23 May 2015

Monodrama

Monodrama didefinisikan sebagai drama yang dimainkan atau dilakonkan oleh seorang aktor atau pelakon.

Menurut Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 Drama, Monodrama, drama pendek dan dekon ini jika dipentaskan akan berdurasi sekitar 15 – 20 minit sahaja dan jika mahu dibandingkan dengan drama sebabak (45 – 75 minit) atau drama panjang (75 – 90 minit) tentulah kemantapannya dari segi struktur dramatik (plot), watak dan perwatakan tidak cukup meyakinkan kerana perkembangannya terhad.

Terdapat kecenderungan dalam kalangan penulis drama kini menghasilkan monodrama, drama pendek dan dekon. Bagi tujuan atau matlamat pementasan khusus, tiada masalahnya naskhah-naskhah seperti ini. Bagaimanapun, atas sifatnya yang pendek itu, kebanyakan drama dalam kategori ini tidak memperlihatkan pembangunan idea yang mantap, dengan struktur dramatik yang tersusun kemas – membina krisis dan konflik yang benar-benar meyakinkan dan bertenaga.

Manakala dari sudut pelakon pula monodrama sebagai persembahan solo, monodrama merupakan satu cabaran yang besar kepada pelakon kerana hanya berlakon sendirian di atas pentas tanpa dibantu oleh pelakon yang lain. Pelakon harus bijak mengolah watak supaya penonton tidak rasa bosan melihat aksi pelakon di atas pentas. Daya imaginasi seorang pelakon harus ada kerana apabila pelakon berada dalam watak dia akan berbicara seorang diri dan membayangi ada watak lain bersama berlakon dengannya. Pelakon monolog harus mempercayai imaginasi dan menganggap watak lain wujud dalam imaginasi biarpun hakikatnya watak tersebut tidak wujud di atas pentas.

Demikian beberapa catatan ringkas untuk kita mengenl dunia monodrama yang begitu popular dipersembahkan di peringkat institusi pengajian tinggi serta persembahan pentas yang memiliki durasi persembahan yang sederhana.

Marilah kita sama-sama menggali seni persembahan monodrama secara lebih dekat




Dramatik kena jelas dalam monodrama
Khalid Salleh

PEMBABITAN 11 kumpulan drama dalam Pertandingan Monodrama di Balai seminar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan pada 20 hingga 22 April lalu adalah sesuatu yang bermakna kepada perkembangan teater di Malaysia, khususnya di Johor.

Program anjuran DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Johor (JKKW Johor), Majlis Teater Negeri Johor (MTNJ) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) ialah perintis kepada aktiviti persembahan solo (monodrama) yang hanya menampilkan seorang pemain di pentas.

Idea dicetuskan Dinsman melalui Bukan Bunuh Diri (karya/arahan/lakonannya) sekitar 1974 di DBP menjadi titik tolak pembabitan saya dalam kerja teater yang berterusan hingga ke hari ini.

Semuanya bermula apabila Krishen Jit `melamar' saya melalui Bukan Bunuh Diri yang dipentaskan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya pada 1977. Pemerhatiannya di pentas `jual ubat' yang saya lakukan hampir setiap malam di Jalan Benteng, Kuala Lumpur (berhampiran Masjid Jamek) meyakinkannya untuk mengambil saya beraksi sebagai Adam.

Watak itu dibangunkan Dinsman sebagai manusia yang mencari diri sekali gus mencari rahsia ketuhanan dalam dirinya sendiri.

Perbezaan ketara dalam memperincikan dan meletakkan konsep serta pengertian monodrama seperti yang dirintis Dinsman masih tidak jelas dalam pemahaman atau pengetahuan peserta pertandingan monodrama berkenaan.

Struktur atau susur galur penceritaan tidak memperinci kepada persoalan dasar elemen dramatik yang harus ada dalam sesebuah lakon (drama).

Persoalan, konflik dan ketentuan (penyelesaian) yang secara umumnya menjadi landas dalam sesebuah karya drama pentas (teater) tidak dititikberatkan. Sebaliknya, hampir semua karya menghasilkan plot penceritaan yang terlepas daripada pola sebagaimana disebutkan tadi.

