Tawaran Baharu Guru Besar 2014

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI 
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN
MAJLIS ANUGERAH TAWARAN BAHARU KEPADA GURU BESAR 2014 12 MEI 2015




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.


Yang Berhormat Dato’ Seri Idris bin Jusoh Menteri Pendidikan 11

Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching Timbalan Menteri Pendidikan

Yang Berhormat P. Kamalanathan P Panchanathan Timbalan Menteri Pendidikan II

Y. Bhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia


Y. Bhg. Dato’ Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusuf Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia

Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran,

Barisan pengurusan tertinggi Kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah

Para penerima anugerah tawaran baharu, guru-guru serta para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.


1. Alhamdulillah, dengan segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan inayah-Nya, dapat kita bertemu sekali lagi dalam Majlis Anugerah Tawaran Baharu Kepada Guru Besar bagi tahun 2014. Majlis kali kelima ini bertujuan untuk meraikan guru besar yang telah berjaya mencapai sasaran kecemerlangan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara NKRA Pendidikan.


2. Saya amat berbesar hati kerana pada hari ini saya sekali lagi berkesempatan untuk bersama- sama dengan guru besar yang telah berjaya membawa kejayaan kepada sekolah masing- masing. Saya bersyukur walaupun didalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan negara ini masih berupaya menepati janji untuk memberi imbuhan kepada sekolah seperti yang dinyatakan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara khususnya sub NKRA Pendidikan.

Y. Bhg. Tan Sri/Dato’ Sri /Dato’/Datin/Tuan/Puan,


3. Sama ada kita sedar atau tidak, Gelombang 1, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 akan berakhir pada penghujung tahun 2015 ini. Fokus pertama Gelombang 1 PPPM adalah untuk mengukuhkan asas dalam pendidikan dan lonjakan prestasi. Sekiranya diimbas bagi Gelombang 1 bagi 2013, lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia telah menunjukkan pencapaian yang positif. Bagi akses; enrolmen prasekolah telah mencapai 81.7 peratus manakala pendidikan vokasional mencapai 4.6 peratus. Bagi kualiti;

LINUS Bahasa Malaysia dan Numerasi murid Tahun 3 mencapai 99 peratus manakala LINUS Bahasa Inggeris Tahun 1 menunjukkan peningkatan dari 50 peratus ke 63 peratus.


4. Bagi ekuiti; negeri Kedah dan Sabah mencapai peningkatan tertinggi dalam UPSR, PMR dan SPM. Selain itu, 9.6 peratus murid berkeperluan khas belajar bersama-sama murid sekolah arus perdana. Bagi perpaduan, RIMUP dilaksanakan di 20 peratus sekolah rendah manakala Indeks Perpaduan dalam kalangan murid dan guru sedang dibangunkan. Akhirnya bagi kecekapan; 251 jawatan kepimpinan utama di JPN dan PPD telah diprofilkan. Selain itu pembaikan kritikal selesai bagi 1,693 projek sekolah. Susulan ini, saya yakin banyak lagi hasil yang telah tercapai bagi tahun 2014 yang akan diumumkan tidak lama lagi, inshaAllah.

Y. Bhg. Tan Sri/Dato’ Sri /Dato’/Datin/Tuan/Puan,




5. Guru Besar yang berjaya menerima Bayaran Intensif Tawaran Baharu (BITB) ini adalah Guru Besar yang semestinya mengamalkan pendekatan transformational leadership. Tranformasi melibatkan perubahan fundemental iaitu cara organisasi melaksanakan tugasnya dan karakter dalam organisasi tersebut; dalam konteks ini organisasi sekolah. Tuan puan diyakini telah berjaya mengurus sekolah bagi mencapai ke arah pembelajaran masa depan dan untuk menjadikan yang mustahil kepada realiti ataupun to make the impossible possible.


6. Dalam tempoh empat tahun pelaksanaan TBGB bagi sekolah rendah, kerajaan telah membelanjakan RM69.6juta sebagai insentif kepada 2,014 orang guru besar, 59,166 orang guru dan 7,886 orang anggota kumpulan pelaksana. Pelbagai anugerah yang disediakan oleh KPM seperti BITB ini yang disediakan setiap tahun sewajarnya menggambarkan adanya usaha yang bersungguh dalam kalangan sekolah untuk mencapai kecemerlangan. Namun, pada hakikatnya adakah sekolah kita telah bersedia menghadapi cabaran dunia pendidikan yang semakin rencam ini? Saya penuh yakin kejayaan sesebuah sekolah bukan setakat pencapaian akademik sahaja namun kemenjadian murid yang menyeluruh yang sepatutnya dilihat semula oleh sekolah. Saya difahamkan KPM pada masa ini sedang merangka indeks kemenjadian murid bagi mengukur pencapaian enam ciri utama murid dari segi pengetahuan, kemahiran berfikir, memimpin, dwibahasa, beretika dan kerohanian dan yang akhirnya beridentiti nasional.

