menjaga bonda

Enam beradik sepakat jaga ibu lumpuh
Sanggup berhenti sekolah demi ibu
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI | 21 Mei 2015 1:57 PM

Nor Zarina Nasir hanya mampu terbaring kerana menghidap penyakit saraf, sambil ditemani anaknya, Mohd Zulhilmi ( kiri), Zuliana Tasha (tengah ) dan Nur Zulaikha (kanan).


Nur Zulaikha membantu kerja-kerja dapur sejak ibunya menghidap penyakit saraf.

Kita sering mendengar ungkapan seorang ibu boleh menjaga 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu, sebagai menggambarkan besarnya kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak.

Namun, kisah enam beradik di Projek Perumahan Rakyat Kepong Setia, Kepong, Selangor, ini agak berbeza apabila masing-masing sanggup mengorbankan zaman kanak-kanak dan remaja mereka demi menjaga ibu yang lumpuh.

Itulah yang dilakukan enam anak Nur Zarina Nasir, 39, apabila nekad menjaga sendiri wanita itu yang menghidap penyakit sendi sejak sembilan tahun lalu, malah salah seorang daripadanya tidak bersekolah demi menguruskan ‘syurga’ mereka sepenuh masa.

Nur Zarina disahkan menghidap sakit sendi kronik selepas empat bulan melahirkan anak bongsunya, Mohd. Zulhilmi Zamri, yang kini berusia lapan tahun.

Itu pun setelah berulang-alik ke hospital selama beberapa bulan bagi mendapatkan rawatan, akhirnya baru dia disahkan mengalami masalah sendi yang menyebabkannya terlantar sehingga kini.

Berkunjung ke kediaman Nur Zarina baru-baru ini, sangat menyentuh hati saya apabila melihat seorang remaja berusia 17 tahun bersama adik-adiknya berumur 15 tahun, sembilan dan lapan tahun, sibuk menguruskan ibu mereka.


Saya sangkakan ada orang dewasa bersama mereka, namun rupanya empat beradik itu sahaja yang berada di rumah menguruskan ibu mereka.

Keadaan Nur Zarina yang terlantar dan tidak mampu bangun dari katil, menyebabkan segala urusan harian sebagai ibu diambil alih anak keempatnya, Nur Zulisha, 15, yang kini tidak lagi bersekolah.

Tanggungjawab mencari rezeki pula digalas anak sulungnya, Mohd. Zulfikar, 22, yang menjadi tempat bergantung seluruh ahli keluarga itu.

Menurut Nur Zarina, sejak ditinggalkan suaminya lima tahun lalu, hanya empat anaknya iaitu Mohd. Zulalif, 19, Nur Zulaikha, 17, Nur Zuliana Tasha, 9, dan Mohd. Zulhilmi bersekolah.

“Puas saya memaksa Nur Zulisha bersekolah tetapi dia enggan kerana mahu menjaga saya sepenuh masa. Katanya, biarlah abangnya bekerja dan adik-beradik lain bersekolah kerana jika semua keluar siapa akan menguruskan saya.

“Walaupun saya cakap saya boleh ditinggalkan bersendirian, dia tetap tidak mahu kerana tiada orang boleh menguruskan kerja-kerja harian seperti memandikan, menyediakan sarapan, makan tengah hari dan malam untuk ahli keluarga lain setiap hari,” katanya.

Menurut Nur Zarina, setiap hari Nur Zulisha akan bangun seawal pukul 6 pagi untuk menyediakan sarapan untuk keluarga itu.

Menu utama yang menjadi kegemaran mereka ialah nasi goreng resipi ibu sejak dari dahulu lagi.

Jelas wanita itu, kesemua anaknya pandai menggoreng nasi termasuk anaknya yang berusia sembilan tahun kerana sudah terbiasa dengan rutin itu sejak daripada kecil.

Walaupun dia bangga mempunyai enam anak yang sanggup berkorban untuk menjaganya sehingga masa muda mereka tidak seperti kanak-kanak lain, jauh di sudut hati Nur Zarina terlalu sedih kerana tidak mampu menjadi ibu terbaik buat anak-anaknya.

Dalam nada sebak, wanita itu berharap dapat sembuh dan kembali membalas jasa anak-anak.

“Saya bersyukur mempunyai anak-anak yang sanggup menjaga saya dalam keadaan begini, malah mereka cuci berak dan kencing saya setiap hari tanpa rasa geli atau merungut termasuk anak yang paling bongsu.

“Saya tidak menggunakan lampin pakai buang kerana mahu menjimatkan wang, tetapi mereka tidak pernah merungut atau menyuruh saya pakai dan mereka sanggup membersihkan najis saya.

“Saya sangat sedih kerana zaman kanak-kanak mereka tidak seperti kanak-kanak lain yang dapat bermain dan keluar berjalan-jalan kerana terpaksa menjaga saya. Ampunkan mak ya anak-anak,” luahnya berlinangan air mata sambil membelai lembut tangan anak bongsu yang ada di sisi.

Tidak sanggup melihat kekesalan ibunya, Nur Zulaikha yang sentiasa duduk bersebelahan wanita itu sepanjang temu bual dijalankan, menyuarakan rasa hatinya yang mahu menjaga ibunya sehingga akhir hayat.

Biarpun terpaksa menguruskan najis ibunya setiap hari, dia tidak pernah berasa terbeban, malah menganggap itu adalah tanggungjawab mereka sebagai anak.

“Kadang-kadang ada juga hari saya tidak dapat ke sekolah kerana menjaga ibu sakit, tetapi kawan-kawan akan membantu meminjamkan nota pelajaran yang terlepas.

“Biasanya adik saya, Nur Zulisha akan melakukan semua tugas menjaga ibu tetapi jika berkesempatan saya dan adik-adik lain turut membantu,” katanya.

Ujar remaja yang bercita-cita mahu membawa seluruh keluarganya menunaikan umrah jika mempunyai wang yang banyak, dia yakin ibunya akan sembuh dan kembali menjaga mereka enam beradik.

“Ibu sangat kuat semangat dan tidak pernah kalah dengan kesakitan yang ditanggungnya. Semangat yang kuat itu membuatkan kami bangga dengannya. Suatu hari nanti apabila saya sudah bekerja dan memperoleh gaji yang tinggi, saya akan dapatkan rawatan terbaik untuk ibu,” jelasnya.

Buat masa ini, Nur Zarina dan enam anaknya menyewa rumah di kawasan perumahan berkenaan. Wang sewa kini ditanggung Baitulmal selain mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan dan mengharap pendapatan anak sulongnya yang bekerja di kilang dengan gajinya RM1,000 sebulan.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nur Zarina di nombor 1410029000491969.

utusan online

Comments

Post a Comment