menceritakan berbagai-bagai-bagai perkara tentang kehidupan manusia masa kini dan masa akan datang dengan cara dan gaya tertentu.

Antaranya, novel Bungalina karya Chacho Haji Bulah yang mengungkapkan tema tentang pengorbanan yang dapat dijadikan pengajaran dan nilai pendidikan. Aspek integrasi sosial diutamakan menjadikan novel ini amat menarik dan berwawasan. Pendedahan tempat menarik di Sabah, kehidupan masyarakat Bajau Laut, dan kehidupan dalam lepa, tentunya akan dapat memberi gambaran budaya masyarakat di Malaysia yang pelbagai kaum.

Selain itu, novel Hujan Di Hati karya Fateen Najwa, Dua Syurga Dalam Hatiku, karya Norfadzillah Omar dan Janji Julia karya Maria Kajiwa yang membawa tema dan mengisahkan pada tahun 2050, Malaysia telah dilanda wabak yang disebabkan oleh virus Rhyto F99. Wabak ini membunuh hampir kesemua rakyat negara ini dan melumpuhkan sistem ekonomi dan pertahanan negara.

Sementara itu, kisah cinta dan kemasyarakatan masih menjadi pilihan penulis disebabkan permintaan daripada pembaca yang menggemari novel kisah cinta dan masyarakat. Antara novel tersebut ialah Bubur Kacang & Kopi O karya Hasrudi Jawawi, Damai kasihku karya Iris Ixora dan Dia Yang Ku Sayang karya Diya Elora yang masih membawa tema dan persoalan biasa dalam soal cinta dan juga kisah masyarakat.

Dengan gaya penggunaan bahasa yang lincah dan lancar serta dipenuhi dengan dialog, monolog serta humor dan memasukkan unsur ilmu menjadikan novel-novel ini seronok dibaca. Tetapi apa yang lebih penting penulis mestilah juga mengutarakan kisah cinta yang hebat dan luar biasa yang mengambil sudut pandangan yang berbeza tetapi masih tema dan persoalan cinta dengan berlandaskan Islam.

Berkesan

foto hiasan

Keindahan gaya bahasa dan paduan tema dan persoalan yang besar mampu menjadikan sesebuah novel itu novel yang berkesan di hati pembaca. Beberapa buah novel lain seperti Bahagia Itu Miliknya karya Rozita Abd Wahab, Bukan Pungguk Rindukan Bulan karya Wanis Soffya, Terucap Syahadah karya Lidya Nazura, Fantasi Cintaku karya Fatinilam Sari Ahmad adalah beberapa nama novelis yang mempunyai harapan cerah dalam penulisan novel.

Namun dengan syarat mampu mengetengahkan tema dan persoalan cinta yang lebih besar dalam karya mereka.

Dalam novel Fantasi Cintaku karya Fatinilam Sari Ahmad, penulis cuba memasukkan elemen mistik, fantasi, kasih sayang dan cinta dalam novel menjadikan cereka yang menarik kepada pembaca.

Penulis juga mengakhirkan kisahnya dengan misteri. “ Riya mengakui fantasi cintanya memang indah dan kehidupan amat pahit untuk dilalui. Suatu saat dahulu lelaki impiannya terperangkap dalam dunia penuh misteri tetapi kini lelaki itu telah hadir dalam realiti. Lalu dia terus bahagia.” (Halaman 485).

Justeru, hubungan budaya dalam kehidupan dan sejarah orang Melayu. hal ini menjadikan novel ini mengisahkan peristiwa dan tindakan iaitu hal-hal yang dialami dan dilakukan oleh manusia dalam kehidupannya. Kejadian-kejadian yang dipusatkan melingkungi seluruh kehidupan.

Lantaran itu, keindahan dan kekuatan sesebuah novel biasanya bermula daripada tema dan persoalan yang besar, gaya penceritaan yang menarik, latar masa, masyarakat dan tempat yang bersesuaian dengan penceritaan.

Keistimewaan pengarang biasanya terletak pada gaya bahasa dan isi cerita novel daripada hasil karya penulis baharu menampakkan pelbagai bentuk keindahan bahasa dengan memadukan gaya dan isi cerita yang menarik.

Ini sekali gus memerlukan pembaca berfikir dan merenung tentang kehidupan masa lalu dan masa depan yang penuh dengan pelbagai cabaran sebagai pengajaran dan hiburan yang mengasyikkan.

utusan online

Comments