7. Suka saya memetik titah ucapan Ke bawah Duli Sultan Perak baru-baru ini yang menyatakan “kemajuan sesebuah negara bergantung pada warga yang mengamalkan disiplin yang tinggi, kesusilaan yang terpuji, beradab sopan terhadap negara dan menghormati lambang kedaulatan negara. Kita tidak mahu lahirnya modal insan yang “ buta huruf terhadap sejarah negaranya, cetek tentang tamadun bangsanya, berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung dan minda yang tiada ada akar budaya lalu melanggar adab dan menyisihkan adat”


Y. Bhg. Tan Sri/Dato’ Sri /Dato’/Datin/Tuan/Puan,

8. Terdapat beberapa syarat dan kelayakan BITB yang telah ditambah baik. Antaranya sekolah yang dicalonkan mestilah mengekalkan pencapaian atau menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya bagi sekolah yang telah menerima BITB. Pada tahun 2014, kita mendapati ada sebilangan sekolah yang pernah menerima BITB pada tahun-tahun sebelumnya telah gagal mengekalkan skor komposit masing-masing. Dalam hal ini, sekolah mesti membuktikan mereka mampu mengekal atau meningkatkan GPS dan skor komposit sekolah masing-masing sebelum layak dicalonkan.


9. Tawaran Baharu Guru Besar ini telah memasuki pusingan yang kelima. KPM pada masa ini sedang meneliti semula program ini secara keseluruhan supaya bersesuaian dengan perubahan dalam sistem pendidikan negara. Saya sebentar tadi telah menyentuh berkaitan matlamat mendidik pelajar holistik. Dalam hal ini saya berpandangan bahawa kombinasi skor komposit 70 peratus untuk GPS berdasarkan peperiksaaan dan 30 peratus berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) adalah kurang sesuai. Oleh kerana SKPM merupakan satu-satunya indikator mengukur kemajuan sekolah dan kemenjadian murid, saya mengesyorkan supaya pemberatan kepada SKPM ditingkatkan kepada 50 peratus.


10. Bagi penerima anugerah yang telah mendapat BITB lebih dari tiga kali wajar juga mereka ini dipertimbangkan untuk membangunkan sekolah-sekolah baru yang lain. Saya percaya suntikan pengalaman dan kepakaran tuan puan di sekolah sedia ada, boleh membantu lebih banyak lagi sekolah lain untuk menerima anugerah BITB ini pada masa-masa akan datang.

Y. Bhg. Tan Sri/Dato’ Sri /Dato’/Datin/Tuan/Puan,

11. Bagi tahun 2014, dari 7,709 buah sekolah rendah seluruh negara sebanyak 673 buah sekolah telah diverifikasi oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Bahagian Audit Sekolah dan Unit Integriti. Dari jumlah berkaitan, sebanyak 264 atau 39.23 peratus telah melepasi semua syarat tapisan yang ditetapkan. Dari bilangan di atas, 193 sekolah atau 73.11 peratus merupakan sekolah yang berada di luar bandar. Usaha kerajaan untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar nampaknya telah membuahkan hasil.

12. Pada hari ini kita meraikan 264 orang guru besar yang akan menerima BITB dalam majlis ini. Saya juga mengambil kesempatan di sini merakamkan syabas dan tahniah kepada 12 guru besar yang telah lima kali menerima BITB ini. Di peringkat negeri pula, Sarawak merupakan penerima BITB teramai iaitu sebanyak 60 sekolah diikuti oleh negeri Johor sebanyak 32 sekolah dan Perak dan Terengganu sebanyak 27 sekolah.



13. Suka juga saya menyentuh di sini berkaitan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Sehingga kini terdapat 64 buah SBT rendah di seluruh negara dan bilangan yang diverifikasi sebanyak 31 buah sahaja kerana skor komposit yang menurun. Nampaknya pada tahun 2014, hanya
21 buah saja SBT berjaya menerima TBGB. Sehubungan ini, saya menyeru supaya sekolah- sekolah SBT terus berusaha mengekalkan kecemerlangan seiring dengan status berprestij sekolah masing-masing.


14. Pada hari ini, kerajaan akan membelanjakan hampir RM10 juta sebagai ganjaran kepada tuan-tuan dan puan-puan, guru-guru serta kakitangan sokongan yang memenuhi syarat di sekolah masing-masing. Dijangkakan hampir lapan ribu warga pendidikan dan kakitangan peringkat sekolah rendah akan mendapat manfaat daripada Bayaran Insentif Tawaran Baru ini.

15. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganugerahan Tawaran Baharu ini terutamanya kepada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku urus setia Tawaran Baharu yang telah melaksanakan verifikasi serta penilaian ke atas sekolah yang layak. Tidak dilupakan juga bahagian-bahagian lain di Kementerian Pendikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atas segala usaha yang telah dilakukan untuk mendorong sekolah ke arah kecemerlangan.

16. Saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua guru besar yang berjaya menerima Anugerah Tawaran Baharu bagi Tahun 2014.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

KPM

Comments