4 May 2015

Hari Guru 2015






Prapelancaran Hari Guru Kebangsaan
Tema Sambutan Hari Guru 2015
01 Mei 2015


 P. KAMALANATHAN bersama Khair Mohamad Yusof (kanan) selepas prapelancaran Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan ke-44 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 30 April – ‘Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’ menjadi tema Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-44 pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, tema tersebut selaras dengan hasrat kementerian untuk menyempurnakan keberhasilan berpandukan enam aspirasi murid seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 -2015.

“Pemilihan tema ini adalah amat bersesuaian dengan peranan guru kerana sejak dahulu lagi, guru merupakan insan yang membuka minda, membangunkan dan menggalakkan ilmu membaca, menulis dan mengira bagi memimpin anak-anak demi mencapai kejayaan dengan menerapkan nilai murni dalam kehidupan harian mereka.

“Justeru, melalui tema ini, semua guru di negara ini perlu mempunyai aspirasi yang sama untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia dengan memikul tanggungjawab melahirkan modal insan cemerlang,” katanya ketika berucap dalam majlis prapelancaran Sam butan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-44 di sini hari ini.

Dalam majlis prapelancaran itu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menyampaikan sumbangan buku bernilai RM2 juta kepada Kementerian Pendidikan untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah yang terjejas dilanda banjir pada tahun lalu.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Khair Mohamad Yusof; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Abdullah Mad Yunus.

Sementara itu, Kamalanathan berkata, Kedah akan menjadi tuan rumah untuk Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini dengan pelbagai program menarik selama tiga hari bermula 14 Mei.

“Antara program-program yang akan diadakan di Alor Setar dan Jitra termasuk pelancaran Pameran Pendidikan dan Festival Hari Guru, Wacana Intelek Keberhasilan Gelombang 1 PPPM 2013-2025 dan majlis bacaan Yasin, tahlil, solat hajat dan forum agama.

“Acara kemuncak iaitu Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015 pada 16 Mei ini pula akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Kamalanathan meminta semua guru berpegang teguh kepada satu agenda bagi memastikan kejayaan PPPM 2013-2015 serta etika profesion perguruan dalam melahirkan murid yang seimbang seperti dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Pelaksanaan PPPM ini dapat menguji tahap keupayaan warga pendidik dalam menyediakan peluang kepada murid menguasai kemahiran berfikir aras tinggi dalam bidang akademik dan diaplikasikan dalam persekitaran kehidupan sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa guru untuk terus berusaha menggerakkan proses transformasi bagi mencorakkan landskap sistem pendidikan negara.

Katanya, para guru juga perlu sentiasa tampil memberi penerangan tentang dasar dan hasrat negara kepada ibu bapa dan masyarakat dalam menggerakkan agenda pembangunan negara seiring dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

“Oleh itu, saya menyeru semua warga guru supaya terus berusaha memainkan peranan sebagai pembina ilmu, pembangun sahsiah dan sebagai jurutera sosial,” katanya.

utusan online



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena