Maaruf Mahmud


Maaruf tinggalkan khazanah sastera remaja

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI
7 Okt 2000


NAMA Maaruf Mahmud barangkali tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada ramai di kalangan kita tetapi tidak novel remaja Anak Din Biola tulisannya yang terbit pada tahun 1983.

Novel itu adalah salah satu karya sastera remaja terbaik, kalaupun tidak yang terbaik, pernah terbit di negara ini kerana pengalaman dan pengajaran yang terpercik dalamnya.

Ia mengisahkan seorang anak yatim, Budiman Budin yang sanggup berbuat apa saja pekerjaan untuk mendapatkan sebuah biola dan bertanding dalam satu pertandingan bintang remaja.

Begitu berkesannya karya yang menang Hadiah Pertama Novel Remaja Esso-Gapena 1983 itu, ia diangkat menjadi salah satu teks bacaan wajib bagi para pelajar tingkatan 1 pada tahun lalu.

Pagi Rabu, 27 September lalu, penulis novel Anak Din Biola itu telah dipanggil menghadap Ilahi kerana dise-rang sakit jantung, ketika usianya hampir menganjak ke 80 tahun. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Isteri kesayangannya, Zaleha Husin telah meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan enam anak lelaki yang semuanya sudah berjaya dalam hidup masing-masing.

Anak sulungnya, Datuk Adnan bekas Pengerusi MCIS Malaysia diikuti Datuk Annuar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian; Dr. Shaharuddin (Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura), Ahmad Mazlan (karyawan bebas) dan Ahmad Affendy (Eksekutif KUB Gas Sdn. Bhd.).

Dilahirkan di Hulu Yam Baru, Selangor pada 4 Disember 1920, Allahyarham membesar dalam lingkungan keluarga yang banyak membentuk peribadi dan mengasuh bakatnya.

Bapanya Mahmud Ujang adalah seorang tokoh pendidik yang keras dan tegas, sehingga mendapat gelaran 'Harimau Guru Melayu'.

Dalam autobiografinya, Berenang di Lautan Cetera, Allahyarham menceritakan bagaimana beliau terjun ke dunia penulisan iaitu untuk memenuhi wasiat bapanya supaya beliau jadi penulis.

Minat awal menulis timbul kerana Allahyarham lahir dalam keluarga pencerita dan sejak kecil terpukau mendengar cerita daripada sesiapa saja yang mahu bercerita kepadanya.

Kerana cintanya kepada penulisan, antara kerjaya awal Allahyarham ialah mengendalikan majalah Hiboran Kanak-Kanak' di bawah awasan Lady Templer iaitu antara tahun 1957-59.

Di situ Allahyarham mengesan penulis-penulis muda dan baru yang dilihatnya berbakat. Salah seorang daripadanya ialah penyair Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala yang ketika itu belajar di Sekolah Melayu Prince's Road, Kuala Lumpur.

''Allahyarham banyak menggalakkan saya supaya terus menulis,'' kata Kemala mengenang zaman manis ketika beliau turut membantu penerbitan majalah Hiboran Kanak-Kanak itu.

Allahyarham mengabadikan hampir 30 tahun umurnya menjadi guru. Berkat pengalamannya yang luas dalam bidang pendidikan dan terlibat secara langsung dengan rencam dunia kanak-kanak, Allahyarham menumpahkan pengamatannya ke dalam karya sastera.

Sehingga hari ini, Allahyarham kekal menjadi penulis cerita kanak-kanak yang paling prolifik dan tersohor.

Allahyarham menulis 152 buku kebanyakannya novel dengan hampir 30 karyanya menang pelbagai anugerah.

Antaranya termasuk Hadiah Penghargaan Novel Sejarah 1982 melalui Pelita Yang Menyala dan Hadiah Istimewa Esso-Gapena 1996 melalui biografi tentang bapanya, Mahmud Ujang: Harimau Guru Melayu 1898-1950.

Pada 1993, Allahyarham dilantik sebagai Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain; penyair Indonesia, Taufiq Ismail dan Dr. EU Kratz dari University of London.

Salah satu cerita menarik tentang Allahyarham ialah semua karyanya ditulis dalam buku latihan menggunakan pensil sebelum diupah orang lain menaip untuknya.

Hari ini, pensil sebatang itu tidak akan diasah lagi kerana tangan itu telah berhenti menulis. Tetapi khazanah yang ditinggalkannya akan terus dibaca oleh generasi hari ini dan akan da-tang.

utusan online

Biodata Maaruf Mahmud


Maaruf Mahmud merupakan seorang penulis yang berasal dari Ulu Yam Baru, Hulu Selangor, Selangor, Malaysia. Beliau telah banyak menghasilkan buku untuk kanak-kanak.

Beliau dilahirkan di Ulu Yam Baru pada 4 Disember 1920.Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu di Ulu Yam. Beliau kemudian berpeluang melanjutkan pelajarannya dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Setelah itu, beliau bertugas sebagai seorang guru dan kemudian beliau bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pembantu Penyelidik sehinggalah beliau bersara pada tahun 1977.

Semenjak 1955 lagi beliau menceburkan diri dalam bidang penulisan sehinggalah sekarang.Buku-buku beliau pernah beberapa kali memenangi hadiah dalam Peraduan Menulis Cerita Kanak-Kanak anjuran Jabatan Pelajaran Negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia;dan hadiah penghargaan Peraduan Menulis Novel Sejarah (Kanak-kanak)DBP 1981.

Karya 

Anak Din Biola
Rahsia Sebuah Lori
Rahsia Penjual Senjata
Pancing Kasut dan Panjang Tangan
Hari Jadi Si Intan

Comments