Permasalahan ini ditambah pula dengan kehadiran pemain dan pengarahan yang kurang memahami aspek lakonan mahupun pengarahan. Teknik bermain yang meletakkan sandaran vokal, intonasi, ekspresi, emosi, mimik, gerak artikulasi sebagai nadi utama tidak terkesan penggunaannya.

Walaupun ada pemain yang cuba memperlihatkan kehadiran warna sebagaimana disebutkan tetapi berikutan peranannya yang harus membawa pelbagai watak, ia tidak menghasilkan urutan kesan kekaguman (pesona) mahupun dinamik permainannya.

Walhal, dia memang mempunyai potensi sebagai pemain yang baik dan berketrampilan jika ditangani pengarah yang memahami tuntutan sesebuah persembahan dan permainan daripada seorang pemain atau pelakon.

Tidak dinafikan, perkara yang disebutkan itu ialah nilai pertama kalinya yang terhasil daripada Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007. Bagaimanapun, aspek pengenalan dan keilmuan sangat dituntut dalam melaksanakan sesuatu kerja seni seumpama teater dan sebagainya.

Mutu, kekaguman dan profesionalisme ialah tali pengikat yang menjadikan khalayak teruja dan akan memeriahkan suasana teater. Sebaiknya, peserta harus berusaha memperkaya ilmu dan memperbaiki
perisian ke arah tanggungjawab sebagai pekerja seni, khususnya teater.

Dalam hubungan berkaitan, DBP Wilayah Selatan, JKKW Johor, MTNJ dan PPJ sudah pun menggerakkan pemangkin ke arah memeriahkan suasana teater di Johor. Sebagai pekerja teater pula, mereka perlu menyuntik semangat dan gagasan pemikirannya untuk mengangkat kepercayaan dan keyakinan khalayak terhadap teater yang ditawarkan keindahan serta kebaikan kepada mereka.

Apakah cukup sekadar berambisi dan berasa sebagai `orang teater' semata-mata? Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya?


Penuh makna, sinikal
NOR ATIEYAH YUSOFF, FOTO : IHSAN ISTANA BUDAYA
19 Mac 2014


“JANGAN anggap jual ubat itu bohong, koyok, penipu.

Belum pernah dalam sejarah penjual ubat membenarkan sebahagian negaranya diperintah oleh pendatang, yang asalnya hanya menggali kekayaan yang ada di negara ini!”

Begitulah antara bait-bait yang disampaikan Khalid Salleh menerusi teater Monolog Jual Ubat di Istana Budaya, yang berlangsung pada 11 hingga 17 Mac lalu.

Walaupun tanpa pelakon handalan mahupun peralatan pentas yang hebat, namun seniman yang cukup terkenal menerusi filem Kaki Bakar dan Jogho ini, berjaya memukau penonton.

Dengan sebotol air mineral, sebuah beg dan batu serta kain hitam yang dibentangkan, monolog selama hampir dua jam itu disampaikan dengan penuh makna dan sinikal.

Khalid turut membawa penonton mengenali diri sendiri, tentang alam serta mengajak manusia berfikir untuk mengenali Maha Pencipta.

Punya identiti tersendiri, monolog Khalid bukanlah dalam bentuk 'syarahan' semata-mata, sebaliknya ia dihidangkan dengan penuh pengisian kreatif.

Turut menyelitkan nyanyian dan tarian, ternyata monolog Khalid mampu mencuri tumpuan penonton hingga ke akhir pementasan.

Mana tidaknya, sepanjang pementasan tersebut, penonton disajikan dengan pelbagai rasa dan emosi seperti gembira, teruja serta sedih, sedikit sebanyak membiarkan akal fikiran kita menilai dan menginterpretasikan sendiri setiap input yang diterima.

Hakikatnya, ini bukanlah monolog pertama dijayakan oleh Khalid yang mempunyai keunikannya tersendiri. Sudah berpuluh bandar, tak terkecuali sekolah-sekolah di seluruh negara, serta negara-negara serantau, sudah merasai sendiri penangan 'si penjual ubat' ini.

Jangan pandang rendah!

Kisah si penjual ubat ini turut diselitkan dalam buku tulisannya, Kumpulan Drama Pentas Pandirnya Si Pandir.

Berkongsi rahsia di sebalik karyanya itu, Khalid berkata, ia bermula daripada pengalamannya sendiri dan dijadikan sebagai inspirasi dalam setiap tulisannya.

