Hari Guru 2015 : Perutusan Ketua Setiausaha KPM

KATA ALU-ALUAN 
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA



Salam Transformasi dan Salam 1Malaysia

Pelaburan dalam pembangunan pendidikan, khususnya pembangunan modal insan merupakan faktor penting ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Kualiti modal insan hasil daripada transformasi pendidikan negara perlu setaraf dengan kualiti modal insan dalam sistem pendidikan berprestasi tinggi dunia supaya kita mampu bersaing di peringkat global. Selain itu, pelbagai cabaran dalam abad ke-21 perlu ditangani supaya murid yang dilahirkan daripada sistem pendidikan Malaysia mempunyai ciri-ciri unggul yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

Usaha menghasilkan modal insan berkualiti memerlukan iltizam dan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh oleh seluruh warga pendidikan. Sehubungan dengan itu, kementerian sentiasa berusaha untuk mempertingkat kan kecekapan sumber pendidikan supaya keberhasilan modal insan dapat dimaksimumkan dengan menggunakan peruntukan kewangan secara efisyen. Tanpa guru sebagai pemangkin kualiti modal insan yang membentuk keperluan tenaga kerja, tidak mungkin negara dapat menghas ilkan insan yang berilmu dan berakhlak. Aspirasi ini selari dengan harapan tinggi ibu bapa dan majikan serta sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tanpa mengira agama, bangsa, dan taraf sosioekonomi.

Sambutan Hari Guru diadakan pada setiap tahun untuk menghargai dan mengiktiraf khidmat dan jasa guru dalam pembinaan ilmu dan akhlak setiap insan demi merealisasikan pendidikan berkualiti. Dalam suasana cabaran semasa, setiap guru harus mempunyai integriti profesional yang tinggi dan sentiasa menyanjung etika keguruan sepanjang masa demi melahirkan modal insan yang cemerlang. Usaha ini tidak mungkin membuahkan hasil tanpa semangat dan jiwa pendidik yang terpahat dalam diri setiap guru, yang juga merupakan penjawat awam.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik yang telah bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk membangunkan potensi insan di negara ini. Sekalung penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, sumbangan , dan komitmen para guru sekalian. Akhirulkalam , hayatilah petikan kata-kata Imam al-Ghazali, "Orang yang berilmu dan mengajar sesama manusia sehingga orang lain dapat memanfaatkannya diibaratkan seperti matahari yang memancarkan sinar kepada makhluk Allah yang lain, sedangkan diri tetap bersinar". Saya berdoa semoga semua guru di Malaysia beroleh kesihatan dan kesejahteraan supaya dapat terus memberikan sumbangan ke arah menyempurnakan penghasilan modal insan yang berilmu dan berakhlak .

SELAMAT HARi GURU

"GURU: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK"


TAN SRI DR. MADINAH BINTI MOHAMAD

sumber


Comments