cerita pahlawan

Kejam: Lepas tembak rodok pula dengan belati
ADILA SHARINNI WAHID
24 Mei 2015


Hamzah (tengah) menerima pingat disampaikan Sultan Muhammad V sebagai penghargaan terhadap jasanya mempertahankan tanah air daripada serangan komunis.



KOTA BHARU - Menyaksikan empat rakan ditembak bertalu-talu oleh pengganas komunis di depan mata sendiri umpama satu igauan ngeri yang tidak pernah akan dapat dilupakan sepanjang hayatnya.

Pesara Sub Inspektor polis, Hamzah Mahmood, 73, berkata, walaupun peperangan pada zaman darurat itu sudah hampir 50 tahun berlalu, namun baginya memori itu terus berlegar di minda umpama satu persatu babak babak dalam filem.

Menceritakan kembali detik hitam itu, Hamzah berkata, ketika itu dia berpangkat Koperal dalam Pasukan Polis Hutan atau kini dikenali Pasukan Gerak Am yang ditugaskan dalam satu operasi untuk nenentang gerakan komunis di Kedah sekitar tahun 1968.

"Saya masih ingat, ketika itu, kami dalam satu kumpulan terdiri daripada 10 anggota sedang dalam tugas rondaan di hutan berdekatan dengan satu kawasan tadahan air di Muda Dam.

"Semua anggota sememangnya sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga. Tiba-tiba, sekumpulan komunis melancarkan serang hendap dengan tembakan bertalu-talu dari atas bukit," katanya.

Hamzah berkata, dalam pertempuran kira-kira 30 minit itu, dia tidak mendengar bunyi lain kecuali bunyi dentuman dan letupan daripada peluru yang dilepaskan komunis bersama-sama bahan letupan berupa bom granite.

"Saya pula bertanggungjawab melindungi anggota yang terkena tembakan. Masa tu saya nampak dua rakan yang terkena tembakan dan terus rebah bersama darah yang memancut keluar dari tubuh.

"Saat itu, perasaan menjadi semakin berkobar-kobar untuk melawan serangan itu, namun mereka berkelebihan kerana berada di atas bukit yang mana penglihatan mereka lebih baik daripada kami yang berada di bawah," katanya yang menerima penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara yang disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Hotel Renaissance, di sini, Khamis lalu.

Beliau antara 214 penerima bekas dan pesara polis yang pernah berkhidmat sekurang-kurangnya setahun ketika zaman darurat pada 1948-1960 dan 1969-1989 di Semenanjung serta 1962-1990 di Sarawak.

Hamzah berkata, selang beberapa tahun kekejaman komunis yang berlaku di Kedah, sejarah sama berulang ketika dia berada dalam tugasan sama menentang komunis di Bau, Sarawak yang juga mengorbankan dua rakan sepasukannya.

"Saya antara yang panjang umur dan dapat berkhidmat selama 40 tahun bersama pasukan polis. Saya sudah bersara tetapi masih boleh menceritakan pengalaman berdepan komunis kepada orang-orang muda. Bagi saya, kekejaman mereka tidak mampu untuk dizahirkan dengan kata-kata.

"Kalau terjumpa mereka, perasaan itu berasa seperti mahu terus menbunuh mereka. Mana tidaknya, saya lihat sendiri rakan yang sudah mati ditembak, mayat mereka dirodok pula dengan belati, sungguh menyayat hati , tetapi sejarah itu menguatkan lagi taat setia saya pada negara. Saya sanggup tumpah darah bergadai nyawa demi mempertahankan Malaysia," katanya.

sinar harian online

Comments

Post a Comment