Jelas Khalid, dia berasal daripada keluarga yang sederhana. Sebelum berkecimpung dalam dunia seni, dia terlebih dahulu memulakan hidup dengan menjual ubat sebagai sumber rezeki.

“Bagaimana saya terjebak dengan aktiviti ini adalah disebabkan terdorong sifat ingin tahu.

“Saya melihat bagaimana si penjual ubat kehidupannya agak mewah, walhal hanya menjual ubat di kaki lima.

“Bermula dari situ saya mula menjual ubat kerana terdorong dengan kejayaan mereka,” katanya.

Khalid berkata, kerjaya ini tidak sepatutnya di pandang rendah oleh masyarakat, hanya kerana mereka berada di kaki lima. Tanpa ilmu dan pendidikan akademik, kata Khalid, golongan ini tetap berjaya meraih pendapatan tersendiri.

“Kita mungkin akan terkejut dengan apa yang mereka ada. Pesan saya kepada semua supaya jangan main-main tetapi bermainlah dengan kehidupan,” katanya dengan penuh maksud yang tersirat.

Khalid turut mengembara hingga ke Indonesia untuk menuntut ilmu, sehinggakan dia begitu fasih dengan dialek Madura, Batak, Banjar, Bugis dan juga Jawa.

Menulis sejak usia muda

Menyelusuri sejarah awalnya dalam bidang penulisan, sejak usia 12 tahun lagi, Khalid sudah berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

Skrip cerita pendek Sandiwara berjudul Jalan ke Sekolah Menengah merupakan hasil tulisan pertamanya yang disiarkan ketika menuntut di Sekolah Melayu Sri Bengkal, Batu Pahat, Johor.

Bukan hanya sebagai penulis, bakat Khalid ketika itu turut terserlah sebagai pengarah dan juga pelakon. Malah sewaktu di Tingkatan 3, dia terlibat secara langsung dalam pementasan teater berjudul Kubur Tak Bertanda.

Sejak itu, monodrama Khalid semakin sarat dengan falsafah. Malah dia juga semakin berani mengkritik sikap pemimpin yang menggelapkan duit rakyat menerusi simbol gagak hitam .

Tidak terhenti di situ, Khalid meneruskan perjuangan monolognya dengan menjelajah ke serata benua termasuk Indonesia, Jepun dan Singapura.

“Ia lebih indah dipentaskan apatah lagi menerima maklum balas positif daripada penonton.

“Kebanyakan karya saya diselit dengan unsur-unsur kemanusiaan yang kian pudar dalam diri kita,” ujarnya ketika mengakhiri perbualan.

sinar harian



Festival Manodrama di IB
Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI


MOHAMED Juhari Shaarani bersalaman dengan Sallehuddin Abang Shokeran sambil disaksikan Rosminah Tahir (kiri) dan Khamsiah Mohamed pada sidang akhbar Festival Monodrama di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PEMINAT industri hiburan pasti mengetahui apakah perbezaannya di antara layar kaca dan layar perak, lakonan dan nyanyian, pementasan teater dan muzikal teater tetapi tahukah mereka apa itu monodrama?

Monodrama adalah sebuah persembahan melibatkan seorang pelakon yang membawakan satu watak atau lebih, asalkan ia sebuah drama yang lengkap iaitu mempunyai permulaan dan pengakhiran.

Lengkap bermakna sebuah monodrama itu harus berjaya memperkenalkan semua watak dalam lakonannya, menampilkan isu dan persoalan cerita, menampilkan pertembungan antara watak, mempunyai kemuncak cerita dan merungkai permasalahan yang telah dibangkitkan dengan bijaksana.

Bagi mereka yang kurang mengenali monodrama, peluang untuk menyaksikan tiga artis popular tempatan beraksi di Lambang Sari, Istana Budaya (IB) pastilah sesuatu yang tidak harus mereka lepaskan.

Festival Monodrama anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama CTRA Production dan IB ini akan berlangsung pada 13 dan 14 Disember ini bermula pukul 8.30 malam dengan menampilkan Misha Omar, Norish Karman dan Jasmin Hamid.

Selain itu, festival ini juga bakal menampilkan lapan pelakon teater amatur bagi melahirkan lebih ramai lagi pelapis yang mampu meningkatkan martabat persembahan teater tempatan.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Sallehuddin Abang Shokeran berkata, ini adalah kerjasama pertama DBP dengan CTRA Production dan IB.

