Hari Guru 2015 : Perutusan Menteri Pendidikan Malaysia

PERUTUSAN HARI GURU
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

 


Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah swt. kerana dengan izin-Nya jua, sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-44 pada tahun ini. Perayaan yang kita sambut saban tahun ini merupakan simbolik kepada pengiktirafan semua pihak khususnya kerajaan terhadap peranan dan khidmat bakti berterusan para guru di seluruh negara. "Selamat Hari Guru", terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan atas komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru dalam mendidik anak bangsa sehingga menjadi warganegara yang cemerlang, berakhlak mulia dan menjadi kebanggaan negara.

‘Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak', merupakan tema yang dipilih bagi tahun ini adalah bertepatan dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 berhasrat untuk melahirkan insan berilmu pengetahuan (knowledge), insan yang berguna (useful person) dan warganegara terpuji serta berupaya menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara. Sesungguhnya para guru memainkan peranan penting dalam menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Maka, guru perlu mengupayakan diri dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui kreativiti dan inovasi dalam mempelbagaikan bahan rangsangan bagi menjana potensi murid selari dengan kemahiran abad ke-21. Sememangnya faktor kritikal untuk memacu transformasi kemajuan negara bergantung kepada keupayaan dan kesungguhan warga pendidik dalam menyampaikan pendidikan bertaraf dunia.

Akhir sekali, saya menyeru semua guru memperbaharu semangat dan iltizam pada setiap masa, berfikiran terbuka dan berpandangan jauh dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke arah membangunkan masyarakat cemerlang. Saya yakin, generasi yang dilahirkan bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah memiliki sahsiah dan kemahiran yang tinggi serta mampu menyumbang ke arah kecemerlangan tamadun manusia. Teruskanlah usaha ini demi masa depan anak-anak kita. Laksanakanlah amanah ini dengan jujur, ikhlas dan yakin.


'Syabas dan terima kasih Cikgu! Selamat Hari Guru 2015"


TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

sumber




Comments