"Festival ini bertujuan untuk mencetuskan minat masyarakat agar memahami, mendekati dan menghayati monodrama sebagai salah satu bentuk teater yang mempunyai keistimewaannya tersendiri.

"Selain itu, festival ini juga menggalakkan penghasilan skrip monodrama yang bermutu sebagai suatu platform untuk melahirkan pelakon teater yang berbakat," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani dan pengarah Festival Monodrama, Rosminah Tahir.

Pada festival tersebut, Misha bakal mempersembahkan sebuah monolog bertajuk Gadis Yatim, Norish dengan Bukan Dejavu dan Jasmin pula membawakan Empat Dara Pingitan.

Sementara itu, Rosminah Tahir yang ditemui pula berkata, pihaknya memilih tiga artis ternama ini sebagai pelakon yang bakal membuat persembahan kerana daya tarikan yang dimiliki oleh mereka.

"Selain itu, saya yakin dengan kemampuan mereka untuk membawakan watak masing-masing kerana jalan cerita yang disampaikan berkait sedikit sebanyak dengan kehidupan mereka sendiri," kata Rosminah yang sebelum ini pernah mengarahkan teater muzik Tun Mahathir selama dua musim.

utusan online


Rosnan Berjaya Jiwai 4 Watak Dalam 'Rebab Berbisik'
KEMALIA OTHMAN
10 April 2011



KUALA LUMPUR: Pementasan pertama teater monodrama Rebab Berbisik pada malam Jumaat lalu nyata berjaya memberi kelainan kepada penonton yang biasa dihidangkan dengan pementasan teater muzikal sejak kebelakangan ini.

Bertempat di Lambang Sari, Istana Budaya, teater yang dilakonkan oleh satu-satunya pelakon Pak Yong di Malaysia, Rosnan Rahman ini, berjaya menyampaikan mesej utama iaitu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepupusan tarian tradisional tersebut.

Mengambil masa selama lebih kurang 1 jam 15 minit, Rosnan berjaya membawa penonton menghayati dan menyelami isi hati pengiat seni tarian yang hampir dilupai ini.

Bukan itu sahaja, empat watak yang dibawakan oleh Rosnan iaitu watak Pak Su Mat, Mek Ning, Ustaz dan Mak Yah dilakonkan dengan baik dan dapat difahami audien.

Kesinambungan dari satu watak ke watak yang lain turut membantu jalan cerita lebih difahami, contohnya peralihan antara watak Pak Su kepada watak Ustaz membantu penonton memahami situasi yang cuba diceritakan oleh watak Pak Su.

Begitu juga watak Mak Yah atau Mimi iaitu watak salah seorang anak Pak Su sangat menghiburkan sehingga membuatkan penonton tidak kering gusi.

Bagaimanapun, Rosnan yang ditemui selepas selesai persembahan tersebut mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan pada malam pertama itu.

"Saya akui agak gementar mungkin kerana ini merupakan persembahan pertama dan disaksikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said.

"Namun apa yang saya cuba sampaikan secara keseluruhannya berjaya disampaikan pada malam ini, Insya-Allah pada malam seterusnya saya akan buat lebih baik lagi," katanya.

Tambahnya, cabaran utama ketika membuat persembahan tersebut adalah peralihan antara satu watak ke watak yang lain.

"Saya tak mahu penonton keliru dengan empat watak tersebut. Jadi saya kena pastikan kelainan terutamanya dari imej dan bahasa,

"Selain itu, cabaran besar tentunya membawakan watak Pak Su Mat berusia 70-an sedangkan saya sendiri baru berusia 30-an." katanya yang sudah 12 kali mementaskan teater tersebut.

Menurut Rosnan, Rebab Berbisik mula dipentaskan di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2007. Kemudian monodrama arahan Rahimidin Zahari itu turut dibawa ke negeri lain dan dipentaskan di pusat pengajian tinggi awam.

Rebab Berbisik mengisahkan emosi Pak Su Mat dan Mek Ning yang juga primadona Mak Yung terkenal pada zaman kegemilangan seni itu suatu ketika dulu.

Pementasan monodrama ini diadakan selama empat hari bermula 8 April hingga 11 April.

mstaronline

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena